Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Tuesday, 7 April 2009

Kipas Di Sudut Maklumat: Suara JTK Masih Relevan

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Untuk pengetahuan para ASTARIAN, petang ini sebanyak 2 buah kipas sudah siap dipasang di Sudut Maklumat atau lebih dikenali sebagai kawasan ’Pigeon Hole’.

Ini membuktikan yang pihak pentadbiran prihatin dengan suara penghuni yang mengeluh menginginkan kemudahan tersebut sejak lama lagi.



Selain itu, ia juga telah membuktikan suara pimpinan JTK masih relevan dalam memperjuangkan kebajikan dan keperluan mahasiswa terutamanya penghuni kolej kediaman ini.

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pentadbiran kolej dan jutaan penghargaan kepada penghuni kolej atas sokongan anda pada kami.



Semoga kemudahan ini dapat digunakan untuk kebaikan dan elakkan pembaziran elektrik. Sama-sama kita jaga kesejahteraan kolej kita.

ASTAR is FIRST!
UM is ONE!!!

Pantun Hatiku

Masjid dibina ditengah taman,
Dibina oleh raja dermawan,
Taat patuh perintah Tuhan,
Nescaya hidup kekal aman.

Harmoni sungguh kicauan unggas,
Unggas berterbangan segenap udara,
Ikhlaskan hati jalani tugas,
Agar tidak merasa sengsara.

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
Budi baik dikenang juga.

Usah dinilai harta dan benda,
Yang penting ialah budi pekerti,
Buat baik berpada-pada,
Buat jahat jangan sekali,

Puteri kayangan banyak sakti,
Tetapi hidup sebatang kara,
Hidupku adbi untuk berbakti,
Demi bangsa, agama dan negara.

Bunyi tabuh bertalu-talu,
Dengar sampai ke kampung hulu,
Siapa tahu hatiku pilu,
Bagai diri tiada perlu.

Hidup susah seorang penternak,
Perlu tanggung isteri dan anak,
Kasih ku tatang bagaikan minyak,
Akhirnya diri dilanyak-lanyak.

Bermain bola di tepi parit,
Parit bertakung kerana hujan,
Sedangkan lidah lagi tergigit,
Inikan pula rakan dan taulan.

Kalau ada jarum yang patah,
Jangan disimpan di dalam peti,
Kalau ada silap dah salah,
Jangan disimpan dalam hati.

Monday, 6 April 2009

Penentuan Kursus: Lepasan SPM, STPM Perlu Pilih Program Pengajian Tinggi Ikut Minat Dan Kemampuan

SETELAH menerima keputusan minggu lalu, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kini mula memuktamadkan pemilihan kursus dan institusi pengajian tinggi (IPT) sesuai, yang bakal menentukan hala tuju kerjaya mereka apabila tamat pengajian kelak.

Bagi lepasan SPM, hanya tinggal seminggu lagi bagi mereka mengesahkan permohonan lapan pilihan program pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menerusi aplikasi dalam talian Kementerian Pengajian Tinggi.

Tidak terkecuali bagi mereka yang berhasrat melanjutkan pengajian ke kolej atau universiti swasta, juga perlu bijak merangka strategi bagi mengelakkan mereka 'berputih mata' apabila gagal mendapat akses ke pengajian tinggi. Jika mendapat keputusan baik atau cemerlang seperti yang diharapkan, tidak mustahil bagi pelajar memilih kursus pengajian kompetitif yang diidamkan.

Namun, jika keputusan sebaliknya, maka pilihan kursus pengajian perlu sesuai dengan pencapaian diperoleh kerana persaingan memasuki IPTA khususnya kini semakin sengit terutama dalam bidang profesional termasuk perubatan, farmasi, perakaunan dan kejuruteraan.
Ketua Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi, Prof Datuk Radin Umar, berkata analisis data permohonan ke IPTA sebelum ini menunjukkan terdapat kecenderungan pelajar memilih program pengajian melebihi tahap kemampuan dan mensasarkan universiti perdana saja sebagai IPT pilihan.

