Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Wednesday 29 July 2009

Santai Petang Rabu: Permulaan Yang Baik

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Tadi buat julung-julung kalinya pihak Pusat Kebudayaan telah menganjurkan satu program yang diberi nama Santai Petang Rabu khas untuk pelajar dan staf Universiti Malaya (UM).

Program yang dirancang 2 minggu sekali ini dihidupkan semula setelah sekian lama tidak diwujudkan dihiasi dengan hiburan kebudayaan yang terkenal di pantai Timur iaitu persembahan Dikir Barat oleh En. Halim Yazid, seorang tokoh dikir barat yang terkenal bersama pasukan dikir barat UM.

En. Halim Yazid Sempat Mempersembahkan 8 buah lagu


Pada pandangan saya, ini merupakan satu inisiatif yang baik oleh pihak Pusat Kebudayaan memperkenalkan seni budaya negara melalui program begini supaya anak-anak muda terutamanya mahasiswa tidak lupa akan asal-usul mereka.

Ini juga baik pada hemat saya terutamanya bagi memperbaiki hubungan antara staf dan juga pelajar terutamanya kerana dalam keadaan santai sebegini, mereka boleh duduk berbicara dalam keadaan kurang formal.

Pasukan Dikir Barat UM


Ini juga boleh mengelakkan mahasiswa daripada membuang masa terjebak di kancah tidak baik di luar sana dan selain itu, boleh berhibur sambil belajar dalam hiburan tersebut.

Sebagai contoh, persembahan dikir barat yang dipersembahkan oleh En. Halim Yazid sebentar tadi sangat sarat dengan moral dan pengajaran.

Lagu-lagu beliau selain membawa unsur hiburan terselit ingatan dan juga nasihat buat kita sebagai anak mahupun sebagai pelajar dan ia sebenarnya patut diambil iktibar oleh kita dan dijadikan panduan.

Program ini juga munkin dapat mengurangkan tekanan pelajar dengan beban akademik masing-masing dan tidak kurang juga kepada staf yang pusing kepala dalam menyelesaikan tugasan masing-masing.

Saya yakin, mungkin ada di luar sana yang memandang serong akan program ini dan mungkin menyifatkannya sebagai hedoisme ataupun menunjukkan masyarakat sekarang merupakan masyarakat yang memuja akan hiburan.

Akan tetapi, saya berharap anda yang berfikiran sedemikian agar kembali berfikir untuk kali kedua kerana ini bukan sekadar hiburan semata-mata tetapi ia juga memberi kita pengajaran serta ilmu yang boleh kita ambil.

Selain itu, saya juga ingin memberi nasihat kepada pihak penganjur agar boleh meramaikan dan membuat publisiti yang lebih meluas bagi mencapai objektif tersebut.

Barisan jemputan juga bakal memberi impak yang besar akan kehadiran peserta dan isi persembahan juga diharapkan akan terus menyelitkan berkenaan isu yang berkaitan dengan mahasiswa serta keadaan semasa negara.

Artis Kolej Pertama Turut Dijemput Membuat Persembahan


Dengan ini, ingin saya simpulkan yang program seperti ini perlu diteruskan lagi bagi merapatkan lagi perpaduan antara mahasiswa dan juga staf UM selain memberi kita pengajaran dan pengetahuan berkenaan kebudayaan negara kita ini.

Monday 27 July 2009

'Jangan jadi pembudaya fitnah'

SHAH ALAM: Datuk Seri Najib Razak mahu mahasiswa berpegang teguh kepada prinsip kejujuran intelektual dalam menilai serta menghalusi isu dan menggunakan kewarasan dalam menyaring maklumat agar tidak menjadi pembudaya fitnah dan omongan jahat.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sedar era kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berlalu, namun tidak ada sesiapa yang boleh memonopoli kebenaran atau kebijaksanaan.

"Saya ingin melihat kepemimpinan mahasiswa yang dinamik dan subur supaya pemikiran mahasiswa akan terus menjadi input besar kepada kejayaan negara," katanya ketika menutup Konvensyen Kepemimpinan Mahasiswa Islam di Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini, semalam.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Kelab Dewan Amal Islam Hadhari (Damai) institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang dipimpin pengerusi baru, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.

Hadir sama, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku pengasas Damai; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mohamed Khaled Nordin dan Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof Dr Ibrahim Abu Shah.

Najib berpesan supaya mahasiswa tidak syok sendiri dengan program dianjurkan sebaliknya memastikan ia relevan dengan zaman bagi menunjangi kepemimpinannya iaitu mementingkan keperluan belia sebagai klien.

Katanya, pemimpin mahasiswa bukan saja perlu memenuhi ilmu di dada, tetapi juga melengkapkan diri dengan pelbagai bahasa, tugas dan kemahiran kerana masyarakat kini berada pada zaman penguasaan minda adalah penentuan kecemerlangan sesebuah negara.

Berikutan itu, beliau menyifatkan usaha Damai mengadakan konvensyen itu sebagai bertepatan dalam usaha mengupas pengertian dan kepentingan kepemimpinan untuk mencari pemimpin masa depan yang berwibawa.

"Dalam hal ini, jaminan saya bagi pihak kerajaan, kita akan menyokong sepenuhnya sebarang inisiatif untuk menggilap pemimpin baru, yang dilatih mengikut asas kepemimpinan dan bersandarkan landasan yang betul.

"Kita mahu mahasiswa mengikut landasan yang tepat dan tidak terbabas dari jalan sewajarnya. Tindakan yang tidak menguntungkan hendaklah dielakkan kerana ini mungkin akan mencemarkan gerakan mahasiswa sendiri," katanya.

Perdana Menteri seterusnya yakin penubuhan Kelab Damai itu adalah satu pendekatan mulia yang mampu menyediakan wadah dalam melahirkan bakal pemimpin masa depan.

Bahkan, katanya, cara membimbing pemimpin adalah selaras dengan kaedah anjuran Rasulullah SAW yang menitikberatkan tarbiah dan disiplin dalam membentuk pengikutnya seperti ketika Baginda membimbing sahabatnya termasuk Usamah, Muaz dan Mus'ab.

Beliau berkata, kaedah itu perlu menjadi teras kepada usaha Kelab Damai kerana perjalanan hidup mahasiswa masih panjang.

"Ada beza antara berpendidikan, berpengetahuan dan memiliki kebijaksanaan. Masa dan pengalaman akan mematangkan mahasiswa dalam menempuh realiti kehidupan di luar nanti.

"Sarjana sekarang bercakap mengenai dua istilah iaitu `kegraduatan' (graduateness) dan bukan graduan.

"Graduan mungkin menitikberatkan label atau `credential' tetapi `kegraduatan' itu mementingkan intipati `attribute' atau sifat graduan itu dan meritnya. Maka kita mahu graduan bukan hanya berkebolehan dan berkemahiran memenuhi pasaran kerja, tetapi sedar dan turut serta dalam usaha memaju bangsa, agama dan negara," katanya.

Najib berkata, konsep kepemimpinan yang wujud dalam Islam bersifat bersepadu iaitu menekankan keseimbangan antara roh dan jasad.

