Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Friday 26 February 2010

Selamat Menjalankan Tugas...MPMUM 2009/2010

Tahniah diucapkan sekali lagi kepada Kabinet Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya di atas perlantikan yang telah selesai diadakan petang tadi di Dewan Tunku Canselor. Majlis telah selamat disempurnakan oleh Naib Canselor Universiti Malaya, Dato' Ghauth Jasmon. Dan berikut merupakan senarai penuh kabinet MPMUM bagi sesi kali ini.

Yang Dipertua - Khairul Anuar Abu Kasim
Naib Yang Dipertua - Tee Wooi Keat

Timbalan Naib Yang Dipertua I - Muhamad Ilyas Zambri
Timbalan Naib Yang Dipertua II - Gan Kwong Chuan
Timbalan Naib Yang Dipertua III - Sangitha a/p Mothayapan

Setiausaha - Rahmah Husna Baharudin
Timbalan Setiausaha I - Gan Ming Chiek
Timbalan Setiausaha II - Mohd Syukri Mohd Taib

Bendahari Koo Wei Juin
Timbalan Bendahari I - Lai Wen Jae
Timbalan Bendahari II - Ashree Azhar

Pengerusi Akademik dan Penyelidikan - Wong Kee Cheong
Exco:
Goh Seong Ling
Mohamad Hafiz Ilyas

Pengerusi Penerangan dan Penerbitan - Nor Haslinda Abdul Karim
Exco:
Lim Jee Sing
Muhamad Syafiq Badrishah

Pengerusi Kepimpinan, Kerohanian, dan Pembangunan Insan - Ahmad Razali Abdul Razak
Exco:
Goh Chin How
Fitriani Ilyas Rasjid

Pengerusi Sukan, Kesenian, dan Kebudayaan - Mohd Hairil Zainal Abidin
Exco:Chang Chin Nam
Nurul Husna Azmi

Pengerusi Hal Ehwal Wanita - Siti Fairus Abdul Rahman
Exco:
Farah Atikah Abdul Razak
Siti Zuraini Mohd Jenan

Pengerusi Ekonomi, Keusahawanan, dan Kerjaya - Noor Izzati Che Noh
Exco:
Lee Keang Kiet
Yasmin Mohamed Yusof

Pengerusi Penginapan Kolej Kediaman - Mohamad Shahir Abdul Rahim
Exco:
Ahmad Fadhlurrahman
Ahmad Hidayat
Nur Dalilah Mokhtar

Pengerusi Penginapan Luar Kampus - Mohd Yusoff Saharuddin
Exco:
Maharathan a/l Maniam
Mohd Fadzil Jamal

Pengerusi Perhubungan, Pengantarabangsaan, dan Komunikasi Korporat - Chan Yee Fei
Exco:
Siti Nadzirah Majeed
Husna Khairany Mohammad Husni

Pengerusi Kebajikan dan Aduan - Nurfahmin Zaidi
Exco:
Chan Kheng Fai
Mohd Syahid Mohd Zaini


Selamat menjalankan tugas dengan penuh hemah dan dedikasi diucapkan kepada semua MPMUM bagi sesi kali ini.


Sumber: Gerak Siswa

Thursday 25 February 2010

Pengorbanan Kita Sekecil Zarah...Salam Maulidur Rasul!!

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Alhamdulillah saya dengan rasminya sudah menyertai projek terakhir buat diri saya di ASTAR ini iaitu Debat Terbuka ASTAR (DTA) yang berlangsung pada 17-21 Februari 2010 yang lepas.

Bersama-sama rakan yang lain, kami berjaya menempuh suka duka bersama projek ini dan akhirnya berjaya menganjurkan salah satu pertandingan debat yang terbesar di dalam UM ini.

Diransang dengan rasa kurang puas hati dalam penyertaan saya yang lalu pada kejohanan Debat Piala di- Raja awal tahun lalu, saya menyertai DTA kali ini sekali lagi sebagai sukarelawan atau ‘runner’ untuk memerhati dan mempelajari lebih lanjut dalam bidang penganjuran pertandingan berasaskan intelektual ini.

Berbaloi rasanya mengorbankan cuti pertengahan semester 2 ini untuk menimba sedikit sebanyak ilmu sertai membuat kenalan baru daripada universiti lain seterusnya mendalami cara-cara melayan orang yang normal mahupun yang sedikit kurang normal.

Di kesempatan itu, saya juga ingin berterima kasih pada kawan-kawan yang membuat satu sambutan ringkas hari jadi junior saya, anim bersama-sama dengan saya.

