Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Thursday 26 November 2009

Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Esok, seluruh umat Islam akan menyambut perayaan yang dinamakan Aidil Adha ataupun lebih sinonim dengan nama Raya Korban di negara ini.



Aidil-Adha merupakan hari memperingati peristiwa di mana Nabi Ibrahim A.S. diuji oleh Allah Taala agar menyembelih putra kesayangannya iaitu Nabi Ismail A.S. Peristiwa pengorbanan ini dirakamkan oleh Allah Taala di dalam surah As-Saafaat ayat : 102-109

Maksudnya :
“ Maka tatkala anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama denganya, Nabi Ibrahim berkata: “ Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu, anaknya menjawab: ‘ Wahai bapaku, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya-Allah, ayah akan mendapati aku dari orang-orang yang sabar. Setelah keduanya telah berserah bulat-bulat ( menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim A.S. merebahkan anaknya dengan meletakkan mukanya di atas tumpuk tanah (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu – telah menjalankan perintah Kami, serta Kami menyerunya, “ Wahai Ibrahim! engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata, dan kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar”. Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian. “ Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim”.


Selain itu, Hari Raya Aidil Adha sepatutnya menanamkan keazaman dalam diri kita dan sedar bahawa kejayaan sebenarnya tidak akan dating bergolek tanpa kita berusaha untuk memperolehinya.

Dalam proses usaha yang kita lakukan, banyak ranjau dan cubaan yang harus kita lalui malah pelbagai jenis pengorbanan yang perlu kita lakukan dengan niat ikhlas demia mendapat keredhaan Alaah S.W.T..

Oleh itu, sempena hari yang mulia ini, sama-sama kita menanamkan keazaman yang tinggi untuk memperoleh kejayaan demi memartabatkan agama Allah, negara yang kita kasihi serta keluarga yang kita sayangi.

Sesungguhnya pengorbanan yang kecil ini tidak dapat dibandingkan dengan ganjaran yang lumayan yang telah Allah janjikan.

Akhir kata, saya ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidil Adha buat seluruh warga ASTAR khususnya dan seluruh umat Islam di serata dunia amnya, moga kita akan lebih diberkati Allah S.W.T..

BTN Proses Doktrinisasi BN??


Assalamualaikum Dan Salam 1Malaysia.

Satu langkah drastik diambil oleh kerajaan negeri Selangor apabila mengharamkan semua pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) serta kakitangan syarikat milik negeri tersebut menyertai kursus anjuran Biro tatanegara (BTN), sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Antara alasan yang diberikan adalah kursus yang dianjurkan oleh BTN menjurus kepada perkara yang boleh membecikan barisan pembangkang serta menimbulkan fenomena perkauman.

Akan tetapi, pada pendapat saya ini hanya satu tindakan pengecut yang dilakukan oleh sebuah kerajaan yang goyah kerana mereka sebenarnya tidak berani berhadapan dengan perkara yang sebenar malah ini menunjukkan mereka seolah-olah membenarkan apa sahaja modul BTN tersebut.

Sebagai mahasiswa tahun 4 yang banyak terlibat dengan aktiviti universiti, saya sudah lali dengan menyertai kursus anjuran BTN walaupun ianya hanya di peringkat asas.

Kursus yang dijalankan sekurang-kurangnya 3 hari ataupun paling lama 5 hari ini sebenarnya mendedahkan kepada peserta mengenai keadaan yang sebenarnya berlaku ataupun scenario politik serta sosio-budaya di Malaysia.

Barisan pembangkang seperti dihantui oleh baying-bayang mereka sendiri apabila BTN mengupas satu per satu isu yang berlaku dalam negara malah bukan sahaja barisan pembangkang malah barisan kerajaan turut mengalami cacat celanya.

BTN dijadikan sebab sokongan terhadap barisan pembangkang semakin merosot hanyalah sebagai alas an atas angin semata-mata dan menunjukkan pemimpin pembangkang sudah kekeringan idea dalam menambat hati pengundi mereka semula.

