Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Saturday 29 August 2009

Tahniah dan Selamat Maju Jaya SPKUM Sesi 09/10


Assalamalaikum dan Salam Perpaduan

Semalam telah berlangsung satu majlis Watikah Pelantikan bagi Jawatankuasa Induk Kolej (JIK dan Jawatankuasa Tindakan Kolej JTK) sesi 2009/2010 bertempat di Dewan Kuliah Utama, Akademi Pengajian Islam dan disempurnakan oleh ayahanda Timbalan Naib Canselor HEPA, Prof. Madya Datuk Dr. Azaraie Bin Hj. Idris.

Walaupun ayahanda masih dalam keadaan tangan yang berbalut akibat baru mengalami kemalangan kereta kemarin tetapi gigih dan bersemangat untuk hadir menyempurnakan watikah pelantikan pada petang semalam.

Dalam ucapan ayahanda disebutkan beberapa perkara penting dan beliau menyentuh berkenaan kepentingan pimpinan di kolej terutama presiden-presiden kolej kediaman yang bakal membawa misi penting sebagai pengantara antara pentadbiran dan juga penghuni kolej.

Melalui pengalaman saya sendiri, tugas dan amanah yang sangat berat ini merupakan cabaran dan pengalaman terbaik bagi saya sepanjang menghuni di dalam UM ini dan saya mengharapkan presiden baru akan merasa apa yang saya rasakan sebelum ini.

Dan yang paling penting adalah kesepakatan dan keutuhan perpaduan di antara presiden-presiden kolej itu sendiri dalam Saketeriat Presiden Kolej kediaman Universiti Malaya (SPKUM) mampu meneraju pimpinan universiti sendiri.

Kami barisan SPKUM 08/09 telah menyediakan platfom terbaik bagi anda untuk meneruskan kesinambungan dan menajamkan lagi perjuangan kita bagi mendokong aspirasi mahasiswa, universiti dan juga negara.

Oleh itu, saya amat tertarik dengan ceramah yang telah diberikan oleh Presiden Akademi Pidato Nusantara, Yg Bhg. Dato’ Dr. Syed Ahmad Syed Samsuddin Al Saggof yang berbicara berkenaan pimpinan mahasiswa selaku tonggak pimpinan nasional.

Dalam ceramah yang bersemangat dan diselang-selikan dengan lawak jenaka spontan beliau telah menggariskan satu formula yang sebenarnya sangat baik dan seharusnya berada dalam diri setiap pemimpin terutamanya barisan SPKUM iaitu formula yang beliau kenalkan sebagai S-Y-E-D.

Dalam ceramah beliau mungkin menerangkan formula tersebut dalam konteks yang berlainan tetapi di sini saya suka mengaplikasikan formula ini agar ia sesuai diterapkan kepada semua barisan pimpinan SPKUM.

Formula yang dimulakan dengan huruf ’S’ yang membawa erti sabar dan tabah. Ini amat penting terutamanya kepada presiden kolej kerana kerenah yang akan dihadapi di kolej kediaman bukan suatu yang amat senang ditangani tetapi amat menguji minda dan kesabaran kita dalam mencari jalan penyelesaiannya.

Selain itu, cabaran yang juga hadir apabila pihak luar yang bakal datang dan cuba menceroboh institusi kolej kediaman kita dan cara kita tanganinya perlu berhemah serta kesabaran akan sekali lagi teruji walaupun kita mempunyai ramai penyokong tetapi keputusan sebagai seorang presiden tetap penting dalam mempertahankan hak anda selaku pemimpin di kolej tersebut.

Kedua merupakan huruf ’Y’ adalah keyakinan dalam diri anda masing-masing. Anda selaku pemimpin di kolej kediaman seharusnya mempunyai tahap keyakinan yang tinggi dan mempunyai keupayaan untuk membuat keputusan yang bijak dalam masa yang singkat.

Cabaran dan dugaan bakal menjelma dengan lebih tegar dan anda seharusnya yakin yang anda berada di landasan yang benar agar perjuangan yang anda semua bawa akhirnya dapat menuju ke arah kejayaan serta membawa kebaikan kepada semua orang terutamanya penghuni kolej kediaman anda.

Ketiga adalah huruf ’E’ yang membawa maksud ehsan. Sifat ehsan perlu ada dalam diri masing-masing agar anda dipercayai sebagai seorang pemimpin yang baik dan mampu menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah dan telus.

