Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Friday 29 May 2009

Di Mana Moral Dan Akhlak Kita?

Assalamualaikum Dan Salam Perpaduan

Saya terbaca sebuah akhbar hari ini dan saya terkejut dengan sebuah artikel yang menyatakan seorang pelajar daripada universiti yang berlatabelakangkan Islam di negara kita mengaku berkhalwat dengan seorang lelaki yang baru 5 hari dikenalinya.

Saya teringat kata-kata sahabat saya dalam tazkirah ringkas di surau Astar bebrapa bulan lepas, sesungguhnya memang ada perbezaan orang yang belajar agama dan mengamalkan agama itu sendiri.

Ini bukan kali pertama kita dengar yang wanita Islam tertangkap dalam siri serbuan jabatan agama Islam negeri masing-masing dan ini juga bukan kali pertama pelajar yakni mahasiswa sendiri yang terlibat.

Sudah tiba masanya kita membuka minda dan mendalami masalah ini untuk kita mencari punca sebenarnya yang menjurus mereka ke lembah hina ini.

Wanita mengandung sebelum kahwin sekarang ini dapat kita jumpa merata-rata di negara kita ini sehingga perlunya ditubuhkan satu badan ataupun rumah bagi menempatkan dan memberi mereka perlindungan dan pengajaran dalam bidang agama.

Tidak disalahkan jika mereka sebenarnya menjadi mangsa nafsu buas perogol ataupun ahli keluarga yang bernafsu syaitan dan mengkhianati kepercayaan mangsa terhadap mereka tetapi bagaimana pula dengan mereka yang rela diri membenarkan lelaki ajnabi menyentuh dan merosakkan mereka.

Zaman moden dan kemudahan mendapatkan sumber bahan lucah sekarang banyak membantu menyediakan lelaki yang bernafsu binatang ini dan hanya menantikan mangsa untuk menerkamnya.

Apabila seorang wanita yang lemah dengan pujuk rayu dan kata-kata godaan lelaki dan demi menunjukkan kasih sayang mereka, saya percaya mereka akan sanggup melakukan apa sahaja demi menjaga hubungan mereka agar sentiasa kekal baik.

Dengan pendidikan agama yang tinggi jua tidak mampu menghalang gadis-gadis ini lari daripada jerat-jerat yang dipasang lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Pada pendapat saya, hal ini sepatutnya didedahkan ataupun diberi pengajaran bermula di peringkat sekolah lagi bagi mereka tahu apakah itu sebenarnya seks dan apakah langkah pencegahan atau langkah baik untuk elakkan diri dari terjebak daripada masalah ini.

Remaja sekolah yang terkenal dengan sifat ingin tahu akan mengambil jalan mudah membeli ataupun dengan memuat turun sahaja daripada internet klip-klip serta gambar lucah bagi memuaskan nafsu mereka.

Jangan terkejut jika perbuatan ini bukan sahaja dilakukan oleh lelaki malah juga banyak dilaporkan pelajar wanita terbabit dalam ketagihan bahan lucah ini.

Ibu bapa perlu sentiasa memerhatikan gerak geri anak-anak mereka terutamanya mereka yang sudah mencecah umur akal baligh supaya mereka tidak terdedah dan terpengaruh dengan keadaan sekeliling mereka.

Ibu bapa bukan sahaja bertanggungjawab menerapkan nilai murni dan ilmu agama yang cukup buat anak-anak mereka tetapi ibu bapa perlu lebih rapat dan menjadi rakan dengan anak masing-masing supaya dapat berkongsi masalah dan bertukar pendapat dalam apa jua bidang tanpa sebarang sekatan.

Remaja khususnya perlu sedar bahawa mereka masih ada batas-batas yang menghalang mereka untuk bergaul bebas kerana itu hukum Allah dan bukan buatan manusia semata-mata.

Lumrah manusia ingin mengasihi dan dikasihi oleh pasangan berlainan jantina tetapi bukan suruhan Allah untuk kita berkasih sayang sesama manusia hingga membawa ke arah maksiat.

Jangan sudah terhantuk baru nak terngadah, jangan sampai nasi menjadi bubur dan jangan selepas anda terlanjur baru ingin menyesali perbuatan itu dan insaf kerana titik hitam itu tidak akan lekang dari hidup anda walau sebaldi air mata yang anda titiskan.

