Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Wednesday 31 March 2010

Semakin Hampir Ke Penamat

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi kerana akhirtnya saya diberikan ruang dan kesempatan masa untuk kembali mencoret isi hati dan luahan minda saya di sini setelah sekian lama menyepi.

Sibuk dengan tugasan, laporan projek tahun akhir dan beberapa siri ujian menyebabkan masa untuk menulis di blog ini semakin terhad dan hanya ‘facebook’ menjadi medium meluahkan rasa hati.

Ahad yang lepas saya mendapat jemputan untuk memberikan ceramah di SMK Sungai Pusu, Gombak sempena dengan program Interaksi Mahasiswa anjuran Kelab Facilitator (Faci) ASTAR.


Saya memberikan sedikit perkongsian bersama pelajar daripada tingkatan 4 dan 5 sekolah tersebut terhadap kerjaya dan saya berharap apa yang saya kongsikan pada mereka mampu memberikan sedikit sebanyak gambaran bagaimana suasana hidup selepas dunia persekolahan nanti.

Sehari bersama-sama faci ASTAR, banyak mengajar saya kehidupan sebenar terutamanya dari segi berorganisasi dan cara-cara menangani masalah yang berkaitan dengan orang yang berpengaruh di sesuatu kawasan.

Pengalaman manis bersama-sama adik-adik SMK Sungai Pusu juga tidak akan dilupakan dan saya merasakan ini merupakan salah sebuah sekolah yang unik di mana pelajarnya bukan sahaja menitikberatkan soal akademik tetapi juga mempunyai latar belakang agama yang kuat.

Saya mendoakan adik-adik di SMK Sungai Pusu agar terus berusaha dan berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan yang terdekat terutamanya peperiksaan SPM buat mereka di tingkatan 5.

Selepas itu, selama tiga hari berturut-turut iaitu dari hari Isnin hingga ke hari Rabu, saya telah bertungkus-lumus dalam rangka menyiapkan draf laporan tesis saya untuk diberikan kepada penyelia tesis.


Akhirnya kerja keras saya membuahkan hasil kerana akhirnya saya berjaya menyiapkan draf tesis tersebut dan akan menghantar draf tersebut esok dengan harapan kesilapan yang minor sahaja terhadap draf itu dan tiada tambahan kepada laporan yang sudah saya sediakan.


Sebentar tadi baru sahaja selesai menyertai makan malam pelajar tahun akhir, kolej kediaman Pertama dan ini juga bakal menjadi program kolej terakhir yang saya sertai sebelum menamatkan pengajian saya di UM.

Setelah dua tahun berturut-turut saya menyertai projek ini sebagai ajk dan jemputan selaku Presiden kolej, akhirnya tiba masanya utk saya diraikan sebagai pelajar tahun akhir kolej ini.

Perasaan sedih berbaur gembira nyata tidak dapat dibezakan dalam benak sanubari saya apabila melihat rakan-rakan seangkatan saya, para pentadbir yang banyak membantu dan tidak dilupakan makcik-makcik dewan makan yang banyak berjasa memberi kami sesuap nasi.

Dengan tamatnya beberapa siri kerja dan penyertaan saya dalam aktiviti kolej menunjukkan bertapa hampirnya saya ke penamat liku-liku hidup di UM.

Peperiksaan akhir sem ini bakal menjadi peperangan terakhir saya di bangunan peperiksaan nanti dan pembentangan laporan tesis saya nakal menjadi agenda terakhir sebelum saya benar-benar mampu menarik nafas lega.

Semoga sisa-sisa perjalanan saya dipermudahkan oleh Allah dengan harapan menemui sinar kejayaan di garisan penamat bagi perjalanan ini kelak.

Thursday 25 March 2010

Jangan jadikan pelajar IPT Tenaga Kerja Murahan

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia memberi ingatan kepada semua majikan yang menawarkan latihan industri supaya tidak menjadikan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang mengikuti latihan itu sebagai ‘tenaga kerja murahan’.

