Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Monday 31 May 2010

Kapal Diserang Bukti Israel Keji

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Sudah terang lagi bersuluh, hari ini Israel sekali lagi membuktikan kekejiannya di mata dunia apabila menyerang kapal yang membawa misi kemanusiaan untuk rakyat Palestin.

Serangan bermula seawal 6 pagi waktu tempatan, apabila komando yang turun daripada helekopter turun dan mula mencuba untuk merampas kapal-kapal itu.

Mereka pada awal berjanji untuk memberi amaran sebelum mengambil alih kapal jika sukarelawan masih berdegil nyata tidak mengotakan janji mereka apabila mereka terus menyerbu tanpa belas kasihan.

Sehingga sekarang dilaporkan 16-20 orang sudah maut dan lebih kurang 30 orang sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai warganegara mengalami cedera parah.

Kapal misi kemanusiaan yang tidak mempunyai sebarang senjata diserang serupa mereka membawa bantuan bom dan nuklear buat penduduk Palestin jika dilihat daripada tindakan askar komando Israel.

Tindakan ini adalah tindakan yang menyalahi undung-undang hak manusia dan negara yang sering mengagungkan undang-undang ini seperti Amerika Syarikat sepatutnya mengambil tindakan segera.

Dek terikat dengan perjanjian dan perdagangan besar bersama Israel, negara-negara besar dunia dilihat kaku melihat sukarelawan tidak bersalah ini dilayan bak anjing sahaja.

Mahu atau tidak hanya dunia Islam yang masih berupaya dan seharusnya mereka melalui OIC perlu bingkas mengambil tindakan atas perilaku biadab askar Israel ini.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) juga diseru agar tidak duduk diam sahaja melihat pencerobohan hak asasi manusia ini berlaku di depan mata mereka tanpa sebarang persoalan dibuat ke atas Israel.

Kita menuntut keadilan yang sebaiknya buat saudara di atas kapal misi kemanusiaan itu dan kita mengharapkan semua mereka selamat sampai di Gaza bagi menghulurkan bantuan.

Mari sama-sama kita mendoakan keselamatan mereka dan moga mereka yang meninggal dunia akan mendapat gelaran syahid dan memperoleh kedudukan yang istimewa di sisi Alla S.W.T.

Misi Kemanusia Palestin: Mana Pemimpin Islam?

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia

Misi kemanusian yang membawa bekalan makanan, ubat dan bahan binaan buat penduduk di Palestin semakin menghampiri lautan Palestin.

Mereka yang terdiri daripada 600 sukarelawan dari pelbagai negara menaiki 8 buah kapal berasingan membawa sinar harapan buat penduduk Palestin yang selama ini ditindas oleh rejim Zionis yang kejam.

Kini mereka mendapat ugutan daripada pihak ketenteraan Israel dan ini membuatkan kita tertanya-tanya mana peranan pemimpin negara Islam.

Sukarelawan yang begitu kental semangat mereka tidak langsung gentar akan ugutan dan amaran daripada pihak Israel kena ini hanyalah satu misi bantuan kemanusiaan.

Ini menunjukkan Israel begitu bongkak menggunakan kuasa yang mereka ada bukan sahaja untuk menindas rakyat Palestin tetapi mereka juga sekarang menunjukkan mereka mampu menindas siapa sahaja yang meraka mahu.

Tindakan ini sedikit sebanyak juga menunjukkan Israel kini kian takut dengan bayang-bayang mereka sendiri dan cuba mulakan satu provokasi terutamanya untuk dunia Islam.

Jika benar Israel sudah mula menunjukkan keadaan goyah mereka, ini sepatutnya menjadi peluang untuk dunia Islam untuk membawa jenayah perang ini ke muka pengadilan.

Ahli parlimen negara-negara Eropah juga dilihat sudah mula mengecam tindakan Israel dan ini sebenarnya peluang yang terbaik untuk membina satu kerjasama yang lebih kuat.

Jika benar dunia Islam tidak mempunyai kuasa yang cukup untuk menjatuhkan Israel, pemimpin negara Islam patutnya lebih cerdik membina satu jalinan kerjasama bersama negara yang dilihat mampu menyokong dunia Islam.

Semangat dan keberanian para sukarelawan misi kemanusiaan ini sepatutnya menjadi satu iktibar buat kita kerana tindakan adalah lebih baik daripada kata-kata yang dibuat sahaja.

Tidak cukup sekadar mengutuk, membuat forum ataupun mengecam tindakan Israel dan menunjukkan simpati pada rakyat Palestin tetapi tidak menghulur apa-apa bantuan dari segi fizikal yang mereka perlukan.

Kerajaan-kerajaan Islam perlu menghulurkan bantuan secara lebih dinamik dengan membantu sukarelawan misi kemanusiaan ini melepasi segala halangan dan ancaman daripada pihak Israel.

Berhari-hari mereka meredah lautan, menempuh dugaan demi dugaan yang dicipta akibat tekanan rejim Zionis dan banyak lagi tidak langsung memberikan sebarang gentar buat mereka yang membawa misi murni ini.

Misi ini sebenarnya memerlukan lebih ramai orang yang berani dan saya cadangkan mereka yang seringkali membuat perhimpunan aman, demostrasi jalanan perlu suka rela menyertai misi ini.

Mereka terkenal dalam keberanian menyebabkan kekacauan di jalan raya dan juga lantang bersuara nyata sifat-sifat yang terbaik untuk menentang rejim Zionis laknatullah ini.

Dengan ini dapat menyelesaikan masalah daripada kerajaan menggunakan ISA bagi menahan mereka, adalah lebih baik untuk kerajaan mengumpulkan orang-orang ini dan dihantar untuk lebih banyak misi-misi keamanan di Palestin.

Ini memberi satu peringatan kepada pemimpin kita yang satu peperangan tidak semestinya dimenangi dengan pertumpahan darah tetapi lebih memerlukan ketajaman akal fikiran untuk menumpaskan musuh.

Sebagai umat Islam, saya akan terus mendoakan agar para sukarelawan yang terlibat dalam misi ini akan terus Berjaya membawa bahan bantuan untuk penduduk Palestin.

Saya juga berharap satu hari kelak saya mendapat kesempatan untuk membantu saudara seagama saya di Palestin dan turut serta dalam misi yang serupa di masa hadapan.

Semoga usaha murni mereka dirahmati Allah dan berjaya dalam misi ini agar mereka dapat memberi sedikit sebanyak bantuan dan menyembuhkan luka di hati rakyat Palestin.

Sunday 30 May 2010

Ekonomi Negara Kian Parah??

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Kegusaran rakyat Malaysia semakin memuncak apabila mengetahui negara sebenarnya sedang mengalami defisit hingga menjangkau jutaan ringgit Malaysia.

