Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Friday, 12 February 2010

Kerajaan Pulau Pinang batalkan perarakan Maulidur Rasul

PULAU PINANG 11 Feb. – Tindakan kerajaan negeri membatalkan perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul yang dibuat setiap tahun amat dikesali.

Setiausaha Sekretariat Perhimpunan Melayu Pulau Pinang, Mohd. Nor Suhaili Jamali berkata, beliau kecewa dengan keputusan kerajaan negeri yang dilihat tidak mengambil kira sensitiviti umat Islam.

Tegas beliau, sebagai sebuah kerajaan yang mengamalkan konsep cekap, akauntabiliti dan telus (CAT) dalam pentadbiran, perkara itu sepatutnya tidak berlaku.

‘‘Kita kecewa dan kesal kerana walau apa pun alasannya, kerajaan negeri boleh membuat perancangan awal dan tidak mustahil ia dilakukan melalui sistem CAT yang mereka uar-uarkan selama ini.

‘‘Kalau alasan sambutan jatuh pada hari Jumaat dan khuatir tergesa-gesa untuk menunaikan solat jemaah, mereka boleh buat di Masjid Negeri dan kawasan masjid ini cukup luas dan mampu menampung jumlah orang yang ramai.

‘‘Jika alasan tiada bajet, berapa sen sangat untuk membeli sebungkus makanan dan minuman untuk para peserta perarakan,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Utusan Malaysia difahamkan, mesyuarat jawatankuasa induk majlis sambutan Maulidur Rasul 1431 Hijrah/2010 Masehi peringkat negeri pada 3 Februari lalu memutuskan perarakan tersebut dibatalkan tetapi majlis perhimpunan ummah diteruskan di Dewan Sri Pinang.

Pekeliling mengenai perkara itu telah diedarkan kepada semua ketua jabatan, ketua badan berkanun dan ketua pengurusan pihak berkuasa tempatan.

Difahamkan, alasan yang diberikan adalah kerajaan negeri mahu membuat kelainan pada sambutan kali ini.

Selain itu, pada tahun ini juga kerajaan negeri tidak memilih mana-mana individu sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul.

Dalam pada itu Exco Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Abdul Malik Kassim ketika dihubungi memberitahu, beliau akan memberikan maklumat mengenai perkara itu dalam tempoh terdekat.

‘‘Saya akan mengumumkan maklumat terperinci sedikit masa lagi,” katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Sementara itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang menerusi laman webnya memaparkan atur cara majlis perhimpunan ummah yang bermula pada pukul 8 pagi sehingga 11.30 pagi.

Antara yang bakal diadakan adalah bacaan al-Quran, persembahan nasyid, pelancaran program e-Munakahat dan forum perdana.

Tahun lalu, perarakan sempena Maulidur Rasul sejauh 2.6 kilometer disertai kira-kira 3,000 orang dari 50 kontinjen bermula di Jalan Padang Kota Lama melalui Lebuh Light, Pangkalan Weld dan Lebuh Chulia sebelum berakhir di Dewan Sri Pinang.

Pada 2008 pula, lebih 2,000 orang membabitkan 36 kontinjen berarak sejauh lima kilometer melalui Jalan Masjid Kapitan Keling, Lebuh Chulia, Lebuh Pantai, Jalan Pesara King Edwards, Jalan Tun Syed Barakbah dan Jalan Padang Kota Lama.

Oleh ZABRY MOHAMAD

Wednesday, 10 February 2010

Ijazah Sarjana Muda di anak tirikan?

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Ketika berada di dalam kuliah, kami satu kelas diajak berfikir sama ada betul atau tidak mahasiswa ijazah sarjana muda di universiti sekarang ini hanya berada di kelas ke 2 atau semakin di anak tirikan.

Buat universiti penyelidikan seperti Universiti Malaya, kemasukan pelajar ijazah sarjana muda akan dikurangkan secara berperingkat sebagai cara lain untuk menambahkan lagi pelajar ijazah sarjana.

Oleh yang demikian, pensyarah akan lebih menumpukan dalam mengambil pelajar ijazah sarjana bagi membantu mereka melaksanakan penyelidikan seperti mana yang diperlukan.

