Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Saturday, 26 December 2009

28,188 semua A

PELAJAR cemerlang Sekolah Menengah Sultan Sulaiman,
Kuala Terengganu ceria bersama keputusan PMR masing-masing.
PUTRAJAYA: Seramai 28,188 pelajar atau 6.37 peratus daripada 442,721 calon memperoleh semua A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini, berbanding 26,378 tahun lalu.

Nilai Gred Purata Nasional (GPN) peperiksaan itu juga bertambah baik tahun ini iaitu 2.78 berbanding 2.83 tahun lalu, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Prestasi calon luar bandar juga semakin baik apabila 4,775 berjaya memperoleh semua A berbanding 4,345 tahun lalu, manakala 87,936 melepasi tahap minimum gred A, B, C dan D.

Nilai GPN bagi calon luar bandar juga bertambah baik daripada 3.02 tahun lalu kepada 2.97 tahun ini.

Calon bandar yang mendapat semua A juga meningkat kepada 22,901, berbanding 21,576 tahun lalu, manakala GPN bertambah baik daripada 2.72 kepada 2.68 tahun ini. Alimuddin berkata jurang perbezaan antara calon bandar dan luar bandar juga semakin rapat berdasarkan penguncupan nilai beza GPN antara kedua-dua kumpulan, iaitu 0.3 pada tahun lalu kepada 0.29 tahun ini.

"Bagaimanapun, daripada segi pencapaian semua A, jurang perbezaan pencapaian calon bandar dan luar bandar meningkat daripada 5.11 peratus kepada 5.22 peratus," katanya.

Antara 10 sekolah harian terbaik termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Bangi, Selangor: SMK Mak Lagam, Kemaman, Terengganu: SMK Sultan Badlishah, Kulim dan SMK Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah serta SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur dan SMK Derma, Kangar.

Sekolah Berasrama Penuh terbaik pula ialah Sekolah Seri Puteri Cyberjaya, Sekolah Tun Fatimah Johor Baharu, Sekolah Dato Abdul Razak dan Kolej Tunku Kurshiah, Seremban dan SM Sains Tengku Abdullah, Raub.

Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Besut dan SM Imtiaz, Kuala Berang; Sekolah Agama Menengah Bestari Subang Jaya dan Sekolah Agama Persekutuan Kajang serta SM Agama Persekutuan Labu, muncul sekolah menengah agama terbaik.

PMR tahun ini juga menyaksikan kumpulan pertama 156 calon mengambil subjek Pendidikan Kesenian di dua sekolah iaitu Sekolah Seni Johor Baharu (SSeJB) dan SSe Kuching. Subjek kesenian yang diambil ialah Tari, Muzik, Teater dan Seni Visual.

Bidang teater menunjukkan pencapaian tertinggi apabila 35 calon atau 22.4 peratus mendapat peringkat tertinggi Band 4.

"Seramai 12 calon SSe pencapaian cemerlang dalam akademik dengan memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran teras," katanya.

Selain itu, tujuh pelajar istimewa disenaraikan calon terbaik iaitu empat mendapat 7A, dua 8A dan seorang 9A.

Alimuddin juga berkata, ada peningkatan daripada 25.6 peratus kepada 26.7 peratus dalam jumlah pelajar yang memperoleh A dalam mata pelajaran Matematik, manakala bagi mata pelajaran Sains daripada 17.2 peratus kepada 18.5 peratus.

Bagaimanapun, katanya, berlaku penurunan tidak ketara kepada prestasi mata pelajaran Bahasa Malaysia (BM) dan Bahasa Inggeris (BI).

"Peratus berbanding tahun lalu untuk yang memperoleh semua A dalam BM menurun daripada 26.3 kepada 25.6 tahun ini dan BI daripada 16.4 peratus kepada 16.1," katanya.

Oleh Johari Ibrahim

Friday, 25 December 2009

Potong Peruntukan, Hilang Patriotik

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Dunia sukan negara juga dilihat semakin rancak menimbulkan isu-isu panas terutamanya selepas berakhirnya temasya dwitahunan, Sukan SEA di Laos baru-baru ini.

Saya secara peribadi tersentak dengan kenyataan seorang pemimpin sukan sepak takraw yang seperti kecewa peruntukan bagi sukan itu bakal dikurangkan dan minta orang ramai tidak hairan jika persiapan hanya akan dilakukan 5 hari sebelum pertandingan.