Terharu rasanya walaupun sambutan dilakukan sehari lebih awal kerana ingin menyambut hari jadi anim sekali yang jatuh pada tarikh 19/2/2010.

Berakhirnya DTA menandakan minggu-minggu yang mencabar sedang menanti diriku dengan 3 ujian pertengahan semester telah ditempuhi pada hari Isnin dan Selasa yang lepas.

Insyaalah pada hari Selasa akan datang, ada satu lagi ujian pertengahan semester bersama dengan 1 ’presentation’ harus ditempuhi bagi subjek yang kurang digemari.

Selain itu, bebanan kerja semakin meningkat apabila semakin menghampiri pengakhiran sesi ini tatkala projek tahun akhir yang mengalami sedikit masalah ditambah pula dengan tugasan getaran gunaan yang baru dilaksanakan semalam.

Akan tetapi bila mengenang kembali zaman Rasullullah S.A.W tatkala baginda menanggung amanah sebagai pemimpin umat, sudah pasti tanggung baginda adalah lebih berat daripada apa yang boleh saya bayangkan sekarang ini.

Dengan itu, saya dapat merasakan apa yang saya alami sekarang ini jika dibandingkan dengan keperitan Rasullullah adalah sangat kecil bak zarah-zarah sahaja.

Tanggungan yang saya hadapi sudah pasti mencabar bagi saya tetapi saya yakin saya akan menempuh dugaan yang lebih sukar tatkala usia meningkat dan tanggungjawab bertambah.

Walau bagaimanapun, saya yakin ujian ini tidak seperit pengorbanan Nabi junjungan alam kita, Muhammad S.A.W yang telah meredah langit dan bumi untuk membawa syafaat buat kita.

Baginda yang dimaki dicerca semata-mata mahu melihat syiar Islam tersebar disegenap alam akhirnya berjaya hingga membolehkan kita mengecapi nikmat iman dan kehidupan bahagia bersama Islam.

Sempena dengan hari keputeraan Baginda Rasullullah S.A.W pada 12 Rabiul Awal setiap tahun Hijrah yang bersamaan dengan 26 Februari tahun ini, kita perlu mengambil iktibar segala pengorbanan dan usaha Baginda untuk menegakkan Islam di mata dunia.

Mengenangkan semua ini akan membuat kita lebih menghargai nikmat Islam yang kita semua perolehi sejak dapat mencelikkan mata kita ini.

Salam Maulidur Rasul buat seluruh umat Islam, walaupun Rasullullah sudah lama meninggalkan kita, tetapi kekalkan jalinan dan ingatan kita pada Rasullullah dengan selawat dan salam buat junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W.

Sunday 21 February 2010

Kursi Kepemimpinan Wanita akan ditubuh

KUALA LUMPUR: Kursi Kepemimpinan Wanita akan ditubuhkan buat julung kalinya di sebuah universiti tempatan bagi memberi tumpuan kepada agenda mengembang dan mempertingkatkan kebolehan wanita memimpin melalui pendidikan, penyelidikan serta latihan.

Perdana Menteri yang Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kelulusan untuk penubuhan kursi itu yang dicadangkan Wanita Umno melalui Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada Majlis Konvensyen Pergerakan Wanita Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

"Hasrat Wanita (Umno) mewujudkan Kursi Kepemimpinan Wanita sebagai satu sumber kekuatan keintelektualan, minda dan pemikiran wanita, saya memberi sokongan sepenuhnya. Tubuhlah kursi ini dan carilah wanita yang hebat untuk mengisinya.

"Saya yakin memang ada wanita hebat yang boleh mengisi kerusi ini. Ongkosnya (pembiayaan) kita boleh bincang," katanya sambil disambut tepukan gemuruh ahli Wanita Umno yang menghadiri majlis konvensyen itu yang bertemakan Wanita Umno Nadi Transformasi dan Inovasi Negara.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman, dan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Terdahulu, Shahrizat dalam ucapannya, berkata, Kursi Kepemimpinan Wanita adalah kursi akademik yang akan ditubuhkan di sebuah universiti tempatan berdasarkan bidaan atau cadangan terbaik, selewat-lewat dalam tempoh setahun lagi.

Beliau berkata, penubuhan kursi itu adalah dalam bentuk 'endowment' di mana sejumlah dana akan diperuntukkan kepada institusi bertanggungjawab untuk melaksanakan program.

"Tujuan utama penubuhan kursi ini ialah untuk mengembang dan mempertingkat kebolehan wanita memimpin pada peringkat tempatan, negeri, kebangsaan, serantau serta antarabangsa. Penyandangnya akan dipilih daripada kalangan seorang tokoh dalam ilmu kepemimpinan yang bakal bertanggungjawab mengembangkan ilmu seni kepemimpinan wanita Malaysia.