Ini kerana, pensyarah terpaksa memberi keutamaan yang lebih pada hasil kajian dan penyelidikan mereka kerana ini merupakan cara untuk mereka diiktiraf dan dinaikkan pangkat.

Hal ini timbul apabila seorang pensyarah kami nampak terkilan kerana kami mendakwa beberapa perkara yang sepatutnya diajar pada sesi pengajian yang lepas nyata tidak diajar sebelum ini.

Artikel ini bukan berniat untuk mengaib mana-mana pihak terutamanya pensyarah yang memberikan ilmu pada kita tetapi buat masyarakat luar tahu yang kehidupan universti ini bukan lagi kehidupan sekolah mahupun kolej-kolej.

Kami sedar sebagai mahasiswa, kami tidak memerlukan tangan untuk menyuapkan nasi ke mulut kami supaya kami dapat menjamah makanan itu, kami tahu kami mempunyai tanggungjawab untuk berusaha sendiri mendapatkan ilmu itu.

Pensyarah adalah sebagai penunjuk arah bagi kita supaya kita dapat mengembangkan lagi ilmu kita pada arah yang betul dengan cara yang sesuai.

Akan tetapi, dek mengejar status universiti yang lebih tinggi dengan mengutamakan kajian dan penyelidikan, kualiti pengajaran sesetengah pensyarah nyata tidak ke tahap yang diharapkan dan menyebabkan pelajar terkontang-kanting.

Ada yang hanya mengajar dengan menyelak-nyelak buku dan ada juga yang mengajar dengan hanya membaca paparan multimedia yang disediakan sahaja.

Tidak dinafikan ada pensyarah yang berkualiti dengan mutu pangajaran yang baik dan berkomitmen tinggi untuk memahirkan setiap pelajar di bawahnya tetapi ini hanya segelintir kecil sahaja.

Kerajaan membelanjakan duit yang banyak dalam membina modal insan yang baik terutamanya mereka yang terdiri daripada mahasiswa ijazah sarjana muda di setiap IPTA/S.

Akan tetapi penumpuan banyak diberikan pula pada pelajar ijazah sarjana yang rata-ratanya adalah pelajar daripada luar negara dan apabila sampai masanya, mereka akan pulang ke tanah air masing-masing tanpa berbakti pada negara kita.

Pensyarah sepatutnya menaikkan semangat mahasiswa di dalam kuliah dengan pengajaran dan pembelajaran yang baik supaya mahasiswa itu kelak akan lebih berminat mendalami pelajaran itu dan menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana.

Akan tetapi daripada pengalaman saya, sistem pengajaran yang diberikan belum mampu meyakinkan atau menambah minat saya untuk meneruskan pelajaran ke peringkat seterusnya.

Ini akan membawa kerugian kepada negara kerana ini bakal menyebabkan berkurangnya ahli akademik di negara ini seterusnya percambahan ilmu dalam negara mungkin akan terbantut.

Luahan hati saya ini mungkin bukan untuk saya seorang tetapi mewakili mahasiswa yang merasakan merasakan perkara yang sama dan terutamanya pada adik-adik kami yang bakal bergelar mahasiswa kelak.

Pihak pentadbiran seharusnya mencari jalan yang lebih baik dalam meningkatkan lagi kualiti dan kuantiti penyelidikan yang dihasilkan dalam masa yang sama tidak mengabaikan proses pengajaran terhadap mahasiswa ijazah sarjana muda.

Dengan ini, perkembangan akademik negara dilihat mampu berkembang pesat dengan adanya kekuatan bukan sahaja pada hasil yang diberikan oleh penyelidikan pelajar ijazah sarjana malah ditambahkan lagi dengan kekuatan keputusan yang cemerlang oleh pelajar ijazah sarjana muda.

Oleh itu, saya menyeru kepada semua mahasiswa agar tidak hanya bergantung kepada pensyarah semata-mata untuk menimba ilmu dan memperoleh kemahiran yang sewajarnya.