Pada pendapat anda, sebagai seorang pemimpin adakah ini satu kenyataan yang baik atau ia dilafazkan secara beremosi?

Ini adalah kerana sukan sepak takraw menerima kritikan kerana hanya mampu membawa pulang satu perak dan satu gangsa dan lebih memalukan apabila tewas di tangan Laos, negara yang dianggap kerdil di dalam sukan itu.

Pencapaian skuad sepak takraw negara sejak 2-3 tahun kebelakangan ini semakin merudum kerana kita bukan sahaja tidak mampu menandingi musuh ketat kita iaitu Thailand, malah sekarang sudah mampu diperkotak-katikkan oleh negara Asean lain seperti Myanmar, Laos dan Vietnam.

Pada pendapat saya, wajar Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), mendapat sedikit ‘pengajaran’ akibat pengurusan yang dilihat kurang efisen untuk menyuntik semangat pemain dan jurulatih agar dapat membutirkan pingat emas seperti yang diharapkan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Oleh itu, tindakan Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail untuk mengundur diri dilihat sebagai satu langkah bijak agar PSM boleh membentuk satu pasukan pengurusan yang baru untuk menaikkan semula maruah PSM serta pasukan sepak takraw negara ini.

Akan tetapi kenyataan ‘persiapan hanya akan dilakukan 5 hari sebelum pertandingan’ benar-benar tidak mencerminkan semangat patriotik pada negara malah itu boleh dianggap sebagai ugutan kepada rakyat Malaysia, peminat sepak takraw negara ini.

Kita sedar dunia yang serba canggih dan moden ini amat memerlukan wang untuk menjalankan apa-apa perancangan sekalipun, tetapi saya yakin dengan satu pengurusan yang baik, mereka mampu untuk merencanakan perancangan sesuai buat negara menghadapi Sukan Asia untuk menebus kembali kepercayaan rakyat pada PSM.

Bukan dengan melemparkan ugutan sinis seperti yang dibuat oleh beliau, kerana ini hanya akan menaikkan kemarahan rakyat kerana ini melibatkan permainan tradisional rakyat.

Sepak takraw merupakan sukan yang menjadi ikutan rakyat selepas bola sepak kerana ia mencerminkan imej negara kerana ini merupakan permainan tradisional yang berasal daripada rumpun nusantara ini, tapi jelas prestasi kita makin meleset.

Saya harap PSM dapat melakukan rombakan besar-besaran dan perkara pertama yang perlu mereka lakukan adalah untuk menanamkan semangat cinta kan negara dan letak tepi segala kepentingan diri sendiri demi mengharumkan nama negara, jika tidak mampu keluar dan buat aktiviti lain.

Jika anda sudah bulat hati untuk menyertai pasukan sukan, sentiasa majukan sukan yang anda sertai demi negara bukan demi ganjaran ataupun demi wang yang dijanjikan.

Mari sama-sama kita kenang pengorbanan atlit-atlit negara sebelum negara pencapaian pemodenan dan menjadi negara membangun seperti sekarang.

Mereka tidak dijanjikan apa-apa ganjaran ataupun tidak diberikan peruntukan lumayan tetapi dek semangat cintakan negara dan mahu mengharumkan nama negara, mereka mampu mengharungi onak dan duri demi membutirkan kejayaan buat negara yang tercinta ini.

Walaupun gaya hidup sekarang tidak lagi sama seperti dahulu, tetapi semangat cintakan negara sepatutnya sama malah patutnya lebih tinggi untuk membuktikan kepada rakyat yang Malaysia sentiasa cemerlang dalam apa jua bidang seperti laungan yang sentiasa bergema ‘Malaysia Boleh’.

Saya mendoakan pergolakkan dalam PSM akan dipermudahkan dan penyelesaian yang sewajarnya dapat dicapai agar sukan sepak takraw dapat dimajukan di masa akan dating seterusnya menaikkan semula maruah negara dalam sukan rakyat kita ini.

Monday, 21 December 2009

NC Pula Jadi Mangsa

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia

Universiti Malaya yang tidak pernah malap dengan isu-isu panas sekali lagi menjadi perhatian dan kali ini melibatkan seorang ahli parlimen (AP) PAS (Parit Buntar), Mujahid Yusuf Rawa yang membuat satu sidang media mengenai hal ini di Parlimen baru-baru ini.