Buat badan berkuasa, teruskan operasi ini untuk mencegah maksiat dan menangkap pesalah yang tidak bermaruah ini.

Sesungguhnya denda oleh hakim dalam mahkamah itu hanya kecil sahaja dibandingkan dengan hukuman yang akan kita tanggung di alam akhirat kelak.

Oleh itu, pada hari Jumaat yang mulia ini saya ingin mengajak diri saya dan rakan-rakan untuk muhasabah diri dan mengajak diri serta rakan-rakan kita ke arah kebaikan dan jauhi sebarang larangan Allah kerana itu adalah tanda orang-orang yang beriman.

Tragedi Pasaraya Jaya: 2 mati, 5 tertimbus bangunan runtuh

GAMBAR fail bangunan asal Jaya Supermarket. Anak panah menunjukkan kawasan runtuhan.

PETALING JAYA: Dua maut dan dua parah, manakala lima lagi masih tertimbus dalam runtuhan bangunan empat tingkat yang pernah menempatkan Jaya Supermarket di Seksyen 14 di sini, petang semalam.

Sebahagian besar struktur bangunan berusia lebih 30 tahun itu, yang hendak dirobohkan, dikatakan runtuh kira-kira jam 5 petang, dipercayai disebabkan keadaan tanah di sekitar kawasan berkenaan yang tidak kukuh.

Ketika kejadian, antara 20 hingga 30 buruh warga Indonesia menjalankan kerja merobohkan bangunan berkenaan untuk pembinaan semula.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata sembilan mangsa yang sedang bekerja di tingkat bawah, tidak sempat menyelamatkan diri lalu tertimbus dalam runtuhan itu.

Sehingga jam 11 malam tadi, empat mangsa dikeluarkan dari runtuhan itu termasuk dua terkorban manakala dua lagi parah dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

"Struktur bangunan itu runtuh secara berperingkat bermula di tingkat paling atas disusuli tingkat di bawahnya," katanya di tempat kejadian.

BANGUNAN bekas Jaya Supermarket yang sedang dibaiki di Jalan Semangat, Seksyen 14, Petaling Jaya runtuh, semalam.

Mangsa pertama, yang parah dihempap konkrit, diselamatkan pada jam 5.40 petang manakala mangsa kedua, juga ditemui dalam keadaan parah, dikeluarkan 20 minit kemudian.

Seorang mangsa dikenali sebagai Maskor, 28, ditemui mati dihempap konkrit di tingkat satu bangunan itu pada jam 6.40 petang, manakala seorang lagi dikeluarkan jam 10.25 malam.

Pada jam 9.20 malam pula, seorang mangsa terperangkap menghubungi majikannya menggunakan telefon bimbit bagi meminta bantuan.

Arjunaidi berkata, pasukan mencari dan menyelamat menggunakan anjing pengesan untuk mengetahui kedudukan mangsa.


Seramai 155 anggota polis, bomba, Smart, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) dan Rela terbabit dalam gerakan mencari dan menyelamat yang dimulakan sebaik kejadian dilaporkan pada jam 5.08 petang.

Terbaru:

Pasukan penyelamat sedang berusaha mengeluarkan mayat mangsa yang tertimbus dalam runtuhan bangunan bekas Pasaraya Jaya di SS14, di sini, pagi ini.

Mayat ketiga mangsa kejadian 4.50 petang semalam itu dikesan kira-kira jam 3 pagi tadi.

Difahamkan, pasukan penyelamat masih mencari empat lagi mangsa yang tertimbus.

Wednesday 27 May 2009

Katakan Tidak Pada Chin Peng!!

Assalamualaikum Dan Salam Perpaduan

Terkejut sejenak saya membaca artikel di surat khabar baru-baru ini berkenaan cadangan terbuka untuk kerajaan Malaysia membenarkan bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng masuk kembali ke Malaysia.

Memang kala usia negara makin tua, pemikiran pemimpinnya juga mungkin makin nyanyuk dan lupa apa itu sejarah dan bagaimana peritnya perajurit negara mempertahankan dan mengorbankan diri demi mencapai kemerdekaan ini.

Saya dengan ini mengutuk sekeras-kerasnya cadangan membenarkan makhluk keji ini semula ke Malaysia tidak kira ini cadangan daripada pihak mana sekali pun dan saya yakin mahasiswa anak bangsa negara ini semua akan bersama-sama saya setuju mempertahankan bumi berdaulat daripada dijijak orang sehina Chin Peng itu.