Mahasiswa bukan dilihat berkualiti jika asyik berdemonstrasi dan menunjukkan sifat kurang ajar pada pensyarah mahupun mana-mana pegawai tetapi kebolehan mahasiswa yang sebenar akan tertonjol apabila mereka berjaya menyelesaikan apa jua masalah yang diberikan dengan kuderat mereka sendiri.

Ini kerana kita sebagai aset masa depan negara perlu mendepani segala masalah dan merancang perjalanan hidup kita sendiri walaupun hanya sekadar dibantu atas angin sahaja.

Akhir kata, buat mahasiswa teruskan perjuangan dalam mendalami ilmu pengajian dan menempuh pengalaman hidup tidak kira apa jua cabaran yang mendatang dan buat pihak yang berkenaan, kaji semula sistem pendidikan negara supaya anak bangsa kita sendiri tidak terabai.

Monday, 8 February 2010

Streamyx Uni Cool Pax

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Jika ada sesiapa yang masih ingat apabila Perdana Menteri membentangkan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK 10), beliau menyatakan setiap orang mahasiswa akan mendapat tawaran dan potongan hebat untuk mendapatkan perkhidmatan jalur lebar atau ‘broadband’.

Oleh itu, Streamyx telah mengeluarkan satu promosi terkini khusus buat mahasiswa tahun 1 dan 2 institut pengajian tinggi awam/swasta di mana mereka ditawarkan perkhidmatan ‘broadband’ daripada streamyx dari harga serendah RM 50.

Selain itu, mereka juga akan diberikan sebuah komputer riba jenama HP (lebar skrin 10.1", memori 1 GB RAM, 250 HDD dan banyak lagi) secara percuma apabila mendaftar untuk promosi ini.


Untuk maklumat lanjut anda boleh melayari laman web promosi streamyx ini supaya segala persoalan yang timbul dapat dijawab dengan segera.

Antara sebab mengapa hanya mahasiswa tahun 1 dan 2 sahaja yang boleh memohon kerana anda akan terikat dengan kontrak selama 2 tahun sekurang-kurangnya apabila anda mendaftar untuk promosi ini.

Pada pendapat saya, ini adalah satu promosi yang baik terutamanya buat pelajar yang datang dari latar belakang keluarga yang berpendapatan sederhana dan rendah.

Ini mampu meningkatkan daya saing setiap mahasiswa serta memberi satu suntikan semangat kepada mahasiswa bahawa kerajaan komited menjaga kebajikan dan memberikan kemudahan yang terbaik buat bakal-bakal pemimpin negara suatu hari kelak ini.




Oleh itu, buat yang berminat dan berkelayakan, ayuh jangan lengahkan masa lagi untuk terus mendaftar bagi promosi ini.

Friday, 5 February 2010

Dapatkan Borang Pencalonan MPA

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Penganjur Malam Penganugerahan ASTAR (MPA) sudah pun mengeluarkan borang-borang pencalonan untuk menerima anugerah sempena makan malam berprestij kolej kediaman Pertama ini.

Antara pencalonan anugerah yang bakal diberikan pada MPA fasa 1 adalah;
1. Anugerah Harapan Seni
2. Anugerah Gemilang Seni
3. Anugerah Harapan Sukan
4. Anugerah Sukan Warna Separuh
5. Anugerah Sukan Warna Penuh

Selain itu, MPA pula menyediakan pencalonan bagi anugerah-anugerah berikut;
1. Anugerah Tunas Harapan
2. Anugeran Jasa Budi
3. Anugerah Khidmat Cemerlang
4. Anugerah Seniman & Seniwati ASTAR
5. Anugerah Putera/Puteri ASTAR

Oleh itu, saya ingin menasihatkan rakan-rakan supaya pegi ke kaunter pejabat am untuk mengambil borang-borang pencalonan ini sekiranya anda yakin anda layak.

Borang yang lengkap diisi perlu dihantar bersama-sama sekeping gambar berukuran pasport dan salinan keputusan peperiksaan terkini sebelum 12 Februari 2010 di pejabat am kolej.

Walaupun saya yakin, ramai antara kita bekerja dengan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang pulangan tetapi jangan pula anda tidak mahu diri anda tercalon untuk menerima anugerah-anugerah yang disediakan.