Walaupun kita diserikan dengan pelbagai berita indah menunjukkan peningkatan ekonomi dan persaingan yang baik di kalangan negara-negara membangun, ini dilihat masih tidak mampu menampung hutang yang ditangung negara.

Pelbagai isu hangat yang sering diperdebatkan bila hal berkaitan ekonomi ditimbulkan antaranya adalah Model Baru Ekonomi yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib dan juga baru-baru ini yang hangat didebatkan, pemotongan subsidi ke atas beberapa barangan serta GST.

Walaupun dilihat pimpinan Datuk Seri Najib semakin membawa sinar yang menyerlah buat pertumbuhan negara tetapi tiga idea ini nampaknya masih kurang diterima oleh masyarakat di luar sana.

Model Baru Ekonomi ataupun MBE dilihat suatu model ekonomi yang global bagi menyuntik semangat persaingan sihat dikalangan usahawan tidak kira latar belakang bangsa atau yang mempunyai bekepentingan.

Ini dilihat menyemai aspirasi 1Malaysia yang dibawa Datuk Seri Najib ke dalam model ekonomi ini dan memberi keadilan dan ketelusan buat semua pengusaha ekonomi yang ada di Malaysia.

Akan tetapi model ini telah ditentang oleh sekumpulan NGO yang melihat ia mengabaikan hak kaum pribumi negara ini, bangsa Melayu.

Diketuai oleh Datuk Ibrahim Ali, mereka bangun menyuarakan pendapat di mana MBE dilihat bertentangan dengan Perlembagaan negara dan ini menyebabkan mereka menolak MBE sehingga mengeluarkan beberapa resolusi untuk mempebaharui MBE itu.

Oleh itu, Datuk Seri Najib dilihat akur dan menyatakan kepada semua MBE masih dalam proses mendapat pendapat segenap lapisan masyarakat dan ianya masih belum muktamad dan belum dijalankan sepenuhnya.

Apa yang menghairankan saya, jika beliau menyatakan MBE masih belum dijalankan, mengapa beberapa berita yang menyatakan pertumbuhan ekonomi di negara ini terus dikaitkan dengan MBE?

Malaysia yang diiktiraf sebagai salah satu daripada 10 negara yang kompetetif di samping negara Amerika, Switzeland dan Finland diwar-warkan sebagai satu kejayaan di bawah pimpinan Perdana Menteri atas anisiatif MBE tersebut.

Sama ada ini kesilapan media mahupun kerajaan yang tidak konsisten dalam kenyataan yang dikeluarkan, ekonomi negara dilihat masih goyah walaupun pujian melimpah ruah yang diberikan pada pimpinan baru Perdana Menteri.

Satu lagi kontroversi yang timbul adalah cadangan pemansuhan subsidi terhadap beberapa barang keperluan seperti petrol, gula, dan sebagainya secara berperingkat.

Walaupun ini dilihat sebagai satu langkah yang mungkin dapat mengurangkan defisit negara dan membawa penjimatan kepada perbelanjaan negara, ia sebenarnya perlu diperhalusi demi rakyat yang berpendapatan rendah.

Masalah ini dilihat tidak membawa masalah yang besar buat mereka yang kaya dan berpendapatan tinggi tetapi nyata memberi tekanan buat mereka yang berada di paras kemiskinan tegar mahupun berpendapatan rendah.

Tindakan ini yang dikatakan untuk merangsang rakyat untuk lebih kompetetif dalam mencari rezeki sebenarnya mungkin akan membawa kesan lebih parah dan kemungkinan besar korupsi dan rasuah mungkin menjadi-jadi semula.

Selain itu, pelancaran GST ataupun ‘Government Service Tax’ juga dikatakan mampu meringankan beban kerajaan dalam merawat penyakit ekonomi yang semakin meruncing ini.

Seperti MBE, GST yang bakal mengantikan system cukai sekarang juga kuat ditentang oleh rakyat dengan alasan ia sebenarnya membebankan rakyat dan membuatkan harga barangan di pasaran kelak melambung tinggi.

Walaupun kerajaan seringkali menerangkan yang GST ini tidak akan membebankan dan menghimpit rakyat, ia masih dilihat sebagai tidak kukuh dan tidak akan diterima buat masa yang terdekat.

Kesimpulan yang boleh dibuat daripada respon rakyat terhadap beberapa tindakan kerajaan bagi merangsang semula ekonomi negara adalah rakyat sebenarnya masih kurang bersedia untuk keluar daripada kepompong kesenangan mereka masing-masing.

Mereka masih memikirkan kesenangan diri sendiri tanpa menyedari apa yang mereka perolehi sekarang mungkin memusnahkan masa depan anak dan cucu kita pada masa akan datang.

Semua orang hanya mahu menundingkan jari kepada kerajaan apabila ekonomi runtuh dan meminta kerajaan menyelesaikan masalah ini secepat mungkin tanpa mahu memikul sama beban itu.

Dalam keadaan yang meruncing ini, mahu atau tidak kita terpaksa sama-sama memikul beban ini untuk menjamin negara terus subur dari segi ekonomi bagi membolehkan Malaysia terus kompetetif di mata dunia.

Kata-kata memang senang dihambur dan dikeluarkan tetapi pelaksanaan itu sebenarnya merupakan suatu tindakan yang begitu sukar dijalankan dan ini menuntut keberanian untuk mengambil risiko sahaja yang mampu lakukan.

Oleh itu, saya mengharapkan rakyat Malaysia lebih terbuka dalam meneriman sebarang cabaran kerajaan di mana setiap cadangan itu sepatutnya diperdebatkan, dipertimbangkan dan dibincangkan secara serius untuk mendapat pendapat yang bernas.

Kita tidak perlukan mereka yang hanya tahu merusuh dan membangkang tidak kena tempat tanpa mempunyai sebab dan objektif yang kukuh.

Akhir kata, rakyat Malaysia perlu menjadi lebih matang dalam menjaga keharmonian negara khususnya dari segi ekonomi kerana ini bukan sahaja untuk diri kita sahaja malah ini untuk masa depan negara ke arah wawasan 2020.

Saturday 29 May 2010

MIC Juga Tak Terlepas

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Dunia politik Malaysia kian hari kian rancak bukan kerana pencapaian yang baik membawa manfaat pada rakyat tetapi apa yang terjadi hanya perpecahan dan hanya melemahkan ahli anggotanya.

Suatu ketika dahulu, pergolakan yang dilihat kritikal dalam kepimpinan parti MCA sudah menular kepada parti komponen kuat BN iaitu MIC.

Krisis kepimpinan MCA akhirnya terlerai dengan pemilihan semula majlis tertinggi dan jawatankuasa baru menunjukkan tsunami politik yang dilihat melanda pilihan raya umum ke 12 yang lalu masih belum tamat.

Kini MIC gempar apabila muncul satu gerakan pimpinan bekas pemimpin pemuda MIC, Mugilan iaitu Gerakan Anti Samy Vellu (GAS).

