Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Tuesday 31 August 2010

Memerdekakan Pemikiran Kita

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Hari ini tanggal 31 Ogos 2010, Malaysia sudah pun merdeka daripada cengkaman penjajah selama 53 tahun dan dalam tempoh masa tersebut banyak sudah kemajuan dan kemakmuran yang dikecapi rakyat negara ini.

Akan tetapi sayang sekali pemikiran rakyat Malaysia nyata masih tidak maju-maju dan ini menampakkan kita sbenarnya masih belum bersedia menjadi sebuah negara maju terutamanya dalam 1 kumpulan yang terdiri daripada pelbagai etnik dan budaya.

Tahun ini dilihat sebagai tahun yang lebih menyedihkan daripada tahun lepas kerana masalah utama yang dihadapai iaitu masalah perkauman masih bertambah dan jika ini tidak dikawal, bak kata Dato Seri Najib dalam perutusan Hari Kemerdekaan, apa yang kita kecapi selama ini akan hancur berkecai serta merta.

Malah masalah sosial yang bercambah seakan-akan tiada penghujungnya dan penguatkuasaan nyata gagal dijalankan atas sebab ketandusan cara terbaik bagi merawat penyakit sosial ini.

Anak-anak yang terbuang semakin hari semakin meningkat dan ini sekaligus menimbulkan persoalan sama ada merdeka atau tidak pemikiran orang yang bertanggungjawab ini atau masih jumud seperti kafir Quraisy suatu ketika dahulu.

Saya analogikan Malaysia sebagai rumah yang papan yang mempunyai 4 kaki untuk menyokong dan memberi kekukuhan pada rumah tersebut yakni tiang-tiang tersebut mewakili kaum-kaum yang ada di Malaysia iaitu Melayu, Cina, India dan lain-lain kaum.

Di dalam rumah itu pula ada dua orang yang menghuni dan tinggal di dalam rumah itu dan ini mewakili amalan baik dan masalah yang kita alami sekarang dalam negara kita.

Untuk memiliki sebuah rumah yang kukuh, kita harus mempunyai batu asas yang kukuh dan ini sudah disediakan oleh pimpinan yang terdahulu yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lok, Tun Sambathan dan ramai lagi pemimpin veteran negara.

Selepas itu, kukuhnya rumah itu bergantung pula pada kekuatan tiang-tiang itu dan jikalau ada 1 tiang yang rapuh maka nasib rumah itu tidah ubah seperti telur dihujung tanduk bila berdepan masalah-masalah luar.

Sebagai contoh, jika rumah itu mengalami bencana alam seperti angin kencang atau banjir, ini sudah tentu akan memusnahkan dan menghanyutkan terus rumah itu daripada tapaknya lalu menghancurkan segala rekaan dan hiasan yang sudah kita lengkapi dalam rumah tersebut.

Jikalau rumah itu dilengkapi dengan tiang yang kukuh, tidak semestinya rumah itu akan berada dalam keadaan baik jika isi di dalamnya tidak menjaga rumah itu dengan baik.

Awalnya saya menganalogikan dua orang penghuni rumah itu sebagai amalan baik dan buruk yang dilakukan oleh rakyat terhadap negara kita ini.

Untuk membuat jahat amat senang sekali, maknanya untuk orang yang membawa amalan buruk untuk merosakkan rumah itu memang senang, semudah mengambil penukul dan mengetuk-ngetuk dinding serta perhiasan di dalam rumah itu hingga musnah.

Tetapi untuk membuat amalan baik pula bukan senang, contohnya untuk menghiasi rumah itu memerlukan wang untuk membeli pekakas rumah dan untuk mendapatkan wang tersebut memerlukan usaha dan ketekunan bagi memperolehi sumber kewangan itu.

Dengan ini, kita dapat melihat anasir-anasir yang ingin memusnahkan negara semakin mudah menyelusup masuk untuk menghancurkan kemakmuran dan keharmonian serta kemajuan negara ini dengan bantuan penghuni negara ini sendiri.

Penjajahan mental juga semakin meluas dalam negara ini dengan budaya-budaya asing yang tidak mencerminkan budaya kita semakin berleluasa di mana-mana sahaja contohnya penagihan dadah, seks rambang, rempit dan banyak lagi.

Kita perlu ingat, untuk memajukan dan meningkatkan ekonomi negara kita sebenarnya memakan masa yang sangat panjang dan usaha yang sangat besar supaya kekayaan ini dapat dikongsi dan dikecapi oleh segenap lapisan masyarakat.

Oleh sebab itu, semua penduduk negara ini perlu bersama-sama berganding bahu untuk memajukan lagi negara ini kerana suatu pekerjaan itu lebih mudah jika kita buat bersama-sama dengan semangat perpaduan.

Jika kita berpecah belah untuk memajukan ekonomi masing-masing sahaja tanpa menghiraukan kemajuan negara, maka sukar sebenarnya negara untuk terus berkembang untuk menjadi suatu tempat yang selesa buat anak cucu kita nanti.