Beliau berkata, strategi terbaik dalam pemilihan kursus di IPT adalah bersesuaian dengan minat, kebolehan serta tahap kemampuan pelajar yang dicerminkan menerusi keputusan peperiksaan.

Status universiti yang dipohon juga, katanya, adalah faktor penting dalam menentukan kejayaan permohonan pelajar kerana syarat kelayakan minimum bagi bidang yang sama adalah berbeza di kalangan IPT.

"Percaturan strategi permohonan tanpa mengambil kira kedua-dua faktor penting ini boleh mengakibatkan pelajar yang cemerlang sekalipun gagal dalam permohonan mereka mengikuti pengajian bidang diminati.

"Sebagai contoh kebarangkalian bagi lepasan matrikulasi yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.8 dan menetapkan permohonan mengikuti pengajian perubatan di universiti baru sebagai pilihan pertama adalah lebih tinggi berbanding pemohon dengan PNGK 3.999 yang memohon kursus sama di universiti perdana.

"Ini kerana syarat kelayakan bagi program kompetitif seperti perubatan lazimnya lebih rendah di universiti baru dan sederhana berbanding universiti perdana yang turut menerima jumlah permohonan yang amat tinggi serta kebanyakannya berkelulusan PNGK 4.0," katanya.

Radin berkata, kecenderungan membataskan pilihan bidang pengajian juga antara faktor yang membuatkan pelajar gagal dalam permohonan kerana enggan mengikuti bidang berkaitan sedangkan hakikatnya jurusan alternatif masih dalam skop minat pelajar sementara syarat kelayakannya pula lebih bersesuaian dengan tahap kemampuan mereka.

Katanya, hal ini terbukti apabila masih ada pelajar yang menandakan tidak bagi pilihan memproses permohonan mereka kepada bidang pengajian berkaitan jika gagal mendapat kursus yang diminta.

"Sebagai contoh, jika pelajar gagal dalam permohonan asal mengikuti kejuruteraan kimia kerana tidak mencapai tahap kelayakan ditetapkan, permohonan boleh diproses untuk jurusan berkaitan yang masih dalam skop minatnya tetapi memberi penekanan berbeza seperti kejuruteraan industri.

"Malah, dengan mengikuti program berkaitan di politeknik terlebih dulu sebelum layak mengikuti pengkhususan program di universiti adalah satu lagi alternatif bagi mereka yang berkelayakan rendah tetapi mahu meneruskan minat dalam bidang kejuruteraan. Tetapi tempoh pengajian mereka lebih lama," katanya.

Justeru, beliau menasihatkan pelajar yang ingin melanjutkan pengajian tinggi supaya meneliti semua pilihan program pengajian yang ada serta IPT yang menawarkannya supaya pilihan dibuat berasaskan pengetahuan dan bukan sekadar ikutan.

Guru kaunseling sekolah, pakar industri dalam bidang berkaitan, ahli akademik serta program hebahan termasuk Karnival Jom Masuk U kementerian serta pameran pendidikan, katanya, antara sumber serta saluran terbaik bagi pelajar mendapatkan bimbingan pemilihan program yang sesuai.

"Pemilihan program pengajian di IPT ini antara keputusan penting dalam kehidupan dan perlu disesuaikan dengan kemampuan, minat dan perawakan pelajar kerana ia juga penentu masa depan kerjaya mereka.

"Justeru biarlah asas pilihan itu adalah pengetahuan dan bukan berasaskan faktor yang tidak sewajarnya seperti mengikut pilihan kawan sedangkan calon tidak tahu langsung apa tuntutan kelayakan serta kriteria bagi membina kerjaya bersesuaian dengan program dipilih," katanya.


Rujukan Berita Harian Online

Air

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Antara kurniaan terbesar yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada hambaNya di muka bumi adalah air.

Air secara saintifik terhasil dengan cantuman 2 atom Hidrogen bersama dengan 1 atom oksigen merupakan sesuatu yang amat unik dan tiada persamaan atau benda lain yang dapat menggantikan air di muka bumi ini.

