Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Tuesday 31 March 2009

Golongan Pendidik Tak Patut Terlibat Politik

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Terpanggil saya untuk membicarakan salah satu usul yang telah dilontarkan oleh Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein semasa ucapannya penggulungan beliau pada Perhimpunan Agung Umno yang lalu di mana beliau meminta agar kerajaan membenarkan guru Kelas A supaya terlibat secara terus dengan politik.

Ini satu cadangan yang tidak bernas kerana ia boleh membawa kepada keburukkan yang lebih berbanding kebaikkan yang diharapkan oleh mereka.

Guru merupakan tunjang alam persekolahan sepatutnya berada pada sifat neutral terutamanya dalam sistem pengajaran walaupun natijahnya kita tahu selaku orang dewasa mereka sudah mempunyai ideologi masing-masing.

Akan tetapi dengan memberi mereka kebenaran sebegini, ia boleh menimbulkan lebih banyak kekeliruan terutamanya pada kanak-kanak sekolah yang masih tidak tahu keadaan politik luar ini.

Menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, guru juga tidak sepatutnya mendapat keutamaan sedemikian kerana pegawai kerajaan dari kumpulan lain juga pasti akan menuntut hak yang sama.

Kita tidak seharusnya melanggar prinsip utama sistem pembelajaran semata-mata bagi memperkuatkan parti atau kumpulan yang tertentu.

Pendidikan adalah eset yang paling bernilai bagi menjana modal insan yang cemerlang dan sekolah merupakan tempat kita memupuk dan melatih pelajar-pelajar agar menjadi orang yang bijaksana supa dapat memimpin negara dengan baik satu masa kelak.

Selain golongan pendidik, pelajar juga tidak seharusnya taksub dengan suasana politik luar yang sekarang ini semakin lama semakin kecoh.

Tidak salah mahasiswa berpolitik di dalam kampus untuk membuktikan mereka lebih baik dalam aspek menjaga kebajikan dan menonjol dalam bakat kepimpinan masing-masing.

Akan tetapi saya sangat tidak setuju dan menyelar mana-mana pihak mahupun kumpulan mahasiswa yang turun ke medan politik terutamanya di tempat-tempat pilihan raya bagi menyokong mahupun meraih undi bagi mana-mana parti yang bertanding.

Ini bukan sahaja sudah melanggar undang-undang AUKU malah ini telah melanggar prinsip mahasiswa itu sendiri dan kumpulan mahasiswa ini nyata bukan pejuang mahasiswa yang diharapkan selama ini.

Keterlibatan mereka secara langsung memberi sedikit sebanyak idea pada mahasiswa kampus berkenaan perubahan yang mereka ingin bawakan dan adakah ini harapan mahasiswa kita seramai 14 000 orang di dalam kampus ini?

Bak peribahasa, mereka ini bagai menyusu anak kera di hutan, anak sendiri di rumah dibiarkan mati kelaparan. Akibat ingin mengejar nama dan populariti murahan, mereka sanggup berpaling tadah daripada perjuangan mahasiswa itu sendiri semata-mata untuk menunjukkan kehebatan murahan mereka di medan pilihan raya.

Alang alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang berjuang demi mahasiswa, teruskan perjuangan mahasiswa ini untuk membimbing mahasiswa ke arah kebajikan dan sahsiah yang baik, bukan dengan berada di jalanan ketika yang lain sibuk mengulangkaji untuk peperiksaan akhir yang bakal menjelma.

Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak kerana masing-masing punya alasan sendiri. Akan tetapi saya ingin tegaskan mahasiswa sekarang bijak membaca strategi sesetengah pihak yang sehingga ini tiada satu perubahan yang dapat kita lihat selain makin menjadi-jadi pengaruh politik luar terhadap mereka.

Saya dengan ini menyeru rakan-rakan mahasiswa agar menolak unsur politik luar daripada bertapak dalam universiti kita dan biarkan kita menjana kepimpinan dan keintelektualan kita menggunakan acuan dan ideologi mahasiswa kita tersendiri.

Hal ini dilihat sama akan terjadi jika guru turut terlibat dalam gejala politik kerana sesungguhnya guru itu lebih penting kerana tanpa guru, pengajaran akan lumpuh terus di institusi pendidikan negara.

Malah dalam Perlembagaan Persekutuan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pindaan) 2002 P U (A) 246 termaktub bahawa pegawai dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional dilarang mengambil bahagian dalam aktiviti politik atau memakai mana-mana lambang sesuatu parti politik.

Pada pendapat saya, jika ini ingin dikuatkuasakan, kerajaan perlu memikirkan satu cara atau kaedah bagi membendung para pengajar ini daripada menjadi ekstrimis politik sehingga terbawa-bawa kesannya di dalam kelas-kelas mereka nant.

Akhir kata, kita selaku golongan berpendidikan negara harus menjaga institusi pendidikan negara kita daripada dicemar anasir politik luar. Golongan berilmu dilihat sebagai batu loncatan bagi mereka mendapatan pengaruh buat masa ini.

Oleh itu, mari kita bersatu hati menolak segala unsur politik luar dan saya memberi amaran agar jangan menghina dan mencabul institusi pendidikan negara dengan tempias politik ini kerana negara mungkin tumbang jika institusi ini goyah suatu hari kelak.

Sesungguhnya saya tidak mahu Malaysia ketandusan cendikiawan hanya kerana kepentingan politik nafsu oleh sesetengah pihak. Moga Allah lindungi dan merahmati Malaysia ku tercinta.

Saturday 28 March 2009

Kebajikan Terus Dijaga, Akhlak Pula Dibendung

Assalamualaikum Dan Salam Perpaduan

Semalam saya telah menghadiri Mesyuarat Pentadbiran yang mungkin kali terakhir bagi saya untuk menyuarakan luahan hati dan perasaan warga Astar bagi sesi ini.

Oleh itu, saya telah kemukan beberapa perkara yang menjadi perhatian kita di kolej ini dengan bantuan rakan-rakan yang menyalurkan informasi dan aduan kepada saya mahupun barisan kepimpinan JTK yang lain.

1. Bumbung Laman DE – Perkara ini telah diambil serius akan tetapi pihak pentadbiran mengalami masalah kewangan dalam memperbaiki bumbung di sana. Akan tetapi ia akan tetap diperbaiki tetapi mungkin ditangguhkan sehingga pembaikpulihan Blok D siap.

2. Keselamatan dalam Kolej – Sebelum ini kolej sudah beberapan rangka penambahbaikkan dalam aspek keselamatan dalam kolej seperti memasang CCTV dan juga memasang selak di bahagian dalam pintu setiap bilik. Akan tetapi, pihak atasan masih belum memberikan tanda untuk ia dijalankan. Oleh itu, saya berharap kita bersabar kerana ia sudah dijanjikan pada kita.

3. Seterika rosak – Baru-baru ini saya mendapat aduan yang seterika di pantri khususnya di blok wanita sudah usang dan membahayakan. Oleh itu saya telah memohon agar pihak kolej membuat pemeriksaan menyeluruh terhadap setiap alatan yang telah disediakan bukan sahaja untuk kebajikan penghuni tetapi untuk menjamin keselamatan penghuni juga.

4. Lampu dalam tandas – Baru-baru ini dikhabarkan lampu jatuh dari pemegangnya di tandas B200 dan B100. Perkara ini telah diambil perhatian kerana telah mendapat aduan sebelum ini dan masalah ini telah diselesaikan dan pemegang lampu itu telah diganti yang baru.

5. Akhlak Penghuni – Baru-baru ini didapati semakin ramai penghuni yang tidak segan silu berdua-duaan laki dan perempuan hingga ke larut malam. Tidak ketinggalan mereka yang sering memakai seluar pendek di tempat awam. Oleh itu, saya telah menyarankan kepada pihak pentadbiran agar satu tindakan perlu dibuat dan mereka telah bersetuju. Setakat ini tindakan yang telah dipersetujui adalah menaikkan notis menyatakan sesiapa yang tertangkap berbuat perkara demikian, akan menjejaskan peluang mereka untuk menghuni semula di kolej ini. Selain itu, para penyelia juga akan turun menyiasat secara rawak pada waktu malam bagi memastikan hal ini tidak berulang lagi

Selain itu, ada beberapa saranan dan juga pendapat yang telah diluahkan oleh pihak pentadbiran bagi menegur beberapa tindakan salah laku penghuni kolej. Antaranya adalah:

1. Jangan amalkan memberi kad makan anda kepada rakan anda terutamanya rakan yang bukan penghuni kolej ini. Jika tertangkap, ia juga mungkin akan menjejaskan peluang anda untuk menghuni kolej ini pada sesi hadapan.

2. Jangan tinggalkan barangan peribadi anda di dalam tandas. Jika terdapat kehilangan, anda tidak dibenarkan membuat sebarang tuntutan ataupun menuduh sesiapa kerana ini adalah tanggungjawab anda masing-masing.

3. Akibat tindakan tidak bertanggungjawab beberapa jawatankuasa projek yang lepas, sistem wang deposit untuk membuat sebarang pinjaman barang kolej mungkin akan dijalankan. Akan tetapi hal ini masih dalam perbincangan dan belum dikuatkuasakan lagi.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan rakan-rakan agar menjaga akhlak dan peribadi anda. Sebagai mahasiswa, anda seharusnya mempunyai kelas tersendiri dan bukan lagi berada di takuk yang lama. Jadilah insan yang berguna untuk agama, bangsa dan negara satu hari kelak.

ASTAR is First!
UM is ONE!!!

Thursday 26 March 2009

Bila Kuasa dan Nafsu Menguasai Jiwa

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Makin lama makin sempit masa yang aku punyai untuk hasilkan coretan atau luahan hati ini akibat tanggungjawab yang tidak putus-putus hadir.

Akan tetapi inginku kongsikan bersama pemikiranku bersama-sama anda berkenaan topik kini.

Manusia zaman ini sering dikaburi dengan pelbagai helah dan permainan oleh syaitan dan Iblis untuk terus menyesatkan umat Islam seperti yang dilafazkannya sewaktu dihumban ke neraka Jahanam.

Dua elemen ini merupakan perkara pokok dan punca utama tumbangnya peribadi seseorang yang sebelum ini disanjung orang ramai.

Seseorang yang mempunyai kuasa atau pun hak untuk membuat keputusan seharusnya menggunakan kuasa yang dimilikinya bagi kebaikkan semua orang dan bukan bersifat individu.

