Friday, 20 November 2009

Selamat Bercuti: Rancang Cuti Dengan Bijak

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Alhamdulilah, marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran pada Ilahi kerana membenarkan kita menyelesaikan satu lagi ‘peperangan ilmu’ kita yakni peperiksaan yang baru berakhir.

Tahniah dan syabas kepada anda yang sudah menjawab dengan baik dan saya mendoakan kejayaan akan kungjung tiba buat anda semua tatkala menerima keputusan kelak.

Tidak kurang juga kepada mereka yang merasakan ada kekurangan dalam jawapan yang sudah diberikan, redha dan tawakkal sahaja pada Ilahi moga dipermudahkan kita agar lulus dengan cemerlang kelak.

Setelah hampir sebulan menjalani persediaan dan menjalani peperiksaan, saya yakin ramai yang seringkali memanjatkan doa pada Allah agar mendapat kemudahan untuk memahami, menghafal dan menjawab soalan peperiksaan.

Akan tetapi, saya ingin menasihatkan diri saya dan rakan-rakan agar tidak menjadi hipokrit pada Allah kerana apabila sudah habis peperiksaan, kita tinggal segala amalan selama ini dan kembali ke pada asal kita.

Jadikan peperiksaan ataupun apa-apa sahaja dugaan Allah sebagai 'batu loncatan' kepada kita untuk lebih dekat pada Allah dan setelah kita berjaya melalui saat-saat getir ini, maka kita seharusnya patut lebih mendekatiNya, bukan terus menjauhkan diri dan mencari Allah semula bila bala menjelang tiba.

Sesungguhnya kita mempunyai batas dalam melepaskan tekanan ataupun menyambut kejayaan kita masing-masing dan perlu diingatkan kepada semua agar memilih cara yang betul dan jangan menyimpang dari jalan Allah.

Cuti yang dijangka selama 4 minggu bagi rata-rata pelajar (kecuali pelajar Fakulti Pergigian dan Perubatan) perlu digunakan sepenuhnya bagi terus mencungkil ilmu dan mengasah bakat yang terpendam.

Luangkan masa secukupnya dengan keluarga tetapi saya menyarankan anda menggunakan masa cuti anda dengan perkara yang lebih berfaedah seperti menyertai aktiviti riadah, mengambil pekerjaan separuh masa ataupun menyumbang bakti dalam projek-projek kolej mahupun peringkat universiti.

Saya yakin pelajar universiti terbahagi kepada dua golongan iaitu pertama, mereka yang tidak sanggup korbankan masa cuti mereka dan kedua, ada yang mudah bosan di rumah jika tiada aktiviti yang hendak dilakukan.

Bagi pelajar yang berada golongan yang pertama, mereka lebih gemar menghabiskan masa di rumah di samping ibu bapa serta adik beradik yang lain dan sememangnya tidak akan mengorbankan masa untuk mereka demi apa-apa aktiviti lain.

Buat golongan ini, saya menasihatkan anda meluangkan masa dengan mendalami dan menelaah buku-buku ilmiah semasa di rumah agar masa yang anda ada tidak disia-siakan begitu sahaja sebaliknya, digunakan sebaiknya untuk meningkatkan ilmu pengetahuan anda.

Bagi pelajar yang berada dalam golongan kedua, mereka mungkin hanya boleh bertahan di rumah selama lebih kurang seminggu dan apabila masuk minggu kedua dan seterusnya mereka mula mencari jalan atau aktiviti yang boleh dilakukan untuk mengisi masa luang yang mereka ada.

Saya menasihatkan kepada golongan pelajar ini supaya memilih aktiviti yang berguna dan bermanfaat bagi kita sebagai mahasiswa universiti untuk memantapkan nilai insaniah kita disamping mengasah bakat dalam apa jua bidang yang kita minati.