Malah, katanya, kestabilan di antara perkembangan spiritual dan pembangunan material bagi menjamin kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat menjadi intipati kepada ajaran agama.

Oleh Wan Jailani Razak

Larangan Membawa Kereta Dalam UM: Pro Dan Kontra

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Akhir-akhir ini, isu kereta ini semakin menjadi bualan hangat tiap individu terutamanya mahasiswa Universiti Malaya tak kisah yang mempunyai ataupun yang tidak mempunyai kereta sekalipun.

Ini adalah kerana penguatkuasaan larangan membawa kereta yang dikuatkuasakan atas arahan Naib Canselor bermula 20 Julai 2009 yang lepas.

Ramai yang bingkas bangun menyuarakan rasa tidak puas hati mereka akan keputusan ini kerana sebelum ini belum pernah larangan seperti ini dikuatkuasakan tetapi tidak kurang juga yang bangun berdiri bertepuk tangan tanda setuju.

Walaupun Naib Canselor memberi sedikit ruang kepada mahasiswa selain tahun akhir membawa kereta, tetapi syarat-syarat yang dikenakan seperti masuk melalui pintu Damansara dan meletakkan kereta di tempat yang tertentu dilihat sebagai tidak membantu langsung.

Selain itu, ada juga rungutan yang pejalan kaki sekali pun ingin masuk ke UM perlu menunjukkan kad matrik dan menyamakan tindakan ini seperti berada di ’sekolah berasrama’.

Oleh itu, suka saya untuk membawa para pembaca untuk menilai dan memikirkan kebaikan dan keburukan larangan ataupun lebih sedap didengar sebagai ’arahan’ ini dikuatkuasakan oleh pentadbiran universiti.

Kereta adalah antara medium yang penting dalam kehidupan zaman sekarang dan apa yang kita lihat sekarang ini, hampir 70% pelajar dalam UM berkereta dan hampir 90% pelajar berkenderaan (kereta, motosikal, basikal, dan lain lain).

Antara sebab arahan ini disanggah rata-rata pelajar adalah kerana menyukarkan perjalanan mereka.

Saya yakin tidak ramai yang menggunakan kereta mereka untuk ke kuliah, kecuali pelajar yang tinggal di luar kampus tetapi ia banyak digunakan untuk aktiviti sampingan seperti keluar makan di waktu malam, menghadiri mesyuarat di luar dan sebagainya.

Oleh itu saya menyokong dengan arahan yang menyatakan setiap kolej kediaman perlu memiliki sebuah kafe makanan untuk mengelakkan para pelajar keluar malam semata-mata mencari makanan

Selain itu, rungutan juga timbul untuk menggunakan kereta di dalam kampus bagi perjalanan projek mahupun aktiviti pelajar bagi memudahkan perancangan mereka.

Tidak semua yang bertanggungjawab menjalankan aktiviti ini merupakan pelajar tahun akhir dan sekaligus menyebabkan mereka tidak layak membawa kereta walaupun ia sangat penting bagi digunakan.

Memang benar, kolej mahupun HEP menyediakan van mahupun bus bagi memudahkan pergerakkan pelajar akan tetapi prosedur dan birokrasi yang berlapis-lapis menyebabkan mahasiswa muak untuk melalui semua ini.

Kami mahasiswa jelas dan faham akan dunia realiti yang memang serupa, akan tetapi kami juga meminta agar pihak pentadbiran memahami kesukaran kami dalam meluangkan masa beraktiviti dalam masa yang sama mengejar akademik.

Usah dibandingkan dulu dengan dunia pekerjaan, kerana fokus bila bekerja hanya satu walhal sebagai mahasiswa kita mempunyai banyak fokus dan ini merupakan salah satu sebab mengapa mahasiswa sering merasa diri mereka dikongkong.

Usaha yang dijalankan oleh pengawal keselamatan yang menahan bagi pemeriksaan keselamatan ke atas kereta-kereta yang ingin memasuki UM adalah satu langkah yang baik.

Akan tetapi, pada 20 Julai 2009 tindakan ini telah menyebabkan kesesakan yang teruk dan dilaporkan kesesakan ini telah melibatkan kereta hingga ke Lebuhraya Persekutuan dan membawa kepada campur tangan pihak polis trafik.

Apa yang saya cuba katakan di sini adalah, pihak keselamatan perlu mencari satu jalan ataupun alternetif yang lebih bijak bagi menangani dan membanteras kereta-kereta yang tidak diingini daripada masuk ke dalam UM tanpa menggangu perjalanan kereta yang lain.

Kereta juga merupakan kenderaan yang penting terutamanya berlaku kes-kes kecemasan di waktu malam atau luar waktu pejabat dan memerlukan seseorang itu dihantarkan ke hospital.

Dalam konteks kolej kediaman, memang penyelia bertugas bertanggungjawab untuk menguruskan keadaan ini akan tetapi kita perlu faham akan tugas hakiki beliau yang meletihkan tambahan pula bagi yang hidup berkeluarga, ini mungkin akan menambahkan beban beliau.

Justeru itu, kelonggaran untuk membawa kereta ini juga mampu membawa kepada kebaikan kerana saya yakin mahasiswa yang bijak adalah mahasiswa yang menggunakan kelebihan yang diberi dengan berhemah.

Umum tahu, sebelum ini yang saban hari kita dapat lihat penambahan jumlah kenderaan terutamanya kereta sehingga hampir kesemua tempat letak kereta kelihatan penuh dan tiada lagi ruang kosong.

Sebagai mahasiswa, penimbangan kita harus berpaksikan kebenaran dan juga memberi keutamaan kepada yang lebih memerlukan dan di sini saya ingin menegaskan kita juga perlu memikirkan akan tempat letak kereta bagi staf dan pensyarah.

Memang ya mereka mempunyai tempat letak kereta yang khas, tetapi apa yang berlaku sekarang akibat terdesak, mahasiswa mengambil keputusan meletak kenderaan di tempat letak kereta pensyarah dan menyebabkan pensyarah itu kerugian masa mencari tempat lain.

Siapa yang rugi? Sudah tentu ia merugikan mahasiswa sendiri kerana masa yang bernilai boleh digunakan oleh pensyarah bagi mencurahkan ilmu kepada kita telah disia-siakan oleh kerana tempat letak kereta itu telah diambil oleh pelajar yang tidak bertanggungjawab.

Isu keselamatan juga timbul di sini kerana jika semakin banyak kereta dibenarkan masuk ke dalam kampus akan menyebabkan ia menjadi sukar dikawal dengan tenaga kerja pengawal keselamatan yang tidaklah sebanyak mana pun.

Bila pengawal keselamatan mengetatkan operasi dikatanya pada pengawal terlalu mengongkong tetapi bila berlaku kecurian dituduh pula pengawal tidak membuat kerja, adakah ini cara mahasiswa bertindak, tepuk dada tanya selera.

