Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Thursday 29 April 2010

Reputasi PDRM Tercabar

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Baru-baru ini negara digemparkan apabila institusi keamanan negara, Polis Di Raja Malaysia (PDRM) telah dilemparkan pelbagai jenis tohmahan berikutan seorang pegawai polis yang menembak seorang remaja berumur 15 tahun bernama Aminulrasyid Amzah di Shah Alam, Selangor.

Perkara serius ini begitu cepat tersebar sehingga mendapat perhatian ahli Parlimen seterusnya akan membincangkan hal ini di Parlimen.

Walau bagaimanapun, isu ini tampak seperti suatu kesempatan yang diambil satu pihak untuk terus memburukkan nama PDRM seterusnya mendapat nama sebagai pejuang kebajikan rakyat.

Pada pendapat saya, hal ini perlu diteliti dengan baik tanpa ada sebarang desakan terutamanya daripada orang yang berkepentingan politik.

PDRM perlu menyelesaikan kes ini dengan telus agar rakyat dapat menerima dan mengetahui perkara sebenarnya berlaku tanpa ada sebarang ragu-ragu.

Mana-mana pihak juga disarankan untuk tidak memburukkan antara satu sama lain, saman menyaman serta tuduh menuduh kerana ini hanya akan membantutkan siasatan pihak berkuasa.

Kita semua mahukan keadilan buat adik kecil ini, sama ada benar dia ada terjebak dengan jenayah mahupun ianya adalah kesalahan pegawai itu sendiri yang melepaskan tembakan tanpa usul periksa.

Saya juga menyarankan agar PDRM melatih pegawai mereka terutamanya yang mempunyai lesen menembak untuk melepaskan tembakan pada organ badan yang tidak kritikal, cukup untuk mencederakan penjenayah itu.

Ini yang dilakukan oleh polis-polis ternama dunia kerana tujuan tembakan itu dilepaskan adalah untuk menundukkan penjenayah supaya kita dapat menangkapnya dan di bawa ke muka pengadilan.

Kecuali kes tertentu di mana penjenayah itu gagal dikawal, barulah pegawai tersebut boleh membuat pilihan untuk melepaskan tembakan itu terus pada organ kritikal penjenayah.

Tetapi logiknya seorang budak berumur 15 tahun sudah tentu bukan sukar untuk dikawal oleh pihak polis yang semestinya terlatih ini.

Jika iya pun budak itu ‘berbahaya’, banyak pilihan lain yang boleh dibuat selain menembak terus ke organ kritikal budak tersebut.

Jelas kes ini cenderung kepada kesalahan pegawai tersebut tetapi kita masih tidak dapat memutuskan apa-apa sehingga kes ini selesai disiasat.

Buat rakyat di luar sana, kes ini tidak mencerminkan keseluruhan anggota PDRM adalah kejam ataupun tidak berperikemanusiaan seperti yang diuar-uarkan di media alternatif.

Sebaliknya, ini adalah kesalahan individu tersebut dan dia sahaja yang bertanggungjawab atas kes ini.

Tidakkah kita bersyukur kerana adanya PDRM selama ini, negara terkawal dan aman jika dibandingkan dengan negara-negara jiran lain yang kucar-kacir serta polis negara tersebut gagal menjalankan tanggungjawab mereka sehingga menggunakan khidmat tentera.

Buat keluarga Allahyarham Aminulrasyid Amzah, takziah saya ucapkan dan harap anda bersabar dengan ujian daripada Allah S.W.T ini.

Insyaalah kehilangan anak bongsu ini adalah satu hikmah, dengan kuasa Allah Insyaalah akan ada rezeki lain untuk mengganti pemergian Allahyarham.

Buat pihak berkuasa, siasat perkara ini dengan telus bagi menjaga reputasi dan nama baik PDRM kerana ini satu-satunya institusi yang memegang nama Di Raja.

Akhir kata, moga keadilan akan tertegak dan yang bersalah akan mendapat pembalasan yang setimpal.

Monday 26 April 2010

Menang Tapi Tak Seimbang

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Perihal tajuk artikel ini pada waktu dan ketika ini mesti membuat orang terfikir-fikir ia pasti berkenaan kemenangan Barisan Nasional (BN) semalam di pilihan raya kecil (prk) Hulu Selangor.