Menterinya, Datuk Dr S Subramaniam, berkata pihaknya juga akan mengadakan pertemuan bersama Kementerian Pengajian Tinggi dalam tempoh terdekat ini bagi membincangkan mekanisme khusus berhubung modul latihan industri. “Latihan industri ini sebenarnya bertujuan untuk pelajar IPT atau sesiapa saja yang mengikutinya untuk mendapat pendedahan berhubung bidang yang dipelajari mereka.

“Majikan atau sektor yang menawarkan latihan industri ini perlu bertanggungjawab dan tidak menjadikan pelajar sebagai ‘tenaga kerja murahan’.

Kementerian akan turut memantau isu ini secara rapi, ” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran ‘Blog Gaji Minimum’ di Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) di sini, semalam.

Dr Subramaniam berkata demikian ketika mengulas laporan muka depan Berita Harian, kelmarin berhubung pendedahan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) terdapat pelajar IPT yang menjalani latihan praktikal diberi tugasan remeh, termasuk membuat salinan fotostat dan membancuh minuman untuk pegawai atasan.
Sementara itu, Dr Subramaniam berkata, kajian Bank Dunia mendapati peningkatan gaji di negara ini hampir seimbang iaitu pada kadar 2.6 peratus bagi tempoh 10 tahun yang lalu.

Katanya, bagi tempoh yang sama, kebanyakan syarikat membuat keuntungan yang besar dan kemungkinan tidak berkongsi keuntungan yang diperoleh dengan pekerja masing-masing.

“Sehubungan itu, kerajaan melalui kementerian ini sedang mengkaji kemungkinan pelaksanaan gaji minimum kebangsaan untuk pekerja swasta di negara ini.,” katanya.

Mengenai blog itu, Dr Subramaniam berkata, ia bertujuan mendapatkan pandangan pelbagai pihak termasuk pembangkang berhubung gaji minimum sektor swasta selaras dengan Model Ekonomi Baru (MEB) yang berteraskan ekonomi berpendapatan tinggi.


“Orang ramai boleh mengemukakan pandangan mereka melalui blog itu di alamat blog.mohr.gov.my atau mengemukakan cadangan mereka kepada gaji_minimum@mohr.gov.my,” katanya.

Oleh S Anand Kumar

Tuesday 16 March 2010

Pertahankan Perkara 153

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Ketika saya membaca akhbar tadi, terbaca artikel berkenaan bangsaku sendiri menentang Perlembagaan negara khususnya Perkara 153 iaitu berkenaan hak dan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera di negara ini.

Nyata orang yang menentang ini gagal dalam memahami Perlembagaan negara dan tidak langsung menghayati dan mengambil iktibar daripada sejarah pembangunan negara kita sejak zaman Melayu Melaka.

Sebagai generasi pertengahan, golongan ini sepatutnya mendokong dan mempertahankan Perkara 153 ini kerana ia merupakan hak yang sepatutnya kita ada, bukan suka-suka ditulis dalam Perlembagaan negara.

Sedangkan deklarasi PBBjuga menyatakan sesebuah negara yang mempunyai kaum pribumi, kaum itu berhak diberi keistimewaan dan kelebihan berbanding daripada kaum lain walaupun mereka telah dikurniakan warganegara.

Saya dapat simpulkan orang yang menentang Perkara 153 ini sebagai tamak dan tidak memandang masa hadapan kerana apa yang mereka fikir adalah diri sendiri dan semata-mata mengejar keuntungan.

Mereka ini telah dikaburi dengan wang hasil daripada pembelaan Perkara 153 malah disogok pula oleh pihak luar yang tidak senang dengan keharmonian negara supaya mengeluarkan kenyataan panas sebegitu.

Perkara yang sensetif sebegini bukan untuk dipermainkan dan bukan untuk dijadikan provokasi pada mana-mana pihak tetapi ia adalah untuk difahami oleh segenap masyarakat berdasarkan sejarah penubuhan Malaysia ini sendiri.