Apa mereka sudah lupa bagaimana PKM dengan kejam membunuh dan mengambil kesempatan atas kekalahan Jepun.

Mereka keluar daripada hutan persembunyian, membunuh, merogol dan merompak harta orang yang tidak berupaya melawan balik dan ini semua adalah orang-orang yang dipimpin Chin Peng.

Ramai perajurit negara yang tumbang akibat perbuatan terkutuk mereka dan adakah ini cara kita membalas jasa mereka yang bekorban pada negara? Membenarkan penderhaka sebegini datang melangkah dan memijak bumi tercinta ini! Sudah tentu sama sekali jawapannya adalah TIDAK!

Walau apa jua sekalipun, negara kita adalah negara Islam dan Islam menolak sepenuhnya sebarang ideologi Komunis yang sama sekali bertentangan jauh dari pegangan akidah Islam.

Saya menyeru rakyat Malaysia umumnya agar menolak cadangan ini dan bersama-sama kita berdiri teguh di belakang kerajaan Malaysia agar mempertahankan keputusan yang Chin Peng sememangnya adalah haram dan tidak boleh masuk ke dalam Malaysia.

Kita boleh berkompromi dalam bidang dan hal lain tetapi bukan dalam hal ini kerana ini berkait dengan semangat perjuangan, perasaan bekas perajurit, ahli keluarga dan rakyat Malaysia umumnya.

Pemimpin yang bijak harus tahu bahawa untuk senangkan hati segelintir orang, bukan dengan cara mengguriskan hati majoriti yang lain kerana ini menampakkan bertapa jahilnya seorang itu bergelar pemimpin.

Ramai ahli negarawan dan perajurit negara bangun menyuarakan suara hati mereka agar kerajaan Malaysia menolak cadangan kemasukkan Chin Peng kerana ini akan membangkitkan kemarahan dan perasaan tidak puas hati di kalangan anggota keluarga lebih 50,000 anggota tentera dan polis yang terkorban menentang PKM ketika zaman darurat.

Saya meminta agar Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang, Dr. Teng Hock Nan untuk menarik semula cadangan ini kerana ia jelas tidak memberi manfaat kepada negara dalam apa jua bidang dan meminta maaf secara terbuka pada rakyat Malaysia kerana mengeluarkan cadangan yang mengguriskan hati semua pihak terutamanya perasaan anggota pasukan keselamatan negara.

Kali ini, saya menyokong Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Pertahanan Malaysia yang menentang sebarang usaha membenarkan Chin Peng kembali ke negara ini.

Wahai rakan dan taulan, jangan biar bumi kita dipijak dan dihina lagi, ayuh bangun dan bersatu untuk menunjukkan yang kita sebenarnya tidak akan berkompromi jika hal yang berkaitan isu keselamatan dan ketenteraman negara ini diganggu gugat tak kira daripada pihak mana sekalipun, kami tetap akan pertahankan NEGARA kami.

Monday 25 May 2009

'Definisi berbeza punca pelajar meniru siapkan tugasan pensyarah'

KURANG kesedaran dan pengetahuan cetek mengenai takrif plagiat antara faktor dikenal pasti sebagai punca utama berlakunya perbuatan negatif itu di kalangan mahasiswa.

Perkara itu dikesan sekumpulan penyelidik Fakulti Bahasa dan Linguistik (FBL), Universiti Malaya (UM) hasil soal selidik dijalankan sempena Seminar Mengenai Plagiat disertai pelajar dan tenaga akademik semua fakulti universiti itu, pada 2006.

Timbalan Dekan (Ijazah Tinggi dan Penyelidikan), FBL, Prof Madya Dr Karen Kow Yip Cheng, yang mengetuai soal selidik itu berkata, permasalahan ketara ialah ketidakfahaman dan definisi berbeza di kalangan pelajar dan pensyarah mengenai perkara itu.

Katanya, majoriti pelajar didapati tidak mempunyai maklumat lengkap mengenai perbuatan atau tingkah laku yang dianggap sebagai plagiat.

“Senario ini membawa kita kepada perlunya usaha memupuk pemahaman pelajar mengenainya dan meningkatkan kesedaran bagi mengelak mereka melakukan kesalahan itu.

“Pelajar wajar diberi pendedahan tentang definisi sebenar plagiat dan kaedah penulisan akademik yang standard agar mereka sedar akan tingkah laku yang dikategorikan sebagai perbuatan itu.