Memang benar jika dibandingkan dengan universiti-universiti lain seperti UKM dan UPM, tempat letak kereta UM jauh terhad walaupun baru-baru ini saya ada melihat projek membuat tempat letak kereta baru sedang pesat dijalankan di sebelah Kolej 12 dan di hadapan Fakulti Undang-undang.

Walau bagaimana pun, saya yakin dengan penambahan ini masih belum cukup untuk menampung kereta pelajar dan tidak relevan sekiranya pelajar menggunakan ini sebagai alasan untuk meloloskan kenderaan mereka masing-masing.

Perlu diingatkan juga UM adalah jalan penghubung mudah antara Kuala Lumpur, Bangsar dan Petaling Jaya dan ramai pengguna luar yang menggunakan jalan ini bagi memudahkan perjalanan mereka.

Oleh itu, kita dapat lihat alternatif terbaik bagi pelajar adalah untuk masuk menggunakan pintu Damansara yang jarang digunakan dan meletakkan kenderaan di tempat yang berdekatan dengan pintu tersebut kerana tempat itu juga jarang digunakan.

Baru-baru ini saya berkesempatan menjenguk tempat-tempat tersebut dan saya nampak ada diletakkan pos pengawal mungkin untuk menjaga sistem lalu lintas dan keselamatan kereta di sana.

Kemudian pelajar dinasihatkan menggunakan bas shuttle HEP bagi proses perjalanan pergi dan balik daripada fakulti. Saya yakin perkhidmatan bas percuma ini sedang mempertingkatkan mutu perkhidmatannya untuk menampung permintaan semua pihak.

Oleh itu, saya menyeru rakan-rakan supaya tidak memanjakan diri sendiri dan mengeluh akan panas, hujan dan sebagainya kerana ia masih berada di dalam kawalan kita dan jika kita mampu menghadapinya maka kita sebenarnya sudah matang berfikir tentang kehidupan sebenar di dunia ini.

Aduan demi aduan telah dibuat dan Naib Canselor dalam perutusan baru-baru ini masih menegaskan akan merealisasikan arahan ini walaupun terdapat pelbagai reaksi dan bantahan daripada pelajar termasuk MPMUM sendiri.

Di sini saya membentangkan dua hujah kebaikan dan keburukan berkenaan arahan ini bagi kita sama-sama membuka dan berfikir akan arahan ini dan bukan sekadar dibual secara kosong malah mendapat dosa bila kita selitkan dengan unsur kutukan pada orang yang tertentu.

Akhir kata, saya menyeru agar rakan-rakan mahasiswa menerima arahan ini dahulu dan biarkan pemimpin anda berjuang bagi memperoleh apa yang anda perlukan dan mungkin sesi ini tidak berjaya, sesi seterusnya dengan bakal pemimpin yang baru mungkin dapat memenuhi permintaan anda.

Jangan biarkan isu ini merencatkan aktiviti pembelajaran kita seharian, nasihat saya rancang perjalanan lebih awal dan utamakan yang peting dahulu kerana sebagai mahasiswa, saya yakin anda sepatutnya sudah mampu merencanakan apa yang bakal berlaku di masa depan.

UM is ONE!!!

Saturday 25 July 2009

Selamat Menjalankan Tugas

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan.

Pada hari Rabu yang lalu, telah berlangsung satu majlis simbolik pelantikan dan penyerahan watikan pelantikan daripada pihak pentadbiran kepada ahli Jawatankuasa Induk Kolej (JIK), Jawatankuasa Tindakan Kolej (JTK), Pengerusi Jawatankuasa Kerja Perkembangan(JKP), Pengerusi Balai Islam serta wakil-wakil tingkat Kolej kediaman Pertama.

Sekalung tahniah dan syabas saya ucapkan kepada mereka yang dilantik dan berharap semua yang telah dilantik akan menjalankan tugas-tugas dengan adil dan amanah.

Antara nama-nama yang telah dilantik adalah

JIK : Muhammad Hafizzuddin B. Baharin
JIK : Nor Azimah Binti Samsuddin
JIK : Leow Wai Yan
JIK : Jivitha A/P Selvathurai

Presiden JTK : Mohammad Amirul Aizat B. Lamry
Setiausaha JTK : Nor Hidayah Binti haji Nor Hassan
Bendahari JTK : Terry Lum Teng How

Pengerusi JKP ADI : Akmal Syahirah Bt. Abdullah
Pengerusi JKP KEMAS : Raihanath Bt. K.V. Zainuddin
Pengerusi JKP KEP : Bong Boon Fui
Pengerusi JKP SUKAN : Hafizzudin B. Md Kasim
Pengerusi JKP SENI : Roseeta Bt. Rashidi
Pengerusi Balai Islam : Suhail Anwar Bin Mohamed Nor

Wakil-wakil Tingkat
A200 : Nor Amanina Bt Badarol Hisham
A300 : Chai Shu Hwi
B100 : Nik Nur Shairah Bt. Ghazali
B200 : Noor Zawani Bt. Biding
B300 : Nurraimi bt. Wahid
B400 : Nurlisa bt. Mohamad
C200 : Muhamad Faris B Muhamad Noor
C300 : Koon Zheng Dong
C400 : Muhammad Izhan B Izhar
D200 : Muhammad Al Amin b. Mohd Ali
D300 : Chia Wai Poo
D400 : Mohd. Hasyim B Harun
E200 : Lau Chin Hwee
E300 : Izzatul Amira Bt. Abd Samad
E400 : Mildred Tshui Yee Mun

Dengan tertubuhnya badan rasmi pelajar di kolej kediaman Pertama ini bermakna bermula satu lagi epilog kepimpinan pelajar yang baru yang mungkin akan membawa kebaikan yang lebih baik dibandingkan pada masa-masa akan datang.

Saya juga berharap dengan gandingan yang mantap dalam barisan JTK kali ini mampu membawa dan menjulang nama ASTAR ke arah yang lebih baik tidak kira daripada segi hasil dan mutu kerja mahupun kebajikan pelajar itu sendiri.

Oleh itu, saya menyeru rakan-rakan kolej kediaman Pertama terutamanya untuk terus menyokong dan memberi kerjasama yang baik kepada JTK yang baru dilantik ini untuk memudahkan perjalanan serta menguatkan lagi institusi kepimpinan kolej itu sendiri.

Harapan saya kepada JTK yang baru dilantik agar mereka akan menunjukkan sifat kepimpinan yang tinggi, terbuka, telus dan amanah dalam memikul tanggungjawab yang besar bersama jawatan yang disandang oleh mereka sendiri.

Dengan ini, saya berharap dan yakin yang kepimpinan kali ini akan meneruskan aspirasi mahasiswa, universiti dan negara dan terus memperjuangkan agama, ilmu, perpaduan dan kebajikan dalam setiap aspek yang ada.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan selamat menjalankan tugas kepada semua ahli JTK dan JKP yang baru, sesungguhnya kami di barisan senior-senior bersedia membantu jika ada sebarang masalah dan sedia memberi nasihat jika diperlukan.


Simbolik Penyerahan Kuasa Presiden JTK 08/09 kepada Presiden JTK 09/10



Barisan JIK dan JTK ASTAR

Gambar Ehsan Ahmad Afif bin Isa


ASTAR is FIRST!
UM is ONE!!!