Manusia zaman sekarang tidak lari dari arus pengejaran kuasa baik di kalangan ahli politik mahupun mahasiswa kampus ini sendiri, masing-masing mahukan hak bersuara dan hak membuat keputusan.

Akan tetapi, adakah suara kita dan keputusan yang kita selaku pemimpin ini buat benar-benar suara dan keputusan rakan-rakan seperjuangan kita yang lain.

Ada pula dikalangan pemimpin yang sudah mabuk melayari kapal kemewahan hingga melupakan jasa-jasa rakan disekeliling mereka.

Tidak dinafikan, ada juga yang sentiasa ingat tetapi adakah ini benar-benar ikhlas atau mempunyai niat mendapatkan komisen bila tender sudah diluluskan untuk rakan-rakannya itu?

Nafsu pula memainkan peranan setelah seseorang itu kian ghairah memegang kuasa dengan membuatkan dirinya sentiasa tidak merasa cukup dengan apa yang dia ada sekarang.

Mulalah adengan rasuah, surat layang, fitnah dan sebagainya mula berkembang hingga menampakkan seseorang itu keji dan bermasalah.

Akan tetapi kesan itu bukan sahaj dirasai oleh individu tersebut akan tetapi yang mendapat balasan adalah kumpulan yang mendokong individu tersebut dan sekaligus mendapat gelaran korup dan semakin jauh dari kepercayaan rakyat.

Pemimpin terutamanya anak bangsaku harus sedar dan kembali ke pangkal jalan kerana jalan pintas yang sering diambil selama ini nyata sedang memakan diri mereka sendiri bagai anai-anai memamah papan-papan kayu.

Prinsip adap dan pegangan Islam itu perlu diutamakan dalam setiap proses membabitkan kuasa yang diperoleh setiap individu.

Seseorang yang dilantik sebagai pemimpin tidak sepatutnya bangga dengan kedudukannya malah sepatutnya dia patut lebih risau akan dirinya kerana dia akan disoal di Padang Mahsyar akan setiap perbuatannya selama memegang tampuk pemerintahan.

Saya menyeru sempena peralihan kuasa kerajaan Malaysia pada akhir minggu ini, pemimpin perlu mengutamakan suara dan kepentingan rakyat, bukan lagi memikirkan kepentingan diri serta masyarakat di sekeliling beliau sahaja.

Akhir kata, saya mendoakan yang terbaik dan mengucapkan tahniah kepada bakal Perdana Menteri Malaysia ke-6, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak. Semoga beliau menjadi pemimpin yang adil, tegas, bijaksana dan lebih mendampingi rakyat untuk kesejahteraan Malaysia.

Tuesday 24 March 2009

Jangan Gadai Maruah Kita

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Baru 50 tahun negara merdeka tetapi segalanya sudah berubah dengan begitu pesat dek kebijaksanaan pemimpin kita yang lalu membawa masuk teknologi dan memodenkan negara kita yang tercinta ini.

Akan tetapi bukan itu sahaja perubahan yang saya lihat, jati diri kita juga makin lama makin luntur tidak setebal nenek moyang kita pada masa dahulu.

Kita sudah sanggup memalit arang kepada Sultan penaung bangsa dan agama kita sendiri dan ini merupakan satu tindakan yang sangat keji di mata saya.

Adat-adat Melayu dan pegangan Islam juga semakin lama semakin dijauhi. Bukan saya ingin menyuruh anda bertudung labuh, berjubah dan sebagainya akan tetapi anda semua perlu ingat yang Melayu tak lekang dengan adapt sopan yang menyebabkan Melayu adalah bangsa yang bagi saya terunik di dunia ini.

Dewasa ini, remaja Melayu kian lama kian terhakis jati diri mereka. Saya ingin ingatkan kepada anak bangsa saya dan juga diri saya sendiri agar kita menjaga dan saling mengingati sesama umat dirantau kita yang kecil ini.

Kepada kaum Hawa, jaga maruah diri anda. Bataskan pergaulan anda dan ingat keluarga anda di kampung halaman kerana susah payah mereka hantar anda ke universiti bukan untuk anda bersuka ria dan memalukan mereka kelak hari akan tetapi niat mereka ingin melihat anak mereka ini berjaya menjadi insane yang berguna pada negara.

Bagi kaum Adam, pelihara kaum Hawa yang berada di sisi anda tak kira keluarga, sahabat mahupun sesiapa sahaja kerana dalam Islam kita semua bersaudara dan kita perlu menjaga mereka yang lemah. Jangan sesekali anda membuat durjana dan mengambil kesempatan atas mereka kerana sesunguhnya itu adalah sehina-hina perbuatan.

Kita tidak perlu terikut-ikut budaya barat yang senantiasa masuk bagi meracuni minda kita dengan hanya satu hasrat iaitu melumpuhkan kita umat Islam bagi memudahkan mereka masuk dan kembali menjajah kita secara fizikalnya bagi sekian kalinya.

Anda semua perlu ingat yang suatu hari nanti, kita akan berada di barisan depan bagi memimpin dan mempertahankan negara kita ini.

Kita tak perlu menjadi polis mahupun tentera bagi mempertahankan negara akan tetapi kita ada banyak lagi ruang dan cara bagi kita menjaga negara kitadaripada ancaman luar yang tidak jemu-jemu mahu masuk ke negara kita ini.

Remaja zaman ini perlu sedar, dadah, arak, rempit, seks bebas dan berjudi bukan amalan kita sebagai umat Islam khususnya. Jika anda terjebak dengan perkara maksiat atau terlanjur perbuatan, kembali ke pangkal jalan dan segera bertaubat pada Allah S.W.T..

Sebagai seorang yang bakal menjadi pemimpin, moral atau akhlak yang baik serta disiplin yang tinggi adalah amat diperlukan selain mempunyai rasa amanah yang tinggi dengan setiap tanggungjawab yang anda pegang.

Oleh itu, sekarang zaman bagi kita belajar oleh itu tekun lah anak bangsaku menelaah dan mencari ilmu yang sudah tersedia luas bagi anda.

Manusia memang tidak lari dengan lumrah alam yang mengingankan teman atau kekasih akan tetapi ingatlah batas dan sentiasa ingat bila anda berdua-duaan, pasti ada makhluk yang ketiga mendampingi disisi anda berdua.

Tambahan lagi waktu-waktu genting seperti ini iaitu waktu yang sudah hampir dengan peperiksaan akhir, anda perlu lebih komited pada pelajaran anda dan kurangkan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah ini.

Bina jati diri kita, tingkatkan semangat patriotik terhadap negara dan sentiasa ingat yang Allah sentiasa memerhati setiap gerak geri kita nescaya kita mampu menjadi bangsa yang boleh menggoncang dunia dan kita mampu meneruskan aspirasi pemimpin sekarang bagi terus memakmurkan negara dan memajukan setiap aspek dan sektor dalam negara bagi meletakkan nama Malaysia setaraf atau mungkin lebih baik daripada negara-negara yang maju masa kini.

Saturday 21 March 2009

Kita Gaduh, Lain Tersenyum

Assalamualaikum dan Salam perpaduan

Saya semakin risau dengan gelagat orang-orang kita dalam negara ini terutamanya di bahagian politik yang tidak pernah surut-surut dengan kontroversi dan konspirasi.

Tika orang-orang kita gaduh, bertikam lidah, berdemonstrasi dan mencaci, mereka yang lain duduk ketawa terbahak-bahak.

Dulunya dikatakan PAS dan UMNO tak dapat bersatu dan menyebabkan perpecahan antara 2 kumpulan besar daripada satu bangsa yang sama.

Akan tetapi dewasa ini, keadaan semakin membimbangkan apabila dalam parti politik itu sendiri ada puak-puak sendiri menjurus kepada bibit-bibit perpecahan.

Di kem UMNO, lihat bagaimana impak pemilihan barisan kepimpinan yang baru ini telah merubah pati perjuangan parti itu sendiri.

Segelintir orang di dalamnya tidak lagi membawa perjuangan yang dibawa oleh bapa dan datuk mereka tetapi telah diganti dengan perjuangan peribadi untuk mengaut keuntungan dan kemewahan.

Rasuah ataupun politik wang yang digembar-gemburkan semakin sampai ke kemuncak apabila pesalah-pesalahnya telah dapat di kesan dan lebih buruk antara pesalah yang dihukum merupakan ‘orang penting’ yang mentadbir sebuah negeri di negara kita.

Di kem PAS tidak kurang hebatnya. Bak kata blogger luar, puak Edrogan dan Puak Ulama’ makin hari makin tidak serasi walaupun di dada-dada akhbar terpampang akan keutuhan dan kesepaduan mereka.

Presidennya dibidas oleh ‘orang lama’ parti itu atas sebab mengeluarkan kenyataan yang tidak terkandung dalam muktamar mereka yang lepas.

Saya setuju yang kenyataan itu kerana ia tidak berniat politik disebabkan beliau sudah nampak akan kepincangan anak bangsanya dan demi mempertahankan maruah agamanya di negara kita ini.

Walau bagaimanapun seseorang perlu berpegang pada prinsip dan prinsip itu adalah hasil suara orang ramai dan kita tidak sepatutnya membelakangi orang bawahan kita, walau sebesar mana pangkat kita kerana tanpa mereka, siapalah pemimpin yang ada sekarang ini.

Anak bangsaku sebenarnya sangat hebat. Lihat sahaja empayar Melayu Melaka yang berkembang pesat dengan usaha dan berteraskan kebijaksanaan pemimpin mereka mampu menawan dari Utara hingga Selatan tanah Melayu.

Akan tetapi sayang, dengan kehadiran duri dalam daging yang menimbulkan perpecahan antara tentera, rakyat dan pemimpin, Alburqueque dan bala tenteranya senang menundukkan empayar terbesar di rantau Asia Tenggara ketika itu.

Tidak mustahil kejadian itu boleh berlaku. Bibit-bibit perpecahan sudah jelas diperlihatkan dan gunting dalam lipatan itu ada bertopengkan wajah politik yang disanjung untuk memberi harapan baru pada rakyat.

Saya selaku mahasiswa negara yang sayangkan tanah airnya menyeru agar rakyat Tanah Melayu kembali bersatu dan menjaga tanah warisan nenek moyang kita ini.

