Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Monday 13 September 2010

Nilai Kebersihan Diri

Asslamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Baru-baru ini kecoh di mana terdapat beberapa ahli politik yang bukan beragama Islam didapati memasuki ruang utama masjid serta surau dengan niat memberi sumbangan dan ceramah.

Tindakah ini mendapat kecaman daripada umat Islam seluruh negara walaupun sebaliknya ada yang mengatakan perbuatan ini sebenarnya adalah tidak salah.

Antara sebab yang menyebabkan kemarahan umat Islam akan perbuatan ini adalah pakaian mereka yang kurang sopan serta kebersihan orang bukan Islam itu diragui dan didakwa akan mencemari tempat ibadah umat Islam.

Mungkin ya mereka sebagai umat bukan Islam, mereka tidak tahu menahu berkenaan membersihkan diri dan mandi wajib, tetapi adakah kita sebagai umat Islam benar-benar ‘bersih’.

Artikel ini bukan untuk menyokong mana-mana pihak tetapi untuk membuka mata umat Islam terutamanya untuk lebih menitikberatkan soal kebersihan diri mereka.

Oleh itu, artikel di bawah ini saya petik daripada sebuah forum ‘jom layan’ untuk menjadi bahan rujukan buat para pembaca yang merasakan diri mereka memerlukan pembaharuan dan ilmu untuk bidang kebersihan ini khususnya bab mandi wajib.

“Mandi wajib merupakan perkataan yang mudah disebut, tetapi jangan terkejut jika dikatakan banyak umat Islam di tanahair kita yang tidak sah mandi wajibnya kerana tidak melakukannya dengan betul.

Untuk melakukan mandi wajib yang betul, seseorang itu tidak boleh melakukannya dengan hanya mandi secara berdiri atau duduk mencangkung sahaja. Sebaliknya, ia mesti dilakukan dalam kedua-dua keadaan bagi membolehkan seseorang itu meratakan air ke seluruh anggota badannya yang zahir.

Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Uztaz Haji Mat Jais Kamos, 49, menegaskan, bagaimanapun, berdasarkan pengalamannya sebagai bekas kadi di Pejabat Agama Islam Gombak Timur dan penceramah, didapati banyak umat Islam yang tidak mengetahui perkara ini.

"Akibatnya, mandi majibnya menjadi tidak sah kerana tidak memenuhi salah satu rukun mandi wajib iaitu meratakan air keseluruh anggota badan yang zahir. Apabila mandi wajib tidak sah, ibadat yang dilakukan oleh seseorang itu juga turut tidak sah. Itulah akibatnya jika tidak melakukan mandi wajib dengan betul," tegas beliau ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Keramat Kuala Lumpur.

Mandi wajib yang juga sebagai mandi junub atau janabah tidak boleh dipandang ringan oleh umat islam. Setiap orang yang mlakukannya mestilah mengetahui dan memenuhi rukun2nya. Jika tidak mandi wajib seseorang itu tidak akan sah.

Rukun mandi wajib ada 3 perkara. Pertama, niat. Kedua, menghilangkan najis di badan. Ketiga, meratakan air keseluruh anggota badan yang zahir.

Niat mandi wajib: "Sahaja aku mengangkat hasar besar kerana Allah Taala." Atau " Sahaja aku mandi wajib kerana Allah Taala."

Niat itu di dalam hati dan ia hendaklah disertakan ketika air sampai ke mana-mana bahagian anggota badan.

Bagi perempuan yang habis haid, niat mandi wajib ialah: " Sahaja aku mengangkat hadas haid kerana Allah Taala."
Manakala bagi perempuan yang habis nifas, niat mandi wajibnya ialah: " Sahaja aku mengangkat hadas nifas kerana Allah Taala".

Niat itu jika dilambatkan atau ketika seseorang itu memulakannya selepas dia telah membasuh salah 1 anggota badannya akan menjadikan mandi wajibnya tidak sah. Oleh itu dia mestilah memulakan kembali niatnya ketika dia mula menyampaikan air keseluruh anggota badannya. Sekiranya dia berniat sebelum air sampai ke badan, niat itu juga tidak sah. Oleh itu mandi wajibnya tidak sah.

Mengenai rukun mandi wajib yang ke 2, iaitu menghilangkan najis yang ada pada badan, menurut Ustaz Haji Mat Jais, menurut Imam Nawawi, jika kita ada najis di badan, najis itu boleh dibasuh serentak dengan mandi wajib. Ertinya membasuh najis dengan mandi itu boleh disekalikan.

