Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Thursday, 28 January 2010

Calon Umum Diugut

Assalamualaikum W.B.T. dan Salam Sejahtera.

Semalam, beberapa calon umum yang menyokong Penggerak Mahasiswa mendapat satu sms berbaur ugutan. Mereka sudah melaporkan hal ini ke pihak polis dan masih lagi menunggu siasatan polis.

No yang tidak dikenali (0142323655) telah menghantar sms ugutan dan cacian kepada beberapa calon umum ini amat biadap dan merupakan orang yang tidak menghormati demokrasi kampus.

Gerak ASTAR mendapat sumber daripada salah seorang calon umum dan melampirkan bersama gambar sms ugutan yang dibuat oleh orang yang tidak dikenali ini. Sama-sama kita fikirkan.



GERAK@ASTAR
Sumber: Gerak ASTAR

Wednesday, 27 January 2010

PFS…Di Mana Letaknya??


Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Baru-baru ini Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengumumkan 20 sekolah hebat ataupun pengiktirafan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) yang menyaksikan pengetua dan guru besar diberi autonomi tambahan dalam pengurusan kurikulum, kewangan dan kakitangan.

Sekolah terbabit terdiri daripada 10 sekolah berasrama penuh, empat sekolah harian biasa dan enam sekolah kebangsaan.

Sekalung tahniah buat SMK (P) St George selaku wakil tunggal sekolah daripada Pulau Pinang yang mendapat pengiktirafan ini.

Tetapi hal ini juga menimbulkan beberapa persoalan di dalam benak saya apabila sekolah yang tertua di Asia Tenggara, ‘alma matter’ saya yakni SMK Penang Free (PFS) tidak tersenarai dalam golongan sekolah elit ini.


Sekolah yang seringkali menjadi bualan dan idaman setiap pelajar di Pulau Pinang ini nampaknya hanya mampu menjadi ‘jaguh kampung’ dan nyata sudah hilang taring untuk bersaing di peringkat nasional.

Dahulunya sekolah ini menempatkan pelajar terbaik seluruh Pulau Pinang dengan prestijnya sendiri nyata sudah gagal dipertahankan oleh pentadbiran baru sekolah ini.

Seingat saya, kali terakhir PFS menjulang namanya adalah pada ketika En. Arabi menjadi pengetua pada masa itu, ketika saya berada di tingkatan 5.

Selepas itu, beberapa siri kunjungan saya ke sekolah itu nyata mengecewakan apabila melihat beberapa guru berkaliber sekolah berkenaan sudah tidak lagi berada di sana dan juga aktiviti persatuan di sana semakin longlai.

Pada sekitar tahun 2000, PFS adalah antara sekolah yang terbaik dalam sukan hoki, kawad kaki dan juga pancaragam tetapi itu hanya tinggal kenangan apabila nama PFS masa kini kian terpadam.

Pengurusan PFS perlu membuat penilaian supaya nama baik sekolah ini mampu digilap semula dan dinaikkan kembali demi menjaga reputasi nama sekolah ini.

Tidak dinafikan, beberapa siri mempolitikkan sekolah ini mungkin menjadi salah satu sebab kenapa PFS tidak mampu lagi bersaing dalam kancah pendidikan negara.

Campur tangan mana-mana parti politik dalam pengurusan pendidikan negara harus segera diatasi supaya pihak pengurusan sekolah tidak menghadapi apa-apa tekanan luar sebaliknya dapat menumpukan perhatian untuk menghasilkan produktiviti yang baik.

Sikap pelajar juga perlu diambil berat kerana disiplin dan semangat untuk belajar itu perlu dilahirkan oleh guru-guru dan nilai-nilai murni yang ada pada guru-guru perlu diterapkan pada pelajar masa kini.

Selain itu, penerapan agama dan moral juga perlu dijalankan sebaiknya untuk membentuk remaja yang mempunyai peribadi yang baik agar mereka boleh menjadi insan yang berguna justeru menjadi seorang pemimpin yang baik masa pada masa akan datang.

PFS merupakan sekolah yang pernah melahirkan tokoh-tokoh negara seperti Tunku Abdul Rahman, P. Ramlee dan sebagainya perlu terus diabadikan dan usaha gigih perlu dijalankan untuk membersihkan nama yang tercalit arang padanya.