"Ilmu seni ini akan merangkumi pemahaman urus tadbir, pengurusan strategik, pengurusan kewangan dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta pembinaan dan pengembangan jaringan. Program diatur penyandang kursi akan juga mencakupi ilmu sistem politik di Malaysia, sistem pilihan raya, kepekaan gender dan pembuatan dasar," katanya.

Shahrizat berkata, penyandang itu akan memberi kuliah pada peringkat prasiswazah dan siswazah, menganjurkan kursus pendek serta program latihan kepemimpinan, di samping mengetuai penyelidikan dalam aspek kepemimpinan wanita bukan saja di Malaysia, tetapi juga secara perbandingan.

Malah, katanya, program itu melayakkan penubuhan pusat penyelidikan dan latihan khusus untuk kepemimpinan wanita dalam masa terdekat.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis pula, beliau berkata, sekurang-kurang RM2 juta diperlukan untuk penubuhan Kursi Kepemimpinan Wanita, tetapi Wanita Umno akan berusaha mengumpul dana dengan menyasarkan perolehan kutipan RM3 juta.

"Saya akan menentukan semua 1.32 juta ahli Wanita Umno akan menyumbang walaupun RM1. Ini adalah saham untuk masa hadapan ahli Wanita Umno di seluruh negara sebagai petanda hasrat murni mereka untuk mengarusperdanakan kepemimpinan wanita Malaysia. Saya tidak khuatir mengenai pengumpulan dana kerana saya tahu ahli Wanita Umno sebagai ibu, pekerja dan lain-lain berkehendakkan yang terbaik," katanya.

Selepas berjaya ditubuhkan, Shahrizat berkata, perancangan seterusnya mewujudkan kursi itu pada peringkat global di universiti antarabangsa, termasuk mungkin di negara Barat, bagi menaikkan imej wanita Malaysia.

Oleh Rohaniza Idris dan Syuhada Choo Abdullah

Saturday 13 February 2010

Selamat Menyambut Tahun Harimau

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Masa dan ketika yang dinanti-nantikan oleh mahasiswa khususnya di UM telah berkunjung tiba iaitu cuti pertengahan semester 2 yang dijadualkan dari 13 Ferbruari 2010 sehingga 21 Februari 2010.

Selain itu, saya juga ingin mengucapkan selamat Tahun baru Cina buat semua rakan-rakan saya yang berbangsa Cina yang dijangka meraikan sambutan tersebut pada 14 Februari 2010.

Moga-moga tahun ini iaitu tahun Harimau mengikut kepercayaan rakan-rakan berbangsa Cina mampu memberi anda semua tuah yang lebih dan rezeki yang melimpah.

Buat mahasiswa yang lain, moga-moga anda memanfaatkan cuti ini sebaiknya untuk merehatkan minda dan fizikal masing-masing untuk berhadapan cabaran yang lebih getir selepas ini.


UM is ONE! Towards 1Malaysia.

Kecewa UM Dituduh Tak Berasas

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Saya tertarik dengan satu luahan rasa oleh seorang yang dikenali sebagai Kamal Ahmad yang menghantar satu surat kepada Berita Harian bertarikh 13 Februari 2010.

Surat bertajuk ‘Kesal pelajar UM leka berkaraoke hingga tak hormat aktiviti keagamaan’ nyata ditulis tanpa soal siasat yang lebih mendalam dan saya anggap ia berlandaskan emosi.

Berdasarkan surat ini, sekumpulan pelajar UM yang berkursus di tempat yang sama dengan mereka menjalankan aktiviti berkaroke tanpa mengiraukan mereka yang beribadah di dewan sebelah.

Akan tetapi, saya yakin sekumpulan pelajar yang dimaksudkan itu tidak mencecah 100 orang pun tetapi surat yang ditulis saudara Kamal menyatakan seperti kesemua pelajar UM melakukan perkara yang sama.

Saudara,

Untuk pengatahuan saudara, UM melahirkan lebih 15 000 orang graduasi pada setiap sesi dan jika dibandingkan dengan jumlah pelajar yang saudara maksudkan, peratusannya adalah menghampiri 0.006%.

Persoalan saudara adakah ini cara UM mendidik pelajarnya adalah amat tidak rasional kerana UM adalah sebuah pentas dan gedung ilmu di mana pelajarnya telah diterap dengan nilai-nilai murni bagi melahirkan modal insan dan bakal pemimpin negara yang berkalibaer.

Jika diambil setandan pisang sekalipun, tidak semua pisang itu sama kualitinya walaupun ia dihasilkan oleh pokok yang sama.