Tuesday 21 July 2009

'Pelajar mesti seimbang akademik, kokurikulum'

ARAU: Pelajar perlu mempunyai kemahiran seimbang dalam akademik dan kokurikulum bagi mengelak daripada tergolong dalam generasi pelajar yang dianggap sebagai 'mati sebelah tubuh', kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Mohd Puad berkata, sikap pelajar terlalu mementingkan kecemerlangan akademik tanpa mengambil kira aspek kokurikulum menyebabkan mereka sering ketinggalan, sehingga dilabel sebagai mati sebelah tubuh yang jelas sekali merugikan negara.

Beliau berkata, pencapaian dalam bidang akademik dan kokurikulum perlu selaras kerana kedua-duanya mempunyai fungsi dan kepentingan tersendiri, terutama sebagai asas pemilihan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

"Bagi saya, pelajar yang cemerlang dalam satu aspek tidak ubah seperti mati sebelah tubuh, kerana hanya dapat mengguna separuh anggota saja. Pendek kata sebagai contoh, pelajar ada dua mata, tetapi hanya satu saja dapat digunakan.

"Saya sedar sikap sedemikian banyak didorong ibu bapa. Namun, saya harap ia dapat diubah sebelum melarat, sekali gus menyebabkan keupayaan dan daya saing pelajar kita terbatas.

"Malah, kegiatan kokurikulum kini menjadi asas penilaian penting selain akademik dalam bidang pendidikan negara. Selain itu, pelajar terutama di peringkat matrikulasi sendiri diterap semangat untuk mengimbangi keperluan antara dua bidang terbabit," katanya kepada pemberita di sini, malam kelmarin.

Terdahulu, beliau merasmikan Karnival Kokurikulum Matrikulasi 2009 (Kakom 2009) di Kolej Matrikulasi Perlis di sini. Hadir sama, Pengarah Kolej Matrikulasi Perlis, Azuyah Hassan.

Sementara itu, Mohd Puad ketika ditanya mengenai cadangan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) berkata ia tidak timbul kerana fungsi peperiksaan berkenaan masih relevan dengan dasar pendidikan negara.

Beliau berkata, UPSR diwujudkan bertujuan menilai prestasi pelajar sekolah rendah iaitu membabitkan murid tahun satu hingga enam dan bukannya berorientasikan peperiksaan sepenuhnya.

"Justeru, saya percaya golongan yang meminta ia dimansuhkan, tidak memahami kepentingan UPSR diwujudkan. Apa pun, bagi saya, UPSR tetap relevan dan tiada sebab kenapa ia perlu dimansuhkan," katanya.

Cadangan memansuhkan UPSR disuarakan Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim, selepas mendapati peperiksaan itu tidak fokus kepada pencapaian murid dalam semua mata pelajaran.
Sumber: Berita Harian Online 21/7/2009

Monday 20 July 2009

Berani Tak Bertempat

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Isu mahasiswa dalam negara adalah merupakan isu yang sentiasa menghangatkan rencah berita dalam negara serta menjadi ikutan bukan sekadar mahasiswa malah menjadi tumpuan orang lain di luar kampus.

Tetapi saya hairan, mengapa di dada akhbar lebih banyak menceritakan perkara negatif yang dilakukan oleh mahasiswa berbanding jasa dan idea yang disalurkan oleh mahasiswa bagi pembangunan rakyat Malaysia.

Mahasiswa perlu menilai dan sedar akan keadaan ini dan bagi perspektif saya, ini menunjukkan mahasiswa belum memainkan peranan secukupnya untuk kita menjadi ikon mahupun ikutan orang di luar sana.

Jika kita sekadar menjadi tukang jerit atau tukang rusuh, saya yakin orang yang bukan pelajar universiti juga mampu melakukan dan membuat perkara yang sama bahkan mungkin lebih hebat daripada kita.

Apa yang ingin saya bicarakan di sini adalah konteks mahasiswa itu sendiri, bagaimana seorang mahasiswa ataupun pemimpin itu mampu mengubah dan mencipta ruang baru untuk memperbaiki keadaan rakan-rakannya daripada baik sekarang ini kepada lebih baik di masa hadapan.

Kita mahu di dada akhbar menyatakan ’Pelajar Universiti Malaya Berjaya Menghasilkan Enjin Hibrid Menggunakan Kuasa Solar’ ataupun ’Pemimpin Pelajar Universiti Malaya Menyelesaikan Masalah Kebajikan Dengan Baik’ tetapi apa yang kita dapat ’Pelajar Ditahan Akibat Salah laku’.

Ini bukan suatu yang baik walaupun bagi mereka yang tertangkap, ini mungkin dianggap sebagai perjuangan yang mulia dan berlandaskan jalan yang benar.

Saya tidak mempertikaikan apa sahaja pendapat mereka tetapi kerana yakin dan percaya, kita sentiasa mempunyai pilihan dalam hidup kita dan kita perlu membuat pilihan setepatnya sesuai dengan diri kita.

Kebelakangan ini, saya melihat pimpinan pelajar banyak menyimpang daripada manifesto ataupun janji-janji yang ditaburkan selama ini.

Di kala mahukan kemenangan, mereka janjikan kebajikan kepada mahasiswa dan pelbagai lagi akan tetapi tidak menyatakan sedikit pun dalam mencampuri hal ehwal di luar kampus.

Tetapi apa yang kita lihat, pemimpin di atas sekarang ini banyak menumpukan perhatian beliau kepada isu luar kampus berbanding dengan isu di dalam kampus.

Jika benar mereka ingin membantu diperingkat nasional, ia sesungguhnya perkara yang baik serta sememangnya dialu-alukan oleh masyarakat terutamanya kerajaan, tetapi medium atau caranya harus betul dan berada di landasan yang benar.

Pemimpin mahasiswa yang intelek akan sentiasa menumpukan perhatian mereka lebih kepada bidang akademik mahupun pemantapan sahsiah rakyat jika mereka benar ingin membantu di peringkat nasional tetapi adakah ini yang mereka perjuangkan?

Mereka ini sepatutnya menumpukan masalah dalam kampus seperti isu kenderaan yang hangat di kala kini, isu perparitan yang tidak sudah-sudah menyebabkan banjir di kala hujan lebat, serta isu penempatan pelajar yang tidak setimpal dahulu sebelum meneroka ke alam luar sana.

Di mana janji mereka untuk memotong elaun masing-masing untuk dimasukkan atau untuk digunakan sebagai tabung kebajikan mahasiswa, adakah ini digunakan untuk perjuangan peribadi atau kebaikan mahasiswa secara keseluruhannya.

Mahasiswa perlu celik dan tangkas bangun memikirkan apa yang sebenarnya sedang dialami oleh pakatan pimpinan mahasiswa sekarang ini.

Mereka melaungkan kata-kata semangat untuk membela pelbagai ruang lingkup tetapi adakah mereka membela anda sebagai mahasiswa.