Walaupun PFS gagal mendapat pengiktirafan itu, saya yakin ada hikmah yang sebaiknya dan ini harap-harap dapat menyedarkan pihak pengurusan dan pelajar PFS supaya keluar daripada ‘comfort zone’ masing-masing kerana anda bukan lagi yang terbaik di Pulau Pinang, bahkan pula Malaysia.

Keluhan ikhlas saya ini diharapkan mampu membuka mata rakyat tidak kira pelajar, pendidik mahupun pihak pentadbiran agar kita tidak dibuai mimpi enak kerana menganggap diri kita selesa mendahului orang lain.

Bak kisah perlumbaan arnab dan kura-kura, selaju mana arnab itu dek kerana kemalasan dan semangat bongkaknya arnab itu kalah jua pada kura-kura yang semua orang tahu sejenis binatang yang bergerak sangat perlahan tetapi mempunyai semangat yang kental dan tidak mudah mengalah.

Bangkitlah PFS, semoga PFS dapat membuktikan pada rakyat terutamanya warga Pulau Pinang bahawa PFS masih sekolah terbaik di Pulau Mutiara ini.

Monday, 25 January 2010

Masa Sudah Tiba

Assalamualaikum Dan Salam 1Malaysia.

Saat dan ketika yang paling ditunggu-tunggu oleh sekelompok mahasiswa yang benar-benar faham akan perjuangan dan politik kampus kembali semula apabila Pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa (PMPM) dengan rasminya bermula hari ini.

Hari ini tanggal 25 Januari 2010 telah berlangsung sesi penamaan calon di Auditorium Kompleks Perdanasiswa (KPS) bermula seawal jam 9 pagi dan sehingga jam 6 petang, sesi bantahan calon masih belum selesai.

Calon-calon dijangka akan memulakan kempen dua hari mereka bermula esok hari sehingga hari Rabu sahaja, antara tempoh terpendek kempen dalam sejarah PMPM sebelum ini.

Suasana pada pagi ini dihangatkan lagi dengan pertembungan dua kumpulan besar yang menggungguli politik kampus terutamanya di Universiti Malaya (UM) ini iaitu Pro-Mahasiswa (Pro-M) dan juga Penggerak Mahasiswa (Gerak).

Suasana panas pagi tadi tidak dihiraukan dengan kedua belah pihak saling bertelagah, bertikam lidah menuduh, memfitnah, membuat provokasi serta ada juga yang merujuk pada perpaduan dan perjanjian.

Kami di pihak Gerak tidak akan menyekat mana-mana calon tidak kira tajaan kumpulan mana sekalipun untuk membuat kempen mereka di kolej-kolej mahupun di fakulti masing-masing selagi mereka mengikut syarat dan peraturan yang disediakan.

Kami faham niat Pro-M yang mahu masuk ke kolej-kolej sewenang-wenangnya tetapi jangan ingat kami ini sebodoh itu untuk membiarkan pihak anda membuat onar terutamanya di kolej-kolej kediaman.

Kejadian tahun lepas, di mana beberapa orang Pro-M menceroboh masuk kolej-kolej kediaman tanpa sebarang surat permohonan mahupun pemberitahuan lisan pada pihak kolej menyebabkan beberapa insiden kurang baik terjadi.

Seperti tahun-tahun lepas, ada yang mencuri kain rentang calon-calon tajaan Gerak (ketika itu dikenali sebagai Aspirasi Mahasiswa) dan membakarnya secara terang-terangan di hadapan salah sebuah kolej kediaman.

Tetapi baru-baru ini Pro-M yang melemparkan fitnah tanpa bukti di mana mereka menuduh barisan penyokong Gerak telah pergi membakar kain di hadapan penyokong Pro-M nyata menunjukkan mereka sangat menagih undi simpati.

Oleh itu, saya dan rakan-rakan saya akan mempertahankan ‘rumah’ kami daripada mereka ini membuat onar dan menghuru-harakan serta mengotorkan tempat kami dengan risalah-risalah mereka.

Jika nak masuk rumah orang, apa salah beri salam dan bukan terus menceroboh begitu sahaja.

Anda semua berlatar belakangkan pengajian Islam sudah tentu lebih memahami akan konsep ziarah ini dan jika ia kena dengan caranya, tidak mustahail kami mampu memberikan layanan istimewa pada anda.

Antara lain isu yang dibangkitkan adalah berkenaan sumbangan RM 5000 yang dikatakan telah diberikan oleh HEPA kepada setiap kolej kediaman untuk membiayai jentera-jentera kolej-kolej kediaman.