Sudah berkali-kali dingatkan kepada para pembangkang agar mereka sepatutnya memperbetulkan pimpinan mereka dari peringkat akar umbi bagi memperoleh sokongan rakyat, bukan dengan mempersalahkan pihak itu atau ini kerana kredibiliti mereka jelas terjejas dengan tindakan ini.

Walaupun saya sendiri tidak menyokong beberapa modul kursus BTN tetapi keseluruhannya, BTN bukan sahaja membawa kita ke arah doktrinisasi untuk menyokong mana-mana pihak malah apa yang penting adalah semangat nasionalisme yang diterapkan melalui ceramah, tazkirah mahupun latihan dalam kumpulan (LDK) yang diadakan.


BTN memberi kita ruang untuk meluahkan perasaan ataupun pendapat terhadap sebarang modul yang dibentangkan kerana seingat saya, beberapa rakan saya berbangsa Cina berani bangun mempersoalkan data-data yang diperjelaskan kerana ia nyata menimbulkan rasa ragu dan dilihat tidak relevan disaat dan ketika ini.

BTN bukan seperti mana-mana TAMRIN atau TAMPAN di mana mereka di ‘basuh’ habis-habisan agar merek taat dan patuh pada segala perintah ketuanya dan akhirnya sanggup menghalalkan apa sajacara demi merialisasikan niat ketua atau amir mereka.

Tidak dinafikan BTN perlu banyak membuat kajian-kajian terutamanya dalam menyampaikan fakta-fakta yang sensitive kerana pelajar mahupun kakitangan awam sekarang sudah mampu mencari info itu sendiri dan kredibiliti mereka jelas akan goyah jika langkah sepatutnya tidak diambil.

Fasilitator muda yang diketengahkan sepatutnya diberikan ilmu yang secukupnya sebelum mereka benar-benar layak dalam membimbing peserta BTN seterusnya menyampaikan nasihat serta maklumat ataupun pengalaman mereka secara tepat, jitu dan berkesan.

Saya teringat seminar yang diadakan oleh Parti Agama Islam SeMalaysia (PAS) baru-baru ini juga ada menyatakan yang parti itu sebenarnya harus menyelesaikan masalah dalaman mereka dengan lebih halus dan teliti, bukan sekadar menyalahkan UMNO untuk setiap masalah yang ditimpa mereka.

Mungkin resolusi ini juga patut diterapkan oleh pimpinan parti Keadilan Rakyat (PKR) jika mereka ingin meraih semula sokongan dikalangan pengundi terutamanya pengundi muda.

Walau bagaimanapun, kerajaan Selangor yang bersedia menggantikan kursus BTN dengan sebuah kursus lain untuk pelajar IPT dan kakitangan syarikat di bawah negeri ini yang dikatakan mampu memupuk perpaduan di kalangan rakyat negeri ini.

Mungkin ini sebagai satu langkah timbal balik dan mungkin juga percubaan pihak pembangkang untuk mempergiatkan lagi doktrin mereka yang sebenarnya lebih radikal daripada apa yang dinyatakan terhadap kursus BTN.

Walau apa jua keputusan kerajaan negeri ini, sebenarnya ia sudah memberikan satu takrifan negatif dan rakyat semestinya boleh menghidu kecacatan dalam perjuangan yang mereka jalankan selama ini.

Perjuangan ‘anak jantan’ sepatutnya tidak akan takut malah akan sentiasa mencari jalan untuk mengembalikan fikiran rakyat ke landasan yang benar.

Secara ringkasnya yang batil akan tetap batil walau secantik mana alasan yang digunakan untuk mengaburi mata rakyat dan percayalah yang hak akan sentiasa menyerlah.

Buat kerajaan negeri Selangor, selamat berjaya dalam menambat semula hati pengundi di negeri Selangor, kita tunggu pula khabar berita nasib kursus BTN di Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.

