Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran mewartakan antara skema yang dititikberatkan untuk kemasukan pelajar ke IPTA adalah mencapai kepujian untuk subjek Sejarah dalam peperiksaan SPM.
Antara IPTA yang pertama menyahut seruan kerajaan adalah UiTM yang mahukan bakal pelajar UiTM perlu terdiri daripada mereka yang benar-benar memahami sejarah.
Sehubungan dengan itu, banyak yang diperkatakan mengenai subjek Sejarah dan pembaharuan yang akan dibuat bagi memperkuatkan lagi pemahaman pelajar mengenainya.
Akan tetapi walau diperhalusi sedalam mana sekalipun berkenaan sejarah, adalah sukar bagi mendapatkan seorang pelajar yang benar-benar ‘memahami’ Sejarah jika format peperiksaan tidak diubah.
Boleh dikatakan hampir 90% pelajar yang mengambil peperiksaan di Malaysia hanya menghafal fakta-fakta yang tertulis dalam buku teks, jauh sekali daripada memahaminya.
Walaupun format diubah kepada tugasan atau ‘assignment’ yang lebih diberikan sekalipun, pelajar di abad yang serba moden ini sudah pandai menggunakan internet untuk salin dan cetak.
Jika mereka tidak mahu ditangkap plagiat sekalipun, mereka akan mengubah beberapa kata-kata yang senang agar ia tidak kelihatan serupa.
Dengan kata mudahnya, tugasan yang diberikan bukan sekadar tidak difahami malah meeka juga tidak membaca apa yang mereka salin daripada internet itu kerana apa yang mereka mahukan adalah gred yang baik.
Oleh itu jika kerajaan benar-benar mahukan pelajar itu memahami dan mendalami sejarah, satu mekanisma yang lebih teratur dan menjurus kepada objektif perlu diwujudkan.
Ini kerana sekadar menghafal fakta dan menyalin daripada sejarah, sesiapa sahaja boleh mendapat kepujian bermakna apa yang telah ditakrifkan oleh kerajaan bukan sahaja tidak menepati objektif malah lebih teruk mereka meneruskan kesalahan yang lampau bertopengkan perubahan baru.
Apa yang pelajar ini perlukan adalah kajian demi kajian dan pembentangan kepada semua kajian-kajian mereka untuk menilai sejauh mana pemahaman mereka terhadap kajian yang telah dijalankan.
Dari segi mental, pelajar yang cekap menghafal memang mudah menterjemahkan apa sahaja hafalan mereka melalui tulisan di atas kertas tetapi bila ia disoal oleh guru mahupun rakan sekelas, rasa gugup itu boleh menghilangkan semua hafalan mereka dan apa yang tinggal hanya apa yang mereka fahami.
Dengan itu, guru mampu menilai tahap kefahaman sebenar pelajar itu malah ia sebenarnya lebih menjimatkan wang dari segi pencetakan kertas peperiksaan dan masa dari segi peruntukan untuk menyemak kertas-kertas peperiksaan pelajar tersebut.
Selain itu, kita mempunyai banyak aliran sekolah seperti sekolah aliran kebangsaan, aliran jenis kebangsaan dan juga aliran agama Islam.
Ini juga mungkin menyumbangkan kepada kegagalan rancangan kerajaan ini kerana ‘handicap’ yang perlu diberikan kepada beberapa sekolah jenis kebangsaan.
Bukan saya ingin menuduh, tetapi bolehkah anda bayangkan sekolah jenis kebangsaan mengajar dan menitikberatkan kepada pelajarnya yang kontrak sosial perlu dijaga dan menghormati hak istimewa Melayu di Malaysia?
Jika difikirkan dan dibayangkan semula, ia boleh dianggap sebagai kelakar tetapi realitinya perlu ditimbang kerana ini sebenarnya wujud di dalam negara kita ini.
Oleh itu, mereka yang mahukan pelajar anak bangsa mereka mendapat kepujian dalam sejarah mampu berbuat apa sahaja contohnya mengurniakan ‘handicap’ tertentu kepada pelajar-pelajarnya.
Ini adalah cabaran yang perlu ditangani oleh Kementerian Pelajaran kerana bukan mudah untuk menguatkan jati diri seseorang hanya berdasarkan keputusan peperiksaan sahaja.
Akhir kata, sikap sayangkan negara dan memahami kronologi sejarah negara tidak mampu dicapai melalui peperiksaan sahaja tetapi jiwa dan hati mereka perlu dipahat dengan tinta-tinta sejarah negara untuk menjadikan mereka seorang warganegara Malaysia yang benar-benar faham sejarah perjuangan negara ini.