Tetapi sebenarnya apa yang ingin saya coretkan adalah berkenaan perihal umum di dalam masyarakat kita di Malaysia merujuk kepada beberapa topik panas yang tersiar di dada akhbar baru-baru ini.

Pertamanya, dari aspek politik tahniah dan syabas buat ahli Parlimen Hulu Selangor yang baru, P Kamalanathan atas kemenangan beliau di dalam prk semalam.

Akan tetapi, ini bukan satu isyarat buat BN untuk berseronok kerana masih banyak cabaran yang perlu digalas dan apa yang saya saya lihat sebagai tidak seimbang adalah pecahan undi yang mereka perolehi.

Keputusan semalam jelas menggambarkan tidak semua kaum majoriti di Malaysia ini yang menyokong kerajaan BN dan satu tindakan drastik perlu di ambil pimpinan parti kaum terbabit untuk meraih semula kepercayaan kaum masing-masing.

Kedua dari aspek kekeluargaan adalah berkenaan beberapa kes percubaan membunuh diri oleh kanak-kanak seperti yang dilaporkan oleh beberapa berita utama negara.

Terbaru kes di Bachok melibatkan seorang murid tahun lima cuba membunuh diri akibat tidak tahan tekanan diejek rakan-rakan dan kes yang sama juga dicatatkan di Perlis beberapa hari yang lalu.

Mujur dua nyawa kanak-kanak ini berjaya diselamatkan oleh pihak yang masih prihatin.

Kanak-kanak memamg nakal dan perkara seperti buli, mengejek dan masalah sosial yang lain seringkali berlaku di sekolah-sekolah.

Persoalannya adalah, di mana fungsi ibu bapa sehingga anak-anak ini seperti tiada tempat bergantung dan akhirnya mengambil keputusan menamatkan nyawa sendiri bagi mengelakkan masalah ini dari berulang?

Suatu kemenangan buat ibu bapa yang berjaya melahirkan dan membesarkan anak-anak mereka tetapi nyata tidak seimbang bila datang kepada pembahagian kasih sayang dan juga tanggungjawab untuk mencari nafkah.

Ibu bapa sebenarnya perlu memainkan peranan yang lebih besar bukan sekadar punca rezeki tetapi juga tempat luahan anak-anak dan pemberi dorongan dan semangat buat anak-anak mereka untuk menempuh dugaan hidup untuk terus berjaya.

Selain itu, isu pembuangan anak yang berleluasa juga boleh dikaitkan dengan keruntuhan institusi kekeluargaan ini dan tidak dinafikan juga isu moral remaja zaman sekarang.

Ibu bapa perlu memainkan lebih banyak peranan dalam mempengaruhi anak-anak mereka ke arah kebaikan, memberikan pengajaran moral dan agama yang secukupnya serta mencurahkan sepenuh kasih sayang agar anak-anak mereka senang berbincang apa jua masalah yang dihadapi.

Ketiga dari aspek sukan khususnya buat skuad badminton negara yang bakal menempuh kejohanan Piala Thomas dan Piala Uber pada 9-16 Mei 2010

Melihat barisan pemain sudah jelas memberi kegusaran terutamanya peminat-peminat badminton tanah air di mana kita hanya mampu mengharapkan kepada Datuk Lee Chong Wei selaku pemain no. 1 dunia.

Akan tetapi harus diingat kejohanan ini adalah kejohanan berpasukan dan bukan persendirian, bermakna mengharapkan seorang pemain sahaja tidak cukup jika 2 perseorangan dan 2 beregu yang lain tidak semantap yang diperlukan.

Malaysia boleh dikatakan ‘menang’ dalam penyediaan kemudahan-kemudahan sukan jika dibandingkan dengan negara-negara lain tetapi nyata keputusan sukan antarabangsa masih tidak seimbang dengan apa yang telah negara kita laburkan.

Yang terahir buat masa ini adalah dari aspek kehidupan sebagai mahasiswa sendiri di mana kita seringkali lalai dan leka dalam melaksanakan tanggungjawab kita sepenuhnya bukan sahaja pada diri sendiri malah juga kepada masyarakat.

Mereka yang telah berjaya memasuki universiti tidak kira awam mahupun swasta saya kategorikan sebagai sudah menang dalam usaha mencari ilmu kerana harus diingat masih ramai rakan sebaya kita yang tidak bernasib baik seperti kita di luar sana.