Kitaran dunia yang adil dan saksama membolehkan air daripada laut, sungai dan tasik diolah naik ke awan dan di bawa ke tempat yang telah ditetapkanNya lalu air itu turun sebagai hujan.

Air ini sangat berguna pada kita tetapi jangan dipandang rendah akan kebolehan air kerana beberapa sejarah telah menunjukkan dengan air sahaja, harta mahupun nyawa boleh lesap dengan sekali lalu sahaja.

Air takkan terputus walau dicincang mahupun ditahan kerana ia telah dijadikan dengan sifat yang mengalir tanpa mengenal erti kesukaran ataupun cabaran yang menimpanya.

Air juga antara objek yang boleh secara normal kita dapat lihat perubahannya samada ia menjadi wap tak berbentuk bila sampai ke tahap didihnya ataupun menjadi ketulan ais yang sangat keras di takat bekunya.

Air juga mudah dibentuk mengikut bekasnya kerana susun atur molekulnya membolehkan ia bergerak bebas mengikut acuan yang ditetapkan untuknya.

Sesungguhnya air ini sangat penting dalam kehidupan kita dan meliputi peratusan yang besar di muka bumi ini malah dalam badan kita sendiri mengandungi jumlah cecair yang sangat banyak.

Apa salahnya kita mencontohi resmi air dalah kehidupan kita yang semakin hari semakin mencabar ini.

Kitaran kita jua bagai air, dari kecil kita diasuh, dibelai dan dimanja lalu kita dibawa ke sekolah untuk dibekalkan dengan ilmu supaya satu hari nanti kita mampu pergi ke tempat-tempat lain untuk memberi nikmat pada orang lain dengan ilmu yang kita ada.

Hidup kita mesti tenang seperti air yang tenang menyusuri pantai tetapi jangan kita biar orang ambil kesempatan atas ketenangan kita dan buktikan dengan ketenangan kita sebenarnya adalah satu senjata yang boleh meruntuhkan mana-mana pihak yang cuba mencabar kita.

Jaga baik-baik perpaduan sesama kita seperti air yang tetap mencari sambungannya walaupun dihalang dan ini menampakkan aliran itu sangat kuat. Dengan perpaduan, kita sebenarnya mampu menggoncang dunia dan memberi impak yang sangat mendalam kepada dunia yang memerhari kita.

Kita perlu mudah menyesuaikan diri di tempat-tempat lain selain tempat asal kita kerana tidak selamanya kita mampu bersenang lenang di laman sendiri malah kehidupan ini menuntut kita agar mengembara jauh untuk mencari ilmu dan pengalaman hidup dan dengan itu, kita perlu mudah bergaul dan memahami budaya sesuatu kaum di tempat tersebut.

Jadi orang yang berguna dan diperlukan oleh orang ramai kerana tidak guna kita berilmu tetapi tidak beramal dan membawa kebaikan kepada orang ramai dan sudah jatuh ke hukuman berdosa sekiranya ia terjadi.

Air di laut juga ada pasang surutnya bergantung pada kedudukan bumi dan bulan menurut sains.

Tidak ketinggalan kehidupan kita seharian yang banyak dugaan dan cabaran bergantung dengan faktor-faktor persekitaran kita kerana kita hidup tidak boleh bergantung dengan diri kita sahaja akan tetapi kita memerlukan ramai orang untuk membantu malah ada juga untuk menjatuhkan kita.

Muhasabah diri kita bersama-sama ciptaan Ilahi untuk kita tambahkan iman kita serta kasih dan sayang kita pada Yang Maha Esa.

Tanpa nikmat yang diberikanNya, nescaya kita tidak mampu hidup dan berjaya hingga ke saat ini.

Sesungguhnya Allah tidak akan ubah nasib sesebuah kaum itu jika mereka tidak ubah nasib mereka sendiri dan ingatlah rakan-rakan, kehidupan kita masih belum sempurna dan mungkin jua tidak akan sempurna.

Justeru itu, mari kita menyusuri kehidupan kita yang penuh panca roba bagi mencari damai di penghujungnya bak air yang bergerak laju kembali tenang bila sampai ke muara sebelum memasuki dunia lautan yang sangat luas itu.