GAS yang diwujudkan atas rasa prihatin golongan yang muda dan keinginan untuk membawa perubahan dalam kepimpinan MIC apabila dikatakan MIC di bawah pimpinan Datuk Seri Samy Vellu sudah lagi tidak relevan.

Saya menyokong kenyataan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir yang menyatakan seorang pemimpin itu perlu berundur sebelum kehadirannya tidak lagi dialu-alukan masyarakat.

Datuk Seri Samy Vellu sungguh terkenal sebagai salah seorang pemimpin parti komponen BN yang begitu kuat pengaruhnya menerima tamparan hebat bila kalah di kerusi parlimen kubu kuatnya di Sungai Siput.

Beliau ketika ditemu bual menyatakan antara sebab mengapa ramai yang berani menyuarakan supaya beliau berundur adalah sebab dia hilang pangkat menteri.

Beliau yang terkenal sebagai seorang menteri kerja raya selama bertahun-tahun dalam kabinet merupakan salah seorang pemimpin yang menerima kesan akibat tsunami polik selain beberapa lagi nama besar pemimpin komponen BN.

Walaupun rakyat terutamanya di kawasan Sungai Siput sudah menunjukkan penolakan terhadap pimpinan Datu Seri Samy Vellu tetapi beliau dilihat mempunyai pengaruh yang cukup kuat dikalangan ahli MIC.

Ini menyebabkan ramai orang tertanya-tanya, adakah GAS yang bakal dianjurkan di Mines ada 30 Mei 2010 akan mendapat sambutan?

Krisis dalaman sesebuah parti itu dilihat menjadi rutin terutamanya apabila pimpinan tertinggi parti tersebut mendapat tentangan pihak akar umbi parti dan penyelesaian yang terbaik adalah untuk duduk semeja dan mencari kata sepakat bagi mencapai situasi menang-menang.

Apa yang tidak sedap adalah fitnah dan tuduh-menuduh terutamanya dikalangan parti komponen juga tercetus akibat krisis dalam parti tersebut.

Apa yang diperkatakan oleh Vell Pari dan T. Mohan nyata bertentangan dengan prinsip kerjasama antara parti komponen BN dan di kaca mata saya jika ada yang perlu dipecat menggunakan kuasa Presiden, dua orang ini adalah selayaknya dipecat dengan kaedah itu.

Nyata kenyataan mereka yang berbaur fitnah mampu memecahbelahkan kerjasama yang telah termetrai di antara UMNO dan MIC selama lebih 53 tahun ini.

Akan tetapi, kenyataan maaf Vell Pari sedikit sebanyak meredakan kemarahan ahli UMNO walaupun itu sebenarnya tidak mampu menutup luka yang sudah diguris oleh kata-katanya.

Beliau yang menuduh UMNO sebagai ‘pembunuh politik’ merupakan satu tuduhan yang tidak berasas dan sepatutnya dikenakan tindakan disiplin oleh MIC pimpinan ayahnya Datuk Seri Samy Vellu, tetapi mungkin kerana Vell Pari anak beliau, Vell Pari dilihat diam-diam menyusup lari dari masalah ciptaannya.

Seorang lagi T.Mohan tanpa rasa bersalah menuduh UMNO menjadi dalang penubuhan GAS dan menuduh UMNO menempahkan ruang buat GAS bersidang di PWTC di samping mengeluarkan kenyataan meminta MIC memikirkan masa depannya bersama BN.

T.Mohan nyata omong kosong bila Mugilan mendedahkan PWTC ditempah oleh beliau sendiri tanpa dibantu mana-mana pihak jauh sekali daripada pihak UMNO sebelum terpaksa menukarkan tempat persidangan akibat ‘tekanan politik’ yang dikenakan daripada pihak PWTC.

Kita memahami mereka sebagai penyokong setia Datuk Seri Samy Vellu ingin membantu presiden tersebut bagi mengembalikan kepercayaan teruatamnya dikalangan ahli MIC.

Tetapi sifat ‘hero’ tak kena tempat ini sepatutnya disimpan untuk menyerang barisan pembangkang bukan untuk rakan BN mereka.

Saya juga mengharapkan MIC dapat menyelesaikan segera masalah dalaman yang mereka agar ini tidak memberikan impak yang negative kepada BN pada pilihan raya akan datang.

Ini kerana BN memerlukan kekuatan yang sebanyak mungkin daripada perpaduan ketiga-tiga parti yang mewakili kaum terbesar di Malaysia ini untuk memastikan politik Malaysia kembali stabil.

Akhir kata, saat yang getir ini sebenarnya adalah untuk menguji kehebatan seseorang itu untuk memimpin dan kita mengharapkan pemimpin parti komponen BN mampu menyelesaikan masalah ini dengan bijak dan mengembalikan kestabilan politik dalam parti mereka masing-masing.


Wednesday 26 May 2010

Perit Jadi Penganggur

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Dunia selepas universiti ini mula menampakkan bahangnya hingga membuatkan saya sudah tidak senang duduk menanti hari-hari yang mendatang.

Saya seorang yang sentiasa penuh dengan pelbagai aktiviti dahulunya mendapat tamparan yang agak mengejut apabila terpaksa duduk di rumah tanpa hala tuju lagi buat masa ini.

Ramai yang mengatakan ini adalah masa terbaik untuk berehat selepas bertahun-tahun mengerahkan tenaga menimba ilmu dan pengalaman di alam universiti dahulu.

Tetapi bagi saya ini bukan masa untuk menggoyang kaki kerana momentum yang ada sekarang mungkin pudar bila-bila masa sahaja.

Saya menjadi berbelah bahagi kerana bukan tidak mahu mencari kerja tetapi terpaksa menunggu jawapan sebuah jabatan kerajaan mengenai jawatan yang saya pohon beberapa hari yang lalu.

Jika saya membuat tawaran di tempat lain dan menolak tawaran jabatan kerajaan tersebut, saya bimbang kalau-kalau diri saya kelak akan disenarai hitam daripada menjadi seorang penjawat awam.

Agak jumud pemikiran ini tetapi ini adalah perkara benar yang pernah berlaku kepada beberapa rakan yang saya kenali.

Pada temuduga yang lalu, riak wajah penemu duga menunjukkan yang saya mungkin diterima bekerja tetapi untuk menunggu jawapan itu adalah suatu proses yang mungkin memakan masa beberapa minggu.

Jika mauh bekerja sambilan sekalipun saya tidak pasti akan diterima atau tidak kerana tempoh yang luang untuk saya mungkin tidak sampai sebulan.

Walaupun tidak sampai sebulan tetapi saya sudah seperti kebuntuan arah kerana begitu perit menahan kebosanan hidup yang tidak produktif ini.

Moga-moga Allah memberikan jalan keluar yang baik untuk saya dan semoga saya mendapat jawapan mengenai pekerjaan yang dipohon itu secepat mungkin untuk saya merangka semula corak masa depan saya.