Waktu peperiksaan dilihat sebagai waktu di mana mahasiswa berjuang sepenuhnya untuk mendapat keputusan cemerlang dan akhirnya menjadi insan yang berguna di suatu masa kelak.

Hasrat murni ini sememangnya tidak salah, tetapi apa yang saya tidak seimbang adalah ilmu ini hanya diaplikasikan semata-mata untuk peperiksaan sahaja dan bukan untuk kemajuan diri dan masyarakat sepenuhnya.

Mahasiswa perlu lebih terbuka di mana hidup kita di universiti ini untuk menimba ilmu bagi membantu menaikkan taraf hidup bukan saja diri sendiri malah taraf hidup rakyat dalam erti kata lain membawa kemajuan kepada negara.

Dengan ini, kita akan lebih terbuka dalam pencarian ilmu bukan sahaja dalam bidang pengkhususan masing-masing tetapi juga dalam bidang-bidang yang lain untuk menambahkan pengalaman dan kemahiran.

Oleh itu, persepsi yang salah iaitu belajar untuk peperiksaan ini harus dibetulkan selagi masih sempat untuk kita menimba lebih banyak ilmu di universiti ini sebelum kita melangkah setapak lebih jauh untuk hidup sebagai seorang penjawat awam mahupun swatsa kelak.

Nyata kemenangan mutlak itu sebenarnya amat jauh untuk seseorang tidak kira dia itu pemimpin no. 1 dunia mahupun kita sebagai pelajar di universiti.

Akan tetapi, selaku insan biasa yang kerdil di sisi Allah apa yang mampu kita buat adalah teruskan berusaha dalam mencari erti kata kemenangan yang sebenar tanpa meminggirkan sebarang aspek agar kemenangan yang kita perolehi itu benar-benar seimbang dan setimpal dengan usaha yang kita laburkan.

Akhir kata, renungkan kata-kata ini. Dalam pendakian ke puncak bukit, apa yang penting bukan selaju mana kita boleh mendaki bukit itu atau apa ganjaran yang menanti kita setelah berjaya mendaki bukit itu, tetapi yang penting adalah cara dan niat kita mendaki bukit itu.

Wednesday 21 April 2010

Pencalonan ANUGERAH PELAJARAN DIRAJA & HADIAH ALUMNI UNIVERSITY OF MALAYA (SINGAPORE)

1)ANUGERAH PELAJARAN DIRAJA

Majlis Raja-Raja Malaysia telah berkenan untuk memberi Anugerah Pelajaran DiRaja kepada pelajar terbaik keseluruhan di Universiti mulai Sesi 1988/1989. Anugerah ini diberi untuk mendorong para graduan untuk meningkatkan prestasi pembelajaran selaras dengan hasrat Majlis Raja-Raja Malaysia yang mementingkan mutu pembelajaran di mana ianya memerlukan persaingan sengit dalam era globalisasi yang mencabar kini.
Anugerah Pelajaran DiRaja merupakan satu pengiktirafan yang tertinggi yang dianugerahkan kepada seseorang graduan yang mana mutu dan hasil pencapaian akademiknya adalah yang terbaik berdasarkan kepada kriteria-kriteria yang dinyatakan di bawah.

BILANGAN HADIAH
Dua (2) anugerah disediakan untuk seorang pelajar Bumiputera dan seorang pelajar bukan Bumiputera

HADIAH
Setiap penerima akan menerima:

a) Wang Tunai RM5,000
b) Pingat Emas bernilai RM1,000
c) Sijil Penghargaan

KRITERIA PEMOHON
Pemohon hendaklah memenuhi kriteria berikut untuk hadiah kecemerlangan Universiti ini:

(1) Keputusan peperiksaan keseluruhan:
(a) mendapat keputusan Lulus dengan Kepujian(dengan Cemerlang) dengan PNGK 3.7 dan ke atas;
(b) tidak pernah mendapat gred F dan mengulang mana-mana kursus sepanjang tempoh pengajiannya; dan
(c) menamatkan pengajian dalam tempoh minimum yang ditetapkan bagi program pengajiannya, melainkan pelajar diluluskan penarikan diri dari mana-mana semester oleh pihak Universiti.

(2) Aktiviti ko-kurikulum:
Terlibat secara aktif dalam aktiviti persatuan, sukan/kesenian, kemasyarakatan/sukarelawan/luar Universiti semasa menjadi pelajar di Universiti Malaya.