Itu adalah adat hidup bermasyarakat, pelajar UM mungkin lebih banyak terdedah dengan hiburan tetapi itu adalah pilihan dan kemahuan pelajar UM sendiri, bukan hasil ajaran UM.

Tujuan saya menulis surat ini bukan bagi membela kumpulan itu mahupun memburukkan saudara tetapi bertujuan membersihkan nama UM yang telah saudara palitkan arang secara ‘tidak sengaja’.

Jika benar saudara dan rakan-rakan menganjurkan program keagamaan dan mendapati kumpulan itu menganggu, sepatutnya saudara bersama-sama rakan saudara pergi menegur kumpulan tersebut tetapi saya anggap ini tidak terjadi kerana saudara tidak menyatakannya dalam surat saudara.

Saya yakin mereka sebagai mahasiswa berfikiran terbuka mampu memberi kerjasama dan menukar program mereka mengikut keperluan jika mendapat teguran daripada pihak saudara.

Kami berharap masyarakat di luar sana untuk berhenti menyerang sesebuah institusi tanpa soal siasat terlebih dahulu, sebaliknya rujuk pada individu yang bertanggungjawab tersebut.

Moga Allah akan memberi rahmat atas keprihatinan saudara dan membuka hati sekumpulan pelajar tersebut untuk mengutamakan tanggungjawab mereka selepas ini.

UM is ONE! Towards 1Malaysia!!!
p/s saya hantar surat ini ke berita harian dan telah diterbitkan pada 16 Februari 2010. Moga pelajar UM mengambil iktibar agar nama UM tidak diburukkan lagi.

Friday 12 February 2010

Kerajaan Pulau Pinang batalkan perarakan Maulidur Rasul

PULAU PINANG 11 Feb. – Tindakan kerajaan negeri membatalkan perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul yang dibuat setiap tahun amat dikesali.

Setiausaha Sekretariat Perhimpunan Melayu Pulau Pinang, Mohd. Nor Suhaili Jamali berkata, beliau kecewa dengan keputusan kerajaan negeri yang dilihat tidak mengambil kira sensitiviti umat Islam.

Tegas beliau, sebagai sebuah kerajaan yang mengamalkan konsep cekap, akauntabiliti dan telus (CAT) dalam pentadbiran, perkara itu sepatutnya tidak berlaku.

‘‘Kita kecewa dan kesal kerana walau apa pun alasannya, kerajaan negeri boleh membuat perancangan awal dan tidak mustahil ia dilakukan melalui sistem CAT yang mereka uar-uarkan selama ini.

‘‘Kalau alasan sambutan jatuh pada hari Jumaat dan khuatir tergesa-gesa untuk menunaikan solat jemaah, mereka boleh buat di Masjid Negeri dan kawasan masjid ini cukup luas dan mampu menampung jumlah orang yang ramai.

‘‘Jika alasan tiada bajet, berapa sen sangat untuk membeli sebungkus makanan dan minuman untuk para peserta perarakan,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Utusan Malaysia difahamkan, mesyuarat jawatankuasa induk majlis sambutan Maulidur Rasul 1431 Hijrah/2010 Masehi peringkat negeri pada 3 Februari lalu memutuskan perarakan tersebut dibatalkan tetapi majlis perhimpunan ummah diteruskan di Dewan Sri Pinang.

Pekeliling mengenai perkara itu telah diedarkan kepada semua ketua jabatan, ketua badan berkanun dan ketua pengurusan pihak berkuasa tempatan.

Difahamkan, alasan yang diberikan adalah kerajaan negeri mahu membuat kelainan pada sambutan kali ini.

Selain itu, pada tahun ini juga kerajaan negeri tidak memilih mana-mana individu sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul.

Dalam pada itu Exco Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Abdul Malik Kassim ketika dihubungi memberitahu, beliau akan memberikan maklumat mengenai perkara itu dalam tempoh terdekat.

‘‘Saya akan mengumumkan maklumat terperinci sedikit masa lagi,” katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Sementara itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang menerusi laman webnya memaparkan atur cara majlis perhimpunan ummah yang bermula pada pukul 8 pagi sehingga 11.30 pagi.

Antara yang bakal diadakan adalah bacaan al-Quran, persembahan nasyid, pelancaran program e-Munakahat dan forum perdana.

Tahun lalu, perarakan sempena Maulidur Rasul sejauh 2.6 kilometer disertai kira-kira 3,000 orang dari 50 kontinjen bermula di Jalan Padang Kota Lama melalui Lebuh Light, Pangkalan Weld dan Lebuh Chulia sebelum berakhir di Dewan Sri Pinang.