“Di sinilah perlunya peranan dan tanggungjawab universiti khususnya pensyarah bagi mengatasinya,” katanya kepada Berita harian, baru-baru ini.

Selepas penelitian dua tahun terhadap dapatan itu, Karen menjelaskan, pendekatan susulan diambil UM ialah melihat keperluan mencari penyelesaian terbaik menanganinya, termasuk mengaplikasikan perisian atas talian dikenali Turnitin secara percubaan, tahun lalu.

Katanya, Turnitin cukup komprehensif dan efektif bagi mengesan sebarang unsur plagiat dalam penulisan akademik pelajar.

“Ia kini diaplikasikan kebanyakan universiti di seluruh dunia dan digunakan secara meluas bagi menangani isu plagiat dalam penulisan pelajar.
“Tahun ini, kita mula mengaplikasikan perisian ini sepenuhnya dengan menyediakan latihan secara berperingkat kepada semua pensyarah dan tenaga akademik mengenai kaedah penggunaan, sekali gus meningkatkan kefahaman mereka cara menanganinya,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan lain yang turut dilaksanakan ialah menerbitkan buku panduan mengenai plagiarisme yang kini dalam proses akhir dan dijangka diedarkan kepada pelajar serta pensyarah pada sesi akademik Julai depan.

Karen berkata, buku itu diterbitkan untuk tiga kumpulan sasar, iaitu pensyarah, pelajar siswazah dan pascasiswazah, antara lain memaparkan maklumat mengenai plagarisme serta kaitannya dengan ketulusan dan etika akademik universiti.

“Buku bertajuk Dealing With Cases of Plagiarism Amongst Students dikhususkan untuk pensyarah dan ia lebih memfokus maklumat mengenai arahan kerja, tatacara atau piawaian standard menangani plagiat di kalangan pelajar.

“Manakala bagi pelajar siswazah dan pascasiswazah pula, buku bertajuk Pengelakan daripada Plagiarism dan How To Avoid Plagiarism, sebagai panduan kaedah penulisan akademik yang baik tanpa unsur plagiat,” katanya.

Pada masa yang sama, katanya, pensyarah turut digalak memberi penerangan berkaitan plagiat seawal minggu pertama kepada pelajar masing-masing setiap kali sesi akademik bermula.

Berita Harian Online

Najib tegur Hindraf

PUCHONG: Kerajaan tidak menolak kemungkinan menahan semula pemimpin pertubuhan haram, Hindraf mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) jika mereka terus membuat kenyataan keterlaluan yang boleh menjejaskan keselamatan dan perpaduan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menegaskan semua pihak perlu faham had kebebasan bersuara dan jangan salahkan kerajaan apabila mereka dikenakan tindakan.

"Kita tengok perkembangannya nanti. Semua pihak perlu faham, ada had dalam apa yang boleh disuarakan... jangan lakukan sesuatu yang boleh menjejaskan keselamatan dan perpaduan.

"Apabila tindakan dibuat nanti, jangan pula kerajaan dipersalahkan," katanya pada sidang media selepas melancarkan Minggu Perpaduan peringkat Kebangsaan di sini, semalam.

Najib menegaskan demikian ketika ditanya sama ada pemimpin Hindraf yang dibebaskan daripada tahanan ISA baru-baru ini, akan ditahan semula kerana sering membuat kenyataan bersifat provokatif.

Sebaik dibebaskan dua minggu lalu, Penasihat Undang-undang Hindraf, P Uthayakumar dilaporkan berkata penahanannya sejak Disember 2007 tidak mengikut undang-undang dan tiada sebab beliau perlu berterima kasih kerana tidak melakukan kesalahan.

Uthayakumar juga tidak menghadiri perjumpaan dengan Lembaga Penasihat ISA seperti yang ditetapkan sebelum pembebasannya kerana mendakwa Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan menetapkan setiap rakyat hidup bebas tanpa sebarang sekatan.

Seorang lagi pemimpin Hindraf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Alam Shah, M Manoharan pula menegaskan beliau tidak akan mematuhi syarat ditetapkan polis sebelum dibebaskan dari ISA.

Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy, yang kini tinggal di luar negara, turut mengugut kerajaan supaya menarik balik arahan mewajibkan abangnya, Uthayakumar menghadiri sesi perjumpaan dengan Lembaga Penasihat ISA atau sekali lagi berdepan dengan protes jalanan di seluruh negara.