Salah satu kepakaran mereka yang tidak bertanggungjawab adalah penyebaran fitnah yang tidak henti-henti walaupun apa jua tidak kira terhadap mahasiswa mahupun pimpinan nasional itu sendiri.

Mahasiswa perlu matang dalam menerima dan mencerna berita yang mereka dapat tak kira daripada luar mahupun dalam kampus.

Fitnah yang ditaburkan memang sedap didengar ataupun dibaca tetapi kenyataannya sesungguhnya lari benar daripada keadaan sebenarnya dan jika kita hanya menerima input dari sebelah pihak sahaja, jangan adili berita itu benar terlebih dahulu.

Malah yang paling hebat fitnah ini bukan sekadar dilemparkan kepada orang yang dikenali malah mereka yang tidak dikenali langsung tetapi tidak sama ideologi dengan mereka juga tidak terlepas daripada tuduhan liar serta palsu kerana ingin memburuk-burukkan kumpulan yang bertentangan dengan mereka.

Setiap isu perlu ditangani dengan bijak dan sesungguhnya ia tidak boleh diselesaikan di jalanan mahupun dengan emosi yang membuak-buak.

Allah memberikan kita otak dan akal fikiran untuk kita sentiasa mencari penyelesaian yang benar-benar betul dan setimpal dengan masalah yang kita hadapi di waktu itu.

Jangan kerana marahkan nyamuk, habis kelambu dibakarnya kerana perbuatan ini hanya akan membinasakan diri kita malah bila nasi dah menjadi bubur, segala sesalan tidak lagi membawa faedah.
Kepada

SEMUA PELAJAR UNIVERSITI MALAYA

Assalamua'alaikum / Salam Sejahtera

LARANGAN PELAJAR MEMBAWA KERETA KE DALAM KAMPUS UNIVERSITI MALAYA

1. Lanjutan kepada pekeliling mengenai perkara di atas, sukacita dimaklumkan bahawa Naib Canselor telah bersetuju memberi kelonggaran terhad kepada Pelajar ASASI, Pelajar Tahun 1, Tahun 2 dan Tahun 3 ijazah dasar (PELAJAR BERKENAAN) membawa kereta masuk ke dalam kampus Universiti Malaya tertakluk kepada aturan berikut:-
(1) Pelajar Berkenaan hanya dibenarkan masuk melalui pintu masuk Damansara.
(2) Pelajar Berkenaan hanya dibenarkan meletak kereta di kawasan-kawasan berikut:-

(a) Kawasan letak kereta di hadapan kolej 10.
(b) Kawasan Lapang di sekitar kompleks PALAPES.
(c) Sepanjang jalan (yang bertanda) di antara kolej 10 dan PALAPES.

(3) Pelajar Berkenaan menggunakan ’shuttle bas’ yang disediakan oleh Universiti untuk bergerak ke kawasan lain dalam kampus Universiti.

2. Peraturan ini berkuatkuasa mulai jam 6.00 pagi, hari Isnin 20 Julai 2009.DENDA3.
Pelajar Berkenaan yang mengingkari peraturan di atas akan dikenakan tindakan berikut:- (1) Kereta dikunci (clamp).
(2) Denda RM100.00 bagi kesalahan pertama (termasuk wang cagaran). Wang cagaran RM50.00 akan dikembalikan apabila kereta dikeluarkan dari kawasan larangan.
(3) Denda RM150.00 bagi kesalahan kedua (termasuk wang cagaran) dan peningkatan denda RM50.00 bagi tiap kesalahan seterusnya.PENGECUALIAN

4. Pelajar Berkenaan dibenarkan membawa motorsikal ke dalam kampus.

5. Pelajar Tahun 4, Tahun 5 dan Pasca Ijazah dibenarkan membawa kereta ke dalam kampus.Sebarang pertanyaan mengenai peraturan di atas, sila berhubung dengan En. Wahyu (79673341), En. Sharif (79673552) dan En. Apandi (79673400).

ARAHAN
NAIB CANSELOR
UNIVERSITI MALAYA
[17hb Julai 2009

Thursday 16 July 2009

Program Penempatan Pekerjaan Pejabat Tenaga Kerja Bangi

Sebuah Karnival Kerjaya akan dianjurkan oleh Pejabat Buruh Negeri Selangor seperti berikut:

Tarikh :25.07.2009
Masa : 9.00 pagi - 5.00 petang
Tempat : Dewan Bandaran Kajang, Jalan Kelab, 43000 Kajang, Selangor

Karnival ini terbuka kepada semua pelajar tahun akhir IPTA/IPTS. Jika ada kelapangan anda boleh menyertai karnival ini kerana memberikan banyak peluang pekerjaan kepada kita.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Pegawai Jabatan Buruh Selangor, Cik Shida di talian 0196555443.

Pengeluaran Pelekat Kenderaan Pelajar Sesi 2009/2010

Bermula 16 Julai 2009 (Khamis), Pejabat Keselamatan akan mengeluarkan Pelekat Kenderaan Pelajar Sesi 2009/2010. Pelajar-pelajar boleh memohon pelekat kenderaan tersebut dengan menyertakan dokumen-dokumen yang diperlukan dan mengikut kategori seperti dibawah,

i. Pelajar Tahun 4 dan keatas serta pelajar Pascasiswazah dibenarkan memohon pelekat kereta. Pelajar PASUM, Tahun 1, 2 dan 3 tidak dibenarkan memohon dan membawa kereta kedalam kampus.

ii. Pelajar Tahun 1, 2, 3 dan seterusnya dibenarkan memohon pelekat dan membawa motosikal kedalam kampus. Bagaimanapun pelajar PASUM tidak dibenarkan memohon pelekat dan membawa motosikal.

Pelajar-pelajar dinasihatkan memohon pelekat kenderaan pada kadar segera. Operasi pemeriksaan pelekat kenderaan akan diadakan pada hari Isnin 20 Julai 2009.

Sebarang kemuskilan dan pertanyaan, sila hubungi Pejabat Keselamatan ditalian 03-79673272.

LARANGAN MEMBAWA KERETA KE DALAM KAMPUS UNIVERSITI MALAYA

Assalamualaikum / Salam Sejahtera.
Kepada
Semua Pelajar,
Universiti Malaya.
LARANGAN MEMBAWA KERETA KE DALAM KAMPUS UNIVERSITI MALAYA
Merujuk kepada perkara di atas, dimaklumkan bahawa semua pelajar ASASI, TAHUN 1, TAHUN 2 dan TAHUN 3 adalah tidak dibenarkan membawa kereta ke dalam kampus Universiti Malaya berkuatkuasa mulai jam 6.00 pagi, Isnin, 20 Julai 2009.
Walau bagaimanapun, pelajar dibenarkan membawa motorsikal ke dalam kampus.Pelajar dikehendaki menggunakan perkhidmatan bas ulang-alik yang disediakan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar sebagai pengangkutan dalam kampus.
Pelajar TAHUN EMPAT dan ke atas dikecualikan daripada larangan ini.
Sila dapatkan pelekat kenderaan anda dari Pejabat Keselamatan sebelum 20 Julai 2009.
Sekian dimaklumkan. Terima kasih.
Pejabat Naib Canselor
Universiti Malaya
*****************************************************************************************15
Dear All Students,
University of Malaya
PROHIBITION OF USING CARS IN THE CAMPUS
Please note that all students of the foundation of science program, YEAR I, YEAR 2 and YEAR 3 are prohibited from taking in their cars into the campus area starting from 6.00 a.m., Monday, 20 July 2009.
However, motorcycles may be taken into the campus.Students may use the shuttle bus that has been provided by the Students Affairs Department as transportation within the campus.
Only final year students (YEAR 4) are allowed to bring in cars into the campus.
Please get your car stickers from the Security Office before 20 July 2009.
Thank you.
**********************************
Office of the Vice Chancellor
University of Malaya
50603 Kuala Lumpur
MALAYSIA