Pada 2008 pula, lebih 2,000 orang membabitkan 36 kontinjen berarak sejauh lima kilometer melalui Jalan Masjid Kapitan Keling, Lebuh Chulia, Lebuh Pantai, Jalan Pesara King Edwards, Jalan Tun Syed Barakbah dan Jalan Padang Kota Lama.

Oleh ZABRY MOHAMAD

Wednesday 10 February 2010

Ijazah Sarjana Muda di anak tirikan?

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Ketika berada di dalam kuliah, kami satu kelas diajak berfikir sama ada betul atau tidak mahasiswa ijazah sarjana muda di universiti sekarang ini hanya berada di kelas ke 2 atau semakin di anak tirikan.

Buat universiti penyelidikan seperti Universiti Malaya, kemasukan pelajar ijazah sarjana muda akan dikurangkan secara berperingkat sebagai cara lain untuk menambahkan lagi pelajar ijazah sarjana.

Oleh yang demikian, pensyarah akan lebih menumpukan dalam mengambil pelajar ijazah sarjana bagi membantu mereka melaksanakan penyelidikan seperti mana yang diperlukan.

Ini kerana, pensyarah terpaksa memberi keutamaan yang lebih pada hasil kajian dan penyelidikan mereka kerana ini merupakan cara untuk mereka diiktiraf dan dinaikkan pangkat.

Hal ini timbul apabila seorang pensyarah kami nampak terkilan kerana kami mendakwa beberapa perkara yang sepatutnya diajar pada sesi pengajian yang lepas nyata tidak diajar sebelum ini.

Artikel ini bukan berniat untuk mengaib mana-mana pihak terutamanya pensyarah yang memberikan ilmu pada kita tetapi buat masyarakat luar tahu yang kehidupan universti ini bukan lagi kehidupan sekolah mahupun kolej-kolej.

Kami sedar sebagai mahasiswa, kami tidak memerlukan tangan untuk menyuapkan nasi ke mulut kami supaya kami dapat menjamah makanan itu, kami tahu kami mempunyai tanggungjawab untuk berusaha sendiri mendapatkan ilmu itu.

Pensyarah adalah sebagai penunjuk arah bagi kita supaya kita dapat mengembangkan lagi ilmu kita pada arah yang betul dengan cara yang sesuai.

Akan tetapi, dek mengejar status universiti yang lebih tinggi dengan mengutamakan kajian dan penyelidikan, kualiti pengajaran sesetengah pensyarah nyata tidak ke tahap yang diharapkan dan menyebabkan pelajar terkontang-kanting.

Ada yang hanya mengajar dengan menyelak-nyelak buku dan ada juga yang mengajar dengan hanya membaca paparan multimedia yang disediakan sahaja.

Tidak dinafikan ada pensyarah yang berkualiti dengan mutu pangajaran yang baik dan berkomitmen tinggi untuk memahirkan setiap pelajar di bawahnya tetapi ini hanya segelintir kecil sahaja.

Kerajaan membelanjakan duit yang banyak dalam membina modal insan yang baik terutamanya mereka yang terdiri daripada mahasiswa ijazah sarjana muda di setiap IPTA/S.

Akan tetapi penumpuan banyak diberikan pula pada pelajar ijazah sarjana yang rata-ratanya adalah pelajar daripada luar negara dan apabila sampai masanya, mereka akan pulang ke tanah air masing-masing tanpa berbakti pada negara kita.

Pensyarah sepatutnya menaikkan semangat mahasiswa di dalam kuliah dengan pengajaran dan pembelajaran yang baik supaya mahasiswa itu kelak akan lebih berminat mendalami pelajaran itu dan menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana.

Akan tetapi daripada pengalaman saya, sistem pengajaran yang diberikan belum mampu meyakinkan atau menambah minat saya untuk meneruskan pelajaran ke peringkat seterusnya.

Ini akan membawa kerugian kepada negara kerana ini bakal menyebabkan berkurangnya ahli akademik di negara ini seterusnya percambahan ilmu dalam negara mungkin akan terbantut.

Luahan hati saya ini mungkin bukan untuk saya seorang tetapi mewakili mahasiswa yang merasakan merasakan perkara yang sama dan terutamanya pada adik-adik kami yang bakal bergelar mahasiswa kelak.

Pihak pentadbiran seharusnya mencari jalan yang lebih baik dalam meningkatkan lagi kualiti dan kuantiti penyelidikan yang dihasilkan dalam masa yang sama tidak mengabaikan proses pengajaran terhadap mahasiswa ijazah sarjana muda.