Nyata surat yang dikatakan sebagai bukti itu juga sebenarnya diragui kebenarannya apabila saudara Fahmi Adilah, jurucakap Sekateriat Presiden Kolej Kediaman UM (SPKUM) menjelaskan beberapa kemusyikalan yang timbul pada surat itu.

Sudah tentu jika mereka tanya pada Pejabat Bendahari tentang pengeluaran wang itu, pejabat itu sudah tentu tidak tahu menahu kerana asal- usul surat itu sendiri sebenarnya amat meragukan.

Pro-M pernah ’mencipta’ surat yang menyatakan TNC HEPA ingin merasuah Ayuni untuk bertanding di pihak Gerak sesi lalu tidak mustahil muncul dengan surat ’ciptaan’ ini sekali lagi.

Akan tetapi, jika terbukti ia benar daripada HEP sekalipun, saya tidak dapat melihat di mana kaitan wang itu dengan jentera Gerak di kolej-kolej kediaman.

Seperti sesi lepas, HEPA memang ada menyalurkan wang sumbangan kepada setiap kolej untuk membiayai kos-kos bagi setiap kolej kediaman melahirkan modal insan yang terbaik dan pemimpin yang mempunyai ciri-ciri insaniah yang tinggi.

Pihak Bendahari mungkin tidak lagi mendapat sebarang informasi tentang pengaliran wang itu ke kolej kediaman kerana surat itu hanya sekadar memaklumkan, bukan menyatakan wang itu sudah dimasukkan ke dalam akaun kolej.

Mereka yang benar-benar aktif kolej pasti sedar akan birokrasi beberapa jabatan dalam UM ini dan kelewatan menerima duit itu adalah normal terutamanya mereka yang sudah biasa menjalankan projek-projek berpunca daripada kelewatan Pejabat Bendahari mendapat maklumat secukupnya daripada pihak HEPA mahupun kolej kediaman.

Selain itu, Pro-M menimbulkan provokasi terbaru apabila menuduh Gerak sekali lagi menerima rasuah kerana Gerak didapati membawa beberapa orang untuk pergi ke Hotel Quality, Shah Alam.

Sejujurnya saya yakin tiada sebarang rasuah yang diamalkan oleh pihak Gerak kerana sebagai mahasiswa, kami bakal pemimpin negara tegar dalam gejala membanteras rasuah sejajar dengan aspirasi negara dalam ’membersihkan’ negara daripada unsur rasuah.

Saya tidak mahu mengulas berkenaan isu ini kerana saya tidak terlibat secara langsung dan informasi yang saya ada amat terhad, tetapi apa yang boleh dikatakan kami seperti yang lain mencari dana sendiri untuk menampung kos kami sendiri.

Sebagai mahasiswa, saya amat menyokong akan perpaduan terutamanya antara kaum-kaum terbesar di negara ini tetapi kecewa apabila mendapati barisan jentera Pro-M yang hadir pagi ini hanya dimonopoli oleh satu kaum sahaja, seperti meyisihkan ataupun tidak mendapat sokongon kaum-kaum yang lain.

Akan tetapi, saya memuji barisan Gerak dan Pro-M yang menunjukkan kematangan dalam berpolitik pagi ini apabila masing-masing bersetuju untuk bersalaman dan bertanding dalam keadaan adil tidak kira di fakulti mahupun di kolej kediaman.

Syabas dan tahniah buat Gerak yang berjaya mengegar dataran Sains pagi ini dan terima kasih kepada Pro-M yang memberi kami suntikan semangat untuk meneruskan agenda perjuangan kami agar mahasiswa dibela tanpa mengira fahaman mana yang mereka pegang.

Dengan berbekalkan empat teras iaitu Agama, Ilmu, Perpaduan dan Kebajikan, Gerak menyeru mahasiswa untuk menilai manifesto setiap calon sebelum mereka dipilih tanpa sebarang kriteria yang sepatutnya.

Pengundian yang pertama kali akan diadakan menggunakan sistem e-undi ini akan berlangsung pada hari Khamis ini, 28 Januari 2010 bermula jam 9 pagi hingga jam 5 petang.

Saya bagi pihak Gerak menyeru rakan-rakan mahasiswa dan mahasiswi untuk turun mengundi bagi menunaikan hak dan tanggungjawab anda untuk memilih pemimpin yang sebaiknya untuk menerajui pimpinan Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya sesi 09/10.