Orang-orang yang berani dan lantang bersuara agar Perkara 153 dihapuskan nyata mereka yang tidak celik masa depan di mana anak cucu mereka pula yang akan bertatih dan berkerjaya di negara kita ini.

Kami golongan muda juga ingin menuntut hak kami sebagai peribumi di Malaysia seperti mana golongan pertengahan sekarang ini dapat tetapi sayang hak kami cuba dinafikan pula oleh golongan lupa daratan ini.

Golongan ini sepatutnya dilucutkan terus warganegara mereka kerana mereka sebenarnya tidak layak digelar sebagai warganegara Malaysia lagi seperti ujar Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena).

Ini kerana Perlembagaan iaitu suatu undang-undang tertinggi negara sepatutnya tidak dipertikaikan malah jika perlu, kita ada ruang untuk rundingan dan penerangan khusus jika ada beberapa perkara yang tidak jelas.

Tindakan meminta agar menghapuskan sesetengah perkara dalam Perlembangaan dikira melampau dan tindakan ini nyata tidak menghormati orang lain dan mampu mengguris hati rakyat yang lain.

Saya mencadangkan orang sebegini dilucutkan kewarganeraan mereka lalu diberikan sebuah pulau dan dihantar mereka beramai-ramai ke pulau tersebut, buatlah perlembagaan sendiri dan majukanlah pulau itu sendiri, tiada yang akan terasa dengan tindakan mereka di pulau berkenaan.

Mereka bagaikan duri dalam daging selagi mana mereka ini hadir dalam masyarakat, menabur fitnah dan menimbulkan provokasi di sana sini lalu mampu menimbulkan ketegangan sesama masyarakat kita.

Pemimpin negara sekarang perlu peka dengan keadaan sekeliling dan bukan sekadar angguk dan geleng sahaja, memberikan jawapan tidak telus kepada rakyat serta membiarkan keadaan bertambah parah.

Jika benar perkara sebegini berlaku di dalam masyarakat kita, pemimpin negara harus tampil dengan cadangan dan penyelesaian agar orang-orang sebegini terus diberikan penerangan dan pengajaran yang setimpal.

Bukan kerana hendak undi, mereka sanggup gadaikan maruah bangsa dan kerana kemaruk nak memerintah negara mereka sanggup jual bangsa sendiri demi kehendak dan cita-cita peribadi itu.

Pada pendapat saya, saya juga mahukan persaingan sihat antara kita dan bangsa-bangsa lain tidak kira dalam apa jua aspek seperti peluang pekerjaan, bantuan pendidikan dan juga peluang perniagaan.

Tetapi buat masa ini kita perlu jelas yang kedudukan kita masih tidak stabil dan kita masih belum bersedia untuk bersaing secara terbuka tanpa hak yang sepatutnya milik kita dipertahankan.

Sebagai rakyat Malaysia dan rakyat pribumi negara ini, saya tidak malu menyatakan hal ini kerana apa yang kita pertahankan bukan semata-mata Perlembagaan negara tetapi ianya lebih daripada itu, ianya ada maruah dan hak kita sebagai kaum peribumi di negara ini.

Inilah negara kita, ayah kita, datuk kita, moyang kita dan ia diturunkan kepada kita oleh generasi-generasi terdahulu yang giat bangun mempertahankan hak kita tatkala ia cuba diceroboh oleh penjajah suatu ketika dulu.

Ketika itu, mereka tidak bejuang untuk mempertahankan perlembagaan kerana ia tidak wujud sekalipun tetapi mereka berjuang untuk anak cucu mereka terus menjadi tuan di tanah ini, bukan anjing pada Belanda, Portugis, Ingeris mahupun Jepun.

Hasil penat lelah dan pengorbanan mereka, sekarang kita ingin melenyapkan hak itu sesuka hati, semudah ABC tanpa mengambil kira semua faktor sejarah dan sosio-budaya?

Nyata mereka ini manusia yang jumud, tidak tahu mengenang jasa dan budi nenek moyang sendiri semata-mata kerana wang dan harta yang banyak serta pemikiran yang dianggap sebagai logik.