Jangan lagi kita berpecah, jika bumi bertuah ini mampu bercakap saya yakin ayat yang sentiasa dituturnya adalah BERSATU, BERSATU. Ya kita selaku tuan punya tanah ini perlu bersatu menentang musuh dan ancaman dari luar mahupun dalam negara ini.

Ayuh anak bangsaku, bangun dari lenamu. hilangkan rasa dengki dalam dirimu, buang jauh sifat tamakmu, kikis rasa malasmu kerana zaman ini bukan zaman kita bergoyang kaki dan menggeleng mahupun menggangguk kepala sahaja.

Sudah sampai masanya kita bangun dan bersatu. Jangan bergaduh lagi, dan jika rakan kita yang lain ketawa, kita perlu ketawa lebih kuat daripada mereka. Teguhkan iman, kuatkan jati diri dan Insyaalah Malaysia akan tetap menjadi tanah air suci yang kita semua cintai.

Thursday 19 March 2009

Tanggungjawab dan Amanah

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Setelah hampir 4 bulan memikul 2 tanggungjawab dalam masa yang sama sungguh-sungguh mengajar saya erti kehidupan yang sebenarnya.

Syukur pada Ilahi, Dia berikanku peluang melihat 2 dunia iaitu dunia pelajar dan dunia pelajar dalam satu masa yang sama.

Sebagai seorang pelajar jurusan Mekanikal, saya kini menjalani latihan ilmiah di salah sebuah kilang ternama di Petaling Jaya bagi menimba pengalaman dan ilmu ‘praktikal’ secara terus.

Dalam masa yang sama, sebagai seorang pemimpin di kolej kediaman, saya memikul amanah ini walaupun terkilan saya hanya mampu berkhidmat di kolej selepas waktu pejabat.

Syukur saya mempunyai barisan kepimpinan yang baik untuk membantu saya semasa ketiadaan saya di kolej.

Walaupun penat saban hari tidak pernah putus-putus menemani diriku, pengalaman yang saya perolehi sepanjang 4 bulan ini sangat bernilai dan jarang diperoleh mana-mana mahasiswa kampus.

Alhamdulillah saya berjaya mengadaptasikan dua alam yang berlainan ini dalam masa yang singkat. Berdepan dengan masyarakat yang professional dan pelajar yang baru membangun mindanya amat-amat berbeza saya rasakan.

Saya mengambil satu contoh. Di kuliah setelah tamat kita membuat satu perbentangan projek atau apa-apa tugasan, jarang kita dapat soalan daripada pelajar, dan jika ada pun hanya daripada pensyarah.

Berbeza di alam pekerjaan, sebelum kita sempat habis membentangkan satu tugasan, kita sudah harus bersedia dihujani pelbagai jenis soalan yang tidak kita sangkakan dan mungkin juga di luar bidang tugasan yang kita bentangkan.

Cabaran yang dihadapi di alam pekerjaan bukan sahaja melibatkan fizikal malah kebanyakkannya menduga mental kita sama ada ia mampu tahan atau tidak.

Tidak dinafikan hidup sebagai mahasiswa juga anda berasa letih dan tertekan dengan tugas akademik dan aktiviti-aktiviti sampingan, akan tetapi bila ia kita lakukan bersama sahabat kita, ‘mood’ kita secara psikologinya akan lebih baik dan lebih mudah menjalankan tugasan itu.

Berbeza di alam pekerjaan, kita akan berjumpa pelbagai jenis orang dengan pelbagai jenis ragam yang kita sendiri tidak pernah tahu kewujudan perangai sebegitu.

Selain itu, arus perdana di alam pekerjaan mampu menggoyahkan kita dengan pegangan kita sebagai manusia yang berakhlak.

Contohnya seperti rasuah yang berleluasa, fitnah yang ditaburkan tanpa usul periksa, kerja-kerja mustahak yang perlu dibuat hingga tiada masa beribadah antara cabaran yang sering kali manusia tewas.

Oleh itu, saya ingin mengingatkan diri saya dan rakan-rakan agar kuatkan jati diri anda bermula di kampus sebelum menapak di alam pekerjaan.

Kuatkan iman dan sentiasa pandai mengatur masa anda. Menjalankan sesuatu perbuatan sesungguhnya lebih sukar dari kata-kata yang dituturkan.

Tanggungjawab sesungguhnya suatu yang sangat berat bagi kita manusia yang kerdil ini. Teutamanya kehidupan seperti saya, mempunyai 2 tanggungjawab dalam satu masa yang sama benar-benar menguji kesabaran yang emosi diri ini.

Tetapi semua ini adalah amanah daripada Allah S.W.T. kepada kita. Kita tidak boleh lari daripada semua ini kerana ini adalah fungsi kita sebagai khalifah di muka bumi ini.

Tanggungjawab yang kita peroleh tanpa kita berpegang pada amanah seakan-akan layang-layang yang terbang tak bertali.

Sesungguhnya amanah adalah jalan bagi kita untuk melaksanakan setiap tugasan dengan baik dan Insyaalah segalanya akan diredhai Allah S.W.T..

Jangan sesekali anda pecah amanah kerana sekali anda berbuat demikian walaupun sekecil lubang cacing, nescaya anda berkemungkinan besar akan hilang kepercayaan daripada semua orang di sekeliling anda.

Sama-sama kita renung serta muhasabah diri kita dan kembali ke pangkal jalan jika ada di antara kita yang menyimpang dalam perjuangan kita menuntut ilmu atau perjalanan bagi mengejar cita-cita kita.

Akhir kata, niat tidak menghalalkan cara. Jaga dan jalankan tanggungjawab yang anda perolehi dengan seikhlas hati dan amanah, Insyaalah jika anda tidak perolehi ganjaran di muka bumi, ingat Allah sentiasa bersama orang-orang yang ikhlas keranaNya.


Wednesday 18 March 2009

Mohon Jadi Pembantu Mahasiswa

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Borang permohonan bagi menjadi Pembantu Mahasiswa (PM) sudah pun dikeluarkan dan tarikh tutup menghantar borang tersebut adalah pada 31 Mac 2009.

Antara yang perlu diserahkan bersama-sama boring tersebut adalah gambar berukuran pasport, salinan keputusan peperiksaan terkini (boleh didapati di laman Umisisweb) dan lampiran aktiviti yang telah anda sertai sepanjang menghuni di Kolej Kediaman Pertama.

Ini adalah antara projek atau aktiviti yang paling mencabar jika dibandingkan dengan mana-mana aktiviti yang pernah dianjurkan sebelum ini dalam kolej kita.


PM 07/08 ketika meraikan kejayaan tempat kedua pertandingan Cheers Minggu Haluansiswa


Kita sahaja bukan sahaja berdepan dengan penghuni junior yang baru tetapi perlu banyak berhubung dengan pihak luar seperti Seksyen Kemasukan Rekod dan Dasar (SKRD), PTPTN, Klinik Kesihatan, HEPA dan macam-macam lagi.

Interaksi dengan PM kolej lain juga antara yang menyeronokkan dalam Minggu Haluansiswa kerana ini adalah masanya anda membuat kenalan baru serta membina rangkaian kenalan di kesemua kolej kediaman.

Selain itu, ini juga medan anda belajar apa sebenarnya erti kesabaran dalam berorganisasi dan berpasukan selain anda akan lebih menghargai rakan-rakan PM anda lebih daripada sebelum ini.

Berdasarkan pengalaman saya sebagai PM selama 2 tahun berturut-turut, ramai kenalan bukan sahaja dari kolej yang lain tetapi sesama PM yang baru saya peroleh.

Selama sebulan kita akan berkampung bersama bagi membina semangat setiakawan dan semangan sepasukan bagi sama-sama anda menjayakan Minggu Haluansiswa.

Kepada junior tahun pertama, ini adalah peluang anda bagi memperbaiki apa kelemahan Minggu Haluansiswa yang lalu.

Ambil peluang ini dan jadi seorang PM bagi anda merasai cabaran dan membetulkan jika ada kesalahan dan kelemahan yang telah dilakukan oleh PM sebelum ini.

Antara keistimewaan lain jika anda menjadi PM adalah, anda berpeluang memilih bilik anda pada sesi depan tanpa perlu berebut dengan sesiapa, anda akan lebih rapat dengan junior akan datang, dapat menambahkan lagi ilmu kepimpinan dan berorganisasi anda, memupuk rasa tanggungjawab dan setiakawan dalam diri anda.

Oleh itu apa tunggu lagi, ayuh gerak ke pejabat am dan minta borang itu daripada Kak Zaiton kerana borang itu hanya boleh diambil sendiri dan tidak boleh diambil bagi pihak sesiapa.

Ayuh anak bangsaku, ini adalah peluang anda berbakti bukan sahaja pada kolej tapi pada kampus kita demi bangsa dan agama.

Sahut cabaran ini, jadi seorang PM yang berkaliber dan berdedikasi. Ingat, jangan kita asyik bertanya apa kolej sudah buat untuk kita, tetapi tanya diri kita apa yang kita sudah buat untuk kolej kediaman kita yang tercinta ini.

ASTAR is FIRST!
UM is ONE!!!

Monday 16 March 2009

Tahniah Adik Madihah!

Assalamualaikum Dan Salam Perpaduan

Sekalung tahniah dan syabas saya ucapkan kepada anak bangsaku yang berjaya meletakkan namanya di peringkat tertinggi dalam pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini tak lain tak bukan adik Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal.

Berkat usaha gigih dan tekad yang tinggi beliau, pelajar Maahad Muhammadi (P) ini berjaya mencapai 19A1 dan 1 A2 dalam peperiksaan SPM baru-baru ini sekaligus dinobatkan pelajar cemerlang bagi tahun 2008.

Walaupun hidup serba kesempitan, beliau telah membuktikan harta bukan segalanya sebaliknya penentu kejayaan sebenar adalah Allah S.W.T setelah kita usaha dengan sebaiknya dan tawakkal kemudiannya.

Baru-baru ini beliau telah mendapat tajaan daripada Petronas, MARA dan Bank Negara bagi melanjutkkan pelajaran beliau sama ada di Asia Barat mahupun United Kingdom.

Pelajar yang berhasrat menjadi ahli Fizik ternama ini katanya ingin berbincang dengan keluarganya terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan berkenaan masa depannya.