Akhir kata, hidup memerlukan pelbagai kemahiran dan keperluan kerana sekarang saya sudah mulai merasa keperluan semua itu walaupun tidak lagi bekerja kerana kita semua perlu ingat dugaan Allah akan sentiasa datang tanpa amaran dan tidak dapat dijangka oleh sesiapa pun.

Thursday 20 May 2010

Sebelah Kaki Menuju Konvo

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Alhamdulillah syukur pada Ilahi atas kurniaanNya saya telah berjaya menamatkan pengajian saya di peringkat sarjana muda dengan cemerlang.

Walau bagaimanapun, keputusan yang saya perolehi semester ini agak meleset dari jangkaan sekaligus menyebabkan saya gagal merebut peluang menjadi antara pelajar yang mendapat keputusan ‘1st class’.

Dalam dunia yang serba mencabar, hanya yang berkelayakan tinggi dan cemerlang mampu meneruskan perjuangan ke peringkat lebih jauh, oleh itu saya juga mengharapkan saya dapat menaikkan ‘pointer’ saya pada semester ini.

Peperiksaan yang dilalui kebanyakannya mudah dan tidak memberi banyak tekanan dan masalah kepada saya menyebabkan saya mengesyaki satu lagi sebab utama saya tidak lulus cemerlang.

Antaranya adalah peperiksaan pertengahan semester dan juga tugasan-tugasan yang diberikan oleh pensyarah mungkin menyebabkan keputusan saya tidak ke tahap yang saya inginkan.

Mungkin terdorong dengan sifat sambil lewa dan rasa malas menyebabkan saya tidak begitu tekun pada awalnya tetapi hanya mendapat ketekunan itu apabila sudah dekat dengan peperiksaan.

Oleh itu, saya ingin berpesan pada rakan-rakan yang masih meneruskan pengajian agar tidak leka di awal pengajian.

Tugasan perlu disiapkan dengan baik agar pensyarah tidak ragu-ragu untuk memberi markah yang lebih dan setiap kali peperiksaan mahupun kuiz perlu dititikberatkan tidak kira apa subjek sekalipun.

Akan tetapi kekecewaan saya ini telah diubati dengan keputusan cemerlang dalam peperiksaan bagi mendapatkan sijil ‘MCTS: Managing project’ kelolaan Prestariang di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.

Selama 10 hari pengorbanan saya berjalan kaki pergi dan balik daripada kolej Pertama hingga ke Akademi Pengajian Islam akhirnya terbalas sebentar tadi apabila mendapat keputusan sebaik sahaja tamat menjawab soalan peperiksaan tersebut.

Terima kasih juga buat Puan Shalina yang banyak memberikan tunjuk ajar dan dorongan kepada saya dan rakan-rakan dalam menggunakan perisian ‘Microsoft Project 2007’ hingga kami mampu menggunakannya untuk kegunaan masa depan.

Program sebegini adalah baik untuk para lepasan ijazah sebagai nilai tambah agar kita mudah memasarkan diri ke alam pekerjaan kelak.

Selain itu, program ini juga telah membolehkan saya mendapat kenalan baru dan tidak sia-sia ia dijalankan kerana ilmu yang disampaikan adalah sangat berguna dan bermanfaat buat diri saya.

Saya yang juga amat berminat dalam bidang projek dan pengurusan merasakan program ini perlu diteruskan lagi buat masa-masa akan datang kerana ia membawa banyak kelebihan terutamanya buat mahasiswa yang bakal menamatkan pengajian.

Selesai sudah segalanya, saya cuma ada 2 hari lagi di Kuala Lumpur sebelum balik ke Pulau Pinang bagi meneruskan perjuangan mencari sesuap nasi.

Buat seketika waktu, saya mungkin akan menumpukan perhatian saya dalam misi mencari kerja di Pulau Pinang kerana besar kemungkinan hasrat bekerja di Kuala Lumpur adalah amat tipis.

Terdapat beberapa masalah peribadi yang tak dapat saya gambarkan tetapi saya hanya boleh redha pada ketentuanNya dan mengharapkan keputusan yang saya ambil ini tepat demi masa depan saya.

Esok saya masih perlu menghadiri seminar berkaitan ‘Softskill’ yang juga kelolaan Prestariang sehingga hari Sabtu dan akan pulang pada hari Ahad.

Pelbagai cabaran dan dugaan telah berjaya diharungi dan di atasi sehingga saya sudah berjaya melangkahkan sebelah kaki ke dewan konvo pada Ogos akan datang.

Akhir kata, selamat tinggal Kuala Lumpur untuk seketika waktu dan Insyaalah jika diizinkanNya, saya akan kembali di sini untuk terus merangka dunia kerjaya saya.

Sunday 16 May 2010

Najib mahu graduan elak budaya 'tunggu disuap'

KUALA LUMPUR 15 Mei - Perdana Menteri mengingatkan para graduan supaya meninggalkan budaya pasif atau hanya 'menunggu disuap' dengan pelbagai insentif oleh kerajaan.

Tegas Datuk Seri Najib Tun Razak, graduan perlu merebut segala peluang yang tersedia dengan berusaha mencipta peluang-peluang baru untuk diri sendiri dan orang lain.

"Saya pernah bercakap tentang 'budaya cincai' yang menjadi barah kepada tradisi ilmu. Kepada para graduan saya menyeru supaya mula meninggalkan 'budaya menunggu atau pasif' sebaliknya berpijaklah di bumi nyata," katanya.

Beliau berucap pada perasmian Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan (K3G) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Teks ucapan Perdana Menteri dibacakan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Penganjuran K3P membabitkan penyertaan hampir 500 syarikat termasuk syarikat multinasional (MNC), syarikat senaraian awam, syarikat milik kerajaan (GLC) dan golongan usahawan yang menawarkan lebih 15,000 peluang pekerjaan kepada graduan.

Tambah Najib, para graduan yang dilengkapi dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran insaniah semasa berada di universiti seharusnya menjadi barisan hadapan ekonomi negara.

"Tidak dapat dinafikan para graduan adalah barisan yang bakal mencorakkan model ekonomi negara pada masa hadapan.

"Soalnya, adakah negara kita akan terus menjadi pengikut dalam segala inovasi dan kemajuan yang selama ini dipelopori oleh negara maju atau sudah sampai masanya kita sendiri menunjukkan kepada dunia bahawa kita juga boleh menjadi pencipta dan peneraju," katanya.

Perdana Menteri memberitahu, pembangunan negara dalam konteks Model Baru Ekonomi (MBE) memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi sekali gus mampu menarik pelabur asing untuk meningkatkan pendapatan negara.

"Statistik menunjukkan negara mempunyai 10.6 juta golongan pekerja iaitu lapan juta di bawah kategori umur 45 tahun manakala dua juta di bawah umur 25 tahun.