Jauhi perkara yang tidak berguna atau sia-sia seperti merempit, menghisap dadah, melepak dan sebagainya kerana ini langsung tidak menunjukkan mentaliti kita selaku mahasiswa universiti.

Sebaliknya, kita digalakkan menyertai kerja-kerja amal dalam membanteras gejala-gejala sosial ini kerana mereka sudah tentu akan memandang tinggi kepada kita yang dikatakan antara mereka yang terpilih masuk ke universiti perdana ini.

Saya menyambut baik pindaan AUKU baru-baru ini dan percaya mahasiswa sudah mempunyai kebebasan dalam menyertai mana-mana kelab mahupun organisasi bukan kerajaan selagi mana ia bukan berkaitan dengan politik secara langsung.

Penyertaan kita ke dalam organisasi luar ini turut memberi seribu satu kelebihan untuk diri kita sendiri terutamanya bagi meningkatkan kemahiran sosial dan kemahiran berorganisasi dalam diri kita.

Kemahiran-kemahiran yang tidak diajar di mana-mana dewan kuliah mahupun kelas ini adalah antara keperluan yang mustahak bagi mahasiswa untuk bersaing kelak bagi memperoleh tempat pekerjaan.

Ini kerana majikan bukan sahaja menilai keupayaan kita berdasarkan transkrip peperiksaan sahaja, malah mereka juga menilai dari segi kemahiran insaniah dan juga pelbagai kemahiran lain yang relevan pada syarikat tersebut.

Oleh itu, saya menasihatkan kepada rakan-rakan agar merancang dengan baik perjalanan cuti kita ini kerana masa itu adalah emas dan sesaat yang kita bazirkan, tidak mungkin akan ditebus kembali walaupun anda mengadaikan segala harta yang anda ada.

Usah menyesal di kemudian hari akibat gagal merancang dengan baik masa yang kita ada selagi kita mampu dan selagi kita masih seorang mahasiswa di institut pengajian tinggi.

Sebelum mengakhiri tinta ini, suka saya untuk meningatkan kepada seluruh mahasiswa terutamanya mahasiswa UM bahawa pendaftaran bagi semester 2 sudah boleh dilakukan pada 23 Novermber 2009, maklumat lanjut boleh didapati di web umisis.

Akhir kata dari saya, selamat bercuti di kampung halaman masing-masing serta kirimkan salam saya kepada kedua ibu bapa anda yang sedang membaca ini.

Moga Allah memudahkan perjalanan pulang anda bagi membolehkan anda berjumpa dengan keluarga anda yang tercinta.

UM is ONE! Towards 1Malaysia.

Wednesday, 18 November 2009

PFS Medan Politik??

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Sedih dan kecewa. Itu adalah perasaan saya apabila mendapat tahu, sekolah yang saya banggakan, Penang Free School (PFS) sudah menjadi pentas politik yang tidak munasabah.

Tambah karut apabila politik perkauman dimainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan hanya ingin mengganggu gugat keamanan dan keharmonian rakyat Malaysia.

Isu timbul apabila nama dan alamat PFS ditulis dengan TULISAN JAWI pada salah sebuah tembok di sebelah pintu gerbang PFS.


Oleh itu, terdapat beberapa individu ‘tidak senang duduk’ tatkala tembok it terus gah berada di hadapan sekolah yang tertua di Asia Tenggara itu.

Lebih-lebih lagi, tuduhan yang keras bagi saya dilemparkan kepada pengetua PFS dengan satu kenyataan yang berbaur perkauman. ‘There were no muslim principals until 1993. 5 consecutive muslim principals and there you go with ‘jawi’ – komen seorang yang bernama Bravehrt pada artikel tulisan Allen Chee.

Terlintas di benak hati saya, mengapa hal ini tidak dijadikan isu di Terengganu kerana tulisan Jawi digunakan dengan meluas di sana tidak kira pada papantanda mahupun iklan di tepi jalan.