Ini merupakan salah satu cara pihak kolej untuk mengiktiraf dan memberi penghargaan pada mereka yang banyak berjasa pada kolej kediaman dari segi penglibatan dalam aktiviti kolej dan mereka yang mengharumkan nama kolej kediaman kita.

Jadi, jangan biarkan penat lelah anda dilupakan begitu sahaja, ayuh kita ambil borang pencalonan tersebut.

Sekurang-kurangnya ini boleh menjadi tanda penghargaan buat diri anda dan pemangkin semangat anda untuk terus berjuang menaikkan lagi nama ASTAR bukan sahaja di mata UM tetapi di mata masyarakat di luar sana.

ASTAR is FIRST! UM is ONE!!

Wednesday, 3 February 2010

Naib Canselor UM Umum Keputusan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.


Izinkan saya untuk membacakan keputusan rasmi pilihanraya pelajar bagi sesi 2009/2010. Sebelum itu saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih saya kepada semua staf UM yang telah dilantik untuk membantu mengurus pilihanraya ini terutamanya kakitangan Pusat Teknologi Maklumat (PTM), kakitangan akademik, anggota keselamatan dan kakitangan pentadbiran dan sokongan yang dilantik daripada fakulti dan pusat. Kerjasama dan bantuan tuan-tuan dan puan-puan amat dihargai oleh pengurusan universiti.

Tahun ini merupakan kali pertama UM telah menggunakan sistem e-undi yang mana sistem ini telah dibangunkan oleh PTM, UM yang diketuai oleh Dr David Asirvatham. Sebelum berlangsungnya piiihanraya, saya telah mendapat maklumbalas daripada beberapa orang pelajar yang meragui kebolehan dan keutuhan sistem e-undi ini. Oleh yang demikian, saya telah memberi peluang kepada para pelajar untuk menilai sistem ini dengan membawa pakar IT yang mereka lantik sendiri. Sebelum pilihanraya, dengan matlamat untuk memberi pendedahan dan
penerangan kepada semua pelajar, pihak PTM telah mengadakan roadshow dan ujilari sebanyak 8 kali di beberapa lokasi dalam kampus untuk memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk menilainya.

Pada saya adalah amat penting sekali bahawa sistem pengundian yang dibangunkan berasaskan IT ini perlu mantap supaya hasil pengundian melalui sistem e-undi ini tidak akan diragui lagi.

Dalam pertemuan saya dengan Sdr. Mohd Aizat Mohd Salleh, EXCO MPMUM dan rakan-rakan beliau daripada MPMUM pada jam 2.30 petang, 3 Disember 2009 di Bilik Lembaga, Bangunan Canseleri, saya telah mempelawa Sdr. Aizat untuk membawa konsultan IT yang dilantik oleh pelajar sendiri untuk memeriksa dan menguji sistem e-undi. Pada masa itu, Aizat berjanji akan membawa konsultan berkaitan dalam masa terdekat.

Seterusnya pada 22 Januari 2010, jam 8.30 malam di Bilik Lembaga, satu mesyuarat telah diadakan dengan Sdr. Aizat dan rakan-rakan MPMUM dengan disertai oleh pihak MAFREL (Malaysians for Free & Fair Elections). Malangnya pihak konsultan IT yang dikenalpasti oleh Sdr. Aizat tidak hadir juga.

Oleh itu, perbincangan terhadap sistem e-undi tidak dapat dilakukan walaupun pada malam itu pihak PTM turut hadir untuk menerangkannya. Walaupun demikian, saya masih ingin memberi peluang kepada Sdr. Aizat dan MPMUM untuk membawakan konsultan IT dan berunding terus dengan pihak PTM. Oleh kerana konsultan IT yang dijanjikan oleh Aizat tidak muncul, akhirnya konsultan IT alternatif telah dikenalpasti oleh Sdr. Timothy Cheng, seorang EXCO MPMUM. Konsultan IT ini bernama Ng Hoong Ern yang merupakan seorang pelajar tahun akhir Sains Komputer di Universiti Harvard. Pemeriksaan kepada sistem IT e-undi UM oleh konsultan ini iaitu Ng Hoong Ern telah dilakukan pada I Februari 2010 dengan dihadiri oleh 3 orang pelajar (Timothy Cheng, Ridhuan Osman dan Shafie Hashim) dan beberapa orang staf PTM yang diketuai oleh Puan Haslina. Sdr Ng Hoong Ern telah menghantar laporan beiiau kepada saya yang saya telah terima pada jam 7.00 petang semalam.