Berbuat baiklah anda dengan semua orang tidak kira musuh ataupun kawan kita kerana ini merupakan prinsip kita yang sentiasa menggalakkan perpaduan dan menentang perpecahan di dalam universiti ini dan dengan sifat baik kita Insyaalah boleh menjadi contoh dan ikutan rakan-rakan terutamanya penghuni kolej yang kita terajui.

Akhir sekali huruf ’D’ jika mengikut definasi Dato’ Dr. Syed Ahmad Syed Samsuddin Al Saggof duit ataupun dengan kata lainnya adalah usaha dan tawakkal kita kerana mengambil contoh hidup yang mencabar sekarang ini, duit tidak akan datang mudah tanpa sebarang usaha yang gigih daripada kita sendiri.

Ini perlu diadaptasikan oleh semua presiden kolej kediaman kerana anda perlu sentiasa berusaha menjadikan kolej anda sebagai sebuah tempat yang sesuai untuk dihuni dan mempunyai pelbagai rencah di dalamnya agar ia kekal harmoni dan riang.

Presiden kolej sepatutnya berusaha mencari masalah-masalah terutamanya berkaitan dengan kebajikan pelajar agar anda boleh berkhidmat kepada penghuni yang telah memberi kepercayaan kepada anda dengan memilih anda sebagai pemimpin mereka.

Corak kepimpinan setiap tahun akan sentiasa berubah apabila tampuk pemimpin tertinggi bertukar orang dan oleh itu saya menyeru kepada seluruh mahasiswa agar kita tidak membandingkan pemimpin dulu dan sekarang kerana sememangnya lain orang sudah tentu ada lain caranya.

Tetapi peringatan kepada sahabat presiden baru di kolej kediaman masing-masing, walaupun pimpinan saling bertukar orang tetapi perjuangan yang kita juangkan selama ini tidak akan berubah, tidak akan pudar terutamanya dalam usaha pembelaan kebajikan mahasiswa universiti secara umumnya dan di kolej kediaman masing-masing secara khasnya.

Oleh itu, saya menyeru bukan sahaja kepada presiden kolej kediaman tetapi kepada seluruh pimpinan JIK dan JTK kolej kediaman masing-masing agar memberi perkhidmatan yang setimpal dengan kepercayaan yang telah diberikan kepada anda oleh rakan anda sendiri.

Anda merupakan ikon pemimpin muda harapan bangsa perlu sentiasa mencari ruang untuk memenuhi setiap aspirasi mahasiswa tidak kira dari sekecil-kecil perkara hingga ke besar mana isu sekalipun, anda mempunyai kekuatan untuk duduk berbincang bagi menyelesaikan apa jua masalah mendatang.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada seluruh pimpinan JIK dan JTK kolej kediaman di Universiti Malaya terutamanya kepada SPKUM sesi 09/10, agar anda sentiasa memacu kempimpinan universiti bagi mencerminkan bahawasanya, anda sememangnya layak bergelar pemimpin di varsiti perdana ini.

Barisan SPKUM sesi 09/10 bersama TNC HEPA


UM is ONE! Towards 1Malaysia!

Friday 21 August 2009

Takut Pada H1N1 Atau Pada Allah

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan.

Wabak pandemik Influenza A (H1N1) di Malaysia telah menyebabkan 68 orang meninggal dunia sehingga semalam dan menjadikan Malaysia sebagai negara yang paling kritikal dilanda wabak ini jika dibandingkan dengan negara serantau Asean ini.

Oleh sebab itu, ke mana sahaja yang kita pergi sekarang ini, kita sentiasa melihat orang memakai topeng bagi mengelakkan diri masing-masing daripada terkena jangkitan tersebut.

Tidak kurang juga poster-poster serta iklan-iklan di merata-rata tempat bertujuan memberi kesedaran kepada rakyat berkenaan wabak ini dan cara menjalani gaya hidup yang sihat bagi mengelakkan diri kita terkena wabak ini.

Tapi adakah kita sebenarnya faham dan mendapat iktibar sebenar daripada turunnya wabak ini kepada kita, adakah ianya sengaja diturunkan atau hanya kebetulan ia melanda sahaja?