''Namun daripada jumlah 10.6 juta itu, hanya 2.8 juta sahaja iaitu 26 peratus berada dalam kategori profesional dan pengurusan sedangkan untuk mencapai tahap negara maju, peratusan pekerja profesional adalah sekitar 35 hingga 50 peratus,'' katanya.

Menurutnya, negara memerlukan lonjakan bagi menyaingi negara seperti Taiwan, Korea dan Singapura yang mempunyai lebih 30 peratus pekerja profesional.

Sehubungan itu Najib berkata, graduan negara perlu mempunyai pelan jangka pendek, sederhana dan panjang dalam merancang masa hadapan.

Paling utama, beliau mahukan para graduan mempunyai semangat patriotisme dan kasihkan negara dengan kembali menumpahkan khidmat bakti kepada tanah air tercinta.

"Kita tahu tentang 'kilauan' tawaran dari luar negara, namun kepuasan sebenar seseorang warganegara adalah apabila dapat memberi khidmat dan menabur jasa kepada negaranya. Saya mahu melihat graduan yang dilahirkan bukan sahaja laku di dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa.

"Graduan seharusnya bersedia dan mahir dalam pelbagai bidang, sentiasa ingin memperbaiki diri, belajar melalui pendidikan dan latihan yang berterusan. Dunia pekerjaan sekarang adalah satu proses pembangunan karier dalam karier. Sesiapa yang jumud akan ketinggalan," katanya.

Sumber: Utusan online (16/5/2010)

Friday 14 May 2010

Piala Thomas Belum Mahu Pulang

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Harapan dan penantian 18 tahun lebur malam tadi apabila Malaysia gagal melayakkan diri ke peringkat akhir perlawanan badminton untuk memburu piala paling berprestij, Piala Thomas.

Laluan getir apabila berdepan dengan pasukan China pada separuh akhir tadi akhirnya menjadi mimpi ngeri buat pemain dan penyokong yang kecewa buat kesekian kalinya.


Perjalanan skuad Malaysia dilihat sangat gugup pada permulaan kempen Piala Thomas apabila tewas dengan pasukan kerdil, Jepun sebelum berjaya menewaskan gergasi Eropah, Denmark di peringkat suku akhir.

Pada pendapat saya, jika skuad Malaysia mahu mengimpikan piala ini mereka perlu terlebih dahulu menyediakan pelapis-pelapis yang setaraf pemain sedia ada dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Nyata sekarang mereka hanya bergantung dan meletakkan beban yang tinggi buat perseorangan utama negara, Datuk Lee Chong Wei dan beregu utama, Koo Ken Kiat-Tan Boon Heong kerana masih belum ada perseorangan dan beregu skuad negara yang boleh dianggap setaraf dengan mereka.

Selain itu, kekuatan mereka perlu seimbang tidak kira pada beregu mahupun pemain perseorangan dan ini sebenarnya adalah sumber kekuatan pasukan yang kuat seperti China.


Persatuan Badminton Malaysia perlu cepat membuat bedah siasat akan kegagalan skuad negara ini dan langkah penambahbaikkan perlu diambil secepat mungkin untuk mengembalikan kegemilangan badminton negara.

Jurulatih sudah silih berganti tetapi kita masih memperolehi masalah yang sama menunjukkan masalah ini bukan berpunca daripada jurulatih semata-mata tetapi mungkin ada faktor lain yang perlu dititikberatkan.

Program pembangunan sukan badminton juga perlu diperhalusi di peringkat muda lagi untuk mencungkil bakat-bakat muda bagi diketengahkan dan digilap menjadi pemain bertaraf dunia suatu hari nanti.

Sehingga Malaysia dapat membentuk satu skuad yang benar-benar mantap, saya merasakan ada baiknya pihak yang berkenaan tidak memberikan harapan yang menggunung kepada penyokong.

Ramai yang tidak dapat menahan emosi kerana harapan yang tinggi diletakkan kepada pemain negara tetapi di penghujungnya, drama yang sama berulang sekali lagi.

Cukup sekadar kita menjadi ‘under-dog’ dan bukan pasukan pilihan seperti status kita sebelum ini agar tekanan pada pemain juga tidak mengganggu perhatian mereka untuk memenangi perlawanan masing-masing.

Sebagai penyokong, saya yakin mereka dan saya sendiri akan terus menyokong pasukan negara kita tidak kira apa statusnya dengan syarat mereka memberikan satu perlawanan yang baik dan bersemangat.

Walau bagaimanapun, tahniah buat skuad Piala Thomas 2010 atas usaha gigih dan semangat yang ditunjukkan walaupun tidak dapat untuk melangkah lebih jauh.

Perlawanan yang ditunjukkan semuanya boleh dikategorikan sebagai baik tetapi beberapa faktor seperti emosi, usia, pengalaman dan keserasian membuatkan kita masih belum mampu merangkul piala itu semula.

Buat pihak pengurusan badminton negara, teruskan mencungkil bakat-bakat baru supaya lebih ramai pemain berkaliber dilahirkan sebagai senjata menumbangkan ‘Tembok Besar’ China itu.

Buat skuad badminton negara, jangan putus asa dan lipat gandakan usaha anda supaya impian kita ini akan menjadi realiti suatu hari kelak.

Akhir kata saya selaku penyokong menyeru penyokong lain di luar sana supaya terus menyokong skuad badminton negara tidak kira menang atau kalah demi mencapai misi yang sudah lama kita idamkan.

Malaysia Boleh!!!

Thursday 13 May 2010

Memori 4 tahun

Assalamualaikum W.B.T dan Salam 1Malaysia

Perasaan bercampur-campur antara suka dan duka kala mendapat panggilan untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada Julai 2006.


Sedih kerana ini merupakan kali pertama saya meninggalkan Pulau Pinang, negeri kelahiran saya dan gembira kerana Allah sudah membuka jalan bagi saya untuk melebarkan jaring akademik saya sehingga ke peringkat ini.

Sekarang itu semua hanya menjadi kenangan yang indah dan memori yang lucu bagi saya setelah 4 tahun saya berada di Universiti Malaya, khususnya Kolej Kediaman Pertama.




Sepanjang 4 tahun ini, pelbagai pengalaman manis dan pahit yang telah saya lalui membuatkan rasa sayang dan cintakan kolej ini terutamanya makin tebal sehingga tidak sanggup meninggalkan kolej ini dan menginap di luar mahupun kolej yang jauh lebih indah sepanjang tempoh pengajian saya.





Antara pengalaman manis yang saya tempuhi di kolej ini adalah pada inggu Haluansiswa di mana saya telah menjadi Pembantu Mahasiswa sebanyak 3 kali berturut-turut dan ini merupakan antara aktiviti yang tidak pernah saya tinggalkan.



Di sini saya banyak belajar menguruskan sebuah organisasi sendiri sejak tahun pertama lagi dan didedahkan dengan pelbagai jenis cabaran dan dugaan untuk diselesaikan.