Sedutan dari laporan Sdr Ng Hoong Ern itu ada menyatakan: "The source code of each aspect of the system was inspected and no obvious discrepancies were noted. On general inspection of the code, the flow of the system was found to be smooth with no glitches." Dalam laporan ini juga, beliau turut memberi beberapa cadangan untuk penambahbaikkan sistem IT yang telah dibangunkan. Saya juga ingin memetik rumusan yang beliau nyatakan dalam laporan beliau yang berbunyi: "As an electronic system, the e-voting system is reliable and secure."

Daripada laporan konsultan IT ini dan ujian-ujian yang telah dilakukan oleh PTM, saya dapat merumuskan bahawa sistem IT e-undi yang telah dibangunkan ini boleh dan amat wajar digunakan sebagai ganti kepada sistem mengundi yang lampau. Daripada laporan itu jelas pada saya, pihak konsultan IT Sdr Ng Hoong Ern tidak langsung mempersoalkan keboleharapan dan keutuhan sistem e-Udi UM. Saya juga berpendapat bahawa semua staf PTM yang terlibat dalam pembangunan sistem IT eundi ini tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam pilihanraya pelajar ini dan mereka telah membangunkan sistem e-undi ini sebaik mungkin dengan tahap profesiolnalisma yang tinggi. Untuk makluman para hadirin sekelian, Universiti Harvard sendiri telah menggunakan sistem e-undi dalam pilihanraya pelajar mereka seperti yang diberitahu oleh konsultan Sdr Ng Hoong Ern.

Setelah proses pengundian dilaksanakan Khamis, 28hb Januari lepas, terdapat bantahan dari pelajar dan saya telah memberi peluang kepada 10 orang wakil pelajar yang membantah untuk berbincang dengan saya di Pejabat saya pada keesokan hari iaitu Jumaat lepas. Dalam pertemuan tersebut, banyak aduan telah dikemukakan kepada saya yang mana kebanyakkannya adalah berkisar kepada pengurusan proses pilihanraya. Saya telah kaji semua aduan itu dan telah mengklaiifikasikan aduan-aduan itu kepada dua kategori: (1) perkara-perkara yang berkemungkinan boleh menjejaskan integriti sistem e-undi dan (2) perkara-perkara yang merupakan kelemahan pengurusan dan perjalanan pilihanraya tetapi tidak-menjejaskan keputusan e-undi. Saya telah mengarahkan staf penyiasit saya untuk segera menyiasat aduan-adaun dalam kumpulan pertama iaitu perkara-perkara yang boleh menjejaskan integriti sistem e-undi. Hasil siasatan mereka menunjukkan bahawa semua perkara-perkara yang diadukan dalam kategori pertama tidak terbukti telah menjejaskan integriti keputusan pilihanraya baru-baru ini.

Manakala, aduan-aduan lain dalam kategori kedua berkaitan pengurusan, Pelaksanaan dan perjalanan proses pilihanraya dan pengundian terutamanya oleh pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) telah, sedang dan akan terus disiasat atau dikaji untuk tujuan penambahbaikan perjalanan pilihanraya pada masa hadapan. Sekiranya aduan berkenaan memperlihatkan terdapat sebarang pelanggaran peraturan atau penyalahgunaan kuasa atau lain-lain kesalahan yang disabitkan kepada staf atau pelajar universiti, tindakan sewajarnya mengikut peruntukan peraturan universiti sedia ada akan diambil ke atas mereka yang terbabit.

Berbalik kepada pilihanraya yang berlangsung minggu lepas, telah dilaporkan terdapat 14 bantahan yang diterima selepas pemilihan ditutup pada jam 6.00 petang, 28 Januari 2010. Bantahani ni telah dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Bantahan dan 4 daripada bantahan tersebut telah dirujuk kepada Jawatankuasa Rayuan. Jawatankuasa Rayuan, yang dipengerusikan oleh Prof Khaw Lake Tee, TNC (Pembangunan) telah menimbangkan bantahan tersebut dan kesemua bantahan telah ditolak oleh Jawatankuasa Rayuan.