Wabak H1N1 mahupun wabak apa sekalipun hanya satu daripada tentera-tentera Allah yang datang turun bagi menguji kita sebagai umat manusia akan tahap keimanan kita sebenarnya kepada Allah S.W.T..

Rata-rata manusia tampak takut benar dengan dugaan Allah ini sedangkan mereka lupa daripada mana datangnya azab ini dan mengapa azab ini diturunkan kepada kita.

Allah S.W.T., Tuhan sekelian makhluk dan pencipta segala kejadian sepatutnya menjadi satu-satu tempat kita mengadu dan menjadi satu-satunya kita takutkan kerana dengan izinNya, kita boleh hidup walau dilanda penyakit ataupun kita boleh dimatikan walaupun hidup dalam keadaan aman harmoni.

Wabak yang berbahaya ini hanya satu daripada dugaan Allah yang sebenarnya untuk kita membuka mata menilai iman dalam diri kita dalam menghadapi sesuatu bencana, pokoknya kita sepatutnya kembali semula kepada Allah S.W.T..

Zaman ini, ramai bila dibincangkan soal H1N1, yang akan berakhir dengan kematian terus menimbulkan rasa resah dan gelisah dalam hati masing-masing.

Persoalan yang timbul adalah, adakah mereka takut mati kerana masih belum bersedia menemui Allah ataupun mereka belum puas mengejar harta di dunia ini?

Kita sibuk membeli topeng untuk meningkatkan jaminan kesihatan kita dengan apa harga sekalipun tetapi adakah kita pernah terfikir untuk menyumbangkan wang kita ke jalan Allah?

Sahabat kita di Palestin, di selatah Thai yang terus menerus dihina, dibunuh dan dianiayai memerlukan sumbangan dan bantuan daripada kita kerana semua umat Islam itu bersaudara dan kita wajib membantu saudara kita yang berada dalam kesusahan.

Selama ini, kita tak pernah terpikir berkenaan kebersihan contohnya membasuh tangan sebelum makan akan tetapi dengan kehadiran wabak ini, orang yang pakai sudu dan garfu pun membasuh tangan mereka sebelum dan selepas makan.

Tidakkah kita semua ingat akan sunnah Rasullullah di mana baginda mengajar umat Islam untuk membasuh tangan dahulu sebelum makan, dan suruhan ini bukan disebabkan apa-apa penyakit pun tetapi suatu perbuatan yang menyucikan dan Allah sangat suka orang yang bersuci.

Sebagai umat islam, kita perlu percaya dan mati itu pasti walaupun kita sememangnya berhak untuk bertawakkal agar umur kita dipanjangkan oleh Allah S.W.T..

Akan tetapi, kepastian yang bakal terjadi itu memerlukan kita mempunyai bekalan yang secukupnya dan bekalan itu bukan dicari selepas kita dah pencen ataupun di masa senang sahaja tetapi di setiap masa sekalipun.

Allah mensyariatkan solat 5 waktu kepada umat nabi Muhammad S.A.W dan menjelang bulan Ramadhan yang bakal tiba selepas Maghrib nanti kita difardukan berpuasa sebulan tetapi adakah kita pernah merasa berlumba-lumba untuk mengejar pahala seperti kita berlumba-lumba mencari topeng mana yang lebih berkualiti untuk mengelak H1N1?

Zaman kini, orang sanggup mendahulukan urusan duniawi masing-masing dan mengendahkan azan yang dilaungkan oleh bilal-bilal di surau mahupun di masjid yang berdekatan.

Malah ada yang dengan bangganya makan di warung warung tepi jalan sedangkan itu merupakan bulan Ramadhan, bulan yang dimuliakan dan bulan bagi kita mengejar sebanyak mungkin pahala agar kita bersedia menemui ‘Kekasih’ kita yang sebenarnya di akhirtat kelak.

Maut boleh menjumpai kita dimana-manapun tetapi kita tidak boleh mencari semula waktu-waktu yang telah kita sia-siakan tanpa sebarang ibadah kepada Allah.

Saya memohon para pembaca agar tidak mempunyai tanggapan yang salah kerana saya percaya kita boleh berusaha untuk mencari dan mendapatkan kehidupan yang lebih baik, umur yang panjang dan harta yang banyak tetapi kita semua kena sama-sama ingat yang semua itu hanyalah sia-sia jika tidak mendapat berkat Allah dan RasulNya.