(3) Hadiah-hadiah yang diperolehi:
Mendapat hadiah-hadiah kecemerlangan, hasil dari pencapaian akademik dan aktiviti ko-kurikulum.

(4) Berkelakuan baik:
Tidak pernah dikenakan sebarang hukuman tindakan tatatertib.

PEMBERATAN PERTIMBANGAN

(1) Akademik - 60%
(2) Ko-Kurikulum – 40%

CARA MEMOHON
Pemohon hendaklah menggunakan borang Anugerah Pelajaran DiRaja. Borang yang lengkap hendaklah dikemukakan ke alamat berikut:

Ketua Penolong Pendaftar Kanan
Seksyen Peperiksaan
Bangunan Peperiksaan
Universiti Malaya
50603 Kuala Lumpur
(u.p: Nur Bahiyah Sujana)

Untuk muat turun borang, layari umisisweb

TARIKH TUTUP PERMOHONAN: 11 JUN 2010

TEMUDUGA
Pelajar yang disenaraipendek bagi hadiah ini akan dipanggil untuk ditemuduga oleh Panel Pemilih.

PENGANUGERAHAN
Penganugerahan hadiah ini kepada penerima akan diadakan pada sesi pertama Istiadat Konvokesyen Sesi 2009/2010.


2) HADIAH ALUMNI UNIVERSITY OF MALAYA (SINGAPORE)

Jawatankuasa Pengelola Perayaan Penubuhan University of Malaya (Singapore) ke 50 telah menyumbang dana(seed money) sejumlah RM110,000.00 kepada Universiti Malaya bagi membolehkan Universiti memberi hadiah setiap tahun kepada seorang pelajar cemerlang. Hadiah yang berupa wang tunai berjumlah tidak kurang dari RM3000 dan sijil penghargaan.

BILANGAN HADIAH

Satu (1) hadiah disediakan kepada seorang pelajar cemerlang tahun akhir pada setiap sesi akademik.

HADIAH

Penerima akan menerima:

a)Wang Tunai RM3,000.00
b)Sijil Penghargaan

KRITERIA PEMOHON

(1) Pelajar yang dianugerahkan hadiah ini hendaklah:

a) Memperolehi Ijazah Sarjana Muda dengan sekurang-kurangnya gred B/PNGK 3.50;
b) Tidak pernah mendapat gred F dan mengulang mana-mana kursus sepanjang tempoh pengajiannya; dan
c) Berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh minimum yang ditetapkan bagi program pengajiannya, melainkan pelajar diluluskan penarikan diri dari mana-mana semester oleh pihak Universiti.

(2) Ciri-ciri kepimpinan, kegiatan sukan, persatuan dan penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan/kesenian juga diambilkira.

PEMBERATAN PERTIMBANGAN

(1) Akademik – 50%

(2) Ko-Kurikulum – 50%

CARA MEMOHON

Pemohon hendaklah menggunakan borang Hadiah Alumni University of Malaya (Singapore). Borang yang lengkap hendaklah dikemukakan ke alamat berikut:

Ketua Penolong Pendaftar Kanan
Seksyen Peperiksaan
Bangunan Peperiksaan
Universiti Malaya
50603 Kuala Lumpur
(u.p: Nur Bahiyah Sujana)

Untuk muat turun borang, klik di sini – layari laman umisisweb

TARIKH TUTUP PERMOHONAN: 11 JUN 2010

TEMUDUGA
Pelajar yang disenaraipendek bagi hadiah ini akan dipanggil untuk ditemuduga oleh Panel Pemilih.

PENERIMA HADIAH
Keputusan mengenai penerima hadiah ini yang berjaya akan dimaklumkan melalui surat.

Tuesday 20 April 2010

Adab penentu jatuh bangun negara

KUALA KANGSAR 19 April - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, adab bukan sahaja berperanan besar dalam membentuk sebuah masyarakat, malah melahirkan sebuah negara bangsa yang stabil lagi makmur.

Titah baginda, kuasa dan sumber yang diuruskan oleh individu yang tidak memahami idea induk atau adab luhur, akan menyebabkan berlakunya penyalahgunaan kuasa dan pembaziran sumber selain suasana kekeliruan intelek serta moral.

Tegas baginda, jika berlaku masalah salah urus sumber, ia akan mengakibatkan kemiskinan berpanjangan dan kemusnahan institusi-institusi penting.