Berdasarkan kepada fakta-fakta di atas, dengan ini saya mengisytiharkan bahawa keputusan pilihanraya pelajar yang telah saya umumkan pada 28 Januari 2010 adalah dengan rasminya SAH dan DIKEKALKAN.

Sekian. terima kasih.

GHAUTH JASMON
Naib Canselor,
Universiti Malaya.
3hb Februari 2010.

p/s. Penggerak Mahasiswa dengan SAH menang Pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa sesi 2009/2010 dan dengan SAH mampu membentuk kabinet mereka sendiri. UM is One! Towards 1Malaysia.

Saturday, 30 January 2010

Kecoh-Kecoh Di UM!!

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Sesi pemilihan majlis perwakilan mahasiswa (PMPM) yang dijangka mudah dan cepat apabila menggunakan e-undi nyata meleset apabila keputusan PMPM sesi ini terpaksa ditahan untuk siasatan lanjut.

Ini berikutan sebuah kumpulan yang menggelar diri mereka Pro-Mahasiswa (Pro-M) dengan lantang membantah penggunaan e-undi kerana mendakwa ada keraguan pada sistem berkenaan.

Selain itu, mereka juga meminta agar PMPM dijalankan semula dengan cara manual iaitu menggunakan kertas undi, bukan menggunakan komputer seperti yang digunapakai sesi ini.

Keadaan menjadi huru hara apabila sekumpulan mahasiswa menyerbu masuk Canselori UM untuk meminta Naib Cancelor UM, Prof. Dato’ Ghauth Jasmon menunaikan janji beliau iaitu meletak jawatan sekiranya sistem e-undi tidak telus.

Akan tetapi, tindakan mereka boleh disimpulkan sebagai keterlaluan kerana masih belum ada bukti menunjukkan sistem yang diguna pakai adalah tidak telus dan terdapat penyelewengan pada mana-mana bahagian.

Mereka yang menjerit dan memekik supaya NC dan TNC keluar memberikan penjelasan bermula jam 10.30 pagi semalam mula mengganas apabila merempuh masuk dan naik ke aras pejabat NC setelah mereka tidak dihiraukan.

Kira-kira jam 11.30 pagi, Prof. Dato’ Dr. Ghauth Jasmon bersama Prof Madya Dato’ Dr. Azarae diiringi beberapa orang polis kelihatan menuju ke DTC untuk membuat pengumuman berkenaan keputusan rasmi PMPM setelah menimbangkan bantahan beberapa calon MPMUM sesi ini.

Keadaan kembali tegang apabila seorang penyokong Pro-M menjerit ‘rasuah’ terhadap NC menyebabkan NC terpaksa naik berhadapan dengan sekumpulan mahasiswa tersebut untuk menjelaskan perkara yang sebenar.

Di pihak Penggerak Mahasiswa, sistem e-undi sememangnya baru dan ketelusan sistem ini masih juga diragui.

Akan tetapi, Gerak tidak bercadang untuk mengadakan demonstrasi bagi membantah e-undi malah menyambut baik cadangan NC untuk menjemput mana-mana kumpulan penyiasat luar untuk menyiasat sistem e-undi UM.

Pada pendapat peribadi saya, NC seorang tokoh yang sangat terkenal tidak perlu menggunakan e-undi untuk memperalatkan mahasiswa kerana tugasan beliau yang lain lebih penting.

NC merupakan tunjang utama UM mengorak langkah ke rangkin 180 THES sepatutnya dihormati dan ada banyak cara ain bagi mahasiswa meluahkan pendapat dan aduan.

Saya bukan menulis artikel ini untuk membela NC ataupun sesiapa sekalipun tetapi atas kapasiti saya sebagai mahasiswa yang berfikiran waras, orang yang lebih muda seharusnya menghormati orang yang lebih tua.