Tak cukup dengan itu, kerajaan negeri Kelantan di bawah pimpinan Tok Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat telah bersetuju bagi memberikan sebuah rumah yang berharga RM 130,000 bagi dihuni oleh mereka sekeluarga.

Bapa Madihah, Nik Mohd Kamal Husin yang amat terharu dengan bantuan daripada beberapa agensi ini dan sudah boleh melepaskan nafas lega kerana masa depan anaknya, Madihah sudah terjamin.

Selain itu, ironinya sekali lagi golongan hawa membuktikan yang golongan ini masih mendominasi gelaran pelajar terbaik SPM sejak beberapa tahun kebelakangan ini sekaligus menimbulkan persoalan berkenaan kewibawaan kaum Adam.

Sesungguhnya ini adalah ‘produk-produk’ negara yang perlu kita hargai kerana mereka merupakan aset dan juga bakal peneraju bidang-bidang penting dalam negara kelak.

Pelajar sekarang harus sedar akan pentingnya pelajaran dan bukan sekadar melepaskan batuk di tepi tangga apabila datang ke bab pelajaran.

Saya yakin PPSMI bukan ditahap buruk yang disangkakan oleh sesetengah pihak, walaupun ia masih boleh diperbaiki tetapi daripada 3 peperiksaan besar negara yang lepas, jelas ia bukan penghalang kejayaan anak bangsa kita.

Negara kita sekarang sedang menjadi tumpuan pihak asing yang ingin mengkucar-kacirkan dan merosakkan keharmonian yang kita kecapi selama ini.

Kita dapat lihat dengan tersebarnya fitnah yang meluas, demonstrasi jalanan yang tidak terkawal, hinaan dan cacian pada institusi kesultanan Melayu dewasa ini sungguh mengecewakan dan mampu mengganggu gugat keamanan yang kita kecapi lebih 50 tahun ini.

Saya bimbang jika ini berterusan, tak mustahil adik Madihah mungkin pelajar terakhir yang boleh menikmati kejayaan cemerlang seperti ini.

Kita fikirkanlah masa depan adik-adik kita dan anak-anak kita di masa hadapan, mereka juga ingin dijulang dan merasa nikmat mendapat kejayaan di bumi mereka sendiri.

Jangan sampai bumi Malaysia ini dijajah semula oleh pihak asing dan pada saat itu, sudah terlambat bagi kita rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu untuk sedar bertapa bernilainya tanah yang kita pusakai daripada nenek moyang kita sejak sebelum zaman kesultanan Melaka lagi.

Saya tidak mahu negara kita jadi seperti Indonesia, Gaza, Pakistan dan negara-negara Islam lain yang semakin lama semakin diancam pihak musuh Islam.

Oleh itu, saya ingatkan diri saya dan rakan-rakan supaya berdiri teguh bersama-sama pemimpin kita bagi membela kehormatan agama, bangsa dan negara.

Sekali lagi tahniah kepada adik Madihah atas kejayaan cemerlang anda dan buat pilihan terbaik, mungkin ini langkah terbaik kita mencorakkan seorang ‘Prostaz’ atau ustaz yang terdiri daripada latar belakang bidang professional seperti yang diwar-warkan oleh Dr. Daniel Zainal Abidin.

Akhir kata, buat anak bangsaku, ayuh bangun daripada lamunan dan teruskan berusaha dalam menggapai impian mu disamping terus menjaga keharmonian dan keamanan negara kita bagi menjulang martabat Malaysia setaraf negara maju di dunia kelak.

Sunday 15 March 2009

Apa Mahasiswa Boleh Buat Untuk Negara

Assalamualaikum Dan Salam Perpaduan

Mahasiswa merupakan aset terpenting bagi sesebuah negara tidak ketinggalan, negara kita yang tercinta ini, Malaysia.

Saban tahun, berbilion-bilion ringgit disalurkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi mahupun Kementerian Pelajaran bagi mempertingkatkan lagi mutu hasil produk 2 kementerian tersebut itu yakni para pelajar dan mahasiswa itu sendiri.

Untuk mengukuhkan lagi penyataan ini, tengok sahaja kepada negara jirang yang terdekat iaitu Indonesia.

Bagaimana gerakan pelajar ataupun mahasiswa mereka yang begitu kuat mendesak kerajaan hingga mampu menjatuhkan beberapa tempok pemerintah yang ada ketika itu.

Malaysia dikurniakan oleh Allah dengan suasana aman harmoni walaupun dihuni oleh pelbagai kaum dan mengamalkan pelbagai budaya dan agama.

Justeru itu, bagi saya perkara pertama yang perlu mahasiswa sekarang lakukan adalah memupuk semangat perpaduan antara kaum dalam komuniti mahasiswa ini dengan lebih erat.

Oleh itu saya sarankan semua mahasiswa, elakkan diri daripada bersifat berkepentingan untuk diri sendiri kerana masa depan negara ditentukan oleh kita sendiri kelak.

Ketepikan segala ideologi-ideologi yang bagi saya belum masanya lagi kita sebagai mahasiswa ’menganutinya’.

Sama ada anda sedar atau tidak, Malaysia adalah antara negara yang sering diperhatikan oleh negara luar.

Dengan keunikannya dan juga kapasiti negara yang sedang membangun dengan pesat, Malaysia secara tidak langsung telah menjadi sasaran pihak asing untuk masuk dan mengucar-kacirkan serta membuat liputan buruk terhadap negara kita, Malaysia.

Justeru itu, saya seru semua mahasiswa dan rakyat sekalian agar hindari demonstrasi jalanan dan hentikan segala jenis fitnah yang amat pesat penyebarannya.

Demonstrasi yang dianjurkan seperti BERSIH, Hindraf, berkaitan isu politik Perak dan yang terbaru bagi memansuhkan PPSMI adalah tidak memberi manfaat kepada negara malah mempalitkan imej buruk secara total.

Media asing akan gunakan input ini bagi ditayangkan di negara masing-masing bahawasanya Malaysia adalah negara yang tidak aman dan mengelakkan pelancong datang ke Malaysia antara lain bagi melumpuhkan ekonomi negara kita ini.

Negara kita memang mangamalkan demokrasi dan rakyat bebas bersuara tetapi sebenarnya jika ingin bersuara ada tempatnya.

Rakyat Indonesia contohnya membuat demonstrasi disebabkan mereka tiada ruang untuk menyampaikan kepada kerajaan mereka. Demikian kata salah seorang wakil pelajar dari sebuah universiti terkemuka di Sulawesi.

Rakyat Malaysia mempunya banyak cabang untuk mengadu nasib mereka dan ini merupakan peranan ketiga bagi saya apa yang mahasiswa boleh lakukan untuk rakyat iaitu mengajar rakyat saluran yang betul.

Jika di kampung-kampung mahupun bandar, anda boleh rujuk ADUN atau ahli Parlimen di tempat, hal ini boleh mereka suarakan di DUN atau Parlimen bila ia bersidang dan masalah boleh diselesaikan melalui musyawarah.

Sebagai mahasiswa, anda juga mempunyai pentas bermesyuarat dengan pimpinan tertinggi negara iaitu Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan yang dianggotai oleh semua YDP universiti awam Malaysia dan dipengerusikan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Di pentas inilah anda harus luahkan ketidakpuasan hati anda, cadangan mahupun kritikan membina pada kerajaan.

Anda tidak perlu mengadakan demostrasi yang mengganggu keamanan negara, mengganggu jalan raya dan sebagainya sebaliknya anda boleh duduk senang dan berbicara seperti orang yang bertamadun.

Mahasiswa juga perlu menjadi pemikir masa depan bagi mengatasi beberapa masalah yang telah kita perhatikan pada zaman ini.

Mahasiswa yang keluar tidak mustahil bakal menjadi pemimpin negara satu hari kelak dan pemikiran inilah yang dapat membantu anda untuk membangunkan lagi negara dan masyarakat.

Pentas universiti bukan pentas kita berpolitik luar, ini adalah pentas kita tanamkan idealism mahasiswa kita bagi membantu rakan-rakan mahasiswa kita dari segi kebajikan, akademik, sosial dan sebagainya.

Oleh itu, saya mengutuk sekeras-kerasnya oleh yang secara langsung telah berkait rapat dengan politik luar dan masuk menyelinap ke dalam universiti bagi menimbulkan huru-hara dan memecahbelahkan kesatuan sesama mahasiswa.

Walaupun sesetengah pihak keras menyangkal bahawa mereka berkait dengan politik luar, akan tetapi daripada segi penglibatan mereka sangat mirip dengan pemimpin politik di luar sana jika anda dapat perhatikan dengan rapat.

Oleh itu yang keempat, saya sarankan semua mahasiswa membuang jauh unsur kotor politik luar. Biar kita ada Penggerak Mahasiswa dan Pro Mahasiswa, bukan lagi UMNO, PAS, PKR, DAP, MCA, MIC dan sebaginya mendokong 2 kumpulan besar dalam kampus kita lagi.

Idealism mahasiswa semakin lama semakin terhakis dengan gejala kemasukan politik luar ini dan menjadikan kampus sebagai medan politik kotor mereka.

Ini adalah satu perkara yang jahil dan zalim dilakukan oleh segelintir pemimpin politik dan juga mahasiswa yang terpengaruh dengannya adalah tidak layak menjadi pemimpin mahasiswa kerana mereka tiada penderian sendiri dan hanya menjadi lembu yang dicucuk hidungnya.

Sedarlah wahai sekalian rakan mahasiswa, peranan anda cukup besar tidak kira dalam kampus mahupun pada negara.

Justeru itu, saya menyarankan anda menggunakan platform anda sebagai mahasiswa sebaiknya dan jangan dijadikan boneka oleh sesetengah pihak yang berkepentingan kerana ini boleh meruntuhkan institusi kemahasiswaan itu sendiri.

Sama-sama kita bersatu bergerak mencapai matlamat dan mendokong misi dan visi univeristi, kerajaan, agama dan bangsa untuk kita memajukan lagi negara kita yang sering menjadi sasaran negara luar.

Belajar daripada sejarah, jangan diulang semula kejadian pada tahun 1511, saya tidak mahu anak-anak kita kelak menjadi hamba di tanah mereka sendiri.

Ayuh mahasiswa, bangun dari lamunan anda dan buang jauh topeng perjuangan politik luar yang anda sarungkan. Mari kita berganding bahu menuju ke arah pembangunan serta memajukan universiti dan negara kita dengan ideologi kita sendiri. Tunjukkan di mata dunia, kita mahasiswa Malaysia mampu merubah dunia dengan kemampuan kita sendiri tanpa didokong mana-mana pihak luar yang berkepentingan.