Akhir kata, selamat berjuang dan selamat berkempen untuk semua calon dan buat mahasiswa UM, bijak mencerna informasi, tolak fitnah dan pilih pemimpin yang anda yakin mampu menyuarakan pendapat anda.

UM is ONE!! Towards 1Malaysia.

Saturday, 23 January 2010

Al-Fatihah

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Rakyat Johor hari ini diselubungi kesedihan apabila Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman mengumumkan berita kemangkatan Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail di sini pada pukul 11.20 malam.

Almarhum mangkat pada jam 7.15 malam di Hospital Pakar Puteri di sini selepas dimasukkan ke hospital itu semalam kerana gering.

Baginda mangkat pada usia 77 tahun selepas hampir 3 dekad memimpin rakyat Johor serta pernah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke lapan sewaktu pemerintahan baginda.

Saya berdoa agar Allah mencucuri rahmat ke atas Almarhum Tuanku . Al-Fatihah..

Monday, 18 January 2010

Minggu Kejutan

Assalamualaikum Dan Salam 1Malaysia.

Syukur pada Allah S.W.T., Tuhan sekalian alam yang masih memberikan kita udara bagi kita bernafas agar kita sentiasa menghagaiNya dan bersyukur padanya serta menambahkan lagi ibadah padaNya agar nikmat yang diberikanNya tidak ditarik kembali.

Selain itu, ada juga khabar-khabar duka yang diberikanNya pada kita dan sesungguhnya kita perlu mengambil segala kedukaan ini dengan cara yang paling baik agar tidak membebankan diri serta merunsingkan minda kita.

Minggu keempat kuliah dimulakan dengan agak mengejutkan apabila berita tarikh pemilihan majlis perwakilan mahasiswa (PMPM) pada tahun ini telah ditetapkan pada 28 Januari 2010 dimana 25 Januari 2010 merupakan tarikh penamaan calon.

Jangan salah faham untuk mereka di sebelah sana, sedikit kami tidak gentar untuk turun berjuang tetapi yang saya rungsingkan adalah nasib para pelajar perubatan yang dijangka cuti pada waktu tersebut serta pelajar pergigian yang dijangka menjalani minggu ulangkaji pada waktu tersebut.

Mereka seolah-olah tidak dihiraukan serta hak mengundi mereka seakan-akan tidak dihiraukan sehingga keputusan ini mampu diambil.

Saya mengharapkan pihak yang berkenaan tampil dengan penjelasan terbaik agar hak mereka dikembalikan dan mereka juga seperti mahasiswa yang lain, mampu memilih calon pemimpin pilihan mereka sendiri.

Selain itu, saya terasa terkilan kerana saya mungkin terlepas salah satu projek yang paling dinantikan setiap pelajar tahun akhir iaitu Makan Malam Pelajar Tahun Akhir, Kolej kediaman Pertama.

Pada malam tersebut, pelajar tahun akhir ASTAR akan diraikan dan sebagai tanda kenang-kenangan terakhir sebelum meninggalkan kolej yang sudah 4 tahun memberikan pengalaman serta pengajaran pada diri kami tersendiri.

Dek komitmen terhadap keluarga yang sudah saya dahului, saya perlu menghadiri majlis perkahwinan sepupu yang di Kelantan pada waktu tersebut dan sangat terkilan kerana tidak dapat berkumpul bersama-sama rakan pelajar tahun akhir ASTAR buat kali terakhir untuk meraikan detik kegembiraan tersebut.

Sebagai pelajar tahun akhir, saya juga tidak ketinggalan dihimpit oleh tugasan akademik yang menimbun dengan projek tahun akhir, tugasan serta tutorial yang begitu sukar diberikan oleh pensyarah tanpa tunjuk ajar untuk saya selesaikan.

Mungkin ini merupakan cabaran yang sangat mencabar buat diriku tetapi saya yakin tiap masalah itu ada penyelesaiannnya dan untuk ini, ketekunan dan kerajinan mengulangkaji adalah kunci dan jawapan bagi segalanya.

Saya sebenarnya cemburu dengan pelajar-pelajar yang sering menelaah di bilik-bilik bacaan mahupun di bilik sendiri tetapi diri ini masih belum terdetik untuk melakukan perkara yang sama.

Saya mohon doa rakan-rakan agar mengiringi doa saya supaya saya dapat berubah untuk menjadi lebih rajin dalam bidang akademik agar saya mampu menamatkan pengajian dengan pngk sasaran 3.7 ke atas.