Sementara rukun mandi wajib yang ke 3, iaitu meratakan air ke seluruh anggota badan yang zahir, meliputi kulit, rambut dan bulu yang ada di badan, sama ada bulu-bulu yang jarang atau lebat. Jika rambut seseorang itu ditocang atau disanggul, sekiranya tidak sampai air ke dalamnya, tocang atau sanggul itu wajiblah dibuka. Bulu2 dalam lubang hidung pula, tidak wajib dibasuh kerana dianggap batin. Tetapi sekiranya, bulu-bulu di dalam hidung itu bernajis, ia wajiblah dibasuh.

Mengenai kuku pula, jika di dalam kuku ada kotoran yg boleh menghalang sampai air ke badan khususnya di bahagian bawah kuku, kotoran itu wajiblah dibuang. Membuang kotoran di dalam kuku itu pula boleh dilakukan ketika sedang mandi.

Tentang rambut yg diwarnakan pula selain inai, inilah yang merumitnya.

Sebenarnya jika rambut seseorang itu diwarnakan dengan pewarna selain inai, mandi wajib seseorang itu tidak sah. Oleh itu, seseorang yang mewarnakan rambutnya dengan pewarna selain inai, jika dia hendak mandi wajib, dia mestilah membuang pewarna pada rambutnya terlebih dahulu. Tetapi untuk membuang pewarna itu pula bagaimana?..

Inilah yang rumitnya. Sedangkan pewarna pada rambut itu sebenarnya tidak boleh dibuang begitu mudah.

Yang menyebabkan mandi wajib orang yang menggunakan pewarna pada rambutnya tidak sah kerana pewarna itu akan menyalut rambutnya yang menghalang air sampai ke rambut. Ini berbeza dengan inai. Inai sebenarnya akan meresap ke rambut, tetapi pewarna pula akan menyalut rambut menyebabkan air terhalang ke rambut.

Tetapi dalam hal ini, jangan pula ada yang salah faham. Sebenarnya pewarna itu jika dikeluarkan sijil halal oleh JAKIM dan sekiranya pewarna itu tidak bernajis, bukanlah bermaksud menjadi tidak sah. Dalam hal ini, sukalah saya menyatakan bahawa sembahyang dan mandi wajib itu berbeza. Jadi, mestilah dipandang dari sudut yg berbeza.

Dalam hal ini juga, sukalah saya menyatakan, huraian mengenai rukun mandi wajib seperti yang telah saya nyatakan ini adalah merupakan perbezaan sah atau tidak mandi wajib. Jadi, ia perlulah diberikan perhatian yang lebih oleh umat Islam.

Mengenai sebab-sebab seseorang itu wajib mandi wajib pula, Ustaz Haji Mat Jais menegaskan, sebab-sebabnya terdiri daripada 6 sebab. 3 sebab melibatkan lelaki dan perempuan iaitu kerana bersetubuh walaupun tidak keluar air mani, keluar air mani dan mati. Manakala 3 sebab lagi hanya melibatkan kaum perempuan sahaja, iaitu keluar darah haid, nifas dan melahirkan anak (wiladah) .

Mandi wajib boleh dilakukan di mana-mana dengan menggunakan air mutlak sama ada air telaga, air paip, sungai laut dan tasik.

Bagi pasangan suami isteri yang bersetubuh pula, mereka tidak semestinya mandi selepas bersetubuh, tetapi diwajibkan mandi ketika ingin beribadat. Selepas bersetubuh pula, jika ia dilakukan pada waktu malam, jika tidak mahu mandi wajib, seelok2nya ambillah wuduk sebelum tidur itu adalah sunat, manakala tidak berwuduk sebelum tidur adalah makruh.”

Jelas daripada artikel ini menunjukkan ramai daripada kalangan umat Islam sendiri yang leka dan lalai dalam bab kebersihan dan ini boleh menyebabkan amalan serta ibadah kita menjadi sia-sia sahaja.

Oleh itu, mari sama-sama kita mengambil iktibar dan mengubah diri kita untuk menjadi insan yang lebih bijak dengan mengamalkan gaya hidup yang bersih daripada sudut Islam daripada hanya tahu sembang kosong sahaja.

Mari kita sama-sama menjaga kesucian institusi keagamaan kita daripada dicemari bukan sahaja oleh mereka dari golongan bukan Islam malah juga daripada saudara Islam kita juga yang daif ilmu serta pengalaman.