Rakyat Malaysia seharusnya memahami Artikel 152 Perlembagaan Malaysia.

"Artikel 152 Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa bahasa kebangsaan merupakan bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, perlembagaan menjamin kebebasan pembelajaran dan penggunaan bahasa-bahasa lain, kecuali di atas tujuan-tujuan rasmi.”

Tujuan-tujuan Rasmi di sini bermakna apa-apa tujuan kerajaan, samada negara atau negeri, dan termasuklah apa-apa tujuan penguasaan awam. Untuk penguatkuasaan ini, semua prosiding mahkamah dan dokumen-dokumen parlimen dan mesyuarat-mesyuarat mesti dilakukan di dalam bahasa Melayu.

Tulisan rasmi bagi bahasa Melayu juga dinyatakan di dalam Artikel 152 sebagai rumi atau tulisan Latin. Walau bagaimanapun, penggunaan Jawi tidak dilarang." - Speedrider


Saya yakin tulisan Jawi adalah relevan kerana ia masih mematuhi Artikel 152 kerana ia dieja dengan sebutan bahasa Melayu tetapi adakah tulisan bahasa lain boleh dibaca dengan bahasa Melayu (bermaksud dibaca secara terus dan bukan dialih bahasa).

Saya mengharapkan, politik berbaur perkauman ini dihentikan dan isu sebegini sepatutnya dikupas dengan penuh intelek dan panduan undang-undang, bukan sekadar cakap lepas mengikut emosi masing-masing.

Seharusnya ikon politik yang dikenali ramai menunjukkan satu semangat perpaduan yang tinggi bukan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman hingga merangsang minda sesetengah orang untuk bangun memberontak menegakkan benang yang basah.

Selain itu, ikon politik ini seharusnya menumpukan kosentrasi mereka serta fokus dalam isu pentadbiran negeri/negara terutamanya berkenaan hal kebajikan rakyat mahupun pengurusan bajet mereka untuk memajukan negara kita ini.

Saya benar-benar mengharapkan di bawah gagasan 1Malaysia, seluruh rakyat Malaysia akan menerima perbezaan dan variasi hidup berbilang bangsa untuk terus memakmurkan negara kita.

Wednesday, 4 November 2009

Terima Kasih Cik Hasniah

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.



Tanggal 31/10/2009 merupakan detik terakhir buat Cik Hasniah Daud atau lebih mesra dipanggil Cik Has menabur bakti di Kolej Kediaman Pertama (ASTAR) apabila beliau dengan rasminya menamatkan perkhidmatannya sebagai penyelia ASTAR pada tarikh tersebut.

Menjadi penyelia ASTAR sejak tahun 2007, Cik Has yang juga Penyelia Penasihat bagi JKP Kenegaraan, Etika dan Patriotisme banyak membantu dalam menjayakan pelbagai aktiviti pelajar di kolej ini.

Cik Has yang juga merupakan Penolong Pendaftar di Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) turut banyak menyalurkan info-info berguna kepada pelajar di samping banyak membantu urusan penghuni ASTAR di HEPA.

Dengan ini, saya ingin mewakili rakan-rakan penghuni Kolej Kediaman Pertama untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Cik Hasniah atas segala jasa dan keringat Cik Hasniah selama menjadi penyelia di ASTAR ini.

Kami juga ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Cik Hasniah terutamanya di bidang karier Cik Hasniah dan mengharapkan Cik Hasniah akan terus sukses di masa hadapan.

Akhir kata, semoga berjumpa lagi dan jangan lupakan kami di ASTAR. Kalau dah tiba masanya, jemputlah kami ke kenduri kahwin Cik Hasniah. :)

ONCE AN ASTARIAN, FOREVER AN ASTARIAN!

Monday, 2 November 2009

Selamat Menduduki Peperiksaan Akhir Semester 1

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia

Berakhir sudah seminggu yang penuh dengan debaran yakni minggu ulangkaji menandakan bermulanya minggu-minggu peperiksaan yang akan bermula pada hari ini.

