Assalamualaikum...
Salam Perpaduan..
Syukur ke hadrat Ilahi diberiNya ku kesempatan untuk mencoret sedikit sebanyak hal ehwal berkenaan kolej kediaman kesayangan ku, Kolej Kediaman Tuanku Abdul Rahman (ASTAR)..
Semester 1 berlalu cukup laju, tatkala baru saja habis ku melepas lelah membimbing adik-adik ku yang mula menapak di varsiti perdana kita ini, ku mendapat mandat daripada rakan-rakan serta pentadbiran untuk meneraju kepimpinan kolej ini. Walaupun ku memikirkan pada semester kedua ku harus menjalani Latihan Industri selama 6 bulan, namun ia tidak mematahkan semangat ku untuk terus berkhidmat, berjuang demi kebajikan mahasiswa kolej ku khususnya dan universiti amnya..Terima kasih ku ucapkan kepada rakan-rakan dan pihak pentadbiran yang sentiasa menyokong.
Perjalanan kolej pada awalnya bermula baik dengan segala aktiviti dan perancangan telah diatur dan dijadualkan, dengan bantuan barisan JIK/JTK berserta Pengerusi JKP dan Wakil Tingkat, kami membentuk satu kumpulan yang kuat untuk terus menajui dan memimpin rakan-rakan kami. Namun bak kata pepatah, langit itu tak selalu cerah..
Astarian tergempar dengan berita penutupan Blok C, iaitu blok penghuni lelaki yang menempatkan kira-kira 60 orang penghuni. Rata-rata resah gelisah bila dikatakan mereka perlu berpindah dengan notis masa yang sangat singkat. Lumrah manusia bila terancam, mereka mahukan pembelaan. Tatkala khabar angin mengatakan mereka perlu berpindah ke kolej lain, ku hadir datang berbincang dengan pengetua kolej. Bersamaku adalah beberapa penghuni Blok C yang amat prihatin tentang nasib rakan-rakan mereka. Setelah beberapa cadangan dan lontaran idea diberikan, pihak kolej mengumumkan tiada perpindahan pelajar keluar dari kolej ini. Tetapi ia digantikan dengan beberapa bilik yang cukup-cukup memuatkan rakan-rakanku semua. Walaupun ia tidak selesa yang diinginkan, tetapi ku yakin rakan-rakan ku telah menerima dengan hati yang terbuka, demi pembaikkan berterusan dan keselamatan mereka jua di masa depan. Syabas ku ucapkan kepada rakan-rakan seperti Zul, Amal, Alif dan lain-lain yang sedia berbincang dan menyokong keputusan yang telah dibuat.
Tak lama selepas itu, kolej digemparkan pula dengan bayaran untuk letak kenderaan di kolej meningkat mendadak ke RM70, suatu angka yang melangkau batas pemikiran para siswa Astarian. Dengan nada marah dan sedih, ramai yang datang menemuiku. Ramai yang meminta agar harga ini dapat dikurangkan sekurang-kurang ke paras RM50. Ku mengambil kesempatan kehadiran ku ke dalam Mesyuarat bersama Pentadbiran kolej untuk membangkitkan isu ini. Bukan itu sahaja, dengan bantuan rakan-rakan wakil tingkat, kami berjaya mengumpul sejumlah tanda tangan sebagai petisyen untuk menunjukkan harapan para Astarian untuk pihak pentadbiran mengurangkan harga bayaran tersebut. Alhamdulillah, sekali lagi pihak JTK berjaya menyelesaikan isu ini di meja rundingan bersama pentadbiran dan keputusan muktamad dicapai dengan penurunan harga kepada RM25 untuk satu lot kenderaan manakala RM10 kekal untuk motosikal..Sekali lagi syabas dan tahniah atas usaha semua Astarian yang bersama-sama saya untuk memperjuangkan kebajikan anda.
Bila hampir saat semester 1 untuk tamat, rakan-rakan ku mengeluh apabila mereka diminta membawa pulang semua barang dan tidak dibenarkan untuk menyimpan apa-apa dalam almari masing-masing, kecuali pelajar dari Sabah dan Sarawak yang telah diberikan 2 stor, masing-masing untuk siswa dan siswi. Ini adalah disebabkan 3 blok kediaman iaitu Blok A, B dan E akan menjalani penukaran atap dan 'rewiring' semula keseluruhan blok. Dengan keluasan stor yang amat terhad tidak mampu untuk menampung kesemua barang pelajar, mereka terpaksa membawa pulang kesemuanya dengan hati yang amat berat. Maafkan ku kerana tidak dapat membantu anda dalam hal ini, tetapi ketahuilah rakan-rakan ada hikmahnya kita melakukan sedemikian. Ada kolej yang membenarkan pelajar menyimpan barang di dalam almari telah dilaporkan mengalami perbuatan khianat, pelbagai masalah yang timbul akibat ini. Oleh itu, saya meminta rakan-rakan bersyukur atas keputusan pihak pentadbiran ini, yang jelas nampak kemungkinan yang bakal berlaku di masa depan.
Cuti semester kian sampai untuk melabuhkan tirainya dan sekali lagi rakan-rakanku akan kembali meneruskan perjuangan anda. Banyak aktiviti dan projek telah dirancang seawal semester 1 lagi yang akan dijalankan pada semester baru ini. Kepada rakan seperjuanganku, teruskan berusaha untuk mencapai kejayaan dan yang lebih bernilai pengalaman yang anda timba simpan dan amalkannya untuk kita meneruskan perjalanan dan mencorak kejayaan kolej kediaman yang kita sayangi ini...
ASTAR is FIRST!
UM is ONE!!!