Friday 20 November 2009

Selamat Bercuti: Rancang Cuti Dengan Bijak

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Alhamdulilah, marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran pada Ilahi kerana membenarkan kita menyelesaikan satu lagi ‘peperangan ilmu’ kita yakni peperiksaan yang baru berakhir.

Tahniah dan syabas kepada anda yang sudah menjawab dengan baik dan saya mendoakan kejayaan akan kungjung tiba buat anda semua tatkala menerima keputusan kelak.

Tidak kurang juga kepada mereka yang merasakan ada kekurangan dalam jawapan yang sudah diberikan, redha dan tawakkal sahaja pada Ilahi moga dipermudahkan kita agar lulus dengan cemerlang kelak.

Setelah hampir sebulan menjalani persediaan dan menjalani peperiksaan, saya yakin ramai yang seringkali memanjatkan doa pada Allah agar mendapat kemudahan untuk memahami, menghafal dan menjawab soalan peperiksaan.

Akan tetapi, saya ingin menasihatkan diri saya dan rakan-rakan agar tidak menjadi hipokrit pada Allah kerana apabila sudah habis peperiksaan, kita tinggal segala amalan selama ini dan kembali ke pada asal kita.

Jadikan peperiksaan ataupun apa-apa sahaja dugaan Allah sebagai 'batu loncatan' kepada kita untuk lebih dekat pada Allah dan setelah kita berjaya melalui saat-saat getir ini, maka kita seharusnya patut lebih mendekatiNya, bukan terus menjauhkan diri dan mencari Allah semula bila bala menjelang tiba.

Sesungguhnya kita mempunyai batas dalam melepaskan tekanan ataupun menyambut kejayaan kita masing-masing dan perlu diingatkan kepada semua agar memilih cara yang betul dan jangan menyimpang dari jalan Allah.

Cuti yang dijangka selama 4 minggu bagi rata-rata pelajar (kecuali pelajar Fakulti Pergigian dan Perubatan) perlu digunakan sepenuhnya bagi terus mencungkil ilmu dan mengasah bakat yang terpendam.

Luangkan masa secukupnya dengan keluarga tetapi saya menyarankan anda menggunakan masa cuti anda dengan perkara yang lebih berfaedah seperti menyertai aktiviti riadah, mengambil pekerjaan separuh masa ataupun menyumbang bakti dalam projek-projek kolej mahupun peringkat universiti.

Saya yakin pelajar universiti terbahagi kepada dua golongan iaitu pertama, mereka yang tidak sanggup korbankan masa cuti mereka dan kedua, ada yang mudah bosan di rumah jika tiada aktiviti yang hendak dilakukan.

Bagi pelajar yang berada golongan yang pertama, mereka lebih gemar menghabiskan masa di rumah di samping ibu bapa serta adik beradik yang lain dan sememangnya tidak akan mengorbankan masa untuk mereka demi apa-apa aktiviti lain.

Buat golongan ini, saya menasihatkan anda meluangkan masa dengan mendalami dan menelaah buku-buku ilmiah semasa di rumah agar masa yang anda ada tidak disia-siakan begitu sahaja sebaliknya, digunakan sebaiknya untuk meningkatkan ilmu pengetahuan anda.

Bagi pelajar yang berada dalam golongan kedua, mereka mungkin hanya boleh bertahan di rumah selama lebih kurang seminggu dan apabila masuk minggu kedua dan seterusnya mereka mula mencari jalan atau aktiviti yang boleh dilakukan untuk mengisi masa luang yang mereka ada.

Saya menasihatkan kepada golongan pelajar ini supaya memilih aktiviti yang berguna dan bermanfaat bagi kita sebagai mahasiswa universiti untuk memantapkan nilai insaniah kita disamping mengasah bakat dalam apa jua bidang yang kita minati.

