Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah bermaksud, "Adalah akhlaknya (Rasulullah SAW) sebagai akhlak al-Quran." (Hadis riwayat Muslim) Ia menunjukkan akhlak Baginda SAW adalah sempurna kerana Baginda mengamalkan segala ajaran dalam al-Quran. Inilah salah satu sebab mengapa seluruh umat manusia diperintahkan supaya mencontohi Baginda. Sesungguhnya Allah mengutuskan Rasulullah SAW kepada manusia untuk menjadi contoh terpilih. Baginda juga contoh, gambaran pelaksanaan yang sempurna lagi tinggi untuk kesempurnaan manusia sejagat.
Tidak syak lagi kepada umat Islam bahawa sekiranya mereka mengikuti keperibadian Rasulullah SAW yang mulia, sesungguhnya mereka adalah manusia yang mempunyai ciri kepemimpinan agung, yang sentiasa mendapat kasih dan restu daripada Allah. Rabiulawal adalah bulan bersejarah bagi umat Islam kerana dalam bulan inilah junjungan kita Rasulullah SAW diputerakan. Hari keputeraan ini disambut oleh umat Islam untuk mensyukuri rahmat Allah yang menurunkan seorang pemimpin yang sudah mengubah suasana dan keadaan hidup manusia ke arah kejayaan. Di samping itu, ia sebagai satu saranan untuk mengenang serta mengimbas kembali perjuangan Baginda yang penuh dengan rintangan, bagi membetulkan akidah umat, serta untuk kemanusiaan dan keadilan sejagat. Selaku Nabi dan Rasul, Baginda sudah menerima amanah daripada Allah dengan penuh tawakal dan ketaatan yang menjadikan Baginda itu sentiasa berjaya dan mendapat pertolongan. Baginda SAW adalah seorang rasul yang mempunyai darjat kelebihan daripada nabi, rasul yang lain. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 253 yang bermaksud: "Rasul-rasul itu Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan tertentu) di antara mereka ada yang berkata-kata dengan Allah dan ditinggikan (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan."
Kita mencintai Rasulullah kerana Baginda mempunyai peribadi yang tinggi. Rasa cinta kita kepadanya tidak cukup jika kita lahirkan dengan kata-kata dan sambutan yang pelbagai cara, tetapi mesti dilahirkan dengan meniru sifat peribadi yang mulia. Kerana sifat-sifat peribadi yang mulia inilah Rasulullah SAW disanjung tinggi dan dapat memandu manusia dan mengubah suasana kehidupan manusia ke arah yang lebih cemerlang dan lebih bahagia bukan saja di dunia bahkan di akhirat. Di antara sifat Rasulullah SAW yang patut kita hayati ialah Baginda sentiasa bersifat benar dalam semua keadaan. Baginda tidak pernah berdusta dan tidak pula menyeleweng dalam tingkah laku; Baginda bersifat amanah sejak kecil hingga diberikan gelaran al-Amin dan diberikan kepercayaan membawa dagangan Siti Khadijah seterusnya Allah melantiknya menjadi seorang Rasul akhir zaman; Baginda bersifat adil tidak memihak dalam membuat hukuman walaupun terhadap keluarganya sendiri.