Saturday, 4 April 2009

Juara Keseluruhan FESENI - ASTAR

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Syukur pada Ilahi atas kurniaanNya dengan memberikan nikmat kejayaan pada pasukan kesenian daripada Kolej Kediaman Pertama atau lebih senang dikenali sebagai ASTAR.

Ini merupakan hadiah istimewa terutamanya kepada jawatankuasa FESENI dan JKP KREATIF yang menghadapi ribuan liku dan cabaran apabila berdepan bukan sahaja daripada sudut pihak pentadbiran malah daripada hal kebajikan peserta juga.

Setinggi-tinggi penghargaan saya taburkan kepada Reen selaku pengarah Feseni 2008/2009 dan Hazwan selaku pengerusi JKP KREATIF sesi ini atas semangat gigih dan usaha kuat mereka dan rakan-rakan untuk terus menjulang nama ASTAR dalam bidang kesenian ke tahap lebih tinggi.

Kepada adik-adik juniorku, syabas dah tahniah atas penyertaan pertama kali anda semua ke alam kebudayaan ini telah membuahkan hasil apabila kolej kita julung kalinya ditabalkan selaku juara keseluruhan. Saya tahu dan saya sedar bertapa getir cabaran yang dihadapi rakan-rakan seperti Hazwan, Reen, Ijin, Fairuz, serta banyak lagi rakan-rakan yang bukan sahaja meletakkan segala usaha bagi menjayakan Feseni kali ini malah banyak mengorbankan masa, wang dan apatah lagi waktu pembelajaran yang sudah tentu tidak tersusun lagi.

Saya tahu sejak dari bulan Disember lepas, sudah bermula saat getir apabila menghadapi kesukaran berdepan dengan pihak pengurusan apabila bajet Feseni yang dijangka dipotong secara besar akibat kegawatan ekonomi pada masa kini.

Tidak kurang pula dengan kehadiran yang mengecewakan peserta pada perkampungan Feseni 2 minggu sebelum bermula semester 2 yang lalu benar-benar menduga emosi yang ketahanan mental adik-adik ku yang kebanyakannya masih di tahun 2.

Sesungguhnya, saya di sini memohon jutaan maaf kepada semua warga FESENI kerana gagal membantu anda dari segi kewangan ini kerana sesungguhnya hak saya amat terbatas bila berdepan isu ini. Bila saya dengar ada kawan saya merintih menangis tak tahan tekanan, hati saya jadi sayu sedih dan pilu bila kenangkan nasib mereka tanpa saya boleh membuat apa-apa.

Apa yang saya mampu buat adalah sekadar memberi sokongan moral pada anda sahaja dan memberika semangat agar perjuangan perlu diteruskan dan bukan terhenti akibat cabaran-cabaran yang getir ini.

Feseni akhirnya bermula pada akhir Mac lalu dengan keresahan yang tak sudah melanda bukan sahaja saya malah kesemua ahli jawatankuasa FESENI kali ini yang resah adakah kita mampu sekurang-kurangnya mengekalkan prestasi kita pada tahun lepas? Hari demi hari dan dengan izin Allah, ASTAR menempah nama dan kejayaan dalam kebanyakan acara yang disertai termasuk beberapa acara yang tidak pernah kita juarai sebelum ini.

Akhirnya Feseni ditutup semalan dengan saat paling manis bila diumumkan Kolej Kediaman Pertama muncul juara keseluruhan Feseni 08/09 mengalahkan pesaing tradisi kita kolej 12 dan kolej 9.

Saat kegemilangan ini benar-benar memberikan impak besar dalam sejarah hidup saya sepanjang 3 tahun berada di kolej ini kerana tidak disangka-sangka kita yang sebelum ini hanya mampu merangkul naib juara akhirnya menampakkan kenaikan prestasi dengan kejuaraan pada tahun ini.

Tetapi adik-adik kita boleh bergembira menyambut kejayaan ini tetapi kita harus ingat yang ini juga satu tanggungjawab yang berat kerana mempertahankan kejuaraan adalah lebih susah daripada mengejar kejuaraan itu adik-adik.