Jauhi perkara yang tidak berguna atau sia-sia seperti merempit, menghisap dadah, melepak dan sebagainya kerana ini langsung tidak menunjukkan mentaliti kita selaku mahasiswa universiti.

Sebaliknya, kita digalakkan menyertai kerja-kerja amal dalam membanteras gejala-gejala sosial ini kerana mereka sudah tentu akan memandang tinggi kepada kita yang dikatakan antara mereka yang terpilih masuk ke universiti perdana ini.

Saya menyambut baik pindaan AUKU baru-baru ini dan percaya mahasiswa sudah mempunyai kebebasan dalam menyertai mana-mana kelab mahupun organisasi bukan kerajaan selagi mana ia bukan berkaitan dengan politik secara langsung.

Penyertaan kita ke dalam organisasi luar ini turut memberi seribu satu kelebihan untuk diri kita sendiri terutamanya bagi meningkatkan kemahiran sosial dan kemahiran berorganisasi dalam diri kita.

Kemahiran-kemahiran yang tidak diajar di mana-mana dewan kuliah mahupun kelas ini adalah antara keperluan yang mustahak bagi mahasiswa untuk bersaing kelak bagi memperoleh tempat pekerjaan.

Ini kerana majikan bukan sahaja menilai keupayaan kita berdasarkan transkrip peperiksaan sahaja, malah mereka juga menilai dari segi kemahiran insaniah dan juga pelbagai kemahiran lain yang relevan pada syarikat tersebut.

Oleh itu, saya menasihatkan kepada rakan-rakan agar merancang dengan baik perjalanan cuti kita ini kerana masa itu adalah emas dan sesaat yang kita bazirkan, tidak mungkin akan ditebus kembali walaupun anda mengadaikan segala harta yang anda ada.

Usah menyesal di kemudian hari akibat gagal merancang dengan baik masa yang kita ada selagi kita mampu dan selagi kita masih seorang mahasiswa di institut pengajian tinggi.

Sebelum mengakhiri tinta ini, suka saya untuk meningatkan kepada seluruh mahasiswa terutamanya mahasiswa UM bahawa pendaftaran bagi semester 2 sudah boleh dilakukan pada 23 Novermber 2009, maklumat lanjut boleh didapati di web umisis.

Akhir kata dari saya, selamat bercuti di kampung halaman masing-masing serta kirimkan salam saya kepada kedua ibu bapa anda yang sedang membaca ini.

Moga Allah memudahkan perjalanan pulang anda bagi membolehkan anda berjumpa dengan keluarga anda yang tercinta.

UM is ONE! Towards 1Malaysia.

Wednesday 18 November 2009

PFS Medan Politik??

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Sedih dan kecewa. Itu adalah perasaan saya apabila mendapat tahu, sekolah yang saya banggakan, Penang Free School (PFS) sudah menjadi pentas politik yang tidak munasabah.

Tambah karut apabila politik perkauman dimainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan hanya ingin mengganggu gugat keamanan dan keharmonian rakyat Malaysia.

Isu timbul apabila nama dan alamat PFS ditulis dengan TULISAN JAWI pada salah sebuah tembok di sebelah pintu gerbang PFS.


Oleh itu, terdapat beberapa individu ‘tidak senang duduk’ tatkala tembok it terus gah berada di hadapan sekolah yang tertua di Asia Tenggara itu.

Lebih-lebih lagi, tuduhan yang keras bagi saya dilemparkan kepada pengetua PFS dengan satu kenyataan yang berbaur perkauman. ‘There were no muslim principals until 1993. 5 consecutive muslim principals and there you go with ‘jawi’ – komen seorang yang bernama Bravehrt pada artikel tulisan Allen Chee.

Terlintas di benak hati saya, mengapa hal ini tidak dijadikan isu di Terengganu kerana tulisan Jawi digunakan dengan meluas di sana tidak kira pada papantanda mahupun iklan di tepi jalan.

Rakyat Malaysia seharusnya memahami Artikel 152 Perlembagaan Malaysia.