Minggu lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang memandang serius ugutan itu memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin Hindraf jika meneruskan hasrat itu.

Najib berkata, rakyat di semua peringkat seharusnya faham bahawa kerajaan ikhlas ketika membuat keputusan membebaskan tahanan ISA, termasuk pemimpin Hindraf terbabit.

"Kita tidak mahu dituduh sebagai kerajaan zalim, tetapi jika sudah dibebaskan dan mereka masih mengeluarkan kenyataan yang keterlaluan, bermakna saya serahkan kepada rakyat untuk menilai sikap mereka itu," katanya.

Perdana Menteri juga berharap masyarakat terutama komuniti India memahami dengan jelas bahawa sebarang tindakan yang diambil adalah berasaskan timbang rasa dan tanggungjawab kerajaan.

Malah, beliau berkata, kerajaan akan terus memastikan kepentingan semua kaum terpelihara dan perpaduan nasional tidak terjejas.

Friday 22 May 2009

Adakah Wajar Jumlah Subjek SPM dihadkan?

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Semalam, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyatakan yang Kementerian Pelajaran mungkin akan mengehadkan jumlah mata pelajaran yang boleh diduduki calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurut beliau, keputusan cemerlang SPM yang tidak seragam seperti ada yang mendapat 14A, 15A dan kadang-kadang sehingga 19A boleh menimbulkan isu termasuk mengenai penawaran biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Persoalannya adakah ini wajar dilakukan kerana ianya seolah-olah menyekat kebebasan pelajar memilih dan mempelajari subjek tertentu untuk menambahkan lagi ilmu pengetahuan masing-masing.

Saya terpanggil untuk membicarakan beberapa faktor positif dan negatif berkenaan lontaran idea Menteri Pelajaran ini.

Pelajar seringkali merungut yang sistem pembelajaran yang diamalkan adalah lebih berorientasikan peperiksaan berbanding negara-negara maju yang lain dan oleh sebab itu, terdapat pelbagai jenis peperiksaan dalam negara kita dan antaranya adalah SPM.

SPM adalah satu peperiksaan penentu bagi pelajar untuk mengukur sejauh mana minat dan mendapatkan gambaran awal mengenai masa depan mereka untuk memilih jurusan atau bidang pengajian sebelum menjejakkan kaki ke institusi pengajian tinggi.

Kelonggaran yang diberikan oleh pihak sekolah kepada pelajar untuk memilih subjek adalah sangat baik kerana ini membolehkan pelajar sebenarnya menceburi pelbagai bidang tak kira di bidang agama, sains kejuruteraan mahupun biologi, perakaunan dan juga mungkin vokasional bagi mengcungkil bakat mereka.

Saya mengambil diri sendiri sebagai contoh kerana sebagai seorang pelajar kejuruteraan sekarang, ilmu biologi yang saya belajar ketika di bangku sekolah sebenarnya amat berguna dan banyak membantu saya dalm memahami kehidupan kita disekeliling ini.

Apa yang saya ingin sampaikan adalah, tidak rugi sebenarnya untuk mengambil pelbagai variasi subjek sewaktu SPM kerana sebagai pelajar sekolah mereka tidak punya banyak tugasan dan tanggungjawab selain belajar untuk mendapatkan kecemerlangan dalam akademik masing-masing.

Saya harap alasan ini tidak sepatutnya digunakan kerana kementerian mungkin akan menerima pelbagai tentangan kerana subjek yang diambil di tusyen sekalipun tetap ilmu dan ilmu adalah amat berguna di masa hadapan dan adalah hak mereka untuk mengambilnya dalam peperiksaan SPM ataupun tidak.

Mungkin sudah tiba masa kementerian untuk mengkaji cara menilai pelajar bukan kepada nilai gred semata-mata tetapi secara purata kerana pada pendapat saya, ini sebenarnya mampu menyelesaikan masalah pengagihan biasaswa kerajaan seperti yang disebutkan.

Antara cadangan semasa Dato’ Seri Hishamuddin memimpin Kementerian Pelajaran adalah untuk menyelaraskan keputusan peperiksaan awam dengan menggunakan sistem PNGK.

Pada pendapat saya, ini mampu menyelesaikan masalah tersebut kerana sebanyak mana subjek yang diambil, ia tetap mengira purata dan ini akan menjadi adil untuk setiap pelajar yang mengambil jumlah subjek yang berlainan.