Dengan ini, saya ingin mengucapkan selamat menduduki peperiksaan akhir semester 1 bagi sesi 2009/2010 kepada seluruh warga Universiti Malaya.



Semestinya minggu ulangkaji telah digunakan sepenuhnya bagi menyediakan diri kita masing-masing untuk menempuh peperiksaan yang bakal kita tempuhi tak lama lagi.

Antara beberapa tips atau petua dalam menghadapi peperiksaan adalah seperti berikut:

1. Kajian terhadap topik dan pemetaan maklumat

Semak sama ada anda memahami sepenuhnya, separuh atau tidak memahami langsung bab berkenaan. Jika ada bab yang belum difahami sepenuhnya, segera buat peta minda dengan mencatat maklumat penting yang berkaitan.



2.Semak soalan tahun lalu (setiap subjek)

Biarpun soalan akan berubah setiap tahun, anda tetap perlu menyemaknya untuk membandingkan kekerapan topik berkenaan keluar dalam setiap peperiksaan.




3.Banyakkan pembelajaran secara output learning

Di saat-saat akhir, anda seharusnya banyak mengulang kaji pelajaran secara output learning iaitu mengeluarkan kembali kefahaman anda kepada bentuk lakaran ataupun menerangkan kepada rakan. Ia dapat membantu menguatkan ingatan terhadap sesuatu mata pelajaran.



4.Memperbanyakkan latih tubi dan ujian simulasi

Satu cara untuk menguji sejauh mana pemahaman anda terhadap sesuatu subjek adalah melalui latihan berterusan (latih tubi) dan soalan tahun sebelumnya. Ia mampu menolong anda mengatasi bahagian subjek yang lemah.




5.Nota ringkas

Nota ringkas amat penting dan berguna kerana ia senang dibawa ke mana saja. Anda boleh membaca catatan nota ringkas berkenaan di waktu terluang.




6.Pastikan mendapat tidur dan rehat secukupnya

Biar sesibuk mana sekalipun, anda perlu mendapat tidur dan rehat cukup. Jangan lupa bersenam sekurang-kurangnya 10 minit bagi memastikan badan kekal cergas. Pengaliran oksigen yang baik boleh menghasilkan otak yang cerdas.




7.Pemakanan berkhasiat dan seimbang

Elak mengambil terlalu banyak makanan yang mengandungi kafein (seperti kopi) kerana anda mungkin akan sukar tidur dan hilang tumpuan.




8.Kawal emosi

Elak terbabit dalam sebarang konflik yang boleh menggugat ketenangan emosi di saat anda akan menduduki peperiksaan. Jangan menimbulkan sebarang pertelingkahan atau terasa hati dengan rakan-rakan atau keluarga kerana ia boleh menggugat ketenangan ketika menjawab soalan kelak.




9.Banyakkan berdoa dan bersolat

Sebagai makhluk yang lemah, kita memang tidak dapat lari daripada berdoa kepada Allah s.w.t. Sebagai seorang Islam, anda perlu memper banyakkan solat hajat, tahajud dan berdoa memohon bantuan-Nya. Sebelum melangkah ke dewan peperiksaan, pohon keampunan dan keredaan daripada ibu bapa dan guru.



10.Jangan panik

Sebaik melangkah masuk ke dewan peperiksaan, jangan panik kerana ia mampu membuatkan kita lupa 50% apa yang sudah dipelajari selama ini. Tanamkan keyakinan dalam diri, anda boleh menjawabnya.

Dengan adanya 10 petua ini saya harapkan kita semua akan lebih bersedia untuk masuk ke dalam dewan peperiksaan menghadapi ‘peperangan’ di dalamnya.

Akhir kata, ingin sekali lagi saya ucapkan selamat menduduki peperiksaan akhir semester buat seluruh warga UM dan saya doakan agar kita semua mendapat kejayaan yang cemerlang bagi peperiksaan kali ini.