Walaupun angka ini agak sukar tetapi segalanya mungkin jika sesiapa pun meneruskan usaha selagi masih belum terlambat.

Akhir kata buat waktu ini, dunia ini hanya sementara dan sementara kita berusaha untuk berjaya di dunia, kita juga harus mengimbangi usaha tersebut menuju ke arah Ilahi juga kerana akhirnya kita akan sampai jua ke akhirat, dunia abadi selama-lamanya.

Wednesday, 13 January 2010

Pilihan Raya Pilih Ketua Murid

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Pilihan Raya telah menjadi salah satu simbol demokrasi negara ini kerana ia menjadi saluran buat kita memilih nakhoda kerajaan bagi memacu negara kita ke arah masa depan yang lebih gemilang.

Setiap rakyat Malaysia yang berusia 21 tahun ke atas sudah layak mendaftar sebagai pengundi dan berhak membuang undi pada masa dan ketika yang akan ditetapkan sebagai salah satu tanggungjawab pada negara.

Baru-baru ini, salah sebuah sekolah rendah di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) telah menarik perhatian apabila mengambil langkah membuat satu pilihan raya dengan pemantauan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Wilayah Persekutuan.

MURID Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 1, Kuala Lumpur, Aimi Sarafana Balqis membuang undi pada pilihan raya pemilihan ketua murid, kelmarin. Gambar Ehsan Berita Harian Online


Difahamkan pilihan raya untuk memilih ketua kelas ini sudah dijalankan sebanyak dua kali tetapi baru ini kali pertama dilakukan dengan kerjasama SPR.

Pada satu sudut, ini mungkin menjadi permulaan yang baik bagi mendedahkan murid-murid terhadap demokrasi negara terutamanya dengan cara mengundi.

Ini kerana statistik menunjukkan masih ramai golongan muda yang tidak mempunyai kesedaran bertapa pentingnya pilihan raya pada negara dan masih ramai yang tidak mendaftar pemilih sehingga ada yg sudah berusia senja.

Oleh sebab itu, cara ini mungkin dapat memberi sedikit sebanyak kesedaran pada murid-murid dan penerapan nilan tanggungjawab dalam diri mereka agar mereka semai dan pupuk agar menjadi golongan yang lebih bertanggungjawab pada negara kelak.

Pada satu sudut yang lain, usia seawal mereka iaitu 6-12 tahun masih terlalu awal untuk didedahkan kepada proses pengundian sebenar termasuk dengan pengawasan SPR.

Jika kita ingat kenangan waktu kita bersekolah, kita juga sebenarnya mengundi dalam pemilihan ketua kelas dan sebagainya tetapi hanya dengan cara mengangkat tangan kerana dirasakan cara ini lebih relevan untuk murid pada usia sebegitu.

Ini bukan sahaja seperti mempersendakan tanggungjawab SPR bahkan ia seperti tidak menghargai kewujudan SPR untuk memikul tanggungjawab yang sebenar iaitu mengendalikan pilihan raya di peringkat nasional.

Saya yakin, SPR turut mempunyai cara-cara tersendiri untuk menyemai rasa tanggungjawab kepada semua golongan terutamanya golongan muda untuk menjalankan tanggungjawab dan cara-cara ini lebih sesuai dikenakan pada mereka yang berkenaan seperti pelajar kolej mahupun universiti.

Usia mereka yang kurang matang juga boleh menyebabkan mereka senang terpengaruh terutamanya jika ada terdapat anasir politik yang mempengaruhi minda mereka terutama sekali pembawaan ibu bapa mereka serta pendedahan mereka terhadap media massa.

Salah faham amat mudah untuk berlaku jika proses ini tidak diawasi dengan lebih ketat oleh para guru dan ibu bapa murid-murid supaya segala persoalan mereka dapat dijelaskan dengan cara yang betul dan telus.

Pendedahan ini nyata mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri dan tidak boleh diberikan satu keputusan yang khusus buat masa ini.

Saya harap kita mungkin boleh ambil perkara ini pada sudut positif untuk menyemai sifat demokrasi kepada murid-murid ini tetapi satu langkah-langkah proaktif perlu digiatkan terutamanya bagi membendung langkah ini disalahgunakan.