Kejarlah harta dunia seakan-akan kita akan hidup seratus tahun lagi tetapi kejarlah pahala Allah seumpana kita akan mati keesokkan harinya.

Akhir bicara, saya menyeru rakan-rakan, para sahabatku agar kita perbetulkan konsep ataupun pemikiran kita terhadap mana-mana azab yang melanda diri kita mahupun masyarakat kita ini.

Jangan kita takut kepada apa yang sedang melanda kita sekarang ini tetapi takutlah kita kepada penciptanya yang Esa, Allah S.W.T yang Maha Berkuasa nescaya jika kita hidup, hidup kita diberkati Allah dan jika kita mati, kita doakan kita mati sebagai orang yang beriman kepadaNya.

Tuesday 18 August 2009

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Pejam celik pejam celik, kita sebenarnya sudah setahun meninggalkan Ramadhan yang lalu untuk bertemua semula bulan yang penuh barakah, bulan Ramadhan al Mubarak.

Ini menandakan umur kita yang semakin bertambah dan sepatutnya menimbulkan resah pada kita, adakah kita mampu berjumpa dengan Ramadhan pada tahun hadapan?

Bulan yang penuh barakah ini datang hanya sekali dalam setahun maka rugilah pada mana-mana umat Islam yang tidak mengambil manfaat dan tidak mengerjakan ibadah di dalam bulan ini.

Antara kelebihan Ramadhan dinyatakan oleh Abu Hurairah: Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-

Selain itu, semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.

Antara lainnya adalah, Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.

Walaupun kita seringkali berlumba-lumba dalam mencari pahala dan keredhaan ilahi, amat penting bagi seseorang mengutamakan keikhlasan dan keimanan dalam menunaikan ibadat.

Di samping itu, puasa sebenarnya mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.

Ada juga antara mereka yang salah faham akan konsep puasa itu sebenarnya kerena kita berpuasa bukan sahaja untuk menahan lapar dan dahaga tetapi berpuasa seluruh anggota daripada melakukan sebarang maksiat dan kemungkaran.

Sebagai tanda kasihnya Allah kepada hambanya, Allah telah berfirman yang Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi dan Allah berjanji orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.

Sempena bulan yang mulia ini, maka wajar bagi kita menghormatinya dengan mengelakkan diri daripada kebiasaan yang boleh merugikan diri kita seperti berbelanja dengan boros,suka berhibur,membuang masa dan bersembang tentang perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah sebaliknya hendaklah kita menyambut Ramadhan dengan azam yang tinggi untuk memperbanyakkan ibadat bagi menyucikan jiwa.

Kita juga hendaklah berusaha menyediakan diri untuk menjaga benih-benih amal yang kita tanam di bulan Ramadhan kerana seseorang yang menanam benih jika tidak membaja,menyiram serta memelihara pasti tidak akan mengeluarkan hasil yang baik di masa hadapan.

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa berbuka satu hari di siang hari bulan Ramadhan tanpa alasan yang wajar (disegi syariah) atau sakit yang kuat, tidak akan dapat menampung atau mengganti hari tersebut walaupun akan berpuasa sehingga ke akhir hayatnya."

Oleh itu, saya menyeru rakan-rakan mahasiswa yang rata-rata sudah berakal dan mampu berpuasa agar tidak sama sekali sengaja meninggalkan fardhu ini tanpa sebarang alasa yang munasabah.

Sesungguhnye berat dosa untuk seseorang itu menanggungnya jika mereka dengan sengajanya meninggalkan fardhu puasa ini dan kerugian yang dialaminya sebenarnya lebih teruk daripada kehilangan segala kekayaan di dalam dunia.

Saya dengan ini ingin mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al Mubarrak kepada seluruh Muslimin dan Muslimat, semoga bulan yang mulia ini akan dihiasi dengan penuh pengisian dan amalan yang sudah kita rancangn untuk dilaksanakan kelak.

Insyaalah dengan berkat Allah kita mampu mengharungi segala dugaan dan cabaran yang bakal menimpa kita selama sebulan kelak dan menyambut Syawal dengan penuh kejayaan.

Saturday 15 August 2009

Prof Hamzah dilantik TNC baru UM

KUALA LUMPUR: Profesor Dr Hamzah Abdul Rahman dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaya (UM) selama tiga tahun berkuatkuasa esok.