"Artikel 152 Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa bahasa kebangsaan merupakan bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, perlembagaan menjamin kebebasan pembelajaran dan penggunaan bahasa-bahasa lain, kecuali di atas tujuan-tujuan rasmi.”

Tujuan-tujuan Rasmi di sini bermakna apa-apa tujuan kerajaan, samada negara atau negeri, dan termasuklah apa-apa tujuan penguasaan awam. Untuk penguatkuasaan ini, semua prosiding mahkamah dan dokumen-dokumen parlimen dan mesyuarat-mesyuarat mesti dilakukan di dalam bahasa Melayu.

Tulisan rasmi bagi bahasa Melayu juga dinyatakan di dalam Artikel 152 sebagai rumi atau tulisan Latin. Walau bagaimanapun, penggunaan Jawi tidak dilarang." - Speedrider


Saya yakin tulisan Jawi adalah relevan kerana ia masih mematuhi Artikel 152 kerana ia dieja dengan sebutan bahasa Melayu tetapi adakah tulisan bahasa lain boleh dibaca dengan bahasa Melayu (bermaksud dibaca secara terus dan bukan dialih bahasa).

Saya mengharapkan, politik berbaur perkauman ini dihentikan dan isu sebegini sepatutnya dikupas dengan penuh intelek dan panduan undang-undang, bukan sekadar cakap lepas mengikut emosi masing-masing.

Seharusnya ikon politik yang dikenali ramai menunjukkan satu semangat perpaduan yang tinggi bukan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman hingga merangsang minda sesetengah orang untuk bangun memberontak menegakkan benang yang basah.

Selain itu, ikon politik ini seharusnya menumpukan kosentrasi mereka serta fokus dalam isu pentadbiran negeri/negara terutamanya berkenaan hal kebajikan rakyat mahupun pengurusan bajet mereka untuk memajukan negara kita ini.

Saya benar-benar mengharapkan di bawah gagasan 1Malaysia, seluruh rakyat Malaysia akan menerima perbezaan dan variasi hidup berbilang bangsa untuk terus memakmurkan negara kita.

Wednesday 4 November 2009

Terima Kasih Cik Hasniah

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.



Tanggal 31/10/2009 merupakan detik terakhir buat Cik Hasniah Daud atau lebih mesra dipanggil Cik Has menabur bakti di Kolej Kediaman Pertama (ASTAR) apabila beliau dengan rasminya menamatkan perkhidmatannya sebagai penyelia ASTAR pada tarikh tersebut.

Menjadi penyelia ASTAR sejak tahun 2007, Cik Has yang juga Penyelia Penasihat bagi JKP Kenegaraan, Etika dan Patriotisme banyak membantu dalam menjayakan pelbagai aktiviti pelajar di kolej ini.

Cik Has yang juga merupakan Penolong Pendaftar di Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) turut banyak menyalurkan info-info berguna kepada pelajar di samping banyak membantu urusan penghuni ASTAR di HEPA.

Dengan ini, saya ingin mewakili rakan-rakan penghuni Kolej Kediaman Pertama untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Cik Hasniah atas segala jasa dan keringat Cik Hasniah selama menjadi penyelia di ASTAR ini.

Kami juga ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Cik Hasniah terutamanya di bidang karier Cik Hasniah dan mengharapkan Cik Hasniah akan terus sukses di masa hadapan.

Akhir kata, semoga berjumpa lagi dan jangan lupakan kami di ASTAR. Kalau dah tiba masanya, jemputlah kami ke kenduri kahwin Cik Hasniah. :)

ONCE AN ASTARIAN, FOREVER AN ASTARIAN!

Monday 2 November 2009

Selamat Menduduki Peperiksaan Akhir Semester 1

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia

Berakhir sudah seminggu yang penuh dengan debaran yakni minggu ulangkaji menandakan bermulanya minggu-minggu peperiksaan yang akan bermula pada hari ini.