Ini berikutan isu pelantikan profesor dan Dekan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Dr. David Ngo Chek Leng dan Pengarah Pusat Teknologi Maklumat (PTM), Dr. David Asirvatham oleh Naib Canselor (NC) UM, Prof Datuk Dr Gauth Jasmon yang katanya merupakan pelatikan berdasarkan kronisme semata-mata bukan kerana mereka layak.

Tetapi hal ini telah disangkal oleh NC dalam sebuah laporan berita Bernama dengan menyatakan pelantikan mereka telah dipersetujui oleh Lembaga Pengurusan UM. “Beliau pernah berkerja dengan saya di Universiti Multimedia (MMU) dan pernah menjadi dekan fakulti teknologi maklumat selama 6 tahun. Dari segi kelayakan, beliau memang cemerlang,” katanya.


Selain itu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dr. Hou Kok Chung berkata, “Kalau ada MP (Member of Parliament) menyatakan tidak ada temuduga, itu semua tidak betul,” .

Tahun lepas, Timbalan Naib Cancelor (TNC) Hal Ehwal Pelajar & Alumni dituduh mengamalkan rasuah serta penyebaran fitnah ini turut berleluasa hinggakan berlanjutan ke waktu Pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa (PMPM) hingga memaksa TNC turun padang untuk menerangkan dan menjelaskan hal sebenarnya.

Tetapi pada kali ini, agenda ‘mereka’ sudah berpaling ke arah NC kerana beliau dikatakan antara yang begitu kuat menyokong pelaksanaan e-undi atau e-voting untuk pelaksanaan PMPM pada tahun ini.

Tindakan yang didalangi oleh sesetengah pelajar UM yang berjawatan tinggi dalam MPMUM sendiri menunjukkan yang mereka tidak tahu menggunakan saluran yang betul untuk menegur jika ada sesuatu yang salah.

Hal rumah tangga kita (UM), seharusnya diselesaikan di antara kita sahaja kerana kita mampu melakukannya tanpa melibatkan sebarang campur tangan luar terutamanya parti politik yang tidak sepatutnya mencampuri hal pentadbiran universiti.

Saya yakin dan percaya, hal yang ditimbulkan ini bakal menjadi batu loncatan kepada pihak sana sekaligus menjadi isu fitnah seterusnya sempenah PMPM yang bakal menjelang semester akan datang.

Mahasiswa perlu jelas tindakan yang diambil oleh sesetengah pimpinan mahasiswa ini jelas memalukan nama baik universiti kita yang juga universiti perdana dalam negara.

Kita seharusnya bersyukur kerana NC yang telah banyak berusaha menaikkan ranking UM hingga ke tangga 180 dalam THES-QS menarik beberapa tokoh yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing untuk berkhidmat di UM.

Jika ditanya kepada beberapa mahasiswa MMU, mereka cukup terkilan apabila perpindahan beberapa tokoh yang terbaik di MMU telah dikritik hebat oleh pelajar UM sendiri.

Sebagai seorang pemimpin dalam universiti kita, kita seharusnya menyokong tindakan NC kita selagi mana ia tidak membawa kemudaratan kepada kita malah tindakan ini sebenarnya akan membawa faedah yang besar pada kita sebagai mahasiswa UM.

Kita mohon pihak yang menuduh agar menyiarkan bukti-bukti jika pengamalan kronisme itu benar-benar diamalkan dan berharap Lembaga Universiti dapat menjawab isu ini sebelum ia berlarutan lebih teruk.

Sebelum sebarang bukti berjaya dilampirkan, saya mengharapkan mahasiswa UM untuk menolak mentah-mentah sebarang khabar angin yang dilemparkan tidak kira kepada sesiapa pun bagi menunjukkan sokongan yang kita sebagai mahasiswa intelek tidak mudah terpedaya dengan fitnah-fitnah seperti ini.

Selain itu, kita juga mengharapkan pihak yang berkenaan agar tidak menyalahgunakan pihak ketiga seperti media ataupun menggunakan AP dan sebagainya kerana sebagai pimpinan tertinggi mahasiswa UM, anda mempunyai banyak saluran dan cara untuk berinteraksi dalam universiti bagi memperoleh maklumat yang dikehendaki.