Friday 10 July 2009

Kisah ADUN Yang Tak Mengenang Budi

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Persoalan yang timbul di sini adalah, bagaimana perasaan pengundi terutama yang berbangsa Melayu di kawasan Kota Alam Shah apabila ADUN mereka, M Monoharan mengeluarkan kenyataan agar semua kaum bukan Melayu diberi status Bumiputera.

Saya hairan, bagaimana orang yang langsung tiada kredebiliti sebegini dan tidak mempunyai visi untuk rakyat melainkan untuk diri sendiri serta menjurus kepada perkauman dan perpecahan antara rakyat boleh dipilih.

Mana letaknya pertimbangan para pengundi apabila anda tergamak memangkah orang yang sungguh tidak bijak dan tiada penderian langsung malah hadir sebagai onar menjadi gunting dalam lipatan.

Monaharan yang dahulunya dikatakan ingin meletakkan jawatan sebagai ADUN kerana dikatakan tidak mampu menjalankan tugasnya akibat meringkuk di dalam tahanan ISA telah diberi peluang oleh kerajaan untuk berbakti apabila dilepaskan daripada tahanan ISA 2 bulan yang lalu.

Akan tetapi, bak kacang lupakan kulit, Monaharan bukan keluar untuk berbakti bagi kawasan beliau tetapi menimbulkan lebih banyak huru-hara terutamanya bersama rakan-rakan HINDRAF beliau.

Ini adalah hakikat dan akibat apa yang terjadi apabila kita mengundi mengikut hati semata-mata yang senang ditawan kata-kata manis dan fitnah orang asing dan akhirnya orang tersebut cuba memakan kita semula sehingga boleh menimbulkan ketegangan antara kaum.

Negara Malaysia yang selama ini makmur dan damai berteraskan kontrak soasial dan berpaksikan Perlembagaan Negara tiba-tiba riuh tatkala tuntutan tidak munasabah Monaharan yang kita tahu bertopengkan HINDRAF, suatu pertubuhan yang diharamkan oleh kerajaan Malaysia.

Sedih dan marah, itu adalah perasaan saya apabila orang yang sepatutnya menjadi pemimpin bagi semua dan penyatu semua bangsa cuba memecahbelahkan rakyat dan menimbulkan huru hara dikalangan masyarakat Malaysia.

Bukan setakat orang melayu malah ramai di kalangan orang bukan Melayu turut sama meluahkan rasa hina terhadap kenyataan Monaharan tersebut yang bukan sahaja menuntut hak bumiputera malah menghina adat Melayu.

Saya memetik kata-kata Monaharan, "Saya tidak akan pakai songkok atau baju Melayu dalam apa juga acara, termasuk majlis rasmi yang dianjurkan kerajaan negeri dan dihadiri Sultan Selangor," (Sumber B.Harian Online, 10/7/09)

Saya sekadar ingin membuka mata rakyat agar rakyat tidak lagi ditipu ataupun menelan fitnah mereka ini bulat bulat tanpa mengambil kira sebarang aspek ataupun kenyataan daripada pihak yang lain.

Sebagai mahasiswa, kami sungguh marah dan memohon agar tindakan sekeras-kerasnya dijatuhkan ke atas Monaharan yang jelas tidak sepatutnya menjadi warganegara Malaysia kerana gagal menerap nilai murni Rukun Negara serta tidak memahami akan Perlembagaan Negara.

Kita tidak mahu negara kita yang aman dan unik dengan rakyat berbilang kaum ini bergoncang akibat seorang pengkhianat negara seperti Monaharan ini berkeliaran dan bebas bercakap apa sahaja.

Kami menuntut agar pihak berkuasa meneliti kes beliau dan jika benar beliau bersalah, seharusnya beliau diletakkan semula ke tempat asal beliau sebelum ini.

Negara tidak memerlukan pemimpin yang mengikut emosi dan hanya berkepentingan satu hala sahaja kerana jika kita ingin maju, kita perlu maju bersama-sama dan bukan menindas mana-mana pihak.

Wednesday 8 July 2009

Mansuh PPSMI: Terdesak atau Strategi?

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Isu PPSMI sememangnya isu yang tidak lekang dibibir masyarakat terutamanya bagi pejuang dan pecinta bahasa Malaysia yang berjuang habis-habisan bagi meminta agar kerajaan memansuhkan dasar ini.

Usaha ini dilihat bakal membuahkan hasilnya apabila kerajaan dalam perancangan untuk memansuhkan dasar ini untuk digantikan dengan sebuah lagi dasar baru yang dijangka akan bermula pada tahun 2012.

Persoalannya yang timbul di sini, adakah benar hal ini boleh memuaskan hati semua pihak terutamanya pihak yang lebih berorientasikan akademik seperti pensyarah mahupun kehendak ibu bapa itu sendiri.

Umum tahu yang bahasa Inggeris merupakan satu bahasa linggua franca pada masa kini dan ia digunakan meluas di seluruh dunia bukan sekadar bahasa penghubung malah ia juga bahasa ilmu di seluruh dunia.

Segelintir masyarakat hanya menumpukan perhatian pada Jepun, Korea mahupun Perancis yang menggunakan bahasa ibunda sendiri bagi memperolehi ilmu dan mengimplementasikan perkara tersebut di negara mereka.


Akan tetapi, adakah mereka terpikir di maha lebih 100 buah negara lain menggunakan bahasa Inggeris untuk tujuan tersebut malah negara-negara seperti Jepun dan Korea tidak terkecuali dalam penggunaan bahasa ini terutamannya dalam bidang perniagaan dan sosial luar.

Berbalik semula kepada isu ini, saya sama sekali tidak menyokong agar PPSMI dimansuhkan secara 100% kerana ini mungkin boleh menimbulkan kekeliruan seperti mana yang berlaku pada permulaan tercetusnya idea PPSMI untuk dijalankan oleh kerajaan kira-kira 7 tahun yang lalu.

Saya juga berasa tindakan ini mungkin di atas sebab faktor-faktor kerajaan yang cuba mengambil hati rakyat semula akibat kemerosotan sokongan pada pilihan raya lalu.

Jika ini adalah sebabnya tanpa rasional yang kukuh, saya berasa sangat dukacita kerana sekali lagi sistem pelajaran kita dipolitikkan oleh orang-orang yang tertentu bagi membawa keuntungan bagi pihak masing-masing.