Menurut kenyataan UM, Prof Hamzah menggantikan Profesor Datuk Dr. Mohd Amin Jalaludin yang tamat tempoh perkhidmatan pada 31 Julai lepas.

Prof Hamzah yang mempunyai Sarjana Sains dari Universiti of Florida, Amerika Syarikat, dan Doktor Falsafah dari Manchester University, United Kingdom (UK), berkhidmat sebagai pensyarah dalam bidang pengurusan binaan di UM sejak 1986.

Beliau pernah menyandang beberapa jawatan pentadbiran di UM termasuk sebagai Dekan Fakulti Kejuruteraan dari 1995 hingga 1997, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) dari 1997 hingga 2003 dan Dewan Fakulti Alam Bina dari 2005 hingga 2009.

Beliau turut mempunyai kepakaran dalam bidang pengurusan projek, kualiti pembinaan dan hal-hal yang berkaitan dengan kelewatan projek binaan.

Selain itu, Prof Hamzah adalah felo bagi Royal Institute of Chartered Surveyors di United Kingdom, menyandang jawatan Penilai Negara bagi Royal Institute of Chartered Surveyor UK serta penyunting International Journal of Engineering Science and Technology. - Bernama

Thursday 13 August 2009

Al-Fatihah Buat Ustaz Asri

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Ustaz Asri Ibrahim,40 tahun atas pemergian seorang insan yang hebat seperti beliau.

Ustaz Asri seorang pendakwah bebas dan juga terkenal sebagai penyanyi utama kumpulan nasyid Rabbani telah pulang ke rahmatullah pada hari ini jam 11 pagi akibat sakit jantung.

Allahyarham Asri (tengah) bersama kumpulan Rabbani. Gambar Ehsan Berita Harian Online


Ustaz Asri yang sememangnya terkenal di arena muzik tempatan dengan karya dan seni muziknya yang berunsurkan dakwah dalam hiburan yang dibenarkan.

Pemergian beliau bagaikan permata dakwah yang hilang di bumi kita tetapi saya mengharapkan semangat dan perjuangan beliau akan terus diperjuangkan oleh rakan-rakan seperjuangan beliau terutamanya anak-anak muda zaman ini.

Mari kita sama-sama mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan bersama-sama orang yang beriman. Al-Fatihah

Wednesday 5 August 2009

Permohonan Tempat Letak Kereta Kolej

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Kepada ASTARIAN yang berminat untuk membawa kenderaan di kolej, anda diminta untuk memohon tempat letak kereta anda.

Sesi ini berbeza sedikit di mana tiada borang akan dikeluarkan tetapi anda perlu menulis surat rasmi kepada pengetua kolej, Dr. Woo Chaw Seng untuk memohon kebenaran tersebut.

Selain itu anda juga perlu sediakan borang permohonan kenderaan kepada pusat keselamatan(boleh dicetak melalui laman web Umisis jika anda sudah memohon ’sticker’ UM, salinan insuran kereta, salinan cukai jalan, salinan lesen dan salinan kad matrik anda.

Anda diminta menghantar semua dokumen ini ke Pejabat Am Kolej selewat-lewatnya 6 Ogos 2009(Khamis) sebelum jam 5.00 petang. Bayaran yang dikenakan adalah RM 10 untuk motosikal dan RM35 untuk kereta.

Kerjasama anda adalah amat dihargai dan diharap anda menyediakan dokumen yang secukupnya dan hantar sebelum tarikh tamat untuk mengelakkan sebarang masalah lain. Harap maklum.

ASTAR is FIRST!
UM is ONE!!!

Saturday 1 August 2009

Ini Bukan Identiti Malaysia!!!

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Setakat ini, Polis sudah mengesahkan yang 157 orang telah ditangkap kerana menyertai perhimpunan haram anjuran Gerakan Mansuh ISA bagi menunjukkan proter atas Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu

Malang sekali ini perlu juga berlaku walaupun mereka telah berkali-kali dinashatkan untuk membatalkan hasrat mereka dan meluahkan cara tidak puas hati mereka dengan cara yang lain.

Apa yang hairannya di sini, mengapa mereka perlu memilih untuk menjalankan demonstrasi di kawasan yang padat setiap minggu, di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur, sudah tidak ada otak kah mereka ini.