Jangan kerana marahkan nyamuk, habis kelambu dibakar.

Jangan kerana perbuatan sumbang beberapa orang ini, habis nama UM ini tercemar dan dicemuh oleh pihak lain.

Oleh itu, mari sama-sama kita kembali bersatu hati untuk terus menaikkan nama UM dan jika benar ada keraguan mahupun salah dan silap di peringkat dalaman, kita selesaikan secara dalaman tanpa mendedahkan pekung di dada.

Akhir kata, sebagai mahasiswa yang intelek, kita sepatutnya sudah boleh membezakan yang mana kaca mahupun intan agar kita tidak terus diperbodohkan dan sempena PMPM yang akan datang, pilih pemimpin yang boleh membawa isu kebajikan dan isu yang relevan berkenaan mahasiswa, bukan pemimpin yang hanya tahu bercakap tetapi bukan untuk mahasiswa.

UM is ONE! Towards 1Malaysia!

Saturday, 12 December 2009

"Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah"

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia


Satu Muharram Detik Permulaan
Perkiraan Tahun Islam Hijrah
Perpindahan Nabi dan Umat Islam
Dari Kota Makkah ke Kota MadinahAtas Keyakinan dan Iman Yang Teguh
Kaum Muhajirin dan Ansar Bersatu
Rela Berkorban Harta dan Nyawa
Demi Menegakkan Islam Tercinta

Hijrah Itu Pengorbanan
Hijrah Itu Perjuangan
Hijrah Itu Persaudaraan
Hijrah Membentuk PerpaduanHijrah Itu Pengorbanan
Hijrah Itu Perjuangan
Hijrah Itu Persaudaraan
Hijrah Membentuk Perpaduan

Oleh Itu Mari Semua
Kita Sambut Maal Hijrah
Tingkatkan Semangat Tegakkan Syiar Islam
Untuk Sepanjang ZamanUntuk Sepanjang Zaman....

Saya yakin dan percaya ramai antara kita yang kenal benar dengan lirik lagu di atas yang seringkali berkumandang terutamanya apabila menyambut Sambutan Maal Hijrah.

Tahun ini, Sambutan Maal Hijrah 1431H akan disambut pada 17 Disember 2009 dengan membawa tema "Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah".


Saya kira pemilihan tema ini adalah tepat terutamanya jika kita mengambil kira beberapa masalah utama yang melanda umat Islam di serata dunia.

Kita sebagai umat Islam perlu mengambil iktibar dengan sejarah penghijrahan Rasullullah bersama kaum Muhajirin dari Mekah ke Madinah demi menegakkan dan memperluaskan ajaran Islam tanpa halangan dari kaum musyrikin.

Antara aspek yang paling penting bagi kita mengambil iktibar adalah peristiwa Rasullullah mempersaudarakan kaum Muhajirin dengan kaum Ansar yakni penduduk tetap Madinah, suatu tindakan yang dianggap untuk memperkuatkan ukhwah antara dua kaum Islam besar di Madinah ketika itu.

Dewasa kini, kita dapat lihat bagaimana perpecahan umat Islam begitu berleluasa di mana wujud pelbagai puak seperti Syiah, Sunni dan di Palestin dengan adanya Fatah dan Hamas malah tak kurang di Malaysia ada pula Islam PAS dan Islam UMNO.

Kejadian perpecahan sebegini sesungguhnya merugikan umat Islam seantero dunia kerana kita merupakan penganut agama terbesar di dunia ini tetapi kita bagaikan 'budak hingusan' yang sedang dibuli ‘adik-adik’ kecil kita.

Semua ini hanya disebabkan kita lemah akibat tidak adanya perpaduan sesama kita malah kita saling tikam menikam sesama saudara kita, itu yang amat menyedihkan pada saat dan ketika ini.

Tidak kurang dari itu, fitnah serta propaganda palsu untuk menumbangkan kerajaan Islam oleh saudara seagamanya sendiri semakin menjadi-jadi bahkan ada yang sanggup memihak pada musuh terang-terangan demi mengejar kuasa dan kekayaan dunia ini.

Apabila sambutan Maal Hijrah diadakan, kita dapat melihat ribuan umat Islam negara ini akan keluar berarak sambil berselawat dan salam kepada Rasullullah S.A.W..