Dengan ini, perkembangan akademik negara dilihat mampu berkembang pesat dengan adanya kekuatan bukan sahaja pada hasil yang diberikan oleh penyelidikan pelajar ijazah sarjana malah ditambahkan lagi dengan kekuatan keputusan yang cemerlang oleh pelajar ijazah sarjana muda.

Oleh itu, saya menyeru kepada semua mahasiswa agar tidak hanya bergantung kepada pensyarah semata-mata untuk menimba ilmu dan memperoleh kemahiran yang sewajarnya.

Mahasiswa bukan dilihat berkualiti jika asyik berdemonstrasi dan menunjukkan sifat kurang ajar pada pensyarah mahupun mana-mana pegawai tetapi kebolehan mahasiswa yang sebenar akan tertonjol apabila mereka berjaya menyelesaikan apa jua masalah yang diberikan dengan kuderat mereka sendiri.

Ini kerana kita sebagai aset masa depan negara perlu mendepani segala masalah dan merancang perjalanan hidup kita sendiri walaupun hanya sekadar dibantu atas angin sahaja.

Akhir kata, buat mahasiswa teruskan perjuangan dalam mendalami ilmu pengajian dan menempuh pengalaman hidup tidak kira apa jua cabaran yang mendatang dan buat pihak yang berkenaan, kaji semula sistem pendidikan negara supaya anak bangsa kita sendiri tidak terabai.

Monday 8 February 2010

Streamyx Uni Cool Pax

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Jika ada sesiapa yang masih ingat apabila Perdana Menteri membentangkan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK 10), beliau menyatakan setiap orang mahasiswa akan mendapat tawaran dan potongan hebat untuk mendapatkan perkhidmatan jalur lebar atau ‘broadband’.

Oleh itu, Streamyx telah mengeluarkan satu promosi terkini khusus buat mahasiswa tahun 1 dan 2 institut pengajian tinggi awam/swasta di mana mereka ditawarkan perkhidmatan ‘broadband’ daripada streamyx dari harga serendah RM 50.

Selain itu, mereka juga akan diberikan sebuah komputer riba jenama HP (lebar skrin 10.1", memori 1 GB RAM, 250 HDD dan banyak lagi) secara percuma apabila mendaftar untuk promosi ini.


Untuk maklumat lanjut anda boleh melayari laman web promosi streamyx ini supaya segala persoalan yang timbul dapat dijawab dengan segera.

Antara sebab mengapa hanya mahasiswa tahun 1 dan 2 sahaja yang boleh memohon kerana anda akan terikat dengan kontrak selama 2 tahun sekurang-kurangnya apabila anda mendaftar untuk promosi ini.

Pada pendapat saya, ini adalah satu promosi yang baik terutamanya buat pelajar yang datang dari latar belakang keluarga yang berpendapatan sederhana dan rendah.

Ini mampu meningkatkan daya saing setiap mahasiswa serta memberi satu suntikan semangat kepada mahasiswa bahawa kerajaan komited menjaga kebajikan dan memberikan kemudahan yang terbaik buat bakal-bakal pemimpin negara suatu hari kelak ini.




Oleh itu, buat yang berminat dan berkelayakan, ayuh jangan lengahkan masa lagi untuk terus mendaftar bagi promosi ini.

Friday 5 February 2010

Dapatkan Borang Pencalonan MPA

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Penganjur Malam Penganugerahan ASTAR (MPA) sudah pun mengeluarkan borang-borang pencalonan untuk menerima anugerah sempena makan malam berprestij kolej kediaman Pertama ini.

Antara pencalonan anugerah yang bakal diberikan pada MPA fasa 1 adalah;
1. Anugerah Harapan Seni
2. Anugerah Gemilang Seni
3. Anugerah Harapan Sukan
4. Anugerah Sukan Warna Separuh
5. Anugerah Sukan Warna Penuh

Selain itu, MPA pula menyediakan pencalonan bagi anugerah-anugerah berikut;
1. Anugerah Tunas Harapan
2. Anugeran Jasa Budi
3. Anugerah Khidmat Cemerlang
4. Anugerah Seniman & Seniwati ASTAR
5. Anugerah Putera/Puteri ASTAR

Oleh itu, saya ingin menasihatkan rakan-rakan supaya pegi ke kaunter pejabat am untuk mengambil borang-borang pencalonan ini sekiranya anda yakin anda layak.

Borang yang lengkap diisi perlu dihantar bersama-sama sekeping gambar berukuran pasport dan salinan keputusan peperiksaan terkini sebelum 12 Februari 2010 di pejabat am kolej.

Walaupun saya yakin, ramai antara kita bekerja dengan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang pulangan tetapi jangan pula anda tidak mahu diri anda tercalon untuk menerima anugerah-anugerah yang disediakan.