Tetapi kekuatan saya hadir bersama-sama rakan Pembantu Mahasiswa yang lain di mana kami turut sama-sama menongkah arus, menyelesaikan satu per satu masalah demi menyediakan satu minggu yang penuh bermakna buat adik-adik baru kami.




Selain itu, penglibatan saya dalam pelbagai jenis aktiviti yang lain di kolej juga merupakan suatu pengalaman yang indah buat saya kerana ini telah mendedahkan saya kepada pelbagai pengalaman dan juga membolehkan diri saya mengenali lebih ramai orang dan bekerjasama dengan mereka.



Menjalinkan silaturrahim dengan penyelia kolej kediaman serta pegawai-pegawai universiti ini juga antara memori yang terbaik buat saya kerana pergaulan bersama mereka mendedahkan saya kepada realiti hidup di masa akan datang dan dengan itu, saya belajar sedikit demi sedikit berdasarkan pengalaman hidup mereka.




Sesi 2008/2009 juga banyak membuahkan kenangan indah di mana ASTAR berjaya merangkul johan FESENI dan mendapat tempat ketiga dalam kejohanan SUKMUM, di mana dua kejayaan ini adalah antara yang tertinggi sepanjang saya menghuni kolej kediaman pertama ini.




Tidak dilupakan, penghargaan yang saya perolehi pada Malam Penganugerahan ASTAR juga sangat manis dan ini akan terus menjadikan saya lebih kuat dan tabah untuk berkhidmat dan berbakti pada kolej ini walaupun saya tidak lagi menjadi penghuni kolej ini.


Sudah pasti bila ada memori yang baik, ada juga yang kurang indah tetapi konotasi kurang indah ini mungkin tidak sesuai kerana apa yang saya maksudkan bukan ada maksud negatif sama sekali.

Sepanjang 4 tahun di kolej ini saya banyak menghabiskan masa di kolej kediaman dengan mengorbankan sebahagian banyak cuti semester saya di mana setiap cuti semester ada sahaja aktiviti di kolej kediaman, contohnya latihan feseni, kem pembantu mahasiswa dan sebagainya.

Tidak seperti rakan-rakan yang lain, saya tidak dapat berdampingan dan menghabiskan banyak masa bersama keluarga saya untuk melaksanakan tanggungjawab yang saya pikul terhadap kolej kediaman yang tercinta ini.

Selain itu, sebagai pemimpin mahasiswa seringkali saya berdepan pelbagai jenis tekanan dan cabaran untuk memimpin dan dalam masa yang sama menjaga kebajikan serta mencari ruang untuk meningkatkan lagi nama ASTAR dalam universiti mahupun di luar sana.


Tetapi ke semua ini saya tidak pernah menganggap sebagai bebanan mahupun peluntur semangat buat saya kerana ini semua adalah peluang bagi saya untuk menimbu pengalaman dan ilmu secukupnya.

Ini semua tidak mungkin akan diajar di dalam kuliah mahupun mana-mana tutorial kerana pembelajaran daripada pengalaman akan memberi kita impak yang lebih untuk kita mengetahui di mana kelemahan mahupun kekuatan kita.


Berakit-rakit ke hulu,
Berenang-renang ke tepian,
Sakit-sakit dahulu,
Senang-senang kemudian.

Pantun ini banyak menggambarkan diri saya dan saya juga mengharapkan ASTARian yang lain agar menyemat rasa seperti ini ke dalam diri masing-masing bukan untuk kolej mahupun untuk sesiapa tetapi segala pengorbanan yang kita lakukan sekarang ini adalah untuk membentuk diri kita dan menguatkan jati diri kita.

Saat-saat terakhir di Universiti Malaya amnya dan khususnya di Kolej Kediaman Pertama adalah saat-saat yang menyedihkan buat saya kerana ini adalah acuan yang membentuk diri saya dan mahu atau tidak, saya terpaksa meninggalkan acuan ini.

Kolej yang membawa 1001 kenangan kepada saya ini akan terus tersemat di sanubari saya selamanya dan jasa-jasa ia terhadap pembangunan diri saya sekarang akan tersemat dalam hati saya buat selamanya.

Akhir kata dari saya, jangan kita bertanyakan apa yang telah kolej ini berikan pada kita tetapi soal pada diri sendiri apa yang boleh kita lakukan untuk memertabatkan lagi nama ASTAR di mata masyarakat.

‘Once An ASTARIAN, Always An ASTARIAN’

Tulus Ikhlas,

Muhammad Hafizzuddin bin Baharin.


Wednesday 12 May 2010

Mengapa Judi Boleh Lulus??

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Kerajaan baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka mungkin akan menimbangkan untuk meluluskan lesen judi bagi beberapa pemohon sesama berlangsungnya Piala Dunia 2010 tidak lama lagi (merujuk artikel ‘Kerajaan timbang beri lesen pertaruhan Piala Dunia’, Berita harian 6/5/2010).

Ini kerana mereka menganggap jika lesen ini tidak dibekalkan, maka lebih ramai orang yang akan terlibat dengan kes perjudian haram dan mengeruhkan lagi keadaan.

Pada pendapat saya, hal ini tidak sepatutnya timbul jika kerajaan benar-benar faham akan konteks judi itu dan mengapa orang ingin berjudi ini terutamanya orang yang beragama Islam.

Jika kerajaan boleh memerangi gejala rasuah, tidakkah terlintas yang gejala judi ini juga merupakan satu aktiviti merosakkan moral serta menjejaskan intergriti individu itu sendiri sama seperti gejala rasuah.

Oleh sebab itu, kerajaan sepatutnya tidak boleh meluluskan apa-apa lesen judi malah ini sepatutnya diperangi habis-habisan terutamanya bila ada orang Islam yang terlibat.

Inilah fungsi jabatan-jabatan agama dan majlis agama negeri dan persekutuan iaitu memerangi sebarang gejala yang membawa ke arah maksiat lalu menjadikan persekitaran masyarakat ini sebagai satu ummah yang mulia.

Walau bagaimanapun, negara kita tetap merupakan sebuah negara yang bebas beragama dan ini bermakna kita tidak boleh memaksa mana-mana individu yang beragama lain untuk terikat dengan ajaran dan peraturan agama Islam.

Oleh sebab itu, jika judi mahupun kelab-kelab malam ini ingin ‘dikurniakan’ lesen seperti yang dipohon, peraturan yang ketat perlu dikenakan terutamanya berkenaan penglibatan orang Islam.

Selain itu, penguatkuasaan yang kerap juga perlu dijalankan oleh badan-badan penguatkuasa supaya gejala ini tidak menjadi trend hingga mempengaruhi anak-anak muda.

Pendidikan awal juga perlu mendedahkan keburukan berjudi dan kesalahan sosial yang lain supaya kita dapat membendung anak muda kita daripada terjebak.