Persoalannya adakah mereka membuat ini atas dasar sayangkan perjuangan Nabi kita ataupun sekadar mencari populariti mengadakan perhimpunan terbesar semata-mata yang menjadi tradisi setiap tahun?

Jika benar sambutan ini menjunjung perjuangan Nabi S.A.W., kita tidak mungkin berpecah sebegini teruk sampaikan ada yang sanggup bunuh membunuh sesama sendiri dan yang paling keji, ada yang sanggup memihak pada pihak kafir atas kepentingan diri mahupun fahaman politik mereka masing-masing.

Umat Islam seluruh dunia terutamanya di dalam Malaysia perlu sedar bertapa pentingnya untuk kita memantapkan ukhwah antara kita sesama insan, kerana jatuh bangun umat Islam sebenarnya amat bergantung kepada perpaduan antara kita sesama umat.

Dengan ini, kita mampu memperkasakan umat sesama kita apabila kita mencapai kesedaran dan berjaya memantapkan ukhwah sesama umat Islam.

Di mana-mana kita pergi sekalipun, kita tidak akan dapat terlepas daripada seruan bersatu padu kerana itu adalah seruan daripada Allah S.W.T seperti firmanNya;
"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (Agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya." Surah Ali Imran, ayat 103.

Sempena menyambut hari yang mulia ini, mari sama-sama kita mengambil iktibar peristiwa bersejarah kerana setiap perkara yang terjadi terutamanya pada Rasullullah S.A.W. pasti membawa pengajaran dan sunnah baginda patut menjadi ikutan kita pengikut baginda.

Selain itu, suka saya berkongsi beberapa amalan sunat yang boleh kita jalankan sempena menyambut tahun baru Islam ini, antaranya adalah;
1. Berpuasa. Maksud Hadis: Barang siapa berpuasa satu hari dalam bulan Muharam pahalanya seumpama berpuasa 30 tahun.Maksud Hadis: Barang siapa yang berpuasa tiga hari dalam bulan Muharam, iaitu hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, Allah tulis padanya pahala seperti mana beribadat selama 2 tahun.
2. Banyakkan amal ibadat seperti solat sunat, zikir dan sebagainya.
3. Berdoa akhir tahun pada hari terakhir bulan Zulhijah selepas Asar sebanyak 3X
4. Berdoa awal tahun pada 1 Muharram selepas Maghrib 3X


Akhir kata, sebagai seorang insane yang bergelar umat Islam yang berpegang teguh dengan ajaran Allah, kita patut sedar yang nasib kita takkan diubah jika kita sendiri tidak bertindak seperti friman Allah;
“….Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mereka sendiri mengubah nasib mereka….” Surah Ar-Ra’du, ayat 11.

Oleh itu, tanamkan azam pada tahun baru ini untuk kita sama-sama berganding bahu mendokong tema maal hijrah tahun ini supaya kita mengukuhkan perpaduan sesama kita untuk memperkuatkan kaum kita untuk menghadapi cabaran demi cabaran yang bakal datang di kemudian hari.

Akhir kata, semoga Allah akan memberkati perpaduan yang kita jalinkan di atas nama Allah untuk menegakkan syiar Islam bukan sahaja di negara kita malah di seluruh dunia bagi membuktikan umat Islam bukan negara yang ganas mahupun eksterimis tetapi adalah agama yang syumul dan mengujurkan kepada perpaduan dan kasih sayang.

Selamat Menyambut Maal Hijrah tahun 1431 hijrah.

Wednesday, 9 December 2009

Arena Debat Belum Mampu Lahir Pemimpin

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Syukur ke hadrat Ilahi, Universiti Malaya (UM) telah berjaya menganjurkan satu temasya debat yang paling berprestij dikalangan pendebat institut pengajian tinggi negara iaitu Pertandingan Debat Piala Di-Raja kali ke-13 dari 3-7 Disember 2009.


Sebagai salah seorang sukarelawan bagi penganjuran pertandingan ini, saya sedar banyak kelemahan yang timbul sepanjang penganjuran acara debat tahunan ini malah ada yang menguji bukan sahaja tahap fizikal kami malah mental kami juga turut ditekan pelbagai pihak.

Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua sukarelawan tidak kira di pihak bahasa mahupun sentral kerana telah berjaya mengharungi lautan masalah di hadapan kita untuk menyempurnakan amanah yang kita galas secara sukarela ini.