Saya tidak pasti apa hasil yang mereka perolehi tetapi setahu saya, kabinet masih tidak tergerak pun untuk membincangkan berkenaan memansuhkan akta ini.

Sebaliknya, ribuan pengguna jalan raya terkandas, ahli keluarga yang merancang mahu bercuti ataupun jalan-jalan terpaksa melupakan hasrat mereka dek perbuatan mereka yang sangat ’bijak’ ini.

’Mereka adalah wira’, mungkin diucapkan oleh sebilangan penyokong dan penaung mereka termasuk parti politik yang tidak punya otak berfikir dan hanya tahu membuat untuk kepentingan diri sendiri dengan menyusahkan orang lain.

Tetapi selain laungan wira dan tepukan gemuruh untuk pendokong demonstrasi ini, lebih ramai lagi orang yang menghambur kata-kata hina ke atas mereka kerana telah menyebabkan hari minggu mereka terjejas.

Ini bukan suatu cara untuk mencari publisiti atau menarik perhatian rakyat kerana perbuatan ini hanya menyusahkan dan menimbulkan kekacauan di merata-rata tempat.

Tidakkah anda tahu yang media asing akan memfokuskan keadaan ini dan mengambil kesempatan memburukkan negara kita lalu menyebabkan ekonomi negara mungkin terjejas akibat faktor ini.

Adakah ini yang kita mahukan sebenarnya dan adakah ini identiti masyarakat negara kita ini, negara yang mungkin tidak dianggap adil bagi sesetengah pihak tetapi adakah mereka rasa perbuatan mereka ini adil untuk setiap orang yang lain.

Yang paling kelakar adalah kenyataan salah seorang pemimpin politik yang tersohor mengatakan demonstrasi ini akan berjalan dengan aman.

Adakah beliau sudah nyanyuk, jika namanya sudah demonstrasi dan tidak mempunyai kebenaran serta diminta untuk dibatalkan mana mungkin menjadi aman terutama apabila pihak polis masuk campur.

Mana mungkin pihak polis akan membiarkan sahaja orang ramai berbuat apa sahaja sesuka hati dengan melibatkan keselamatan negara ini tergugat dan juga keselamatan mereka yang menyertai demonstrasi itu sendiri diperjudikan.

Kita mempunyai banyak saluran dan banyak cara lain, kerana itulah fungsi pemimpin yang kita undi dan yang kita pilih melalui pilihan raya umum, bukan dengan cara jalanan seperti ini.

Apa guna ’tsunami politik’ yang berlaku kebelakangan ini jika pemimpin mereka tidak mampu membawa suara mereka ke kabinet, adakah ini cara yang jantan atau pengecut yang ditunjukkan oleh mereka.

Kuasa yang ada pada mereka nyata sekali disalahgunakan tetapi rakyat masih dikaburi dengan kata-kata manis pemimpin yang tak bertanggungjawab sebegini.

Saya tidak berniat untuk mengutuk mana-mana pihak akan tetapi bila ini melibatkan ketenteraman awam dan rakyat khususnya, sudah semestinya saya selaku sebahagian daripada masyarakat perlu bersuara.

Saya dengan ini mengutuk sekeras-kerasnya sebarang penganjuran demonstrasi haram dan saya juga meminta agar pihak polis menjalankan tugas dengan lebih berhemah dan telus agar tidak terkena sebarang tempias pada orang awam yang tidak bersalah.

Kepada pihak kerajaan, jika ini masih berterusan bermakna ada sesuatu yang tidak betul dan memerlukan kajian yang lebih mendalam dan saya menyeru untuk kepentingan rakyat, kerajaan perlu sentiasa proaktif menangani masalah-masalah yang timbul.

Demi mencapai impian 1Malaysia, pencapaian diutamakan, rakyat didahulukan, kita perlu membuka minda kita menjadi insan kelas pertama agar kita mampu mengorak langkah dan pelan yang terbaik untuk setiap pihak.

Jangan kerana marahkan nyamuk, habis kelambu dibakarnya kerana tindakan ini akhirnya membawa pada pada diri sendiri.

Tepuk dada tanyalah iman, adakah ini perlu atau masih ada ruang yang lebih baik wujud kerana setiap orang mempunyai pilihan dan pilihan terbaik akan hadir daripada orang yang sentiasa berfikiran rasional.