Teringat saya pada kes baru-baru ini apabila seorang tokoh politik dikecam habis-habisan kerana dikatakan terlibat dalam arena perjudian.

Apa guna dia dikutuk, ingin menjatuhkan air mukanya ataupun ingin memberi nasihat kepada orang ramai yang judi itu perkara yang haram?

Jika kerajaan meluluskan lesen ini tanpa sebarang peraturan dan penguatkuasaan yang setimpalnya, sama sahaja seperti membiarkan orang ramai yang lain terjebak dengan gejala ini dan sekiranya dia menjadi calon pilihan raya, dia dimalukan dengan kesalahan yang tidak dibendung oleh pihak kerajaan?

Suatu perkara yang dilihat kurang adil di mata kita tetapi ini adalah realiti dan realiti ini tidak sepatutnya terjadi selagi mana kita berpegang pada pelembagaan kita iaitu Islam sebagai agama ramai, oleh itu kita harus menegakkan peraturan Islam dahulu.

Dilihat masih ada pemimpin di luar sana yang kabur dengan misi dan aspirasi kerajaan supaya kita dapat membangunkan sebuah negara yang lebih cemerlang bukan sahaja dari segi luaran malah rohani juga.

Dengan ini, saya sekeras-kerasnya membangkang cadangan agar kerajaan meluluskan apa-apa lesen berkenaan judi supaya kita dapat membendung lebih banyak lagi masalah yang berkaitan sosial masyarakat kita.

Selain itu, pemimpin perlu memperhalusi teknik-teknik mahupun kaedah-kaedah sebaiknya supaya kita dapat memulihkan moral serta masalah sosial yang sedang dihadapi oleh masyarakat terutamanya golongan remaja.

Akhir kata, kita berdoa agar Allah sentiasa memberi petunjuk yang baik kepada pemimpin kita supaya generasi seterusnya akan membawa Malaysia ke arah yang gemilang bukan sahaja di bidang pembangunan fizikal malah juga pembangunan moral masyarakat.

Sunday 9 May 2010

Khas Buat Mama Tercinta

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Hari ini, Ahad kedua di bulan Mei merupakan hari yang telah diketahui umum akan isinya kerana ini merupakan hari untuk kita memperingati dan menghargai jasa dan pengorbanan ibu kita, Hari Ibu.

Walaupun sesetengah pendapat mengatakan sambutan sebegini adalah haram dan bercanggah dengan Islam, tetapi bagi saya sambutan ini bukan untuk memesongkan akidah saya dan menyembah ‘roh Dewa Ibu’ seperti dalam kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh para analisa berkenaan hari ibu ini.

Tetapi saya ingin mengambil intipati baik sempena hari ibu ini untuk menghargai dan membiarkan mama ku tahu bertapa kasih dan sayangnya anaknya ini kepadanya.


Bukan bermaksud hari-hari lain kita mengabaikan dan tidak mempunyai perasaan begitu pada ibu kita, cuma kesempatan yang telah disediakan ini harus kita gunakan untuk menggembirakan hati ibu kita.

Kita tidak perlu membazir wang untuk menyambut sambutan ini dan jauh sekali melakukan maksiat bagi menyambut hari ini tidak seperti hari kekasih yang telah dipersetujui ramai banyak membawa bencana dari kebaikan.


Buat mama yang tercinta, saya mungkin tidak dapat memberi apa-apa hadiah kerana jauh di perantauan tetapi ikhlas saya menghadiahkan pantun-pantun ini khas buat mama.

Sekejap susah, sekejap senang,
Tetapi mama tetap tenang,
Kasih mama saya kenang,
Sebagai kekuatan untuk menang.

Pisang berangan atas peti,
Peti rahsia milik Siti,
Patah tumbuh hilang berganti,
Tapi mama ku tak mungkin diganti,

Kasihmu setinggi menara,
Cintamu seputih mutiara,
Walau mama seorang menyara,
Kami cukup semua perkara.

Dari kecil mama jaga,
Dengan penuh kasih sayang,
Mama sahaja punca tenaga,
Banyaknya tidak terbayang.

Dirimu cantik bak rama-rama,
Terpahat selamanya dalam hati,
Terima kasih buat mama,
Kasih mu ku kenang sampai mati,

Friday 7 May 2010

Selamat Menjalankan Tugas PM KK1 10/11

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Hari ini bermula pengembaraan mendaki gunung pengalaman baru buat 29 orang terpilih untuk menjadi Pembantu Mahasiswa (PM) untuk kolej kediaman pertama sempena pengambilan mahasiswa baru sesi 10/11.

Diharapkan 3 bunga senior yang pernah menjadi PM sebelum ini dapat membantu rakan-rakan lain menyesuaikan diri dan memberi pendedahan sedikit sebanyak dalam perjalanan menjadi seorang PM.

Agak janggal buat diri saya kerana sudah 3 tahun saya menyertai aktiviti ini secara langsung dan saya sudah menganggap minggu haluansiswa sebagai sebahagian daripada diri saya di UM ini.

Akan tetapi, selepas ini saya sudah tidak dapat menyertai apa-apa jua program di kolej mahupun universiti kerana ‘kerakyatan’ saya dalam universiti dan kolej ini bakal terlucut dalam masa yang terdekat ini.

Walaupun begitu, rasa sayang saya pada minggu haluansiswa tidak mungkin dapat dilucutkan dari saya sampai bila-bila kerana ini adalah salah satu aktiviti yang telah membina diri saya dan memberikan pelbagai pengalaman bagi diri saya.

Untuk pengetahuan semua, antara banyak-banyak aktiviti kolej, minggu haluansiswa adalah satu-satunya aktiviti yang saya tidak pernah ketinggalan untuk menyertainya secara langsung sejak tahun satu hingga tahun 3.

Banyak kenangan manis dan pahit yang saya dapat daripada aktiviti selama seminggu ini selain dapat bergaul mesra bersama adik-adik baru dan juga rakan-rakan PM yang lain

Tahun ini sedikit kelainan dibuat apabila PM telah dipilih secara terus oleh pihak pentadbiran dengan kelulusan HEP tanpa menjalankan sebarang temu duga mencari PM.

Saya secara peribadi merasakan hal ini adalah tidak betul kerana peribadi seseorang tidak boleh dinilai dengan apa yang tertulis pada kertas itu sahaja, sebaliknya personality mereka termasuk cara berfikir dan ketrampilan mereka dapat dilihat melalui proses temu duga.

Mungkin pihak pentadbiran mempunyai alas an yang tersendiri tetapi saya dengan rendah diri inginkan adik-adik bakal kepimpinan baru akan datang untuk meminta agar tradisi sesi temu duga diadakan kembali pada sesi depan.