"Justeru, adab adalah penentu terhadap jatuh bangunnya pemimpin, bangsa dan negara.

"Adab memperingati bahawa taraf kemuliaan seseorang itu bukan ditentukan oleh faktor-faktor kuasa, kekayaan mahupun keturunan tetapi ditentukan oleh kriteria-kriteria yang terkandung di dalam al-Quran dari segi pengetahuan, kecerdasan otak dan sifat murni," titah Raja Nazrin.

Raja Nazrin bertitah demikian pada istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-82 Sultan Perak di sini hari ini.

Baginda menarik perhatian, usaha raja-raja Melayu memperkenalkan sistem pemerintahan dengan berlandaskan adab dan tertib telah berjaya membina satu budaya yang halus dan ketamadunan tinggi.

"Istiadat yang berlangsung pada pagi ini adalah satu cerminan kehalusan budaya dan satu bayangan ketinggian tamadun yang telah lama terbina.

"Amatlah penting bagi seseorang insan memahami kedudukan masing-masing menurut urutan adab. Bahawa adab itu adalah ketertiban budi atau intellectual discipline," titah baginda.

Adab, titah baginda merangkumi elemen-elemen kemanusiaan, kebajikan, kasih sayang serta sifat menghormati ibu bapa, orang tua, kanak-kanak, jiran tetangga dan menghormati pemimpin.

Baginda menjelaskan malangnya elemen-elemen kurang beradab hingga mencetuskan berlakunya kelakuan tidak beradat semakin hari semakin jelas kelihatan.

"Ia bukan lagi dicerminkan melalui perangai dan tingkah laku anak-anak yang belum mencapai usia baligh, tetapi lebih memalukan ia turut dilakukan oleh insan-insan dewasa berjawatan besar - berjawatan penting, berkelulusan tinggi - berkelayakan profesional.

"Ia bukan berlaku di tepi-tepi jalan atau di pasar-pasar, tetapi turut berlaku di tempat-tempat yang sepatutnya mencerminkan setinggi tertib dan sehalus budi," tegas baginda.
Baginda turut melontarkan persoalan tentang rupa bentuk negara bangsa yang akan terbina nanti sekiranya elemen adab dan adat sudah tidak lagi dititikberatkan di kalangan warganya.

"Adakah lengkap ukuran sebuah negara maju - sebuah negara kaya, jika warganya mundur dengan adab dan miskin adat," titah baginda.

Justeru baginda berharap, penting bagi negara, masyarakat serta individu untuk memberikan perhatian utama pada elemen adab dan adat dalam program membangunkan modal insan supaya insan yang dibangunkan kelak seimbang dengan kemajuan dicapai negara.

Terdahulu, dalam titahnya, baginda bertekad mempertahankan kedaulatan Sultan Perak daripada sebarang usaha atau tindakan berunsur menghina serta meruntuhkan sistem berkerajaan sedia ada.

Pada masa sama, Raja Nazrin yang turut mewakili kerabat lain mengulangi ikrar taat setia dalam membantu Sultan Perak memenuhi amanah serta tanggungjawab sebagai raja pemerintah di negeri ini.

"Di samping setiap seorang bertekad dan sekaliannya berazam untuk seia sekata mempertahankan kedaulatan raja pemerintah dari sebarang usaha dan tindakan berunsur menghina apatah lagi bertujuan meruntuhkan sistem berkerajaan dan bernegara yang telah lama bertunjang dan berakar di bumi Melayu ini," titah baginda.

Titah Raja Nazrin, kedudukan raja-raja Melayu telah terpahat di tinta sejarah sebagai raja yang berdaulat dan kerajaan berpaksikan raja itu telah membina tamadun negara bangsa selain melaksanakan sistem pemerintahan yang membawa kemakmuran.

Kemakmuran itu, titah baginda, bukan sahaja dinikmati rakyat pribumi tetapi juga mereka yang memilih untuk berhijrah ke bumi ini dan tertakluk di bawah naungan serta adat resam sedia ada.

Oleh Siti Mariam Md. Zain

Thursday 15 April 2010

Parlimen Mahasiswa

PULAU PINANG, 14 April — Pembentukan Parlimen Mahasiswa hanya dapat dilaksanakan selepas kerajaan mewartakan pindaan perlembagaan universiti awam di negara ini.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata proses pindaan perlembagaan yang melibatkan 18 universiti awam itu kini pada peringkat akhir.

