Saya terbaca sebuah akhbar hari ini dan saya terkejut dengan sebuah artikel yang menyatakan seorang pelajar daripada universiti yang berlatabelakangkan Islam di negara kita mengaku berkhalwat dengan seorang lelaki yang baru 5 hari dikenalinya.
Saya teringat kata-kata sahabat saya dalam tazkirah ringkas di surau Astar bebrapa bulan lepas, sesungguhnya memang ada perbezaan orang yang belajar agama dan mengamalkan agama itu sendiri.
Ini bukan kali pertama kita dengar yang wanita Islam tertangkap dalam siri serbuan jabatan agama Islam negeri masing-masing dan ini juga bukan kali pertama pelajar yakni mahasiswa sendiri yang terlibat.
Sudah tiba masanya kita membuka minda dan mendalami masalah ini untuk kita mencari punca sebenarnya yang menjurus mereka ke lembah hina ini.
Wanita mengandung sebelum kahwin sekarang ini dapat kita jumpa merata-rata di negara kita ini sehingga perlunya ditubuhkan satu badan ataupun rumah bagi menempatkan dan memberi mereka perlindungan dan pengajaran dalam bidang agama.
Tidak disalahkan jika mereka sebenarnya menjadi mangsa nafsu buas perogol ataupun ahli keluarga yang bernafsu syaitan dan mengkhianati kepercayaan mangsa terhadap mereka tetapi bagaimana pula dengan mereka yang rela diri membenarkan lelaki ajnabi menyentuh dan merosakkan mereka.
Zaman moden dan kemudahan mendapatkan sumber bahan lucah sekarang banyak membantu menyediakan lelaki yang bernafsu binatang ini dan hanya menantikan mangsa untuk menerkamnya.
Apabila seorang wanita yang lemah dengan pujuk rayu dan kata-kata godaan lelaki dan demi menunjukkan kasih sayang mereka, saya percaya mereka akan sanggup melakukan apa sahaja demi menjaga hubungan mereka agar sentiasa kekal baik.
Dengan pendidikan agama yang tinggi jua tidak mampu menghalang gadis-gadis ini lari daripada jerat-jerat yang dipasang lelaki yang tidak bertanggungjawab.
Pada pendapat saya, hal ini sepatutnya didedahkan ataupun diberi pengajaran bermula di peringkat sekolah lagi bagi mereka tahu apakah itu sebenarnya seks dan apakah langkah pencegahan atau langkah baik untuk elakkan diri dari terjebak daripada masalah ini.
Remaja sekolah yang terkenal dengan sifat ingin tahu akan mengambil jalan mudah membeli ataupun dengan memuat turun sahaja daripada internet klip-klip serta gambar lucah bagi memuaskan nafsu mereka.
Jangan terkejut jika perbuatan ini bukan sahaja dilakukan oleh lelaki malah juga banyak dilaporkan pelajar wanita terbabit dalam ketagihan bahan lucah ini.
Ibu bapa perlu sentiasa memerhatikan gerak geri anak-anak mereka terutamanya mereka yang sudah mencecah umur akal baligh supaya mereka tidak terdedah dan terpengaruh dengan keadaan sekeliling mereka.
Ibu bapa bukan sahaja bertanggungjawab menerapkan nilai murni dan ilmu agama yang cukup buat anak-anak mereka tetapi ibu bapa perlu lebih rapat dan menjadi rakan dengan anak masing-masing supaya dapat berkongsi masalah dan bertukar pendapat dalam apa jua bidang tanpa sebarang sekatan.
Remaja khususnya perlu sedar bahawa mereka masih ada batas-batas yang menghalang mereka untuk bergaul bebas kerana itu hukum Allah dan bukan buatan manusia semata-mata.
Lumrah manusia ingin mengasihi dan dikasihi oleh pasangan berlainan jantina tetapi bukan suruhan Allah untuk kita berkasih sayang sesama manusia hingga membawa ke arah maksiat.
Jangan sudah terhantuk baru nak terngadah, jangan sampai nasi menjadi bubur dan jangan selepas anda terlanjur baru ingin menyesali perbuatan itu dan insaf kerana titik hitam itu tidak akan lekang dari hidup anda walau sebaldi air mata yang anda titiskan.
Buat badan berkuasa, teruskan operasi ini untuk mencegah maksiat dan menangkap pesalah yang tidak bermaruah ini.
Sesungguhnya denda oleh hakim dalam mahkamah itu hanya kecil sahaja dibandingkan dengan hukuman yang akan kita tanggung di alam akhirat kelak.
Oleh itu, pada hari Jumaat yang mulia ini saya ingin mengajak diri saya dan rakan-rakan untuk muhasabah diri dan mengajak diri serta rakan-rakan kita ke arah kebaikan dan jauhi sebarang larangan Allah kerana itu adalah tanda orang-orang yang beriman.