Ini bagi menjamin ketelusan dan kepimpinan yang dipilih untuk menerajui minggu haluansiswa tidak lagi menjadi persoalan dan ini juga peluang anda untuk lebih mengenali pemikiran pengetua dan penyelia yang lain.

Tugas PM sesungguhnya sangat berat dan memenatkan hinggakan ada PM yang demam kuat selepas tamatnya minggu haluansiswa dan ada yang tidak bermaya untuk ke kelas hari selepas haluansiswa tersebut.

Tetapi ianya satu perjuangan yang suci terutamanya bagi membimbing anak-anak muda bakal mewarisi kepimpinan kita suatu hari kelak bukan sahaja di universiti tetapi mereka ini juga bakal memimpin masyarakat di luar sana.

Perjuangan yang menuntut pelbagai pengorbanan daripada insam bergelar PM di mana cuti terpaksa digadaikan, kesihatan dipertaruhkan, penat lelah jadi sajian dan air mata jadi peneman di kala diri dihurung kesempitan.

Tetapi percayalah itu semua bakal menjadikan anda insan yang lebih bersedia untuk menghadapi apa-apa jua cabaran di luar sana bila sahaja anda melaluinya.

Saya akan sentiasa memberi sokongan kepada pimpinan baru kolej pertama di sentiasa bersedia berkongsi ilmu yang saya ada untuk memajukan diri anda serta rakan-rakan yang lain.

Walau bagaimanapun, menjadi PM ini ada kelebihan tersendiri dan bagi saya antara kelebihan yang terbaik adalah anda akan dapat berkenalan dengan ramai kawan baru bukan sahaja PM kolej kita tetapi PM kolej-kolej lain.

Ini akan membolehkan anda bertukar-tukar pendapat dengan kenalan baru mengenai ciri-ciri organisasi di kolej kediaman masing-masing dan juga berkongsi ilmu sepanjang perkenalan anda.

Biar kita ramai kawan di sini kerana satu hari nanti kawan-kawan kita ini mungkin dapat membantu kita apabila bekerja di luar sana kerana hidup kita tidak akan lengkap jika kita bersendirian dan kejayaan akan datang bila kita bersedia berkongsi dengan orang lain.

Buat adik-adik PM yang baru, teruskan perjuangan murni anda, jaga tingkah laku dan disiplin anda untuk menjaga nama baik kolej kita di mata PM daripada kolej kolej yang lain.

Akhir kata, saya mendoakan kejayaan anda dalam menjalani tanggungjawab anda sebagai PM dan insyaalah Minggu Haluansiswa nanti bakal memberi seribu satu macam pengalaman untuk diri anda masing-masing lalu gunakannya demi kebaikan dirimu, agamamu, bangsamu, dan negaramu.

ASTAR is FIRST, UM is ONE!!

Thursday 6 May 2010

Teruskan Perjuangan

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Berakhir sudah peperiksaan saya yang terakhir di UM untuk program ijazah sarjana muda kejuruteraan (mekanik) pada tanggal 5 Mei 2010 jam 1.30 petang bererti tamat sudah pengajian ku di UM selama 4 tahun ini.

Walau bagaimanapun, saya masih ada satu lagi pembentangan projek tahun akhir pada 10 Mei 2010 bagi melengkapkan keperluan bagi memperoleh sijil yang sangat bernilai yang bakal menentukan masa depan saya.

Pengalaman di UM merupakan antara pengalaman yang paling sukar dilupakan kerana inilah tempat saya melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu yang tidak terlintas di fikiran saya mampu saya capai sebelum menjejakkan kaki di UM.

Banyak ilmu-ilmu yang tidak di ajar di kelas-kelas mahupun kuliah-kuliah yang saya perolehi secara percuma terutamanya melalui projek kolej dan universiti ini saya anggap sebagai satu kelebihan buat saya di luar sana kelak.

Pengalaman memimpin mahasiswa dan pengalaman berorganisasi juga merupakan antara kenangan manis buat saya meskipun ianya satu tanggungjawab yang sangat berat, saya mampu laksanakan dengan bantuan rakan-rakan serta penyelia yang tidak jemu membantu.

Buat rakan seperjuanganku, masing-masing mesti sudah ada haluan tersendiri dan pilihan masing-masing samada meneruskan pengajian ke tahap sarjana dan doktor falsafah atau ada yang sudah bersedia untuk memasuki alam pekerjaan bagi menimba pengalaman baru.

Buat anda semua saya ucapkan selamat maju jaya untuk masa depan yang anda dipilih dan moga-moga jalan yang anda pilih adalah yang terbaik dan membuahkan hasil seperti yang telah dirancang.

Saya mendoakan anda akan terus diberikan kesihatan dan kekuatan untuk meneruskan perjuangan anda masing-masing di satu peringkat baru dan Insyaalah satu hari nanti kita dapat berjumpa lagi.

Kepada adik-adik yang masih meneruskan pengajian, teruskan kegigihan anda dalam mendalami ilmu di bidang masing-masing dan jangan mengabaikan juga aktiviti sampingan selama anda masih menuntut di universiti.

Lengkapkan diri anda dengan pelbagai ilmu yang boleh dijadikan nilai tambah buat diri anda kerana perjuangan di alam pekerjaan adalah sangat sengit dan nilai-nilai tambah ini saja yang dapat membezakan pencapaian anda dengan yang lain.

Jangan cepat mengalah jika menghadapi kegagalan ataupun menemui jalan buntu kerana ini semua adalah permulaan bagi anda kerana ini bakal menjadi pengalaman berguna bagi anda menyesuaikan diri di luar sana kelak.

Peringatan kepada adik-adik bahawa universiti inilah tempat untuk kita menimba ilmu dan oleh sebab itu, jika kita membuat salah mahupun gagal sekalipun kita kerap kali leka dan tidak belajar kerana jarang kita dipersalahkan.

Jadi belajar untuk bertanggungjawab atas kesalahan diri sendiri bermula dari sekarang dan belajar untuk tidak mengulangi kegagalan kerana dunia yang bakal kita tempuh selepas alam universiti tidak lagi sama seperti sekarang.

Kita tidak ada lagi ruang untuk melakukan kesalahan walaupun kita sebenarnya tidak mampu untuk membuat semua perkara dengan betul.

Oleh sebab itu, manusia yang bijak bukan manusia yang tidak langsung membuat kesalahan tetapi manusia yang belajar dan tidak mengulangi kesalahannya.

Teruskan perjuangan anda di universiti ini selama mana anda perlu berada di sini bagi menimba ilmu secukupnya dan sediakan diri anda dengan secukupnya untuk menempuh dunia di luar sana kelak.

Akhir kata buat anda di luar sana, mungkin selepas ini status saya daripada mahasiswa akan bertukar kepada status yang lain, tetapi saya akan terus menyimpan status ini dan satu hari nanti, saya akan pulang ke UM dengan membawa kejayaan dan kebanggaan.
UM is ONE!! Towards 1Malaysia!