Apa gunanya menubuhkan suruhanjaya menilai PPSMI suatu ketika dahulu jika keputusan untuk memansuhkan terus ini bakal di ambil oleh kerajaan waktu ini.

Tidak kira jika Kementerian Pelajaran mempunyai strategi mahupun cara lain bagi memartabatkan bahasa Melayu tanpa mengabaikan bahasa Inggeris, saya tetap berpandangan cara ini bukan penyelesaian yang terbaik yang boleh diambil.

Saya berharap dalam pembentangan dasar baru di kabinet oleh Menteri Pelajaran yang juga Timbalan perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin akan mengambil berat akan kepentingan bahasa Inggeris ini sejajar wawasan negara menjadi negara maju menjelang tahun 2020.

Selain itu, saya juga berharap agar bahasa Malaysia akan terus digunakan pakai dalam apa jua bidang lain tanpa mengira latar belakang pendidikan mahupun kedudukan sekolah itu sama ada di bandar mahupun luar bandar.

Menurut Tak Sri Muhyiddin, antara langkah-langkah yang telah diatur oleh kerajaan bagi menggantikan PPSMI adalah menambah bilangan guru dan waktu pelajaran bahasa itu di sekolah, memperkenalkan subjek baru serta merapatkan jurang perbezaan pencapaian murid luar bandar dan dalam bandar.

Kami selaku mahasiswa negara senantiasa menyokong apa jua dasar kerajaan yang dilihat mampu dan boleh memberi manfaat pada negara terutamanya daripada sdut pelajaran negara.

Akan tetapi, kami juga berhak menyuarakan pendapat kami tidak kira yang menyokong ataupun yang membangkang dasar ini agar mempunyai dua kumpulan yang boleh dikira sebagai 'check and balance’ kepada kerajaan untuk memudahkan keputusan mengenainya dibuat.

Oleh itu, saya mengharapkan agar dasar baru yang bakal diperkenalkan bagi menggantikan PPSMI akan terus memartabatkan Bahasa Kebangsaan Malaysia tetapi dalam masa yang sama memberikan penumpuan pada bahasa Inggeris supaya anak-anak bangsa kita tidak akan ketinggalan berbanding dunia luar.

Sesungguhnya, pendapat ikhlas saya ini timbul bukan kerana saya ingin menjadi pengkhianat pada bangsa saya dengan mengagungkan bahasa asing tetapi disebabkan saya sedar melalui pengalaman saya bertapa pentingnya bahasa Inggeris dan perlunya masyarakat Malaysia menguasainya agar kita setaraf negara maju di luar sana.

Monday 6 July 2009

AMANAT PRESIDEN KOLEJ KEDIAMAN PERTAMA SEMPENA PERMULAAN SESI PENGAJIAN BARU SESI 09/10

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Ilahi atas limpah kurnia dan nikmatNya yang membolehkan kita terus bernafas bagi menyambung kehidupan kita untuk terus mengabdikan diri padaNya. Sesungguhnya tanpa izinNya kita tidak berupaya terus hidup sehingga ke saat ini.

Tanggal 6 Julai 2009 menandakan permulaan detik satu perjuangan baru bagi hampir semua mahasiswa nasional kerana ia menjadi detik di mana bermulanya sesi pengajian baru bagi sesi 2009/2010.

Sama seperti setiap permulaan baru, semua orang mula menanamkan azam baru untuk belajar bersungguh-sungguh atau sekurang-kurangnya memperbaiki diri kita selangkah lebih baik daripada semester yang lepas.

Saya yakin dan percaya dengan azam yang kita buat ini, kita mampu mengorak langkah dan membawa diri kita ke satu aras yang lebih baik daripada sebelum ini bagi membolehkan kita lebih bersemangat dan bersungguh-sungguh dalam proses mengejar ilmu di varsiti tercinta ini.

Buat adik-adik yang baru sahaja menjejakkan kaki ke Universiti Malaya (UM), saya sekali lagi ingin mengucapkan selamat datang dan selamat menjalani pengajian anda di UM.

Semoga anda akan memperolehi ilmu yang secukupnya bagi membolehkan anda menjadi seorang yang sangat berguna kelak kepada agama bangsa dan negara.

Buat rakan-rakan senior, saya turut mendoakan agar anda akan bertemu kejayaan bukan sahaja dalam bidang akademik malah apa-apa jua aktiviti dan program yang bakal anda jalankan kelak di kolej mahupun di fakulti kelak.

Bermulanya sesi baru bermakna pimpinan Jawatankuasa Tindakan Kolej (JTK) sesi 08/09 bakal melabuh sayap kami tidak lama lagi selepas tertubuhnya JTK yang baru di bawah seorang pimpinan baru kelak.

Sepanjang sesi 08/09, saya amat berpuas hati dengan perjalanan projek serta aktiviti di kolej dengan bantuan rakan-rakan lain seperti Pengerusi Jawatankuasa Perkembangan (JKP), Wakil Tingkat, para pengarah projek dan lain-lain ahli yang turut sama memberikan kerjasama dalam menjayakan JTK sesi lepas.

Saya mendoakan JTK yang bakal ditubuhkan ini akan meneruskan kesinambungan pimpinan sebelum ini yang menitikberakan aspirasi mahasiswa terutamanya dari segi ilmu, agama, kebajikan dan perpaduan antara penghuni seterusnya sentiasa bergerak menangani sebarang isu yang bakal timbul.

Dengan itu, saya ingin menyeru seluruh penghuni kolej agar terus memberikan sokongan dan kerjasama yang baik kepada bakal pimpinan JTK yang akan dibentuk tidak lama lagi bagi melicinkan lagi proses pimpinan dan melancarkan perjalanan projek serta aktiviti di kolej kita.

Di kesempatan ini, saya ingin menasihati rakan-rakan agar menjadi seorang pelajar yang serba boleh dan bukan hanya sekadar menumpukan kepada dunia akademik semata-mata dan tidak menghiraukan ilmu untuk membina sahsiah diri kita.

Berdasarkan pengalaman saya semasa menjalani latihan indistri pada semester yang lepas, perjalanan kerja yang saya lakukan banyak dibantu dengan pengalaman saya dalam berorganisasi, berkomunikasi dan sedikit bantuan teknikal yang dipelajari di fakulti.

Ini menunjukkan, pelajaran semata-mata tidak boleh memajukan diri kita tetapi kita memerlukan pelbagai pengalaman agar kita dapat menangani sesuatu situasi dengan berhemah dan bijak.

Oleh itu, suka saya memberitahu anda terutamanya adik junior yang ASTAR saban tahun banyak menganjurkan projek-projek yang objektif utamanya memberikan anda pengalaman terutamanya dalam berorganisasi dan memantapkan nilai tambah dalam diri anda masing-masing.

Ilmu yang bakal anda dapat dengan menyertai projek-projek kolej ini mungkin menjadi ilmu paling berguna bagi anda kerana ianya merupakan ilmu yang sukar bagi anda dapat di mana-mana tempat lain termasuk di dewan-dewan kuliah.