UM is ONE!! Towards 1Malaysia.

Saturday, 31 October 2009

Sistem gred baru masuk ke IPTA

PUTRAJAYA 30 Okt. - Syarat kelayakan untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan setaraf untuk memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) akan diperketatkan mulai tahun depan.

Ini berikutan pengiraan merit untuk pemohon akan menggunakan penggredan baru iaitu kelulusan A+.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Datuk Ir. Radin Umar Radin Sohadi berkata, kaedah pengiraan markah tersebut bertujuan memilih pelajar terbaik di kalangan yang terbaik.

‘‘Sehubungan itu Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan melaksanakan kaedah pengiraan markah merit terkini dengan perubahan kecil kepada kaedah sedia ada.

‘‘Kaedah tersebut juga mengambil kira syarat khas kemasukan program pengajian dengan memastikan pelajar yang dulunya mendapat gred 6C (kepujian) tidak diturun taraf ke gred lebih rendah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai penggredan baru A+, beliau memberitahu, pelajar yang memperoleh A kini terbahagi kepada tiga kategori iaitu A+, A dan A-.

Ini bermakna mereka yang mendapat A+ bakal memperoleh nilai markah bagi pengiraan merit sebanyak 18, A (16) manakala A- (14).

‘‘Sebagai contoh, jika sebelum ini keseluruhan A dikira berdasarkan markah 90-100 tetapi melalui penggredan baru ini adalah 99-100 (A+), 98-95 (A) manakala 94-90 (A-),” katanya.

Radin Umar menambah, syarat khas program pengajian dan pemilihan calon ke IPTA bagi sesi akademik 2010/2011 akan dilaksanakan secara dua kaedah dalam proses transisi.

Pertama, kaedah sedia ada bagi calon lepasan SPM 2008 dan sebelumnya dan kedua, kaedah terkini bagi calon lepasan SPM 2009.

Kata beliau, kaedah itu bertujuan memberi peluang kepada pelajar bukan tahun semasa mengemukakan permohonan serta dipertimbangkan secara adil, telus serta bersistematik dalam pemilihan kemasukan ke IPTA berasaskan dasar sedia ada.

‘‘KPT bersetuju mengadakan taklimat ke seluruh negara kepada guru bimbingan dan kaunseling mengenai perubahan ini,” katanya.

Jelasnya, KPT akan mengemas kini maklumat mengenai kaedah pengiraan markah merit terkini melalui cetakan dan agihan risalah ke Jabatan Pelajaran Negeri dan sekolah.

Maklumat juga boleh diperolehi melalui laman web rasmi kemasukan ke IPTA iaitu http:// upu.mohe.gov.my.

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN

Saturday, 24 October 2009

Bajet 2010: Bajet Terbaik….lagi?

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia

Saban tahun, ini adalah senario yang biasa serta dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia tidak kira dari apa jua sektor sekalipun, bandar mahupun luar bandar menantikan saat bajet tahunan ini dibentangkan.

Menjadi kelaziman saban tahun daripada kepimpinan Tun Dr. Mahathir hingga ke Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri yang juga merangkap Menteri Kewangan akan membentangkan bajet serta disaksikan oleh kira-kira 15 juta rakyat Malaysia tidak kira melalui TV mahupun corong-corong radio sahaja.

Tahun ini Perdana Menteri Ke-6, Datuk Seri Najib Razak membentangkan bajet ini di Parlimen semalam yang juga merupakan kali pertama bagi beliau menbentangkan bajet tersebut.


Dato' Seri Najib selepas selesai membentangkan Bajet 2010 di Perlimen, semalam. Ehsan Utusan Online


Bajet kali ini hadir dengan tema '1Malaysia, Kemakmuran Bersama', dikatakan antara bajet terbaik yang pernah dibentangkan dan boleh memanfaatkan segenap lapisan masyarakat.