Tidakkah kita mengambil rasa hati beliau, apabila kita yang mengaku sebagai ‘anak’ beliau menjerit, memekik dan menuduh beliau dengan pelbagai tohmahan tanpa usul periksa dan bukti yang sahih.

Kami juga tidak mahu dilayan seperti budak tadika dan menurut apa sahaja yang diperintahkan tetapi kami di pihak Gerak tahu masih ada banyak saluran yang sesuai terutamanya bila berhadapan dengan orang seperti NC.

Jika bukan kerana pangkatnya sekalipun, kita harus menghormatinya beliau daripada segi faktor usia yang jauh berbeza dengan kita.

Bertambah sedih apabila orang yang berperilaku sedemikian adalah orang yang mendalami ilmu agama Islam setiap hari di akademi mereka membuatkan saya tertanya adakah Nabi Muhammad mengajar umatnya sebegitu.

Mungkin ilmu agama saya cetek tetapi saya belum pernah menghadiri majlis ilmu yang menerangkan Allah ataupun Rasullullah mengajar kita untuk berkelakuan kasar dan kurang ajar terhadap orang tua yang seagama dengan kita walaupun dia bersalah.

Oleh itu, keputusan PMPM yang sebelum ini diumumkan pada hari Khamis yang lepas digantung buat sementara sambil menunggu keputusan siasatan terhadap ketelusan sistem berkenaan dan juga siasatan berkenaan TNC HEPA yang menyalahgunakan kuasa.

Pada Khamis yang lepas, Penggerak Mahasiswa mendominasi kerusi MPMUM sesi 09/10 dengan majoriti mudah 21 kerusi berbanding 16 yang diperolehi oleh Pro-M dan 3 orang menyatakan diri mereka bebas iaitu 2 wakil fakulti undang-undang dan seorang dari Pusat kebudayaan.

Pada pendapat saya, keadaan huru hara ini sengaja diadakan bagi mengelakkan kabinet Penggerak Mahasiswa ditubuhkan dan saya pasti jika Pro-M memperoleh kerusi majoriti, hal ini mungkin tidak dibesar-besarkan.

Walau apa jua alasan dan sebab berlakunya kekecohan ini, saya tetap yakin yang kebenaran akan pasti menang dan tindakan mereka ini suatu hari kelak akan memakan diri mereka sendiri.

Kepada mahasiswa di luar sana, saya mengharapkan anda sudah boleh menilai yang mana intan dan yang mana kaca kerana orang yang mendakwa mereka malu dengan UM ini sebenarnya orang-orang yang memalukan UM sebenarnya.

Tapi bagi mereka, mereka yakin yang perjuangan mereka sebenarnya berlandaskan syariat Islam untuk menuntut keadilan dan demokrasi.

Mahasiswa lebih cerdik untuk menilai sama ada tindakan ini mencerminkan syariat Islam ataupun kata-kata hipokrit semata-semata, kerana niat sudah menghalalkan cara bagi mereka.

Akhir kata dari saya, sama-sama kita doakan agar kebenaran kembali ditegakkan dan cara semoga Allah memberikan kemaafan bagi orang-orang yang biadap kepada orang yang lebih tua daripada mereka.

Kami pendokong Penggerak Mahasiswa menyokong penuh kepimpinan Naib Canselor UM, Prof. Dato' Dr. Ghauth Jasmon.

UM is ONE!! Towards 1Malaysia!

Thursday, 28 January 2010

Calon Umum Diugut

Assalamualaikum W.B.T. dan Salam Sejahtera.

Semalam, beberapa calon umum yang menyokong Penggerak Mahasiswa mendapat satu sms berbaur ugutan. Mereka sudah melaporkan hal ini ke pihak polis dan masih lagi menunggu siasatan polis.

No yang tidak dikenali (0142323655) telah menghantar sms ugutan dan cacian kepada beberapa calon umum ini amat biadap dan merupakan orang yang tidak menghormati demokrasi kampus.

Gerak ASTAR mendapat sumber daripada salah seorang calon umum dan melampirkan bersama gambar sms ugutan yang dibuat oleh orang yang tidak dikenali ini. Sama-sama kita fikirkan.



GERAK@ASTAR
Sumber: Gerak ASTAR