Walau bagaimanapun, tetap ada implikasi yang kurang baik pada pelajar itu sendiri apabila terlalu banyak mengambil banyak subjek untuk peperiksaan SPM.

Kita memerlukan pelajar yang serba boleh dan bukan berorientasikan pelajaran semata-mata kerana nilai seorang pekerja di majikan bukan sahaja terletak pada slip keputusan peperiksaan tetapi juga nilai tambah yang ada pada seseorang itu.

Kebanyakkan pelajar yang terlalu mengejar kecemerlangan akademik banyak mencicirkan pelbagai peluang untuk mengembangkan potensi diri tidak kira di bahagian suka, seni, kepimpinan dan lain-lain lagi.

Mereka lebih suka menelaah buku kerana bagi mereka ini sahaja dapat membantu mereka mencapai masa depan yang cerah pada suatu hari kelak.

Tidak dinafikan sistem pelajaran kita yang mencorakkan pelajar ini ke arah sedemikian, tetapi sebenarnya sebagai seorang pelajar yang berumur 16 hingga 17 tahun sesungguhnya sudah mampu berfikir secara rasional dan mencorakkan cara kehidupan mereka.

Bagi saya, sokongan dan panduan ibu bapa dan guru adalah terbaik pada peringkat ini untuk mengelakkan sebarang konflik dalaman yang bermain dalam minda pelajar akibat tersepit dalam dunia akademik dan peningkatan sahsiah diri.

Pelajar yang baik perlu menyediakan diri dengan ilmu yang secukupnya bukan sahaja dari segi akademik malah ilmu seperti berkomunikasi, kepimpinan dan sifat kerohanian yang baik jika negara mahu membina masyarakat yang berjaya dan maju.

Dengan ini, saya mengharapkan kerajaan khususnya pihak kementerian menilai dan mengkaji semula sistem pembelajaran di Malaysia secara menyeluruh sebelum pergi ke cadangan menghadkan jumlah subjek dalam peperiksaan SPM.

Saya mengharapkan Malaysia dapat terus maju di masa depan dengan memperkukuhkan lagi institusi pelajaran negara setanding dengan negara membangun yang lain bagi memastikan Malaysia sentiasa melahirkan pelajar yang mempunyai tahap modal insan yang tinggi dan juga cemerlang dalam akademik agar kita sama-sama memakmurkan negara kita yang tercinta ini.

Thursday 21 May 2009

Menjelang Minggu Haluansiswa

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Lebih kurang sebulan daripada sekarang, Universiti Malaya akan menerima pelajar-pelajar baru tahun pertama apabila Minggu Haluansiswa (MHS) bakal membuka tirai pada 28 Jun 2009 akan datang.

Pada sesi kali ini, dikhabarkan kemasukan pelajar tahun pertama akan dikurangkan bagi membuka ruang kemasukan lebih ramai pelajar pasca-siswazah selaras visi universiti untuk menjadikan nisbah antara pelajar ijazah dan pasca ijazah kepada 50-50.

Sehubungan dengan itu, jumlah Pembantu Mahasiswa (PM) juga telah dikurangkan oleh pihak pentadbiran universiti dengan alasan untuk memudahkan dan melancarkan lagi perjalanan MHS akan datang.

Walaupun kami di Seketeriat Presiden Kolej-kolej Kediaman Universiti Malaya (SPKUM) cuba mencadangkan agar dipertimbangkan dan ditambah jumlah PM kolej kediaman, namun pihak pentadbiran hanya menambah 5 orang iaitu daripada 20 kepada 25 orang sahaja.

Kami di SPKUM amat memahami kesukaran ini kerana kami sendiri merupakan PM di kolej-kolej kediaman kami sebelum ini.

Walau bagaimanapun, saya yakin dengan jumlah yang kecil ini sebenarnya memberikan satu hikmah yang lebih baik kerana kita mampu merapatkan lagi hubungan sesama PM untuk lebih bersatu bagi menjaga adik-adik yang bakal hadir tak lama lagi.

Pelbagai rancangan telah diatur oleh pihak kolej dan pihak Hal Ehwal Pelajar & Alumni untuk memantapkan lagi sahsiah dan meningkatkan lagi ilmu kepimpinan dikalangan PM yang telah terpilih ini.