Dengan ini, saya ingin mengucapkan selamat menduduki peperiksaan akhir semester 1 bagi sesi 2009/2010 kepada seluruh warga Universiti Malaya.



Semestinya minggu ulangkaji telah digunakan sepenuhnya bagi menyediakan diri kita masing-masing untuk menempuh peperiksaan yang bakal kita tempuhi tak lama lagi.

Antara beberapa tips atau petua dalam menghadapi peperiksaan adalah seperti berikut:

1. Kajian terhadap topik dan pemetaan maklumat

Semak sama ada anda memahami sepenuhnya, separuh atau tidak memahami langsung bab berkenaan. Jika ada bab yang belum difahami sepenuhnya, segera buat peta minda dengan mencatat maklumat penting yang berkaitan.



2.Semak soalan tahun lalu (setiap subjek)

Biarpun soalan akan berubah setiap tahun, anda tetap perlu menyemaknya untuk membandingkan kekerapan topik berkenaan keluar dalam setiap peperiksaan.




3.Banyakkan pembelajaran secara output learning

Di saat-saat akhir, anda seharusnya banyak mengulang kaji pelajaran secara output learning iaitu mengeluarkan kembali kefahaman anda kepada bentuk lakaran ataupun menerangkan kepada rakan. Ia dapat membantu menguatkan ingatan terhadap sesuatu mata pelajaran.



4.Memperbanyakkan latih tubi dan ujian simulasi

Satu cara untuk menguji sejauh mana pemahaman anda terhadap sesuatu subjek adalah melalui latihan berterusan (latih tubi) dan soalan tahun sebelumnya. Ia mampu menolong anda mengatasi bahagian subjek yang lemah.




5.Nota ringkas

Nota ringkas amat penting dan berguna kerana ia senang dibawa ke mana saja. Anda boleh membaca catatan nota ringkas berkenaan di waktu terluang.




6.Pastikan mendapat tidur dan rehat secukupnya

Biar sesibuk mana sekalipun, anda perlu mendapat tidur dan rehat cukup. Jangan lupa bersenam sekurang-kurangnya 10 minit bagi memastikan badan kekal cergas. Pengaliran oksigen yang baik boleh menghasilkan otak yang cerdas.




7.Pemakanan berkhasiat dan seimbang

Elak mengambil terlalu banyak makanan yang mengandungi kafein (seperti kopi) kerana anda mungkin akan sukar tidur dan hilang tumpuan.




8.Kawal emosi

Elak terbabit dalam sebarang konflik yang boleh menggugat ketenangan emosi di saat anda akan menduduki peperiksaan. Jangan menimbulkan sebarang pertelingkahan atau terasa hati dengan rakan-rakan atau keluarga kerana ia boleh menggugat ketenangan ketika menjawab soalan kelak.




9.Banyakkan berdoa dan bersolat

Sebagai makhluk yang lemah, kita memang tidak dapat lari daripada berdoa kepada Allah s.w.t. Sebagai seorang Islam, anda perlu memper banyakkan solat hajat, tahajud dan berdoa memohon bantuan-Nya. Sebelum melangkah ke dewan peperiksaan, pohon keampunan dan keredaan daripada ibu bapa dan guru.



10.Jangan panik

Sebaik melangkah masuk ke dewan peperiksaan, jangan panik kerana ia mampu membuatkan kita lupa 50% apa yang sudah dipelajari selama ini. Tanamkan keyakinan dalam diri, anda boleh menjawabnya.

Dengan adanya 10 petua ini saya harapkan kita semua akan lebih bersedia untuk masuk ke dalam dewan peperiksaan menghadapi ‘peperangan’ di dalamnya.

Akhir kata, ingin sekali lagi saya ucapkan selamat menduduki peperiksaan akhir semester buat seluruh warga UM dan saya doakan agar kita semua mendapat kejayaan yang cemerlang bagi peperiksaan kali ini.

UM is ONE!! Towards 1Malaysia.