UM is ONE!!!

Friday 13 March 2009

Festival Seni Universiti Malaya: Bakat Atau Maksiat

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Warga Universiti Malaya (UM) umumnya tahu yang tidak lama lagi, satu acara tahunan yang dinanti-nantikan akan tiba semula.

Bulan lepas kita dihangatkan dengan pertempuran bakat sukan antara kolej-kolej kediaman mahupun pelajar luar kampus dalam Sukan Mahasiswa Universiti Malaya ataupun SUKMUM.

Bermula 19 Mac 2009, kolej-kolej kediaman sekali lagi akan berentap mempertaruhkan bakat-bakat penghuni masing-masing dan kali ini, bakat kesenian pula menjadi objektif pertandingan yang gah dengan nama Festival Seni Universiti Malaya (Feseni).

Feseni kali ini menjadi pertikaian apabila tarikhnya yang ditunda dan dilewatkan sehingga hampir dengan minggu ulangkaji pelajar.

Ini disebabkan beberapa faktor seperti pemilihan MPMUM yang dijalankan bulan Januari yang lepas serta beberapa faktor teknikal yang bagi saya ia tidak sepatutnya berlaku.

Akan tetapi itu adalah lumrah manusia yang tidak sempurna apabila pihak penganjur ‘terlepas pandang’ akan Feseni yang ditunggu-tunggu oleh warga UM sendiri.

Dengan alasan DTC sudah ditempah pada awalnya, bagi saya satu alasan yang tidak munasabah oleh pihak-pihak yang tertentu kerana semua orang tahu acara tahunan ini dan ia sepatutnya ditempah lebih awal daripada pihak luar.

Walau bagaimanapun, tidak dinafikan ada segelintir golongan yang amat tidak senang dengan Feseni. Bagi mereka ini mengundang maksiat apabila lelaki dan perempuan duduk sekali dan melihat persembahan-persembahan bersifat ‘lagho’ ataupun sia-sia.

Saya amat kerdil bagi membicarakan isu ini akan tetapi bagi saya, itu terpulang pada individu masing-masing dan niat mereka menyertai mahupun menonton Feseni ini.

Bagi saya ini adalah pentas bagi peserta mengasah bakat mereka dalam bidang kesenian dan bagi meningkatkan nilai tambah dalam diri mereka disamping mengejar kecemerlangan akademik masing-masing.

Selain itu, ini boleh membawa kepada perpaduan dan kesepakatan antara penghuni kolej-kolej kediaman. Ini terbukti tak kira bagi peserta mahupun penyokong dan penonton.

Bila kita perhatikan beberapa acara seperti tarian Cina yang turut sama disertai oleh pelajar Melayu dan tarian India yang turut sama disertai oleh pelajar Cina, secara tidak langsung menunjukkan kita mampu memupuk budaya bangsa kita kepada acuan yang kita idamkan iaitu bangsa Malaysia sendiri.

Tidak kurang juga di barisan penyokong. Dengan bergabungnya pelbagai bangsa dalam DTC itu nanti, penuh makna bagi saya dan ini boleh menyemarakkan perpaduan dan keharmonian sesama kita terutamanya antara penghuni sesuatu kolej itu.

Saya juga ingin menyarankan kepada muda mudi agar menjaga tingkah laku anda semasa berlangsungnya Feseni ini.

Walaupun kita mahu menyokong ataupun memartabatkan kolej masing-masing dengan mengadakan persembahan di pentas itu nanti, adap dan tata susila harus dijaga untuk dielakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Hari ini, sebaran fitnah sudah cukup berleluasa. Elakkan diri anda daripada terperangkap dalam fitnah pihak yang tidak bertanggungjawab dan perbetulkan niat anda untuk menyertai sesuatu acara.

Kepada rakan-rakan yang tidak suka akan acara ini, saya mohon agar tiada unsur sabotaj berulang seperti tahun lepas apabila diletakkan beberapa biji telur busuk di dalam di DTC bagi menghalang berlangsungnya acara Feseni.

Mari kita sama-sama mengingatkan rakan-rakan kita secara berhemah dan bukan dengan secara mengsabotaj acara itu mahupun menyebarkan fitnah dikalangan pelajar.

Sesungguhnya bagi saya ia lebih buruk dan akan menimbulkan persepsi yang negatif rakan-rakan kita yang lain terhadap golongan tersebut.

Saya sendiri mengingatkan peserta Feseni kolej saya agar menjaga tingkah laku dan tidak melampau dalam melakukan persembahan. Bukan kepada mereka sahaja malah kepada rakan-rakan penyokong dan rakan-rakan yang rapat dengan saya turut saya nasihatkan bersama. Bagi saya, walaupun ianya dakwah yang lemah tetapi saya tetap jalankan kerana ia saranan kepada kita umat Islam.

Akhir kata buat peserta Feseni kolej kediaman Pertama, ASTAR khususnya dan semua peserta Feseni kolej kediaman UM umumnya, saya ingin mengucapkan selamat berjaya dan terus menyokong kolej anda masing-masing bagi kita menyemarakkan lagi keharmonian kita di dalam kolej dan seterusnya menambahkan kasih sayang dan perpaduan antara kita warga UM sendiri.

ASTAR is FIRST!
UM is ONE!!!

PPSMI tak jejas pencapaian pelajar SPM

Anak nelayan, Nik Nur Madihah menunjukkan slip keputusan peperiksaan SPM kepada bapanya, Nik Mohd Kamal Husin yang berada di atas bot ikan di Kuala Besar, Kota Bharu, Kelantan, semalam. Madihah muncul pelajar terbaik bagi sekolah tajaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) dengan mendapat 20A.


PUTRAJAYA: Seramai 6,277 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran, meningkat 24.05 peratus berbanding 5,060 pada 2007.

Keputusan peperiksaan itu juga menunjukkan peningkatan kelulusan dalam Sains dan Matematik, sekali gus membuktikan pelaksanaan pembelajaran dan pengajaran kedua-dua subjek itu dalam bahasa Inggeris (PPSMI) tidak menjejaskan pencapaian pelajar.


Mengumumkan keputusan peperiksaan itu di sini semalam, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata prestasi calon bandar dan luar bandar serta pada peringkat nasional bagi mata pelajaran itu terus meningkat.

Subjek Sains mencatat kelulusan 91.2 peratus berbanding 87 peratus pada tahun sebelumnya, manakala Matematik 77.5 peratus berbanding 75.8 peratus pada 2007.

Seramai 442,936 calon menduduki SPM tahun lalu, yang menjadi kumpulan kedua mengikuti PPSMI sejak Tingkatan Satu pada 2003.

Alimuddin berkata, calon yang memperoleh gred 1A dalam semua mata pelajaran juga meningkat, iaitu seramai 1,676 orang berbanding 892 pada tahun sebelumnya.

Tiga calon mendapat keputusan 1A dalam semua 16 subjek diduduki; 15 mata pelajaran (dua); 14 mata pelajaran (enam); 13 mata pelajaran (41); 12 mata pelajaran (229); 11 mata pelajaran (610); 10 mata pelajaran (614) dan sembilan mata pelajaran (171).

Seramai 10,080 calon pula berjaya memperoleh 10A atau lebih, 5,863 memperoleh 9A dan 5,909 (8A).

Beliau berkata, 181,416 calon atau 46.7 peratus lulus semua mata pelajaran berbanding 175,452 calon pada 2007.

"Seramai 208 atau 47.8 peratus daripada 435 calon berkeperluan khas pelbagai kecacatan pula berjaya mendapat sijil SPM berbanding 189 pada tahun sebelumnya.

"Seorang calon rabun dari Sekolah Menengah Sains Keluang, Johor, Mohamad Shafiq Sahdon berjaya memperoleh 12 1A manakala calon pekak dari Sekolah Menengah Kebangsaan, Jalan Bukit, Kajang, Selangor, Agilan Narayanan mendapat 11 1A," katanya.

Mengenai calon yang menjawab kertas soalan subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (BI), beliau berkata ia menunjukkan perkembangan memberangsangkan.

Seramai 45,662 calon menjawab kertas soalan Matematik 1 dalam BI sepenuhnya, berbanding 44,207 dalam Bahasa Melayu (BM) dan 55,550 menggunakan kedua-dua bahasa, manakala bagi Matematik 2, 227,720 menjawab soalan dalam BI sepenuhnya berbanding 86,463 dalam BM dan 41, 630 dalam dwibahasa.

Bagi Sains Kertas 1, 41,078 calon menjawab dalam BI, 16,557 (BM), 47,156 (dwibahasa); Sains Kertas 2, 36,855 (BI), 130,725 (BM), 36,041 (dwibahasa); Kimia Kertas 1 (4,347 (BI), 29,833 (BM), 25,367 (dwibahasa); Kimia Kertas 2, 90,669 (BI), 12,589 (BM), 23,907 (dwibahasa) dan Kimia Kertas 3, 79,920 (BI), 12,592 (BM), 11,551 (dwibahasa).

Mengenai penurunan prestasi mata pelajaran teras BI, Alimudin berkata, jumlahnya kecil serta tidak ketara.

"Kita sudah mengambil pelbagai langkah untuk meningkatkan penguasaan BI di kalangan guru, antaranya mengikuti kursus dan latihan termasuk ke Pusat Bahasa Serantau (RELC), Pertubuhan Menteri-Menteri Pelajaran Asia Tenggara (Seameo) di Singapura," katanya.

Beliau turut mengumumkan 3,098 daripada 6,240 calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2008 memperoleh sijil dengan pangkat lulus (maqbul) berbanding 3,341 calon pada tahun sebelumnya.

STAM ialah sijil yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran dan menggunakan sepenuhnya bahasa Arab sebagai pengantar peperiksaan.

Sumber Berita Harian Online

Tuesday 10 March 2009

Rakyat Malaysia Usah Pilih Kerja

Assalamualaikum Dan Salam Perpaduan

Bila berbicara tentang isu pekerjaan, tidak terlepas 2 perkara dalam fikiran iaitu bilangan pekerja asing dan kadar pengangguran negara yang tinggi.

Baru-baru ini danggarkan seramai 70 000 orang pekerja daripada Bangladesh dijangka akan dibawa masuk ke Malaysia.