PM semua akan menghadiri sekurang-kurangnya 3 kem termasuk kem kolej kediaman masing-masing untuk mendedahkan bakal-bakal PM dengan situasi dan suasana MHS itu sendiri serta melengkapkan diri PM dengan ilmu yang sepatutnya bagi membolehkan mereka mengaturkan MHS ini agar menjadi yang terbaik bagi adik-adik mereka.

Selain menerima ilmu untuk diberikan pada adik-adik kita nanti, ini sebenarnya boleh digunakan untuk diri sendiri contohnya ilmu perubatan kecemasan mahupun ilmu pendaftaran subjek dan sebagainya.

Pada waktu begini, PM seharusnya duduk bersatu dan mencurahkan idea masing-masing untuk mencorak dan merancang setiap aktiviti untuk dijalankan sewaktu MHS agar memudahkan dan melancarkan perjalanan minggu tersebut tanpa resah.

Saya juga ingin menasihatkan PM sekalian untuk bersedia fizikal dan mental bagi menghadapi MHS ini kerana ini bukan satu minggu untuk bermain-main terutamanya bagi mereka yang pertama kali menjadi PM.

Banyakkan aktiviti lasak ketika perkampungan untuk membolehkan diri anda sebati dalam menerima tekanan bukan sahaja tekanan fizikal tetapi tekanan daripada psikologi juga.

Semasa MHS nanti, tidak dinafikan anda akan mengalami keletihan yang amat untuk mengisi masa dan menjalankan tugas anda sebagai pemudah cara bagi adik-adik ini mendaftar menjadi pelajar UM.

Oleh itu, anda perlu lebih bersedia dan melengkapkan diri anda dengan ilmu untuk menangani stres dan menyemai sifat setiakawan antara PM sendiri.

Elakkan diri anda daripada perasaan ingin marah kerana ini tidak dapat membantu anda malah boleh memecahbelahkan sesama kumpulan PM itu dan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam diri individu-individu yang tertentu.

Ketua PM seharusnya mengambil peranan untuk menyelesaikan masalah secepat mungkin dan menjadi tempat rujukan setiap PM jika ada sebarang kemusyiklan ataupun keraguan yang melanda.

PM juga perlu melengkapkan diri dengan keyakinan yang tinggi kerana di saat yang getir seperti MHS, anda mungkin terpaksa membuat keputusan yang sangat-sangat runcing tanpa mempunyai banyak masa untuk berfikir.

Untuk menjadi seorang PM bukan adalah satu tugasan yang mudah ataupun sekadar mencari populariti dikalangan adik-adik baru yang akan datang nanti.

Saya menyeru rakan-rakan bakal PM untuk menolak jauh rasa inginkan jawatan mahupun populariti sedemikian sejurus selepas tamat MHS bagi membolehkan anda betul-betul komited dan ikhlas menjalankan tugas bagi membimbing anak bangsa kita berjaya menjadi sebahagian daripada warga UM.

PM seharusnya menunjukkan akhlak dan disiplin yang baik agar menjadi idola adik-adik kita dan menggilap bakat kepimpinan anda masing-masing kerana MHS adalah minggu anda memimpin adik-adik anda dan membentuk mereka menjadi seorang penhuni kolej dan warga UM dan baik.

PM seharusnya cepat mesra dan mengambil hati adik-adik ini serta banyak menyalurkan informasi berkenaan kolej terutamanya bagi menarik minat mereka menyertai program serta projek-projek kolej yang akan dijalankan pada sesi hadapan.

Selain itu, PM juga bertanggungjawab menyemai rasa cintakan kolej untuk mereka lebih menghargai dan merasa bangga dengan kolej kediaman mereka dan berusaha bersama-sama senior mereka bagi memajukan kolej kediaman masing-masing setapak ke hadapan.

Akan tetapi, ini bukan pembuka jalan bagi kita memupuk semangat assabiyah ataupun semangat berkumpulan kerana kita semua perlu ingat, kita boleh sayang dan bangga dengan kolej kita tetapi kita tetap perlu bersatu demi meningkatkan martabat UM di peringkat antarabangsa.

PM juga perlu memantapkan diri masing-masing dengan ilmu berkenaan UM dan hal-hal semasa untuk memberi penerangan kepada adik-adik ini kerana mereka perlu dibimbing dan diberikan pendedahan berkenaan hal semasa disekeliling UM agar mereka tidak dipengaruhi anasir-anasir yang sememangnya ingin melihat akan kejatuhan kampus kita yang tercinta ini.