“Untuk mewujudkan Parlimen Mahasiswa, kita perlu menunggu penggazetan pindaan perlembagaan universiti. Perkara ini kini berada pada peringkat Peguam Negara,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Koleksi Kaum Peranakan Asia Tenggara di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.

Beliau berkata kerajaan sedang dalam proses meminda perlembagaan university awam supaya ia selaras dengan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU).

Pada 7 Jan lepas, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM, Mohamad Shafiq Abdul telah menyerahkan kertas cadangan kerangka penubuhan Parlimen Mahasiswa kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk dipertimbangkan.

Penubuhan Parlimen Mahasiswa itu dicadangkan oleh golongan mahasiswa yang mahu satu saluran bagi menyuarakan pandangan dan pendapat mereka.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled menasihati golongan mahasiswa supaya tidak terlibat berkempen pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor, 25 April ini.

“Kita akan memantau supaya golongan mahasiswa tidak turut serta dalam kempen pilihan raya itu,” katanya. — Bernama

Sunday 11 April 2010

Selamat Maju Jaya Buat Semua

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Alhamdulillah syukur pada Ilahi kerana kita diberikan kesempatan untuk terus bernafas di muka bumi Allah ini bagi meneruskan agenda perjuangan kita dan juga objektif utama terutamanya mahasiswa ke universiti ini iaitu bagi mencedok seberapa banyak ilmu yang mungkin.

Hari berganti hari, akhirnya kita sudah sampai semula ke minggu-minggu penuh getir ini iaitu minggu ulangkaji, satu minggu untuk persiapan bagi menghadapi minggu peperiksaan bermula 19 April 2010.

Buat saya dan rakan-rakan pelajar tahun akhir, ini mungkin minggu ulangkaji atau ‘study week’ yang terakhir buat kami dan peperiksaan akan datang mungkin pentas peperanan terakhir kami di Universiti Malaya ini.

Akan tetapi, buat pelajar tahun akhir yang membuat projek tahun akhir terutamanya pelajar kejuruteraan, berakhirnya peperiksaan belum bermakna sdah tamatnya perjuangan kerana masih ada satu perkara yang perlu dititikberatkan.

Seminar projek tahun akhir yang dijangka pada 10 dan 11 Mei 2010 bakal menjadi medan kami untuk meyakinkan para moderator bahawa projek yang telah kami jalankan selama 2 semester ini benar-benar bermanfaat dan mempunyai mutu sebagai projek kajian yang bertaraf tinggi.

Dek sayangkan UM ini, saya mengambil keputusan untuk tinggal lebih lama kerana menyertai kursus yang dianjurkan oleh pihak 3P yang bertajuk Microsoft Cert.Technology Specialist: Microsoft Office Project 2007, Managing Project.

Bukan semata-mata sayang UM, tetapi tujuan utama saya menyertai kursus ini adalah untuk memperoleh nilai tambah yang baik supaya dapat memasarkan diri saya apabila ingin mencari pekerjaan kelak.

Buat adik-adik yang masih baru di UM terutamanya yang menghuni di ASTAR, teruskan perjuanganmu hingga ke titik penamat dengan niat murni untuk menaikkan martabat diri, agama, bangsa dan negara.

Akhir kata dari saya, saya ingin mengucapkan selamat menempuh minggi ulangkaji dan seterusnya selamat berjuang di medan ‘peperangan’, menempuh peperiksaan akhir semester 2 2009/2010 ini.

Saya mendoakan agar diri saya dan semua warga UM agar mendapat kejayaan yang cemerlang sempena peperiksaan akan datang dan dipermudahkan segala cabaran kita oleh Allah S.W.T.

Friday 9 April 2010

Buat Pelajar Tahun Akhir Tajaan JPA

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Di sini ada dua notis maklumat penting buat pelajar tahun akhir yang mendapat tajaan JPA.


Thursday 8 April 2010

Kempen Kami Prihatin

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Akhir-akhir ini, kehidupanku menjadi semakin sibuk dengan persiapan menghadapi peperiksaan, menyiapkan laporan tesis dan pelbagai lagi perkara.

Insyaalah salah satu tanggungjawabku sebagai Pengerusi Kelab Kebudayaan Melayu (KKM) sesi ini akan berakhir selepas mesyuarat post-moterm yang dijadualkan pada malam ini.