Ini bertujuan bagi mengisi kekosongan pekerjaan di sektor perladangan, pembinaan dan perkhidmatan.

Apabila difikirkan kembali, kenapa perlu pekerja asing ini dibawa masuk sedangkan rakyat Malaysia yang menganggur juga mencapai puluhan ribu orang juga?

Rata-rata rakyat Malaysia mempunyai ‘klass’ yang tersendiri. Pekerjaan seperti buruh kasar, pembantu rumah, pekerja restoran mamak boleh dikatakan tidak langsung berada dalam pilihan pekerjaan kebanyakan rakyat Malaysia.

Bagi mahasiswa, mereka yang sudah penat-penat belajar sudah tentu akan mengejar impian mendapatkan pekerjaan yang menawarkan gaji yang lumayan serta kerja yang sama seperti apa yang mereka pelajari di universiti.

Akan tetapi di zaman kegawatan ekonomi seperti ini, sikap memilih pekerjaan sudah tidak relevan dan persepsi rakyat terutama mahasiswa perlu turut sama diubah.

Ramai pihak menyuruh kerajaan menghentikan kemasukan pekerja asing tetapi tanpa mereka siapa yang akan bekerja di sektor-sektor yang berkenaan.

Sebelum mengecam tindakan ini, mereka perlu datang dengan satu idea yang boleh diterima oleh semua pihak bagi memajukan sektor sumber manusia negara kita ini.

Walaupun kita perlu mengutamakan rakyat Malaysia dalam mengisi jawatan kosong di negara kita, tetapi jika orang Malaysia sendiri tidak mahu adakah kita boleh memaksa mereka?

Saya juga tidak setuju dengan idea kemasukan 70 000 orang Bangladesh ke negara ini tetapi saya harap pihak kerajaan dengan bantuan NGO dalam negara boleh membuat satu kursus atau cara memantapkan sahsiah rakyat Malaysia untuk menghilangkan ‘mind set’ ingin kerja yang bagus-bagus sahaja tanpa perlu bersusah dahulu.

Jika program seperti ini dapat dijayakan, mungkin dalam masa 2 atau 3 tahun rakyat Malaysia sudah mampu menerima apa jua cabaran atau pekerjaan yang bakal mereka hadapi tanpa sebarang keraguan mahupun kegusaran.

Apa jua pekerjaan kita, kita lakukannya demi kemajuan negara, bangsa dan agama. Kita perlu ikhlas memberikan perkhidmatan dan jauhi segala anasir kotor seperti penipuan, rasuah dan korinisme dalam kehidupan pekerjaan seharian.

InsyaAllah, Allah akan merahmati kita seterusnya melindungi negara Malaysia kita yang tercinta ini.

Sunday 8 March 2009

PPSMI Semakin Hangat : Usah Ikut Negara Jiran

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Sekalung tahniah dan syabas kepada para penyokong Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) yang turun kira-kira 5000 orang bagi menunjukkan sokongan anda mahukan PPSMI dimansuhkan.

Tindakan ini telah menarik perhatian ramai tokoh politik yang telah mula berbicara agar isu PPSMI ini diselesaikan secepat mungkin.

Selain itu, anda juga telah berjaya melumpuhkan jalan raya di sekitar bandaraya Kuala Lumpur, saya tidak tahu berapa banyak ‘pahala’ yang anda dapat akibat cemuhan pemandu kereta atas niat ‘murni’ yang anda jalankan.

Akan tetapi, kita lihat yang kekecohan berlaku semalam akibat sesetengah pihak yang sengaja menimbulkan provokasi yakni orang yang tidak tahu mendengar arahan.

Memang tidak dinafikan, GMP mendapat permit membuat perhimpunan tetapi bukan perarakan.

“Kami berpuas hati walaupun permit yang diberikan polis semalam, hanya membenarkan perhimpunan di Masjid Negara tetapi tidak meluluskan sebarang perarakan," kata Pengerusi Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP), Datuk Dr Hassan Ahmad di Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia, semalam (kelmarin).

Para pembaca sekalian, jelas lagi bersuluh, perarakan tidak dibenarkan. Apabila Angota Polis Simpanan (FRU) cuba menghalang mereka, mereka bingkas membuat tuduhan durjana pada FRU.

Dikatakan FRU lempar bom pemedih mata dan sebagainya, menunjukkan mereka ini tidak tahu arahan dan sebabnya.

FRU yang cukup terlatih tidak akan membuat sebarang tindakan bodoh tanpa sebab, dan sebab mereka berbuat demikian amat jelas bagi menghalang perarakan.

Apa yang menyedihkan lagi apabila sebilangan antara mereka adalah daripada golongan mahasiswa. Apa guna belajar di universiti jika arahan semudah itu tidak dapat dipatuhi.

Adakah ini orang nak perjuang bahasa Melayu, sedangkan arahan dalam bahasa Melayu pun tidak faham. Atau mereka sudah diperalatkan oleh sesetengah pihak yang tidak saya tahu kewujudannya, Wallahu Alam.

Apa yang dapat saya perkatakan adalah, kita tidak mahu negara kita disamakan dengan negara-negara Asia Tenggara yang lain. Kekecohan di Filipina, Indonesia, Thailand dan sebagainya kita tidak mahu ia jadi di Malaysia ini.

Walaupun kita ingin membantah, kita ada had dan tata susila nya. Sudahla Raja sekarang di dehakai, ini adab dan tata susila pula tidak dijaga. Adakah ini orang yang perjuangkan bahasa Melayu, sedangkan adab bangsa dan pemimpin bangsanya dibelakangi, Rukun Negara diabaikan? Fikir-fikirkanlah…

Sepatutnya kita muhasabah diri kita, apa yang telah kita lakukan. Adakah ia berdasarkan landasan yang benar atau sudah menyimpang atas desakan golongan-golongan yang berkepentingan?

Saya seru pada mahasiswa, tolak segala unsur politik luar. Kita bergerak atas nama mahasiswa. Jika niat kita sebagai mahasiswa ingin membela negara, itu tindakan cukup murni.

Akan tetapi sebagai mahasiswa yang bijak pandai, kita fikirkanlah satu medium atau satu cara yang terbaik bagi kita melaksanakan niat kita tanpa mengganggu gugat keselamatan dan keamanan Negara.

Justeru itu, saya menyeru rakan-rakan agar kembali ke pangkuan yang asal dan sama-sama kita sayangkan Negara kita sebagaimana kita sayangkan bahasa kita.

Kita berharap juga agar isu ini terus diambil berat terutamanya oleh Kementerian Pelajaran Malaysia di bawah pimpinan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Katanyanya dalam satu sidang akhbar, apa pun keputusan Kabinet, pelaksanaannya hanya boleh dilakukan tahun depan bermula dengan murid Tahun Satu.

Oleh itu, mari kita sama-sama berdoa agar satu keputusan yang bijak dapat dicapai bukan sahaja bagi memartabatkan bahasa melayu tetapi bagi menjamin masa depan adik-adik kita tejamin agar mereka menjadi insan yang produktif bagi kita sama-sama mengejar wawasan 2020.

Mengingati Rasulullah Sepanjang Masa

Umat Islam mesti jadikan akhlak, ajaran Nabi Muhammad SAW contoh ikutan terbaik
AKU kesayangan Allah (dan tidak bongkak). Aku membawa panji 'Pujian' pada hari kiamat, di bawahnya Adam dan yang sesudahnya (dan tidak bongkak). Aku yang pertama pemberi syafaat dan yang diterima syafaatnya pada hari kiamat (dan tidak bongkak). Aku yang pertama menggerakkan pintu syurga dan Allah membukanya untukku dan aku dimasukkan-Nya bersama-sama orang beriman yang fakir (dan tidak bongkak). Dan Akulah paling mulia dari kalangan terdahulu dan terkebelakang di sisi Allah (dan tidak bongkak)," maksud sabda Baginda SAW yang diriwayatkan Tirmizi. Allah berfirman bermaksud: "Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik untuk kamu." (Surah al-Ahzab ayat 21)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah bermaksud, "Adalah akhlaknya (Rasulullah SAW) sebagai akhlak al-Quran." (Hadis riwayat Muslim) Ia menunjukkan akhlak Baginda SAW adalah sempurna kerana Baginda mengamalkan segala ajaran dalam al-Quran. Inilah salah satu sebab mengapa seluruh umat manusia diperintahkan supaya mencontohi Baginda. Sesungguhnya Allah mengutuskan Rasulullah SAW kepada manusia untuk menjadi contoh terpilih. Baginda juga contoh, gambaran pelaksanaan yang sempurna lagi tinggi untuk kesempurnaan manusia sejagat.

Tidak syak lagi kepada umat Islam bahawa sekiranya mereka mengikuti keperibadian Rasulullah SAW yang mulia, sesungguhnya mereka adalah manusia yang mempunyai ciri kepemimpinan agung, yang sentiasa mendapat kasih dan restu daripada Allah. Rabiulawal adalah bulan bersejarah bagi umat Islam kerana dalam bulan inilah junjungan kita Rasulullah SAW diputerakan. Hari keputeraan ini disambut oleh umat Islam untuk mensyukuri rahmat Allah yang menurunkan seorang pemimpin yang sudah mengubah suasana dan keadaan hidup manusia ke arah kejayaan. Di samping itu, ia sebagai satu saranan untuk mengenang serta mengimbas kembali perjuangan Baginda yang penuh dengan rintangan, bagi membetulkan akidah umat, serta untuk kemanusiaan dan keadilan sejagat. Selaku Nabi dan Rasul, Baginda sudah menerima amanah daripada Allah dengan penuh tawakal dan ketaatan yang menjadikan Baginda itu sentiasa berjaya dan mendapat pertolongan. Baginda SAW adalah seorang rasul yang mempunyai darjat kelebihan daripada nabi, rasul yang lain. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 253 yang bermaksud: "Rasul-rasul itu Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan tertentu) di antara mereka ada yang berkata-kata dengan Allah dan ditinggikan (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan."