Saya adalah seorang yang suka bergaul dengan semua kaum dan tidak suka mengamalkan sikap perkauman tetapi bila isu ini timbul, saya rasa terpanggil untuk saya meluahkan isi hati saya yang sudah lama terbuku ini.

Tinggalkan isu-isu sensetif ini dan berikan fokus kita dalam menjayakan misi negara ke arah pembangunan dan kemajuan kerana ia tidak akan berhasil jika kita asyik berbalah satu sama lain.

Mari kita bersama-sama bersatu padu seperti slogan yang dicanangkan oleh YAB Perdana Menteri kita iaitu 1Malaysia dan jadikan aspirasi 1Malaysia ini sebagai batu loncatan untuk kita lebih memahami sesuatu kaum dan agama masing-masing untuk kita lebih sensetif dengan apa-apa jua isu yang berkenaan dengan kaum masing-masing.

Akhir kata, saya suka memetik slogan daripada rancangan Melodi iaitu ’kurangkan kontroversi, tingkatkan prestasi’ agar kita sama-sama dapat membawa Malaysia ke arah pembangunan yang lebih gemilang supaya impian Malaysia menjadi sebagai negara maju pada tahun 2020 akan menjadi kenyataan.

Monday 15 March 2010

Gambar Menceritakan Segalanya

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.
Kata orang, sekeping gambar boleh menceritakan dengan 1000 patah perkataan. Kali ini saya ingin mencoretkan dengan gaya baru iaitu menceritakan suatu kisah yang memenatkan tetapi menggembirakan dengan beberapa keping gambar.












Selamat Pengantin Baru Kak Maz... Moga kekal ke anak cucu cicit piut dan sebagainya....

Friday 12 March 2010

Selamat Pengantin Baru Kak Maz

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah buat semua yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM tahun lalu, dan buat mereka yang kurang cemerlang, jangan putus asa kerana ini hanya satu permulaan bagi hidup anda.

Apa yang saya ingin kongsikan bersama hari ini adalah berkenaan kenduri kahwin sepupu saya yang akan dijalankan di Kg. Panji, Kelantan Darul Naim esok.

Sudah lama rasanya keluarga saya tidak menganjurkan perkahwinan sejak abang saya pada tahun 2002 yang lalu.

Pada tahun ini, sampai masanya buat kak Mazlifah, anak ketiga Uncle Zainal untuk bernikah dan mendirikan rumah tangga bersama pasangannya.

Hari ini, saya juga berasa teruja atas dua perkara iaitu pertama saya akan menaiki kapal terbang di LCCT jam 7.45 petang ini.

Walaupun ini bukan kali pertama saya menaikki kapal terbang tetapi ia akan menjadi pengalaman baru kerana saya terpaksa mencari jalan untuk ke LCCT dengan menggunakan perkhidmatan awam seperti bas.

Jika tidak, sebelum ini saya pergi ke LCCT dihantar oleh pemandu UM tetapi kerana ini urusan yang peribadi, maka saya mengambil keputusan untuk menjelajah mencari jalan sendiri.

Walaupun sudah tahu caranya untuk pergi ke sana tetapi ia tetap menjadi suatu pengalaman baru buat saya dan Insyaalah akan menjadi satu pengajaran buat diri saya.

Perkara kedua yang membuatkan saya teruja adalah disebabkan Kak Liza (adik Kak Maz) ajak saya jadi pengapit, suatu yang sangat tidak terlintas dalam kepala saya.

Mendapat panggilan telifon dari Kak Liza, membincangkan baju apa yang hendak dipakai esok membuatkan saya lebih teruja untuk ke sana malam ini.

Walaupun sebenarnya saya tiada baju yang sepadan dengan Kak Liza dan tidak mengharapkan sangat menjadi pengapit, tetapi saya tiba-tiba rasa bersemangat untuk mencari baju yang agak-agak sepadan dengan Kak Liza.