Dengan itu, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan pada kesemua peserta Feseni dan teruskan perjuangan anda pada sesi depan pula bagi memartabatkan seni Astar di UM ini khususnya.

Tak dilupakan juga kepada rakan-rakan yang banyak membantu secara belakang tabir seperti Maamin and crew teknikalnye, Ijat a.k.a mamak, Apip, Yazman n pasukan penyokong di terajui oleh Faris a.k.a Ayie yang sungguh mantap, semangat dan berdedikasi dalam melancaran setiap acara terutamanya bagi pasukan ASTAR.

Kepada yang berjaya, teruskan prestasi anda untuk mencapai kejayaan bagi acara yang sama pada sesi hadapan dan pada yang kurang berjaya teruskan usaha dan jadikan ia sebagai satu cabaran untuk kita mencapai kejayaan lebih baik di sesi akan datang.

Selamat maju jaya dalam menghadapi peperiksaan yang akan datang pertengahan April ini kepada semua penghuni kolej kediaman dan teruskan perjuangan anda. Jangan anda berpuas hati hanya pada satu tahap kerana perjalanan kita masih panjang dan sehingga kini, ia masih belum sempurna..Seni menjulang ASTAR.

ASTAR is FIRST!
UM is ONE!!

Friday, 3 April 2009

Tahniah Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak, Pedana Menteri Malaysia Ke-6

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Hari ini akan menjadi hari yang besejarah dalam kalender negara kita apabila Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak (DS Najib) bakal ditabalkan dan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-6.

Saya mewakili suara ASTAR ingin mengucapkan sekalung tahniah terhadap DS Najib atas pelantikan beliau dalam memegang jawatan nombor satu dalam kerajaan Malaysia.

Tidak dilupakan ucapan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri Malaysia ke-5 iaitu Tun Abdullah Hj. Ahmad Badawi yang telah memimpin negara dengan jayanya dan membawa pelbagai jenis perubahan terutamanya dari segi sahsiah dan integriti rakyat Malaysia.

Saya secara peribadinya mengharapkan DS Najib akan meneruskan kepimpinan dan menjalankan tanggungjawabnya di tahap yang terbaik seperti yang pernah dipikul oleh ayahanda beliau, Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia ke-2.

DS Najib yang terkenal dengan dengan ilmu kepimpinan dan semangat berpolitiknya tidak lari dari kelemahan-kelemahan yang jelas dan nyata kerana beliau juga insan biasa ciptaan Allah sama seperti kita semua.

Oleh itu, saya mengharapkan agar seluruh rakyat Malaysia memberi sokongan padu pada DS Najib agar beliau dapat memimpin negara dengan adil, tegas, dedikasi dan berkebajikan.

Kita berhak menegur mana-mana pemimpin jika beliau tidak menjalankan tugas dengan baik tetapi gunakan saluran yang betul dan cara yang terbaik kerana negara kita merupakan negara yang demokrasi dan terbuka untuk sebarang pendapat.

Semoga pelantikan beliau yang akan diadakan pada hari ini akan memberi sedikit sebanyak impak pada kerajaan supaya lebih menitikberatkan unsur kebajikan dan kembali kepada rakyat untuk memenangi semula hati rakyat.

Akhir kata, sekali lagi saya ingin ucapkan tahniah dan syabas kepada DS Najib. Semoga Dato Seri akan terus mengutamakan aspirasi rakyat memacu negara ke arah kejayaan.

Thursday, 2 April 2009

Sayang Bumi Yang Kita Pijak

Assalamualaikum Dan Salam Perpaduan

Sejak dari kecil lagi kita belajar dan diterapkan dengan semangat patriotik atau semangat cintakan negara untuk kita sedar dan berusaha sama-sama memakmurkan dan memajukan negeri kita ini.

Walau bagaimanapun, adakah kita sudah boleh katakan yang kita ini patriotik pada negara?

