Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Thursday 13 May 2010

Memori 4 tahun

Assalamualaikum W.B.T dan Salam 1Malaysia

Perasaan bercampur-campur antara suka dan duka kala mendapat panggilan untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada Julai 2006.


Sedih kerana ini merupakan kali pertama saya meninggalkan Pulau Pinang, negeri kelahiran saya dan gembira kerana Allah sudah membuka jalan bagi saya untuk melebarkan jaring akademik saya sehingga ke peringkat ini.

Sekarang itu semua hanya menjadi kenangan yang indah dan memori yang lucu bagi saya setelah 4 tahun saya berada di Universiti Malaya, khususnya Kolej Kediaman Pertama.




Sepanjang 4 tahun ini, pelbagai pengalaman manis dan pahit yang telah saya lalui membuatkan rasa sayang dan cintakan kolej ini terutamanya makin tebal sehingga tidak sanggup meninggalkan kolej ini dan menginap di luar mahupun kolej yang jauh lebih indah sepanjang tempoh pengajian saya.





Antara pengalaman manis yang saya tempuhi di kolej ini adalah pada inggu Haluansiswa di mana saya telah menjadi Pembantu Mahasiswa sebanyak 3 kali berturut-turut dan ini merupakan antara aktiviti yang tidak pernah saya tinggalkan.



Di sini saya banyak belajar menguruskan sebuah organisasi sendiri sejak tahun pertama lagi dan didedahkan dengan pelbagai jenis cabaran dan dugaan untuk diselesaikan.

Tetapi kekuatan saya hadir bersama-sama rakan Pembantu Mahasiswa yang lain di mana kami turut sama-sama menongkah arus, menyelesaikan satu per satu masalah demi menyediakan satu minggu yang penuh bermakna buat adik-adik baru kami.




Selain itu, penglibatan saya dalam pelbagai jenis aktiviti yang lain di kolej juga merupakan suatu pengalaman yang indah buat saya kerana ini telah mendedahkan saya kepada pelbagai pengalaman dan juga membolehkan diri saya mengenali lebih ramai orang dan bekerjasama dengan mereka.



Menjalinkan silaturrahim dengan penyelia kolej kediaman serta pegawai-pegawai universiti ini juga antara memori yang terbaik buat saya kerana pergaulan bersama mereka mendedahkan saya kepada realiti hidup di masa akan datang dan dengan itu, saya belajar sedikit demi sedikit berdasarkan pengalaman hidup mereka.




Sesi 2008/2009 juga banyak membuahkan kenangan indah di mana ASTAR berjaya merangkul johan FESENI dan mendapat tempat ketiga dalam kejohanan SUKMUM, di mana dua kejayaan ini adalah antara yang tertinggi sepanjang saya menghuni kolej kediaman pertama ini.




Tidak dilupakan, penghargaan yang saya perolehi pada Malam Penganugerahan ASTAR juga sangat manis dan ini akan terus menjadikan saya lebih kuat dan tabah untuk berkhidmat dan berbakti pada kolej ini walaupun saya tidak lagi menjadi penghuni kolej ini.


Sudah pasti bila ada memori yang baik, ada juga yang kurang indah tetapi konotasi kurang indah ini mungkin tidak sesuai kerana apa yang saya maksudkan bukan ada maksud negatif sama sekali.

Sepanjang 4 tahun di kolej ini saya banyak menghabiskan masa di kolej kediaman dengan mengorbankan sebahagian banyak cuti semester saya di mana setiap cuti semester ada sahaja aktiviti di kolej kediaman, contohnya latihan feseni, kem pembantu mahasiswa dan sebagainya.

Tidak seperti rakan-rakan yang lain, saya tidak dapat berdampingan dan menghabiskan banyak masa bersama keluarga saya untuk melaksanakan tanggungjawab yang saya pikul terhadap kolej kediaman yang tercinta ini.

Selain itu, sebagai pemimpin mahasiswa seringkali saya berdepan pelbagai jenis tekanan dan cabaran untuk memimpin dan dalam masa yang sama menjaga kebajikan serta mencari ruang untuk meningkatkan lagi nama ASTAR dalam universiti mahupun di luar sana.


Tetapi ke semua ini saya tidak pernah menganggap sebagai bebanan mahupun peluntur semangat buat saya kerana ini semua adalah peluang bagi saya untuk menimbu pengalaman dan ilmu secukupnya.

Ini semua tidak mungkin akan diajar di dalam kuliah mahupun mana-mana tutorial kerana pembelajaran daripada pengalaman akan memberi kita impak yang lebih untuk kita mengetahui di mana kelemahan mahupun kekuatan kita.


Berakit-rakit ke hulu,
Berenang-renang ke tepian,
Sakit-sakit dahulu,
Senang-senang kemudian.

Pantun ini banyak menggambarkan diri saya dan saya juga mengharapkan ASTARian yang lain agar menyemat rasa seperti ini ke dalam diri masing-masing bukan untuk kolej mahupun untuk sesiapa tetapi segala pengorbanan yang kita lakukan sekarang ini adalah untuk membentuk diri kita dan menguatkan jati diri kita.

Saat-saat terakhir di Universiti Malaya amnya dan khususnya di Kolej Kediaman Pertama adalah saat-saat yang menyedihkan buat saya kerana ini adalah acuan yang membentuk diri saya dan mahu atau tidak, saya terpaksa meninggalkan acuan ini.

Kolej yang membawa 1001 kenangan kepada saya ini akan terus tersemat di sanubari saya selamanya dan jasa-jasa ia terhadap pembangunan diri saya sekarang akan tersemat dalam hati saya buat selamanya.

Akhir kata dari saya, jangan kita bertanyakan apa yang telah kolej ini berikan pada kita tetapi soal pada diri sendiri apa yang boleh kita lakukan untuk memertabatkan lagi nama ASTAR di mata masyarakat.

‘Once An ASTARIAN, Always An ASTARIAN’

Tulus Ikhlas,

Muhammad Hafizzuddin bin Baharin.


No comments:

Post a Comment