Tahniah juga kepada barisan institusi pengajian tinggi yang telah berjaya meraih kejuaraan pada tahun ini moga anda akan terus cemerlang di tahun hadapan dan menjadi contoh kepada universiti lain untuk terus berusaha menjadi yang terbaik seperti anda.

Buat pendebat pasukan UM sendiri, jangan putus asa walaupun pelbagai spekulasi dan kata-kata yang membingitkan telinga didengari, teruskan perjuangan anda di tahun hadapan, Insyaalah jika dibetulkan niat kita, kejuaraan pasti boleh jadi milik kita.

Tetapi apa yang menarik perhatian saya, arena debat sentiasa disertai mereka yang petah bercakap tetapi hanya boleh bercakap tanpa mempunyai karektor seorang pemimpin yang baik.

Mungkin saya tidak layak mengklasifikasikan sesiapa sama ada mereka layak atau tidak menjadi pemimpin tetapi saya ingin meluahkan kegusaran saya tatkala memerhatikan pendebat yang hadir untuk pertandingan ini.

Walaupun tidak semua tetapi pendebat yang hadir rata-rata bukan datang dengan ilmu di dada mengharapkan perkongsian dan percambahan idea dalam arena debat tetapi mereka hadir dengan ego dan mengharapkan kemenangan di setiap pertandingan.

Saya tidak menyangkal yang kemenangan adalah objektif utama setiap pasukan masuk bertanding tetapi mereka lupa, mereka cicirkan nilai-nilai murni yang perlu ditimba semata-mata mengejar kemenangan.

Seorang pemimpin sepatutnya mempunyai pelbagai idea untuk mengembangkan prestasi diri dan mencari jalan dalam menyelesaikan satu masalah dan mencapai satu matlamat utama, bukan hanya memikirkan satu matlamat tetapi abaikan cara-cara untuk menggapai matlamat itu.

Sayang seribu kali sayang, mereka yang dikurniakan kepintaran untuk menyusun kata-kata tetapi hanya pandai bila di dalam pertandingan sahaja kerana ia tidak diterapkan dalam kehidupan seharian mereka malah sungguh kontra dengan kepintaran mereka.

Susah payah sukarelawan dalam membantu mereka tidak langsung dihargai malah ada yang mengutuk dengan kata-kata pedas malah memerli dengan sesuka hati mereka tanpa mengambil berat hati dan perasaan seorang insan yang lain.

Tidak ralat bagi saya jika pendebat muda yang menunjukkan perangai kurang matang sebegini tetapi apa yang saya ralat adalah sikap beberapa individu bergelar hakim.

Sikap mereka yang mengalahkan ragam kanak-kanak tadika yang menginginkan layanan kelas pertama, tetapi adakah mereka sedar tahap ‘layanan’ mereka terhadap orang yang membekalkan layanan ‘murahan’ ini pada mereka.

Walaupun saya gembira menimba pelbagai pengalaman dan pengetahuan dari segi selok belok menguruskan satu pertandingan yang besar sebegini, tetapi saya sedih kerana arena debat yang sepatutnya melahirkan orang-orang yang mampu berdebat dengan yakin untuk memimpin dan meyakinkan rakyat rupanya masih belum berjaya.

Insan yang lahir dari perut arena debat sepatutnya mempunyai tahap intelektual yang tinggi dan nilai kemanusiaan yang setimpalnya masih tidak ditemui malah ada yang benar-benar terpesong dari apa yang sepatutnya dilahirkan.

Oleh itu, saya menyarankan Majlis Debat Universiti-univerisiti Malaysia (MADUM) untuk merombak pendekatan yang selama ini dibawa agar pendebat mahupun hakim yang dilahirkan mampu berjasa kepada negara suatu hari kelak.

Sekali lagi saya menekankan isu yang saya timbulkan ini mungkin tidak merangkumi kesemua peserta ataupun hakim, bak kata pepatah sapa makan cili, dia yang rasa pedas.

Akhir kata, buat pendebat di luar sana, gunakan kebijaksanaan anda untk berbakti kepada masyarakat dan bukan mengharapkan masyarakat menyanjung anda semata-mata kerana kita lahir di bumi bukan untuk menerima pujian semata-mata kerana kita perlu ruang di kritik bagi menambakbaik kelemahan diri kita sedia ada.