Mungkin definasi patriotik menurut kamus dewan mahupun pakar bahasa akan merungkai segala-gala persoalan tetapi hakikatnya pada saya, ia membawa kita hanya kepada satu objektif iaitu untuk kita terus sayang dan menyanjungi negara kita ini.

Negara kita yang baru 51 tahun merdeka sudah mengalami transformasi yang padu dari pembangunan sahsiah, pendidikan, ekonomi dan pelbagai macam lagi hasil usaha dan aspirasi yang dibawa oleh pemimpin negara yang terdahulu.

Semangat patriotik mereka jauh menjangkaui pemikiran kita dan apa yang patut contohi adalah usaha gigih mereka ini bukan untuk diri sendiri akan tetapi bagi memajukan lagi anak bangsa mereka, tanah yang dipijak dan agama yang dianuti.

Sahabat yang saya sayangi sekalian,

Kita perlu banyak membaca sejarah bagi kita tahu bagaimana pengorbanan yang telah dibuat oleh pemimpin terdahulu untuk membebaskan negara kita daripada cengakaman penjajah.

Bukan setakat harta mahupun pangkat, malah keluarga dan nyawa sanggup digadai demi membebaskan bumi yang mereka pijak ini daripada diganyang oleh nafsu penjajah yang rakus bak binatang.

Berkat usaha gigih pejuang-pejuang tanah Melayu ketika itu, 446 tahun setelah kerajaan Melayu Melaka tumbang, Persekutuan Tanah Melayu berjaya mengukir namanya sebagai negara sendiri tanpa bergantung harap pada sesiapa lagi.

Dengan pengorbanan oleh pejuang-pejuang seperti Dato Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman, kita bebas dari cengkaman penjajah dan bersedia untuk memacu negara ke arah acuan kita yang tersendiri.

Aspirasi rakyat diteruskan lagi dengan kepimpinan yang hebat seperti Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Mahathir dan yang terbaru Dato Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi.

Mereka yang telah memacu negara selama 51 tahun ini telah banyak bekorban dan berusaha bagi meneruskan agenda pemulihan sosio-ekonomi rakyat serta secara terus memartabatkan negara di mata dunia.

Daripada ladang kelapa sawit, ladang getah dan lombong timah, kita sudah menukarkannya kepada Menara Berkembar KLCC, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC) dan banyak lagi kemewahan yang kita kecapi selama ini.

Oleh sebab itu, saya ingin mengajak rakan-rakan untuk sedar bertapa bertuah kita berada di bumi Malaysia ini dan saya yakin, kita mungkin tidak dapat lagi menjumpai bumi yang bertuah seperti Malaysia di mana-mana tempat yang lain.

Dengan itu, kita sudah semestinya wajib menyayangi dan mencintai negara kita seadanya dan sebolehnya jangan membuat onar dalam negara kita ataupun menjadi gunting dalam lipatan, menanti masa untuk memecahbelahkan kita antara satu sama lain.

Kita boleh belajar semangat itu dari sekarang sebagai mahasiswa kampus umumnya. Siswa dan siswi harus belajar menyanyangi kampus masing-masing dan jaga keamanan kampus sebagaimana kita mahu negara kita aman.

Tak perlu kita mencetuskan huru-hara mahupun menanam perasaan hasad dengki sesama kita sebaliknya kita perlu bersatu padu dan mengembelengkan tenaga dan kebijaksanaan kita ke arah memajukan lagi universiti kita ini.

Kelak bila kita keluar ke alam pekerjaan, kita tidak akan lagi merasa nikmat ataupun keseronokan hidup sebagai mahasiswa malah kita akan lebih dihujani beban dan tanggungjawab yang lebih mencabar kelak.

Oleh itu, pupuklah semangat cintakan negara kita dari sini. Kita mulakan dengan kampus kita dan seterusnya negara kita agar kita tidak akan dipijak oleh anasir-anasir luar yang tidak serik-serik mencuba untuk mencabul kedaulatan negara kita ini.

Akhir kata, sebagai rakyat Malaysia ayuh bangun dan lafazkan..AKU SAYANG BUMI YANG AKU PIJAK INI!!