Selain itu, SPR perlu berusaha lebih keras menarik lebih ramai pemuda untuk terus bertanggungjawab pada negara dengan mendaftar dan mengundi untuk masa depan negara.

Kesedaran individu itu adalah yang paling mustahak dan kita sebagai mahasiswa permata negara perlu sedar akan tanggungjawab kita dan jangan lepaskan kuasa mengundi kita.

Tuesday, 12 January 2010

Larangan memanggil dengan gelaran tidak elok

HAI orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain (kerana) harus puak dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengah yang lain dan janganlah pula kamu memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk.

Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) nama fasik sesudah iman dan barang siapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan yang fasik), maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (al-Hujuraat: 11)

AYAT ini menceritakan keadaan seorang sahabat Rasulullah s.a.w. yang bernama Thabit ibnu Qais ibnu Syammas. Beliau merupakan seorang yang pekak dan tuli.

Walau bagaimanapun, beliau suka menghadiri ceramah-ceramah agama yang diadakan oleh Rasulullah s.a.w. Setiap kali beliau hadir majlis ilmu tersebut, para sahabat yang lain akan memberikannya tempat duduk berdekatan dengan Rasulullah s.a.w. supaya pendengarannya akan lebih jelas dan nyata. Dia juga dapat mendengar dengan lebih baik setiap apa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.

Pada suatu hari, ketika beliau sampai di masjid, tempat yang biasa didudukinya telah diambil oleh orang lain. Beliau pun melangkah selangkah demi selangkah untuk sampai ke hadapan.

Walau bagaimanapun langkahan kakinya tidak disukai oleh orang ramai kerana beliau melangkah di atas belakang dan kepala jemaah di dalam masjid. Ketika beliau melangkah, beliau berkata, “Lapangkanlah, lapangkanlah, berilah aku ruang.”
Tidak diendahkan

Walaupun begitu, kata-katanya tidak diendahkan langsung oleh orang ramai. Beliau pun meneruskan lagi langkahnya sehinggalah sampai ke hadapan, kemudian beliau pun duduk. Apabila beliau duduk, berkatalah lelaki di sebelahnya:

“Ini tempat aku dan aku lebih berhak untuk duduk di situ.”

Thabit tidak mempedulikan kata-kata lelaki tadi. Beliau pun bertanya lelaki tadi, “Siapa kamu ini?”

Jawab lelaki itu, “Si anu anak kepada si anu.” Thabit berasa tidak puas hati dengan jawapan tadi. Beliau pun bertanya lagi sambil menyebut nama ibu lelaki itu dengan panggilan yang memalukan di zaman jahiliah.

“Kamu anak kepada perempuan si anu binti si anukah?”

Apabila mendengar pertanyaan Thabit tadi, lelaki itupun tertunduk malu. Dia malu kerana gelaran itu amat mengaibkan ibunya.

Selepas itu makan turunlah ayat ini, ayat 11 surah al-Hujurat.

Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi pula, pada zaman Rasulullah s.a.w., ada seorang lelaki yang mempunyai dua atau tiga nama gelaran. Orang ramai biasanya memanggil nama lelaki itu dengan nama gelaran yang ketiga. Lelaki tersebut tidak menyukai jolokan itu.

Sehubungan dengan itu, turunlah ayat tersebut di atas. Rasulullah s.a.w. lalu membacakan ayat tersebut. Baginda melarang umat Islam memanggil seseorang lain dengan nama gelaran yang tidak elok.

Pengajaran* Jangan sesekali memanggil seseorang dengan panggilan yang tidak disukai olehnya.
Perbendaharaan kata
* Majlis ilmu: perjumpaan agama
* Jemaah: kumpulan orang beribadat
* Aib: rasa malu atau hina

Informasi

SINGA Allah dan Singa Rasul adalah gelaran agung yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. kepada Hamzah bin Abdul Muttalib. Pada zaman Rasulullah, memang terdapat gelaran-gelaran yang diberikan baginda kepada para sahabatnya. Contohnya, Abu Hurairah (Bapa Kucing) diberikan kepada Abdul Rahman Bin Saqr, Humairah (Pipi Merah) diberikan kepada Siti Aisyah, Asadullah (Singa Allah) diberikan kepada Hamzah Abdul Muttalib, Saifullah (pedang Allah) diberikan kepada Khalid al-Walid. Semua gelaran di atas bukan bertujuan menghina tetapi menunjukkan rapatnya hubungan Rasulullah s.a.w. dengan mereka.