Selain itu, rakyat Malaysia juga perlu merapatkan benteng pertahanan mental dan fizikal agar kita dapat menangkis penjajahan moden yang membawa anasir-anasir luar untuk menghasut serta meracuni pemikiran kita supaya kita berpecah belah dan melupakan sejarah negara ini.

Kita tidak perlu memainkan polemik perkauman mahupun penghinaan terhadap mana-mana agama semata-mata untuk mendapat sokongan mana-mana kaum mahupun kumpulan tertentu.

Sebaliknya kita perlu bersatu untuk menutup kelemahan kaum-kaum yang ada di negara ini agar kita menjadi kebal dan kental menahan hasutan serta tuduhan-tuduhan pihak luar terhadap negara kita ini.

Justeru itu, kita sebagai rakyat Malaysia tidak kira berjawatan tinggi mahupun sekadar orang bawahan bertanggungjawab dalam memastikan agenda kemajuan Malaysia diteruskan bukan sahaja dari segi meterialistik tetapi juga dari segi spiritual.

Walaupun saya merasakan hari kemerdekaan kali ini sebenarnya adalah antarayang menyedihkan berlandaskan perkembangan semasa negara kita tetapi marilah kita menyambut hari kemerdekaan ini bagi mengenang jasa dan budi para pejuang dan pemimpin yang terdahulu berjuang untuk kita mengecapi kebahagian masa kini.

Akhir kata buat raykat Malaysia, mari sama-sama kita memedekakan pemikiran kita supaya Malaysia akan menjadi lebih utuh di mata dunia dan kerharmonian serta keamanan negara ini dapat kita kekalkan hingga bila-bila. Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Kali Ke 53…

Wednesday 18 August 2010

1Malaysia Disalah Anggap

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Gagasan 1Malaysia yang dibawa sejak pengambilalihan tampuk kepimpinan kerajaan Malaysia oleh Dato Seri Najib, Perdana Menteri kita yang ke 6 telah menunjukkan penerimaan yang positif dikalangan penduduk bukan sahaja di bandar malah juga di desa.

Kita dapat melihat hamper di mana sahaja, rakyat Malaysia menyambut 1Malaysia dengan hati yang terbuka dan menjayakan kempen menjenamakan Malaysia menjadi 1Malaysia.

Tetapi malang sekali apabila boleh dikatakan ramai dikalangan rakyat yang masih kabur berkenaan apa itu Gagasan 1Malaysia sungguhpun ia sudah dilancarkan lebih kurang setahun dan pelbagai hebahan mengenainya sudah dibuat.

Mungkin ini adalah sikap tidak mengambil kisah rakyat Malaysia yang hanya tahu membudayakan proses ikut-ikut dimana orang laun 1Malaysia, mereka juga ingin nak laungkan 1Malaysia tanpa sebarang idea apa sebenarnya konsep 1Malaysia.

Secara asasnya, 1Malaysia membawa mesej perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum untuk bersama-sama kita berganding bahu untuk menjayakan dan memajukan lagi Negara yang tercinta ini.

Walau bagaimanapun, sesetengah orang yang berkepentingan nyata mengambil 1Malaysia ini sebagai sesuatu yang menguntungkan mereka sahaja tanpa memikirkan sentimen yang berkaitan perlembagaan dan kontrak sosial.

Di Pulau Pinang, Ketua Menteri Lim Guan Eng sudah terang lagi bersuluh sedang menjalankan proses menyahkan penduduk bumiputera dari tanah Pulau di sini secara beransur-ansur malah banyak sudah kedai serta perumahan yang telah mereka ambil alih tanpa persetujuan penduduk tersebut.

Baru-baru ini, Tony Pua yang juga ahli Parlimen Petaling Utara dengan lantang meminta agar diskaun Bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah di negeri Selangor dimansuhkan.

Yang terbaru, tuntutan daripada kongres ekonomi MCA meminta agar 30% ekuiti Melayu dalam sektor ekonomi dimansuh dilihat sudah mengkhianati perjuangan 1Malaysia memandangkan MCA juga merupakan salah satu parti tunjang kerajaan Barisan Nasional.

Semua kejadian ini jelas membuktikan pemahaman pemimpin itu sendiri terhadap gagasan 1Malaysia sendiri tidak memberangsangkan, inikan pula rakyat yang banyak hanya membudayakan 1Malaysia ikut-ikut.

Jika mereka tidak memahami konsep 1Malaysia, mungkin tidak ralat bagi saya untuk menerimanya tetapi pemimpin-pemimpin yang senior seperti Dato Chua Soi Lek dan seangkatan dengannya dilihat seperti tidak memahami sejarah.

Tidakkah mereka ingat, 60-70 tahun yang lalu, mereka semua merupakan orang yang datang ke negara ini kerana dibawa oleh British untuk menjayakan sektor industri pada ketika itu.