Walaupun 11.2 peratus lebih kecil berbanding RM215.7 bilion dalam Bajet 2009, dengan peruntukan RM191.5 pada kali ini dilihat sebagai menyeluruh berteraskan tiga strategi, iaitu memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi; memastikan pembangunan holistik dan mapan serta mengutamakan kesejahteraan rakyat.
Antara kandungan bajet 2010 adalah:
1. CUKAI
-Pelepasan cukai pendapatan individu dinaikkan kepada RM9,000 daripada RM8,000.
-Pengurangan kadar cukai maksimum individu daripada 27 peratus kepada 26 peratus.
-Pelepasan cukai langganan jalur lebar sehingga RM500 setahun pada 2010 hingga 2012.

2. KAKITANGAN AWAM
-Bayaran khas RM500 kepada penjawat Gred 41 hingga Gred 54 serta pesara wajib kerajaan pada Disember ini.
-Pinjaman pembelian komputer setiap tiga tahun berbanding lima tahun sekali sekarang.

3. RUMAH
-74,000 unit rumah kos rendah disediakan untuk disewa kepada rakyat pada 2010.

4.KWSP
-Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia diuruskan oleh KWSP untuk yang tiada pendapatan tetap termasuk pemandu teksi, petani dan penjaja. Setiap RM100 caruman, kerajaan menyumbang 5 peratus tertakluk kepada jumlah RM60 setahun.
-Pelepasan cukai individu untuk caruman KWSP dan premium insurans hayat dinaikkan RM1,000 kepada RM7,000.
-Caruman KWSP dinaikkan semula kepada 11 peratus.

5.PENDIDIKAN
-Menukar pinjaman PTPTN kepada biasiswa bagi pelajar mendapat ijazah kelas pertama.
30 pelajar terbaik menerima Biasiswa Nasional di universiti tersohor.
-Pakej ‘netbook’ termasuk perkhidmatan jalur lebar dengan bayaran RM50 sebulan untuk dua tahun.
-Diskaun 50 peratus perkhidmatan kereta api jarak jauh kepada pelajar dengan kad diskaun pelajar 1Malaysia.

Selain itu, bajet ini juga diharap mampu membuka mata sesetengah pihak yang seringkali berprasangka buruk terhadap kerajaan dengan mengatakan kerajaan membazirkan wang di sektor lain tanpa menghiraukan keluarga yang miskin.

Dengan ini kerajaan menyediakan latihan kemahiran dan program penjanaan pendapatan untuk 50,000 isi rumah miskin tegar, di samping pelbagai program membantu golongan miskin di luar bandar, termasuk peruntukan RM180 juta bagi Program Pembasmian Kemiskinan dan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) dan program pembinaan kedai desa dengan peruntukan awal RM30 juta untuk memberi peluang penduduk luar bandar berniaga.

Seperti yang dijanjikan, kerajaan akan memastikan kemajuan di semenanjung tanahair akan turut sama dirasai oleh rakyat di negeri Sabah dan Sarawak dengan mengumumkan kerajaan akan membina jalan luar bandar dan jalan kampung dengan peruntukan RM857 juta di Kapit, Lawas dan Simunjam di Sarawak serta Kinabatangan, Kota Belud dan Keningau di Sabah.


Di samping itu, Dato Seri Najib juga mencadangkan supaya kerajaan meneruskan Skim Program Lonjakan Mega dengan peruntukan RM141 juta di Batang Sadung dan Batang Lupar, Sarawak dan Pulau Banggi, Sabah.

Selaku mahasiswa, saya turut gembira dengan beberapa insetif baik yang dihadiahkan malah lebih baik dari itu, kerajaan turut menggariskan langkah dan insentif yang berteraskan usaha meningkatkan modal insan berkemahiran tinggi; meluaskan akses kepada pendidikan tinggi; menjaga kebajikan pelajar; menggilap kemahiran tenaga kerja dan memperkasa institusi pengajian tinggi.