Alhamdulillah, jika diizinkanNya KKM akan terus diusahakan setiap tahun untuk memberikan lebih impak terutamanya pada mahasiswa berbangsa Melayu di Kolej Kediaman Pertama.

Pada awal penubuhan ini, KKM tampak agak kekok dikalangan mahasiswa Melayu tetapi saya yakin pada tahun-tahun akan datang, KKM akan terus mendapat sokongan dan menjadi salah satu tonggak aspirasi buat mahasiswa berbangsa Melayu.

Akan tetapi apa yang ingin saya coretkan sebenarnya adalah berkenaan kempen Kami Prihatin anjuran akhbar Utusan Malaysia bagi membendung gejala buang anak yang semakin berleluasa ini.

Tiada siapa pun tahu asal bangsa keturunan anak yang terbuang itu tetapi nyata tuduhan-tuduhan liar banyak menundingkan jari ke arah kita.

Oleh itu, saya merasakan perlunya ada satu medium ataupun satu cara bagi membendung gejala ini daripada terus dilaporkan di akhbar dan dinyahkan terus kejadian-kejadian yang tidak diingini ini.

Saya merasakan kempen ini sebenarnya mampu menimbulkan kesedaran terhadap masyarakat terutamanya si pesalah agar tidak membuang bayi yang dikandung selama 9 bulan itu sesuka hati kerana masih banyak ruang atau cara yang boleh di ambil.

Saya akui, dalam masyarakat kita terutamanya sebagai orang Melayu yang menganut agama Islam, mengandungkan anak luar nikah sememangnya sesuatu yang salah dan berdosa malah dikeji oleh masyarakat.

Jika ingin membuat kempen mengeji pesalah-pesalah ini, sebenarnya tidak akan membantu mereka tetapi dengan Kempen Kami Prihatin ini mampu membuka hati mereka berfikir yang mereka sebenarnya ada alternatif lain.

Usah ditambah dosa yang dikendong, anak tidak bersalah itu sebenarnya mempunyai hak untuk hidup dan membuang mereka yang tidak bersalah bukan cara penyelesaian menutup aib masing-masing.

Jangan kita kembali ke zaman jahiliah di mana anak-anak terutamanya perempuan ketika itu dibunuh kerana dianggap akan membawa sial kepada keluarga kelak.

Sedangkan binatang juga sayangkan anak-anaknya, inikan manusia yang dikurniakan akal fikiran dan hati nurani yang penuh dengan kasih sayang.

Kempen seperti ini perlu diperluaskan ke seluruh peringkat umur tidak kira di sekolah rendah mahupun di pusat pengajian tinggi kerana mereka sebenarnya perlu tahu yang dunia kita sebenarnya sudah maju ke depan bukan semakin setapak ke belakang.

Banyak rumah-rumah amal yang dibina khas untuk menjaga kebajikan kanak-kanak kurang bernasib baik ini agar mereka tidak menjadi bahan makanan semut, anjing dan sebagainya.

Masyarakat perlu sedar, gejala sosial yang semakin menghantui terutamanya golongan remaja perlu ditangani segera kerana remaja adalah asset negara.

Kita tidak mahu asset negara seperti ini terus dibuai mimpi indah dan membuat kesalah itu berulang-ulang kali kerana ini bakal menggugat prestasi dan kemampuan negara untuk berkembang kelak.

Oleh itu, kempen ini sebenarnya amat meluas bagi mereka yang benar-benar memahami ertinya kerana ia bukan sekadar ingin menyelamatkan nyawa seorang anak kecil malah ia juga bagi menjaga masa depan negara kelak.

Saya menyeru rakan-rakan yang mempunyai blog agar sama-sama kita meletakkan logo Kami Prihatin (seperti di atas) untuk menunjukkan sokongan kita terhadap kempen ini.

Sesuatu kempen tidak akan berjaya tanpa sokongan dan pelaksanaan yang teliti. Oleh itu, mari kita sama-sama menyokong setiap pelaksanaan yang baik oleh pihak penganjur agar Malaysia terus menjadi gemilang tanpa jenayah sosial ini lagi.

Thursday 1 April 2010

Biasiswa NSTP

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.


Berita baik buat pelajar lepasan SPM/STPM dan pelajar tahun 1 di IPT, anda layak memohon biasiswa yang ditawarkan oleh NSTP mengikut syarat-syarat tertentu. Maklumat lanjut, sila rujuk gambar-gambar di bawah.