Kita mencintai Rasulullah kerana Baginda mempunyai peribadi yang tinggi. Rasa cinta kita kepadanya tidak cukup jika kita lahirkan dengan kata-kata dan sambutan yang pelbagai cara, tetapi mesti dilahirkan dengan meniru sifat peribadi yang mulia. Kerana sifat-sifat peribadi yang mulia inilah Rasulullah SAW disanjung tinggi dan dapat memandu manusia dan mengubah suasana kehidupan manusia ke arah yang lebih cemerlang dan lebih bahagia bukan saja di dunia bahkan di akhirat. Di antara sifat Rasulullah SAW yang patut kita hayati ialah Baginda sentiasa bersifat benar dalam semua keadaan. Baginda tidak pernah berdusta dan tidak pula menyeleweng dalam tingkah laku; Baginda bersifat amanah sejak kecil hingga diberikan gelaran al-Amin dan diberikan kepercayaan membawa dagangan Siti Khadijah seterusnya Allah melantiknya menjadi seorang Rasul akhir zaman; Baginda bersifat adil tidak memihak dalam membuat hukuman walaupun terhadap keluarganya sendiri.
Ini telah ditegaskan dengan sabdanya yang bermaksud: "Demi Allah seandainya anakku Fatimah mencuri nescaya aku potong tangannya." Di samping itu, Baginda mempunyai keyakinan diri. Dengan keyakinan dan ketabahan itu menyebabkan agama Islam tersebar hingga ke hari ini; Baginda juga berusaha dengan rajin dan tekun. Ini dapat dilihat daripada apa yang dilakukan olehnya dari sejak kecil dengan bekerja sebagai pengembala kambing dan ketika remaja berniaga dan akhirnya ia berdakwah menyeru manusia mengabdikan diri kepada Allah dan memperbaiki kepincangan masyarakat; dan Baginda adalah seorang yang cekal dan cekap menjalankan tugasnya di semua bidang seperti pengurusan rumah tangga, pentadbiran negara dan di medan perang; serta Baginda juga mempunyai sifat kesungguhan dalam usahanya menyebarkan agama Islam, menyatupadukan umat dan melakukan ibadah kepada Allah. Baginda tidak mudah putus asa walaupun menghadapi tekanan daripada puak Quraisy.
Perkara di atas adalah satu pegangan yang wajib dimiliki oleh setiap Muslim mengenai nabi mereka. Kecintaan kita kepada Junjungan adalah tanda wujudnya iman dalam diri kita. Sabda Baginda maksudnya: "Tidaklah seseorang itu dikatakan beriman hingga aku lebih dicintai daripada ayahnya, anaknya dan seluruh manusia." (Hadis riwayat Bukhari) Umat Islam hari ini kurang memperhatikan hakikat di atas. Mereka menjadikan selain Muhammad SAW sebagai idola mereka. Mereka lebih mencontohi si polan dan si polan dari mencontohi Muhammad SAW. Mereka lebih sebati jiwa dan raga mereka dengan si anu dan si anu daripada sebati jiwa dan raga mereka dengan Muhammad SAW. Sehingga akhirnya mereka lebih mengutamakan perkataan, perbuatan dan persetujuan yang dikeluarkan oleh manusia, selain Muhammad SAW. Mereka berkata bahawa mereka beriman kepada Muhammad SAW.
Tapi ketika dianjurkan kepada mereka perkataan, perbuatan, dan persetujuan Baginda, mereka menutup mata. Mereka berkata bahawa mereka pengikut Muhammad SAW. Tapi ketika ditunjukkan kepada mereka perkataan, perbuatan, dan persetujuan Baginda mereka menutup telinga. Mereka berkata bahawa mereka mencintai Muhammad SAW. Tapi ketika dihadapkan kepada mereka perkataan, perbuatan, dan persetujuan Baginda mereka menutup mulut. Itulah realiti yang dihadapi umat Islam masa kini. Mereka mengingati Muhammad SAW hanya apabila mereka sedang dalam surau, masjid dan majlis. Tapi ketika mereka keluar, yang mereka ingat adalah selain Muhammad SAW. Padahal perkataan, perbuatan dan persetujuan Muhammad SAW bersifat sederhana dan tidak menyusahkan dan memberatkan. Baginda bersabda maksudnya: "Apa saja yang aku larang bagi kamu hendaklah kamu jauhi, dan apa saja yang aku perintahkan kepadamu maka lakukanlah sesuai kemampuanmu.
Sesungguhnya kehancuran umat sebelum kamu adalah kerana mereka banyak bertanya dan berselisih faham dengan nabi-nabi mereka (tidak mahu taat dan patuh)." (Muttafaq 'alaihi) Betapa mulia dan tingginya Muhammad SAW seperti dalam hadis pada permulaan renungan ini dia ia sudah cukup untuk menjadi bukti kewajipan mengidolakan Baginda. Mahukah kita dekat dengan Baginda kerana mengidolakan Baginda? Jika mahu, Baginda pun memberikan satu jalan dalam sabda Baginda bermaksud: "Sesungguhnya orang yang paling dekat denganku pada hari kiamat ialah orang yang paling banyak membaca selawat kepadaku." (Hadis riwayat Tirmizi) Allahumma salli 'ala Muhammad
Sumber Berita Harian Online

Friday 6 March 2009

Takziah Buat Ahli Keluarga Zubir Ali

Assalamualaikum Dan Salam Perpaduan


Zubir Ali


Komposer dan penyanyi Zubir Ali meninggal dunia di Hospital Pakar Damansara pada jam 11 pagi tadi selepas menjalani pembedahan jantung. Sumber Berita Harian Online.

Kali terakhir bertemu beliau adalah pada Pesta Puisi Dayasari. Rupanya itu kali terakhirku bersemuka dan bersalaman dengan beliau. Sama-sama kita bacakan bagi beliau Surah Al-Fatihah. Moga roh beliau dicucuri rahmat Allah S.W.T.

Al-Fatihah…

Thursday 5 March 2009

Game Menghina Kalimah Allah

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan


Artikel berkaitan dengan Guitar Heroes 3, permainan yang menghina kalimah Allah telah dipaparkan dalam artikel blog penulis pada 13 Disember 2008. Baru-baru ketika salah seorang rakan penulis membeli Blackberry, beliau telah terperasan Guitar Heroes 3 ada dimuatkan bersama dalam perisian Blackberry (gambar atas). Tidak cukup dengan permohonan menggunakan kalimah Allah pada Herald Tribune, dalam telefon bimbit pun sudah ada game yang menghina kalimah Allah.



Lihatlah bagaimana paparan kalimah Allah ini telah dijadikan paparan lantai dan kemudian dipijak oleh makhluk yang berupa "syaitan" bermain gitar. Sungguh biadap game ini. Game ini dibangunkan oleh syarikat Neversoft dan dikeluarkan oleh Activision dan RedOctane. Neversoft adalah sebuah syarikat pembangunan video game yang berpangkalan di Amerika Syarikat. Dipunyai oleh Joel Jewett (berasal dari Montana, Amerika) bersama dengan Chris Ward dan Mick West. Chris dan Mick kedua-duanya berasal dari Yorkshire, England.


Jika kita tidak teliti, kita tidak akan perasan paparan kalimah Allah SWT ini. Pada sesiapa yang membeli Blackberry dan ada dimuatkan bersama dengan permainan ini, silalah remove game ini dari Blackberry anda. Sungguh halus permainan golongan Yahudi dan Nasara untuk menyesatkan orang Islam. Waspadalah kita. Sila sampaikan berita ini kepada sahabat seagama dengan kita. Tiada kompromi lagi dalam soal ini, sila buang game ini.

*Rujukan: http://anginperubahan.blogspot.com/2009/03/game-menghina-kalimah-allah-dalam.html

JTK Bantu Pulang Wang Pada Penghuni

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Pada hari Isnin lalu (2/3/2009), seorang warga Astar, saudari Aishah telah menjumpai sejumlah wang bernilai RM 50 berdekatan tangga Blok B dan disampaikan kepada saya melalui JIK kolej, saudara Zulkarnain. Terima kasih dan syabas atas sikap jujur anda.


Sehari selepas itu, tuan punya wang itu dapat dikenal pasti dengan bantuan wakil tingkat dan saya sendiri menyerahkan semula wang itu kepada saudari tuan yang empunya wang tersebut.

Apa yang ingin saya maklumkan adalah anda sepatutnya melaporkan sebarang jenis kehilangan ataupun kemalangan yang anda hadapi.

Jika anda berasa segan melakukan laporan ataupun aduan terus kepada pihak pejabat mahupun penyelia, anda boleh memberitahu wakil tingkat ataupun ahli JTK sendiri. Ini bagi memudahkan kami mengenal pasti tuan punya barang yang dijumpai.

Selain itu, saya ingin menasihatkan warga ASTAR khususnya dan masyarakat kampus amnya agar menjaga keselamatan anda dan menjaga keselamatan barang peribadi anda.

Anda diminta agar mengunci pintu bilik anda jika hendak keluar walaupun sekejap dan mengunci kenderaan anda dan lengkapi ia dengan sistem keselamatan yang bermutu.

Baru-baru ini dilaporkan ada unsur pukau telah digunakan bagi memperdayakan mahasiswa/i serta beberapa kejadian jenayah seperti rompakan dan ragut.

Pihak Keselamatan UM dalam usaha meningkatkan kekuatan mereka bagi membanteras segala unsur jenayah ini. Tambahan pula mereka akan mendapat bantuan SUKSIS selepas ini.

Oleh itu, anda perlu bertanggungjawab atas keselamatan anda dan pastikan anda mempunyai nombor telefon yang penting seperti balai polis berdekatan ataupun pihak keselamatan UM sendiri.

Sentiasa peka dengan persekitaran dan elakkan kecuaian, ini mampu menyelamatkan anda daripada keadaan yang tidak diingini.

ASTAR is FIRST!
UM is ONE!!!

Wednesday 4 March 2009

Malam Penganugerahan Astar Fasa 1

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Malam ini akan memberi sedikit kelainan kepada penghuni kolej kerana malam ini akan diadakan Malam Penganugerahan Astar Fasa 1 (MPA 1) bertempat di Dewan Tun Perak, Kolej Kediaman Pertama pada jam 7.45 malam.

Majlis ini dijangka akan dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Prof. Madya Datuk Dr. Azarae Bin Haji Idris.

MPA secara umumnya diadakan bagi menanugerahkan penghuni Astar yang telah memberi komitmen yang baik serta telah menabur jasa kepada kolej.

Ini sebagai satu inisiatif pihak kolej yang baik bagi menghargai para penghuni atas usaha gigih mereka sepanjang sesi ini.