Akan tetapi, menjelang kemerdekaan bumiputera merelakan jus soli yakni mengiktiraf mereka sebagai warganegara di Malaysia dan berhak mendapat kebaikkan daripada negara ini dan mereka juga menyetujui agar bumiputera diberikan hak-hak keistimewaan berlandaskan perlembagaan.

Tidak mungkin saya yang lahir selepas 30 tahun Malaysia merdeka memahami sejarah ini, mereka pemimpin yang veteran ini tidak memahami sejarah pembentukan Negara yang kita pacu bersama selama ini.

Ini tidak lain tidak bukan, hanya satu provokasi untuk menguji toleransi bumiputera negara ini akan tetapi saya merasakan hal sebegini tidak sepatutnya diteruskan demi keharmonian negara ini.

Selain itu, tindakan ini tidak lain tidak bukan hanya sekadar mahu tunjuk ‘hero’ di kalangan bangsa mereka agar dapat meraih undi di kala pilihan raya kelak.

Parti komponen BN seharusnya bertoleransi dan bekerjasama dalam mengukuhkan perjuangan masing-masing dalam usaha mengukuhkan kedudukan mereka di kerusi parlimen.

Jika ini terus berlaku, tidak mustahil untuk melihat kerajaan BN runtuh buat pertama kali di pentas pilihan raya umum yang mungkin diadakan tidak lama daripada sekarang.

Malah ianya tidak mustahil jika BN kalah, beberapa parti komponen yang kuat menyokong BN bakal menyusur keluar dan mula menyokong parti-parti lain demi kepentingan bangsa, bukan rakyat Malaysia lagi.

Oleh itu, pesanan buat pemimpin buat yang mencipta mahupun yang menjayakan 1Malaysia, rakyat sudah mula jelik dengan perbuatan yang dilihat bersifat perkauman di kala anda melaungkan laungan 1Malaysia.

Sedarlah diri anda di atas sana akan hal-hal yang kecik ini sebelum anda ditelanjangkan daripada pangkat yang anda semua pegang sekarang ini.

Akhir kata, semoga Allah memelihara negara ini dan dikurniakan pemimpin-pemimpin yang celik akan keinginan rakyat tidak kira dalam sektor ekonomi mahupun sosial demi menjaga keamanan dan keharmonian negara yang selama ini kita kecapi.

Monday 9 August 2010

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan.

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Tak lama lagi umat Islam akan menyambut bulan yang mulia bagi umat Islam, bulan Ramadhan al- Mubarrak.

Pada bulan ini, umat Islam akan berpuasa selama sebulan untuk melahirkan rasa syukur dan insaf terhadap saudara kita yang kurang bernasib baik.

Syukur pada Allah kerana sekali lagi kita diberikan peluang untuk menjalankan ibadah dalam 1 bulan yang penuh dengan ganjaran dan barakah seperti yang dijanjikan oleh Allah dalam Al-Quran.

Walau bagaimanapun, kita sentiasa akan menempuh ranjau dan cabaran dan pada bulan yang mulia ini nafsu dalam diri kita bakal menjadi penghalang untuk kita melengkapkan segala ibadah kita.

Sesungguhnya semua iblis dan syaitan akan dikurung dan dikunci di dalam neraka tempat asal mereka tetapi nafsu dalam diri kita ini tidak pula Allah kekang kerana ini adalah satu ujian untuk kita menaklukinya dan memenangi peperangan di bulan mulia ini.

Alhamdulillah pada Ramadhan tahun ini juga bakal menjadi satu pengalaman baru buat saya kerana sebelum ini saya menyambut Ramadhan sebagai pelajar, tetapi pada tahun ini Insyaalah saya akan menempuhnya sebagai seorang pekerja.

Usaha, doa dan tawakkal yang gigih akhirnya telah membuahkan hasil apabila saya telah diterima bekerja di sebuah kilang di Prai sebagai seorang jurutera mekanikal.

Cabaran yang baru ini akan saya pikul dan saya ambil peluang untuk menimba sebanyak mana pengalaman di alam pekerjaan kelak terutamanya bila suda bergelar pekerja.

Di sini saya ingin mengambil peluang untuk memohon ribuan ampun dan maaf buat rakan-rakan di universiti setelah bertahun-tahun kita bersama, akhirnya kita terpaksa berpisah untuk mencari haluan masing-masing.

Sama-sama kita ambil peluang untuk beribadah dan meneruskan usaha mencari Nur Ilahi pada bulan yang penuh barakah ini, moga Allah akan sentiasa membuka pintu-pintu syurga buat kita.

Akhir kata, anggaplah Ramadhan ini sebagai Ramadhan yang terakhir dan beribadat lah bersungguh-sungguh kerana kita tidak akan tahu adakah kita sempat untuk bertemu Ramadhan di tahun yang mendatang.