Dengan ini, saya ingin menyeru seluruh warga ASTAR agar terus menyokong dan menyertai projek-projek yang bakal dianjurkan oleh pimpinan JTK dan JKP agar kolej kita sentiasa meriah dan menyemai semangat perpaduan terutamanya sesama penghuni kolej kediaman kita yang tercinta ini.

Akhir kalam dari saya, saya ingin memohon maaf atas setiap kesalahan yang mungkin saya lakukan secara tidak sengaja mahupun sengaja kerana saya tetap insan yang hina ciptaan Allah S.W.T yang Maha Agung.Mari kita bersama-sama berganding bahu dan bergabung usaha bagi memartabatkan lagi ASTAR bukan sahaja di UM malah menjadi satu institusi yang terbaik di dalam negara kita.

Jika anda mempunyai sebarang aduan atau pun cadangan berkenaan kolej, anda boleh menghubungi saya di talian 017-4611370 atau melalui email mrapeace2004@yahoo.com. Selain itu, anda juga boleh menjadi ahli dalam laman sosial ’Facebook’ iaitu Group ’ASTAR UM’. Insyaalah segala maklumat terkini mengenai kolej akan disalurkan kepada anda melalui Group ini.

ASTAR is FIRST!
UM is ONE!!!

Muhammad Hafizzuddin Bin Baharin
Presiden

Jawatankuasa Tindakan Kolej
Sesi 2008/2009
Kolej Kediaman Pertama
Universiti Malaya

Sunday 5 July 2009

Tinta Buat Adik Junior sesi 09/10

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Berlabuh jua tirai Minggu Haluansiswa (MHS) sesi 2009/2010 pada hari Sabtu yang lepas bersamaan 4 Julai 2009.

Saya merasakan diri saya amat bertuah kerana mendapat kesempatan menjadi pembantu mahasiswa (PM) bagi kolej kediaman Pertama untuk kali ketiga berturut-turut.

Ini kerana MHS kali ini dijalankan sungguh berbeza jika dibandingkan dengan MHS pada sesi yang lalu akibat terkena tempias isu wabak Influenza A (H1N1).

Walau bagaimanapun, isu ini tidak mematahkan langsung semangat kami PM kolej-kolej kediaman kerana apa yang penting bagi kami adalah untuk membimbing dan membentuk adik-adik junior kami mengikut acuan universiti.

Rata-rata kekecewaan yang kami rasakan bertukar menjadi semangat yang semakin membara serta membuatkan kami berfikir dan merancang lebih teliti dan lebih banyak aktiviti bersama agar ruang masa sepanjang minggu ini terisi sepenuhnya.

Dengan itu, maka hasilnya telahpun kami terjemahkan dalam setiap LDK serta pelbagai lagi aktiviti seperti kesenian, sukan dan explorace sepanjang minggu tersebut.

Ini juga saya anggapkan sebagai MHS yang paling mencabar walaupun ia merupakan MHS yang paling mendekatkan diri kami selaku PM bersama-sama ’freshie’ akibat masa yang banyak di kolej.

Secara jujur, bila menatap pertama kali senarai bakal penghuni kolej, saya merasakan kolej kita mungkin tidak semeriah dulu akibat perkara yang tertentu.

Akan tetapi, setelah seminggu saya bersama-sama adik-adik baru kita, saya dapat rasakan aura dan semangat mereka terhadap kolej sebenarnya tebal dan boleh menjadi lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.

Kemasukkan lebih daripada campuran 100 orang pelajar perubatan dan pergigian nampak tidak mendatangkan apa-apa kesan sekalipun dan saya berharap semangat adik-adik akan terus berkekalan hingga anda meninggalkan kolej tercinta ini.

Saya terharu dan gembira pada masa yang sama kerana penglibatan yang mungkin menjadi kali terakhir saya dalam MHS kali ini telah membuahkan hasil yang sangat baik dengan adik-adik yang sungguh baik dan bersemangat serta dibantu rakan PM yang sungguh berdedikasi.

PM telah memainkan peranan yang sangat penting dan berjaya menjayakan MHS dengan sangat baik walaupun tenaga PM telah dikurangkan menjadi 28 orang termasuk 3 PM khas, tetap bebanan kerja dua kali ganda itu dapat dirasakan.

Adik-adik yang saya sayangi, anda sudah bergelar mahasiswa dan anda sudah mampu berfikir lebih jauh dalam keadaan rasional dengan keadaan sekeliling dan isu-isu semasa dalam mahupun luar kampus.

Seperti yang pernah saya cakapkan dalam beberapa siri ucapan dan tazkirah sebelum ini, kita datang ke universiti dengan satu objektif iaitu mendalami pengajian dalam bidang kita tertentu sehingga mendapat segulung ijazah.

Selain itu, anda perlu mendapatkan peluang berlajar mengenai nilai tambah yang perlu ada dalam diri seseorang mahasiswa agar anda dapat menjadi seorang yang ’laris’ di pasaran pekerjaan kelak.

Buat mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke asrama, anda sekarang perlu hidup berdikari tanpa mengharapkan bantuan ibu dan bapa anda semata-mata.

Kehidupan di universiti adalah satu kehidupan yang mirip dan sebagai satu platform bagi mengajar kita erti dan cara kehidupan kita di alam pekerjaan kelak.

Saya meminta agar adik-adik turut sama menyertai pelbagai aktiviti serta projek yang akan dianjurkan oleh ASTAR ini sekaligus menjadi seorang penghuni yang aktif bukan sahaja di bidang pelajaran malah di bidang sahsiah diri juga.

Elakkan diri anda menjadi penghuni diam sahaja di kolej tanpa menghiraukan sebarang aktiviti ataupun menjadi seorang tidak mengambil tahu langsung apa yang sedang berjalan di kolej kita ini.

ASTAR sebelum ini sudah berjaya menempa nama bukan sahaja dalam bidang kesenian dan bidang sukan malah ASTAR juga telah melahirkan ramai pemimpin mahasiswa yang tidak kurang hebat dalam membela nasib penghuninya.

Oleh itu, saya mengharapkan daripada junior yang baru ini akan terus menyambung kesinambungan kejayaan demi kejayaan yang telah ditinggalkan oleh senior-senior anda sebelum ini.

Teruskan berusaha agar cita-cita anda menjadi seorang yang terpelajar dan berjaya tercapai dengan ASTAR tetap di hati anda masing-masing.

Kekalkan perpaduan sesama kita yang hidup aman harmoni sebumbung dan jadikan rakan-rakan kita sebagai satu keluarga besar tanpa mengira latar belakang, kaum mahupun umur.

Akhir kata buat adik-adik juniorku, teruskan perjuangan anda yang baru sahaja bermula ini dan berhati-hati agar anda tidak terlibat dengan aktiviti yang melampau semasa menjadi mahasiswa dan sentiasa ingat sebagai mahasiswa, anda harus menjadi aspirasi rakyat agar menjadi contoh dan ikutan mereka di luar sana.

ASTAR is FIRST!
UM is ONE!!!