Malam yang gilang gemilang ini terbahagi kepada 2 fasa di mana fasa kedua akan dianjurkan pada 7 Mac akan datang.

Projek yang menjadi satu kepastian di kolej ini merupakan antara projek yang dinanti-nantikan oleh seluruh warga ASTAR baik yang senior mahupun yang junior.

MPA1 dengan tema ‘Egypt Night’ kali ini bagi saya sungguh unik. Ini kerana Egypt atau Mesir merupakan salah satu tamadun awal yang gemilang di dunia ini.

Oleh itu, kita perlu ambil iktibar daripada tema ini, bukan sekadar mengenakan pakaian yang cantik dan padan dengan tema tetapi terus berusaha seperti orang-orang Mesir terdahulu yang maju dari pelbagai bidang.

Bersesuaian dengan tema ini, saya menyeru rakan-rakan warga ASTAR agar kita terus berusaha mencapai kejayaan dan menjadi insan yang berguna apabila kita menjejak keluar daripada Uniperdana kesayangan kita ini.

Bak kata pepatah, belajar atau bekerja bersungguh-sungguh seakan-akan anda akan hidup seribu tahun lagi tetapi beribadah bersungguh-sungguh seakan-akan anda akan mati pada keesokan harinya.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada penghuni ASTAR yang akan menerima anugerah pada malam ini. Kepada yang tidak bernasib baik, jangan risau. MPA 2 masih ada dan tahun ini akan diadakan di Hotel Crown Plaza Mutiara, Kuala Lumpur. InsyaAllah, jika dipanjangkan umur kita akan bertemu lagi di sana.

ASTAR is FIRST!
UM is ONE!!!

Tuesday 3 March 2009

Kolej Kediaman Pertama Mungkin Diwartakan Tapak Warisan Negara

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Baru-baru ini sempena majlis penutupan Pesta Budaya di Dewan Tun Perak, Pengetua Kolej Dr. Woo Chaw Seng dalam ucapan perasmian penutupan beliau ada menyebut yang kolej kediaman Pertama atau lebih dikenali sebagai ASTAR yang merupakan kolej tertua di Universiti Malaya mungkin akan mendapat status Tapak Warisan.

Ini merupakan satu langkah yang baik mengenalkan kolej kediaman Pertama di mata masyarakat terutamanya rakyat Malaysia. Saya dapat melihat beberapa kebaikan jika hal ini diwartakan terutama dari segi tajaan projek-projek yang bakal diadakan.

Oleh itu, saya ingin berkongsi sedikit sejarah kolej kediaman Pertama yang saya peroleh daripada laman web rasmi kolej.

Sejarah Asrama Tuanku Abdul Rahman (ASTAR)
Kolej Kediaman Pertama merupakan kolej kediaman yang tertua sekali di Universiti Malaya. Ia dibina pada tahun 1959 dan terdiri daripada tiga buah blok ketika itu iaitu Blok A, B dan C. Kumpulan pertama yang menginap kolej ini cuma 28 penghuni sahaja dan angka ini terus meningkat dari semasa ke semasa kepada 265 orang. Para penghuninya pada masa itu terdiri daripada penuntut-penuntut tahun tiga Fakulti Sastera dan Kejuruteraan yang telah dipindahkan daripada Universiti Malaya cawangan Singapura. Dengan bertambahnya bilangan penuntut di Universiti ini, dan bagi memenuhi keperluan tempat penginapan, maka pada tahun 1971, dua buah blok tambahan dibina iaitu Blok D dan Blok E yang boleh menampung seramai 270 orang penghuni baru.

Pada mula kolej ini dibina, ianya diduduki oleh penghuni lelaki sahaja. Bilangan penghuni perempuan adalah amat sedikit dan akhirnya tidak lagi menginap di sini. Namun demikian, menjelang tahun 1968, pihak kolej telah memberi kebenaran sekali lagi kepada pelajar perempuan (senior) untuk menginap di kolej ini. Mereka ditempatkan di Blok A sementara penghuni lelaki ditempatkan di Blok B dan Blok C. Kini, jumlah penghuni kolej ini mencecah bilangan 700 orang.

Kolej ini pada mulanya dikenali sebagai Kolej Pertama (First R.C.) kerana ia merupakan kolej yang mula-mula didirikan di kampus ini. Ia kemudiannya ditukarkan kepada nama Kolej Tuanku Abdul Rahman (KTAR) sempena mengambil nama D.Y.M.M. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang pertama iaitu Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad. Pada tahun 1978, KTAR telah ditukar namanya kepada Asrama Tuanku Abdul Rahman (ASTAR) dan pada tahun 1993, ia ditukarkan kepada Kolej Kediaman Pertama.

Buat pertama kalinya, kolej ini menganjurkan program sukan di antara KTAR-DRN (Duncan Road Hostel, Singapura) dalam tahun 1968. Pada tahun 1982, perlawanan persahabatan antara KTAR dengan SHEARES Hall diadakan. Oleh kerana kemenangan sentiasa berpihak kepada kolej ini, maka kolej ini sentiasa disegani oleh kolej-kolej lain.

Dari segi kegiatan lain, PRIMA iaitu majalah tahunan kolej ini mula diterbitkan pada tahun 1965. Berita KTAR diterbitkan pada tahun 1969 dan digantikan kepada SINAR ASTAR pada tahun 1980. Sehingga kini, majalah tahunan kolej tersebut masih tetap dengan majalah PERTAMA.

Band pertama ASTAR “ THE RAMANITES” ditubuhkan pada 1967. Dua tahun kemudian, koir kolej dibentuk dan dinamakan “KTAR SING ALONG CHOIR”. Lagu kolej “UP FIRST RC” telah dicipta pada tahun yang sama. Pada tahun 1992, ALUMNI telah ditubuhkan di mana ahlinya terdiri daripada bekas-bekas penghuni kolej ini. Presidennya yang pertama adalah YB Datuk K. Pathmanathan.

Semasa awal tahun 60-an, kegiatan kolej ini telah ditadbirkan oleh JCRC (JUNIOR COMMON ROOM COMMITTEE) yang kemudiannya digantikan oleh MBA (MAJLIS BERMESYUARAT ASRAMA) pada tahun 1975. MBA dimansuhkan dan digantikan oleh JIA (JAWATANKUASA INDUK ASRAMA) dan JTA (JAWATANKUASA PERKEMBANGAN) iaitu Kemasyarakatan, Perkhidmatan Kolej, Akademik, Kreatif, Sukan serta Kerohanian dan Adab Sopan.

Sehingga kini, terdapat perubahan nama pada kedua-dua pentadbiran kegiatan di kolej ini. Perkataan “ASRAMA” pada JIA dan JTA telah digantikan kepada “KOLEJ” iaitu JIK dan JTK yang bersesuaian dengan fungsinya. Daripada situ juga, lima jenis JKP dikekalkan dan diubah namanya kepada Kemasyarakatan dan Kebajikan, Akademik dan Intelektual, Kreativiti dan Kesenian, Sukan dan Rekreasi serta Kenegaraan, Etika dan Patriotisme.

Monday 2 March 2009

Nama Allah Hanya Untuk Islam

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Selaku mahasiswa, saya untuk membantah sekeras-kerasnya pengunaan nama Allah dalam risalah keluaran Herald Catholik iaitu risalah berunsurkan agama Kristian dalam bahasa Malaysia.

Saya mempunyai dua sebab kenapa isu patut ditolak terutamanya umat Islam dan masyarakat lain yang mencintai kesejahteraan dan keamanan serta mengamalkan dasar hormat menghormati antara satu sama lain.

Pertama, kalimah allah bukanlah perkataan sekadar bahasa Arab bagi sesetengah pihak yang daif ilmunya. Allah adalah nama khas iaitu Asma ul Husna bagi umat Islam. Dalam bahasa Arab ‘tuhan’ bermaksud Ilaah. manakala perkataan rabb tiada isltilah am di dalam bahasa melayu. God dalam bahasa Melayu ialah tuhan dan dalam bahasa Arab ialah Ilaah.Dalam Syahadah kita, sering dibacakan ‘La Ilaaha Illa-Allah’ maknanya, tiada tuhan melainkan Allah dan dalam bahasa Inggeris: There is no deity but Allah.Selain itu, ini bertentangan dengan ajaran kristian yang mempunyai tiga tuhan iaitu God Father, Holy Spirit dan God Son. Oleh yang demikian perkataan ‘Allah’ adalah salah untuk diertikan dengan apapun yang dipercayai oleh penganut agama Kristian

Kedua, ini sesungguhnya akan mengelirukan lagi ramai umat Islam di sini. Dengan keadaan semasa, agama Allah makin lekang di hati terutamanya muda mudi zaman ini. Mereka semakin jauh dari mengenali Allah.

Bayangkan pihak lain menggunakan nama Allah dan ini boleh mengelirukan dan lebih menakutkan ia dapat memesongkan akidah umat Islam itu sendiri.

Negara kita cukup aman sekarang tidak memerlukan unsur-unsur sensitiviti ini mengganggu gugat keharmonian negara sekarang.

Oleh itu saya mengucapkan syabas atas tindakan tepat Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Syed Hamid Albar atas tindakan menarik balik kelulusan terhadap pihak tertentu menggunakan nama Allah dalam risalah mereka sehingga diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Walaupun idea ini disokong oleh segelintir ahli ulama, bagi saya ia tetap tidak sesuai diterapkan atau digunakan pada waktu sebegini.

Bagi umat Islam, daripada kita bazirkan masa mempertimbangkan hal ini sah atau tidak, banyak lagi isu diluar sana yang perlu kita pertimbangkan.

Isu perpaduan umat Islam itu sendiri perlu difikirkan dan diperbaiki sejajar titah Sultan Kelantan baru-baru ini.

Selain itu, mari kita fikirkan cara terbaik menyelamatkan saudara-saudara kita di Palestin dan Iraq setelah kegagalan Presiden Obama dalam kempen ‘Hope and Change’ beliau apabila gagal menyekat Israel dari mara memusnahkan Gaza dan penempatan askar Amerika di Iraq dikekalkan walaupun ada ura-ura beliau akan memanggil askar Amerika itu pulang ke tanah air mereka.

Oleh itu, saya sekeras-kerasnya menolak penggunaan nama Allah bagi sebarang agama lain selain Islam yakni agama Allah itu sendiri.

Allahu Akbar!!!