Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Friday 1 October 2010

Murahnya ‘Hati’ PTPTN

Assalamualaikum dan salam 1Malaysia.

Bila disebut namanya, ada yang suka tetapi tidak kurang ada juga yang fobia bila orang mengungkit hal mengenainya, apakah ia? Semestinya Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional atau PTPTN.

Mahasiswa yang baru masuk ke alam varsiti pasti gembira apabila mereka dapat pinjaman daripada PTPTN kerana ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban untuk meneruskan pelajaran mereka.

Tetapi tidak dinafikan apabila disebut PTPTN orang hanya ingat akan hutang-hutang lama mereka dek ‘lupa’ membayar setelah tamat pengajian.

Walau bagaimanapun, itu semua cuma sekadar rencah di alam varsiti kerana wang adalah sangat penting untuk membiayai kos pengajian mereka dan oleh itu, mereka seharusnya bertanggungjawab untuk membayar pinjaman mereka setelah tamat pengajian.

Semalam, PTPTN mengumumkan untuk memberi pelepasan bayaran ataupun skim pinjaman itu ditukarkan kepada biasiswa bagi mahasiswa lepasan universiti yang mendapat kelulusan kelas pertama.

Tindakan pemurah ini sebenarnya amat dialu-alukan dan sudah menjadi asas perjuangan aktivis mahasiswa bagi mencapai keputusan yang dibuat semalam.

Persoalannya, adakah tindakan ini adalah untuk membantu mahasiswa yang cemerlang ataupun sekadar memancing undi bagi pilihan raya yang akan datang?

Hal ini sudah dibangkitkan bukan setahun dua tetapi bertahun-tahun pemimpin pelajar duduk semeja bersama pemimpin negara membincangkan dan meminta agar hal ini disegerakan secepat mungkin.

Pilihan raya yang lalu memaparkan bagaimana pengundi muda memainkan peranan sehingga berlaku apa yang dinamakan tsunami politik dalam negara pada Mac 2008 yang lalu.

Adakah kerajaan baru sedar yang mahasiswa bukan bahan mainan yang boleh ditunjuk-tunjuk dan diperkotak katikkan sebaliknya mahasiswa juga mempunyai kuasa undi dengan berbekalkan minda yang matang untuk berfikir yang mana baik dan yang mana buruk.

Pemuda zaman ini tidak lesu seperti yang diperkatakan sebelum ini kerana disebaliknya prinsip hadir ke kelas untuk belajar, tetapi mahasiswa juga sudah membuka fikiran mereka untuk mencorak pimpinan negara masa akan datang.

Selain itu, kerajaan mahupun PTPTN perlu telus dalam menyatakan sumber kewangan yang mereka dapatkan kerana sebelum ini PTPTN seringkali memainkan isu yang mereka menanggung rugi untuk meminta lepasan universiti untuk membayar balik pinjaman mereka.

Kita tidak mahu peristiwa di Pulau Pinang di mana kerajaan negeri didapati menggunakan wang yang sumbernya dari perjudian untuk diagihkan kepada warga emas atas nama wang ehsan ataupun wang bantuan berlaku pula pada kerajaan pusat.

Hal ini tidak siapa pun fikirkan selama ini tetapi dek bingit dan heboh di Pulau Pinang, sepatutnya semua wang bantuan, biasiswa serta pinjaman yang diberikan perlu diwartakan sumber atau punca datangnya duit itu agar mereka yang menggunakannya terutamanya orang Islam tidak lagi ragu-ragu.

Walau bagaimanapun, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan pusat serta PTPTN kerana memberikan biasiswa buat pelajar universiti yang mendapat kelas pertama.

Bak kata pepatah, biar lambat asal selamat atau dalam situasi ini biar lambat asalkan dapat.

Kepada mahasiswa pula, teruskan berusaha untuk mendapat keputusan yang cemerlang kerana peluang ini hanya datang sekali seumur hidup dan rebut peluang yang sedia ada.

Buktikan kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat, nusa dan bangsa yang kita mampu mencapai kecemerlangan akademik selaras dengan pembangunan sahsiah diri seiring arus globalisasi sekarang.

Akhir kata, peluang sudah terhidang dan cuma tinggal kita sahaja untuk berusaha gigih bagi merebut peluang itu dan mencapai kejayaan bagi berkati semua pada agama, bangsa dan negara kita kelak.