Ini merupakan salah satu cara pihak kolej untuk mengiktiraf dan memberi penghargaan pada mereka yang banyak berjasa pada kolej kediaman dari segi penglibatan dalam aktiviti kolej dan mereka yang mengharumkan nama kolej kediaman kita.

Jadi, jangan biarkan penat lelah anda dilupakan begitu sahaja, ayuh kita ambil borang pencalonan tersebut.

Sekurang-kurangnya ini boleh menjadi tanda penghargaan buat diri anda dan pemangkin semangat anda untuk terus berjuang menaikkan lagi nama ASTAR bukan sahaja di mata UM tetapi di mata masyarakat di luar sana.

ASTAR is FIRST! UM is ONE!!

Wednesday 3 February 2010

Naib Canselor UM Umum Keputusan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.


Izinkan saya untuk membacakan keputusan rasmi pilihanraya pelajar bagi sesi 2009/2010. Sebelum itu saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih saya kepada semua staf UM yang telah dilantik untuk membantu mengurus pilihanraya ini terutamanya kakitangan Pusat Teknologi Maklumat (PTM), kakitangan akademik, anggota keselamatan dan kakitangan pentadbiran dan sokongan yang dilantik daripada fakulti dan pusat. Kerjasama dan bantuan tuan-tuan dan puan-puan amat dihargai oleh pengurusan universiti.

Tahun ini merupakan kali pertama UM telah menggunakan sistem e-undi yang mana sistem ini telah dibangunkan oleh PTM, UM yang diketuai oleh Dr David Asirvatham. Sebelum berlangsungnya piiihanraya, saya telah mendapat maklumbalas daripada beberapa orang pelajar yang meragui kebolehan dan keutuhan sistem e-undi ini. Oleh yang demikian, saya telah memberi peluang kepada para pelajar untuk menilai sistem ini dengan membawa pakar IT yang mereka lantik sendiri. Sebelum pilihanraya, dengan matlamat untuk memberi pendedahan dan
penerangan kepada semua pelajar, pihak PTM telah mengadakan roadshow dan ujilari sebanyak 8 kali di beberapa lokasi dalam kampus untuk memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk menilainya.

Pada saya adalah amat penting sekali bahawa sistem pengundian yang dibangunkan berasaskan IT ini perlu mantap supaya hasil pengundian melalui sistem e-undi ini tidak akan diragui lagi.

Dalam pertemuan saya dengan Sdr. Mohd Aizat Mohd Salleh, EXCO MPMUM dan rakan-rakan beliau daripada MPMUM pada jam 2.30 petang, 3 Disember 2009 di Bilik Lembaga, Bangunan Canseleri, saya telah mempelawa Sdr. Aizat untuk membawa konsultan IT yang dilantik oleh pelajar sendiri untuk memeriksa dan menguji sistem e-undi. Pada masa itu, Aizat berjanji akan membawa konsultan berkaitan dalam masa terdekat.

Seterusnya pada 22 Januari 2010, jam 8.30 malam di Bilik Lembaga, satu mesyuarat telah diadakan dengan Sdr. Aizat dan rakan-rakan MPMUM dengan disertai oleh pihak MAFREL (Malaysians for Free & Fair Elections). Malangnya pihak konsultan IT yang dikenalpasti oleh Sdr. Aizat tidak hadir juga.

Oleh itu, perbincangan terhadap sistem e-undi tidak dapat dilakukan walaupun pada malam itu pihak PTM turut hadir untuk menerangkannya. Walaupun demikian, saya masih ingin memberi peluang kepada Sdr. Aizat dan MPMUM untuk membawakan konsultan IT dan berunding terus dengan pihak PTM. Oleh kerana konsultan IT yang dijanjikan oleh Aizat tidak muncul, akhirnya konsultan IT alternatif telah dikenalpasti oleh Sdr. Timothy Cheng, seorang EXCO MPMUM. Konsultan IT ini bernama Ng Hoong Ern yang merupakan seorang pelajar tahun akhir Sains Komputer di Universiti Harvard. Pemeriksaan kepada sistem IT e-undi UM oleh konsultan ini iaitu Ng Hoong Ern telah dilakukan pada I Februari 2010 dengan dihadiri oleh 3 orang pelajar (Timothy Cheng, Ridhuan Osman dan Shafie Hashim) dan beberapa orang staf PTM yang diketuai oleh Puan Haslina. Sdr Ng Hoong Ern telah menghantar laporan beiiau kepada saya yang saya telah terima pada jam 7.00 petang semalam.