Akhir kata, mari kita berkongsi-kongsi ilmu dan pengetahuan dengan orang lain semoga ilmu yang sedikit ini boleh membawa manfaat yang besar untuk kita dan sahabat-sahabat kita kelak.

Sunday 5 September 2010

Salam Lebaran, Terima Kasih Ya Ramadhan

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Jika diizinkan Allah, 5 hari lagi umat Islam di seluruh dunia bakal menyambut hari lebaran atau hari kemenangan buat umat Islam yang selama sebulan menahan diri daripada melakukan perkara-perkara maksiat yang membatalkan puasa.

Alhamdulillah saya berpeluang untuk menjalani Ramadhan sekali lagi dan setulus hati mengharapkan Ramadhan kali ini membawa buah hasil yang bercambah-cambah di sisi Allah.

Syukur yang tak terhingga kepada Allah yang mengurniakan 1 bulan yang sangat banyak manfaat dan rezeki yang melimpah ruah pada bulan yang mulia ini.

Diharapkan seluruh umat Islam telah memanfaatkan bulan ini sepenuhnya dan mengharapkan ganjaran yang tak terhingga daripada Allah untuk bekalan kita di akhirat kelak.

Ramadhan kali ini juga istimewa buat saya kerana saya memulakan kerjaya saya buat kali pertama di bulan Ramadhan dan dapat membayar zakat Fitrah menggunakan duit sendiri buat pertama sekali dalam hidup saya.

Akan tetapi persiapan untuk menyambut hari lebaran hanya dijalankan secara sederhana sekadar mengecat bahagian luar rumah dan mengenakan sarung kusyen yang baru sahaja.

Seringkali bila terfikirkan kedatangan Syawal, hati ini sedih dan pilu kerana kedatangan bulan sambutan ini bermakna tamat sudah 1 bulan yang dipenuhi barakah dan ganjaran yang tidak mungkin kita dapati di bulan-bulan yang lain.

Sama ada kita dapat berjumpa dengan Ramadhan akan dating atau tidak, itu satu persoalan yang hanya Allah ada jawapannya tetapi yang pastinya ia mengajar kita untuk mengambil kesempatan yang ada sebaiknya.

Anggaplah Ramadhan ini sebagai Ramadhan yang terakhir untuk kita kejar dan kaut segala kelebihan yang dikurniakan di bulan ini seakan-akan kita sudah tidak mempunyai peluang di tahun depan.

Di hari-hari yang terakhir ini, saya menganjurkan agar rakan-rakan tidak terlalu terbawa-bawa dengan kegembiraan menyambut Syawal sehingga kita lupakan amalan dan juga ibadah kita kepada Allah.

Ambil inisitif sepenuhnya untuk mengejar kelebihan Ramadhan terutamanya di 10 malam terakhir ini di mana Allah telah menjanjikan Lailatul Qadar iaitu satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Muhasabah diri kita adakah sudah cukup amalan kita selama kita melalui Ramadhan kali ini atau tidak dan sentiasalah kita mempunyai rasa tidak puas beribadah pada Allah kerana dengan cara itu, kita mampu mendekatkan diri kita dengan Allah.

Jangan terlalu dipengaruhi keselesaan dan keseronokan duniawi kerana apa yang kekal itu cuma ukhrawi dan sama ada kita bahagia atau sengsara di sana ditentukan dengan apa yang kita lakukan di dunia ini sekarang.

Selain mengejar ganjaran dan kemaafan daripada Allah, kita juga perlu saling bermaaf-maafan sesama umat Islam sempena bulan baik dan hari baik yang bakal menjelang kelak.

Dengan itu, saya dengan rendah diri ingin memohon ribuan maaf daripada semua rakan dan taulan yang mengenali diri ini sama ada sahabat di ASTAR, UM, KMPP, Penang Free mahupun dari sekolah rendah Francis Light lagi.

Selain itu, saya juga ingin memohon ribuan ampun dan maaf kepada ahli keluarga dan sanak saudara saya atas kekhilafan diri dan kelemahan diri ini.

Tidak lupa juga ribuan ampun dan maaf dipohon daripada seluruh umat Islam yang mengenali diri ini jika ada kata ataupun tindakan saya yang telah mengecilkan hati atau mengguris perasaan anda.

Akhir kata, jadikan Ramadhan kali ini sebagai Ramadhan terbaik buat diri kita dan sambutlah Syawal yang bakal tiba dengan penuh kesederahaan dan bergembira bersama-sama sanak saudara masing-masing. SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI..MAAF ZAHIR DAN BATIN.