Antara lain, Dato Seri Najib turut mengumumkan kerajaan akan melaksanakan satu sistem pengurusan subsidi minyak, awal tahun depan yang mesra rakyat mengguna pakai MyKad dan infrastruktur sedia ada bagi memastikan hanya golongan memerlukan menikmatinya.


Banyak lagi usaha-usaha murni kerajaan dapat diterjemahkan dalam pembentangan bajet semalam dan apa yang kita, hampir kesemua janji yang ditaburkan oleh kerajaan mula dilaksanakan.

Selaku rakyat, saya mengharapkan dengan wujudnya bajet ini maka moto ’Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ akan terus menjadi pegangan pemimpin untuk sentiasa bekerja demi kemakmuran rakyat jelata.

Akhir kata, saya mendoakan agar pertumbuhan kewangan negara akan terus berada di tahap yang baik agar kita mampu meneruskan misi dan visi kita menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

Sumber: Berita Harian Online & Utusan Online

Thursday, 22 October 2009

'Sejadah berdiri kerja budak nakal'

KOTA BHARU: Umat Islam di negara ini diminta supaya tidak mudah percaya dengan perkara khurafat, termasuk misteri 36 helai sejadah yang dikatakan ditemui dalam keadaan 'berdiri' di Kelantan, kerana ia boleh menyesatkan akidah.

Mufti Kelantan, Datuk Muhamad Shukri Muhamad, berkata umat Islam tidak harus terpengaruh kejadian misteri yang berlaku di dua sekolah negeri ini pada pagi kelmarin dan semalam, ada kaitan dengan benda ghaib atau petunjuk daripada Allah.

Beliau berkata, tiada sebarang keanehan atau boleh dianggap pelik ekoran penemuan sejadah terbabit, kerana ia boleh dilakukan oleh sesiapa saja.

"Apa peliknya sejadah dalam kedudukan seperti itu (disusun seperti solat berjemaah) boleh dibuat sesiapa saja, kecuali jika (ada sejadah) terbang dan ada orang menyaksikannya sendiri.

"Jika ketika kita melihatnya, ia sudah berada dalam kedudukan seperti (tersusun) itu, saya percaya ia hanyalah perbuatan budak nakal," katanya ketika dihubungi, semalam.

Pagi kelmarin, penemuan 36 helai sejadah yang berada dalam kedudukan seperti makmum mengerjakan solat jemaah di belakang imam dalam surau Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Sangkot dekat Meranti, Pasir Mas, menggemparkan seluruh pelajar dan penduduk sekitarnya.

Kejadian sama juga berlaku pagi semalam sebanyak 24 sejadah ditemui dalam keadaan sama di surau Maahad Ar-Rahmah Kenali dekat Kubang Kerian di sini, kira-kira jam 10 pagi oleh dua pelajar Tingkatan Dua, Marini Abd Latif, 14, dan rakannya, Afida Abdullah, 14, ketika memasuki surau itu selepas menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah Agama.

Di KUALA LUMPUR, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata kejadian pelik seperti itu tidak boleh dipercayai dan membuat tafsiran sendiri yang boleh menyebabkan akidah seseorang itu terpesong.

"Kejadian seperti ini tidak perlu diberi perhatian atau dipercayai sangat kerana ia tidak menguntungkan umat Islam," katanya ketika dihubungi.

Kejadian itu disedari seorang kanak-kanak perempuan, Nurzulaikha Mohd Rashid, 9, yang kebetulan melalui kawasan Madrasah Al-Rahman untuk mengaji al-Quran di rumah bersebelahan, sebelum ternampak dari celahan tingkap tiga helai sejadah berada dalam keadaan berdiri seperti orang bersembahyang jemaah.

Oleh Nahar Tajri, Sazarina Shahrim dan Betty Subaryati