Sedutan dari laporan Sdr Ng Hoong Ern itu ada menyatakan: "The source code of each aspect of the system was inspected and no obvious discrepancies were noted. On general inspection of the code, the flow of the system was found to be smooth with no glitches." Dalam laporan ini juga, beliau turut memberi beberapa cadangan untuk penambahbaikkan sistem IT yang telah dibangunkan. Saya juga ingin memetik rumusan yang beliau nyatakan dalam laporan beliau yang berbunyi: "As an electronic system, the e-voting system is reliable and secure."

Daripada laporan konsultan IT ini dan ujian-ujian yang telah dilakukan oleh PTM, saya dapat merumuskan bahawa sistem IT e-undi yang telah dibangunkan ini boleh dan amat wajar digunakan sebagai ganti kepada sistem mengundi yang lampau. Daripada laporan itu jelas pada saya, pihak konsultan IT Sdr Ng Hoong Ern tidak langsung mempersoalkan keboleharapan dan keutuhan sistem e-Udi UM. Saya juga berpendapat bahawa semua staf PTM yang terlibat dalam pembangunan sistem IT eundi ini tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam pilihanraya pelajar ini dan mereka telah membangunkan sistem e-undi ini sebaik mungkin dengan tahap profesiolnalisma yang tinggi. Untuk makluman para hadirin sekelian, Universiti Harvard sendiri telah menggunakan sistem e-undi dalam pilihanraya pelajar mereka seperti yang diberitahu oleh konsultan Sdr Ng Hoong Ern.

Setelah proses pengundian dilaksanakan Khamis, 28hb Januari lepas, terdapat bantahan dari pelajar dan saya telah memberi peluang kepada 10 orang wakil pelajar yang membantah untuk berbincang dengan saya di Pejabat saya pada keesokan hari iaitu Jumaat lepas. Dalam pertemuan tersebut, banyak aduan telah dikemukakan kepada saya yang mana kebanyakkannya adalah berkisar kepada pengurusan proses pilihanraya. Saya telah kaji semua aduan itu dan telah mengklaiifikasikan aduan-aduan itu kepada dua kategori: (1) perkara-perkara yang berkemungkinan boleh menjejaskan integriti sistem e-undi dan (2) perkara-perkara yang merupakan kelemahan pengurusan dan perjalanan pilihanraya tetapi tidak-menjejaskan keputusan e-undi. Saya telah mengarahkan staf penyiasit saya untuk segera menyiasat aduan-adaun dalam kumpulan pertama iaitu perkara-perkara yang boleh menjejaskan integriti sistem e-undi. Hasil siasatan mereka menunjukkan bahawa semua perkara-perkara yang diadukan dalam kategori pertama tidak terbukti telah menjejaskan integriti keputusan pilihanraya baru-baru ini.

Manakala, aduan-aduan lain dalam kategori kedua berkaitan pengurusan, Pelaksanaan dan perjalanan proses pilihanraya dan pengundian terutamanya oleh pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) telah, sedang dan akan terus disiasat atau dikaji untuk tujuan penambahbaikan perjalanan pilihanraya pada masa hadapan. Sekiranya aduan berkenaan memperlihatkan terdapat sebarang pelanggaran peraturan atau penyalahgunaan kuasa atau lain-lain kesalahan yang disabitkan kepada staf atau pelajar universiti, tindakan sewajarnya mengikut peruntukan peraturan universiti sedia ada akan diambil ke atas mereka yang terbabit.

Berbalik kepada pilihanraya yang berlangsung minggu lepas, telah dilaporkan terdapat 14 bantahan yang diterima selepas pemilihan ditutup pada jam 6.00 petang, 28 Januari 2010. Bantahani ni telah dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Bantahan dan 4 daripada bantahan tersebut telah dirujuk kepada Jawatankuasa Rayuan. Jawatankuasa Rayuan, yang dipengerusikan oleh Prof Khaw Lake Tee, TNC (Pembangunan) telah menimbangkan bantahan tersebut dan kesemua bantahan telah ditolak oleh Jawatankuasa Rayuan.

Berdasarkan kepada fakta-fakta di atas, dengan ini saya mengisytiharkan bahawa keputusan pilihanraya pelajar yang telah saya umumkan pada 28 Januari 2010 adalah dengan rasminya SAH dan DIKEKALKAN.

Sekian. terima kasih.

GHAUTH JASMON
Naib Canselor,
Universiti Malaya.
3hb Februari 2010.

p/s. Penggerak Mahasiswa dengan SAH menang Pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa sesi 2009/2010 dan dengan SAH mampu membentuk kabinet mereka sendiri. UM is One! Towards 1Malaysia.