Kak Liza yang ura-uranya akan memakain baju kurung putih rasanya cantik jika dipadankan dengan saya jika saya juga berbaju melayu putih.

Tetapi sayangnya, seumur hidup saya saya cuma pernah buat sepasang baju melayu putih, itupun ketika sekolah rendah, sudah pasti tidak muat.

Lalu diberi pilihan jika ada baju kuning yang agak cari lantas saya terfikir pernah membeli baju kuning sedikit ketika tahun 1 di UM ini.

Oleh itu, saya bingkas mencari di dalam almari dan juga beg-beg saya tetapi apa yang saya jumpa hanyalah butang bajunya sahaja kerana baju itu seperti tidak ada dalam simpanan saya.

Lebih menyedihkan mak saya juga mengatakan baju itu tidak ada di rumah, menyebabkan saya merasakan baju itu sudah dicuri orang ketika saya menyidai di ampaian selepas basuh.

Tatkala sedih mungkin tidak dapat mengenakan baju yang sepadan dan mungkin digelar perosak majlis, mak saya memberitahu yang dia sudah jumpa baju kuning itu di rumah dan memberikan sinar harapan buat saya kembali.

Walaupun belum tentu baju itu sepadan, sekurang-kurangnya boleh melegakan hati saya pun sudah cukup dan dengan itu saya sudah bersedia untuk ke sana malam ini.

Insyaalah sekembalinya saya nanti, saya akan memuat naik gambar-gambar sepanjang perkahwinan kak sepupu saya ini dan saya pasti ia akan menjadi satu majlis yang cukup indah untuk dijadikan kenangan kami semua.

Akhir kata, buat Kak Maz, selamat pengantin baru dan jadi nakal-nakal dah, jadilah isteri solehah disamping suamimu yang tercinta.

Wednesday 3 March 2010

Kerja Atau Belajar…

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Tak lama lagi, Insyaalah saya akan menamatkan pengajian di Universiti Malaya selepas 4 tahun menuntut pelbagai jenis ilmu di varsiti tercinta ini.

Lazimnya buat pelajar tahun akhir seperti saya, sudah pasti sedang sibuk merangka masa depan sendiri sama ada untuk terus bekerja ataupun mungkin menyambung semula pengajian di peringkat ijazah sarjana mahupun doktor falsafah.

Sebaliknya, saya seolah-olah masih mempunyai belum ada hala tuju dan pernderian yang tetap berkenaan masa depan saya setelah menamatkan pengajian saya kali ini.

Bagi saya, sebagai mahasiswa di bawah tajaan JPA sudah pasti mempunyai kontrak bekerja dengan kerajaan sekurang-kurangnya 5 tahun itupun jika terpilih untuk menjawat sebarang jawatan di sektor awam.

Akan tetapi, saya sebenarnya ingin mencuba nasib dengan menghadiri beberapa siri temuduga yang bakal diadakan sempena ‘Career Path’ anjuran Universiti Malaya yang bakal diadakan pada 9 hingga 11 Mac ini.

Ini kerana takut jika tidak mendapat tawaran pekerjaan daripada JPA kerana mendengar pengalaman yang rakan yang lebih senior, proses ini lazimnya memakan masa yang lama dan kemungkinan besar tiada tempat untuk diisi.

Walau bagaimanapun, di satu sudut dalam hati saya mengatakan yang saya tidak mahu bekerja dalam bidang kejuruteraan sebaliknya ingin mencuba nasib untuk menjadi Pegawai Tadbir Diplomat (PTD) dan bekerja di sektor awam.

Mungkin diasah dengan bakat kepimpinan dan pengurusan yang baik membuatkan diri saya lebih menonjol ke arah pengurusan dan pentadbiran menyebabkan hati saya semakin kuat mendorong agar saya mencuba untuk menjadi seorang PTD.

Hari ini ketika berjumpa pensyarah yang menyelia projek tahun akhir saya, beliau telah membuka satu tawaran untuk saya menjadi salah seorang pembantu penyelidik atau lebih dikenali sebagai 'Research Assistant' beliau dan melanjutkan pelajaran saya di peringkat ijazah sarjana.

Ini adalah untuk melanjutkan penyelidikan saya dalam membangunkan sebuah aplikasi perisian untuk memantau keadaan engin petrol serta getaran mesin-mesin yang lain.

Hal ini telah menambahkan lagi pilihan dalam diri saya hingga membuat saya buntu seketika memikirkan yang mana satu pilihan dan peluang yang sepatutnya saya capai selepas ini.

Sememangnya sebelum ini, ada terlintas dalam benak saya untuk melanjutkan ke peringkat sarjana tetapi itu mungkin berada di pilihan yang terakhir apabila semua pilihan yang saya inginkan tidak tercapai.

Akan tetapi, tawaran ini saya lihat sebagai satu tawaran yang baik kerana tajuk dan bidang penyelidikan yang bakal saya lakukan adalah berkenaan projek tahun akhir saya yang sememangnya saya minati.

Sejak mendapat tajuk ini sebagai projek tahun akhir, saya banyak menghabiskan masa dalam mempelajari ‘Labview’, sebuah perisian untuk membina aplikasi yang saya inginkan.

Hal ini menyebabkan minat saya semakin lama semakin menebal dalam menyelesaikan permasalahan yang saya alami sepanjang masa penyelidikan saya.

Di tambah pula dengan seorang pensyarah dan penyelia yang berdedikasi, Dr. Rahizar sememangnya seorang pensyarah yang sesuai bagi saya jika ingin melanjutkan pengajian sekalipun kerana bagi saya, beliau adalah seorang yang berpengetahuan luas dan sering ingin membantu pelajarnya.

Hakikatnya saya hanya mampu memilih satu pilihan di mana pilihan ini yang akan menentukan corak dan cara hidup saya selepas menamatkan pengajian saya.

Insyaalah saya akan terus berdoa untuk mendapat petunjuk daripada Allah agar mmberi hidayah pada saya berkenaan jalan yang harus saya pilih bagi meneruskan masa depan saya sama ada di bidang pekerjaan awam atau swasta mahupun di bidang akademik

Akhir kata, saya juga mengharapkan rakan-rakan yang membaca artikel ini agar dapat mendoakan ketenangan bagi saya agar dapat memilih yang mana adalah terbaik bagi masa depan saya dan saya dahulukan dengan ucapan terima kasih.

H1N1 Kembali Menular!

Wanita muda mati akibat jangkitan H1N1

Seorang wanita berusia 22 tahun mati Ahad lalu di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian kerana jangkitan berhubung Influenza A (H1N1).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (kiri, berbaju biru), berkata wanita itu dimasukkan ke HUSM pada 15 Feb lalu kerana mengalami demam dan batuk selama lapan hari.


Mangsa telah mendapat rawatan di klinik swasta dan dirujuk terus ke HUSM pada hari yang sama.

Wanita itu disahkan sebagai jangkitan Influenza A (H1N1) pada 16 Feb dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi akibat komplikasi jangkitan paru-paru keesokan hari.

"Pesakit meninggal dunia dua minggu kemudian dengan penyebab kematian dicatatkan sebagai ''septicemic shock with acute respiratory distress syndrome secondary to H1N1 infection''," Liow berkata dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, angka kematian tempatan akibat H1N1 ialah 77 orang.

Liow berkata walaupun jangkitan Influenza A (H1N1) bagi kes itu dikatakan sebagai ''secondary'', namun ia menunjukkan penularan H1N1 walaupun masih rendah boleh menyebabkan kematian jika rawatan awal tidak diambil.

"Walaupun kematian akibat jangkitan Influenza A (H1N1) tidak banyak berlaku pada masa ini, Kementerian Kesihatan ingin menegaskan penularan jangkitan itu masih aktif di Malaysia dan berharap masyarakat akan terus mengamalkan langkah-langkah pencegahan yang telah disarankan bagi membendung penularan jangkitan di kalangan masyarakat," katanya.


Sumber: Bernama