Salah satu elemen yang menyeronokkan mengenai MHS adalah ‘cheers’ yang seringkali menghangatkan suasana di tempat-tempat berkumpul semua freshie tak kira di DTC mahupun auditorium KPS.

Cheers yang sering disalah tafsirkan sebagai perbuatan lagha atau sia-sia dan menimbulkan semangat assabiyah ini adalah propaganda semata-mata dan merupakan lemparan tuduhan tak berasas kerana saya yakin mereka sebenarnya tidak memahami natijah kenapa ia diwujudkan.

Tidak penting sekiranya ada mahupun tidak pertandingan cheers ini akan tetapi cheers ini sebenarnya melambangkan kesatuan dan perpaduan junior dan PM bagi menunjukkan lambang kegagahan kolej kediaman masing-masing.

Tradisi ini yang telah dijalankan bertahun-tahun lamanya sebenarnya telah menjadi ikutan banyak universiti tempatan bagi mengisi masa minggu orientasi mereka dan ternyata ini mampu membuatkan freshie bukan sahaja terhibur malah menyerlahkan semangat cintakan kolej mereka masing-masing.

Banyak yang ingin saya coretkan mengenai minggu bersejarah ini tetapi mungkin cukup buat masa ini sebagai pembuka minda tentang apa itu sebenarnya MHS bagi frehie mahupun PM sekalian.

Ramai pemimpin-pemimpin yang baik tercungkil bakat mereka melalui proses menjadi PM dan bagi saya ini adalah satu projek ataupun program yang paling mencabar bagi saya untuk dijalani kerana pelbagi perit getir yang saya lalui untuk menghabiskan 1 minggu yang penuh dengan cabaran.

Dua tahun bersama ASTAR membimbing adik-adik baru benar-benar memberi seribu satu pengalaman yang sangat berharga dan tak mungkin saya perolehi di mana-mana tempat lain.

Tahun ini saya tidak berkesempatan menjadi PM akan tetapi kerana sayang dan cintakan program ini, saya mengambil keputusan menggadaikan cuti seminggu saya selepas tamat Latihan Industri semata-mata untuk bersama-sama PM ASTAR bagi membantu meringankan beban mereka untuk membimbing adik-adik yang bakal masuk nanti.

Kemungkinan ini MHS terakhir bagi saya dan saya mengharapkan ia dapat berjalan lancar dan saya mendoakan kepada semua PM terutamanya PM ASTAR agar berjaya menghadapi setiap rintangan dan cabaran mendatang dengan tenang dan rancang aktiviti sebaiknya untuk pengisian MHS kelak.

Jadikan MHS sebagai minggu yang paling bersejarah bukan sahaja pada diri adik-adik kita nanti malah kepada diri anda sendri dan jalankan tugas anda dengan penuh dedikasi, amanah serta ikhlas demi agama, bangsa dan negara.

UM is ONE!!!

Saturday 16 May 2009

Selamat Hari Guru Buat Seluruh Warga Pendidik

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Menongkah zaman moden dengan kecanggihan teknologi dan perkembangan IT masa kini, ilmu sudah merupakan suatu kewajipan untuk setiap insan memilikinya dan juga untuk diaplikasikan demi kebaikan diri dan masyarakat disekeliling kita.

Selain itu, ilmu juga penting untuk diterapkan kepada setiap orang agar kita dapat melahirkan mayarakat yang berpendidikan bagi membolehkan kita sama-sama memajukan negara menerusi bidang kepakaran kita masing-masing.

Oleh itu, kita tidak dapat menafikan bertapa pentingnya peranan guru kepada masyarakat dan bagaimana ia mampu memberikan impak tak kira positif mahupun negatif terhadap pembangunan negara menerusi pekerjaan harian mereka itu.

Perpaduan merupakan teras kepada keamanan dan kesejahteraan negara kita yang sememangnya memiliki keunikannya tersendiri kerana terdiri daripada rakyat yang berbilang etnik dan agama.

Perpaduan ini harus mula dipupuk sejak bangku sekolah lagi bagi memantapkan lagi ikatan silaturahim antara rakyat Malaysia seterusnya membina sebuah negara bangsa yang mampu menjadi contoh di mata dunia.

Nyata dan jelas peranan dan tanggungjawab guru zaman kini bukan sahaja untuk datang ke sekolah dan mengajar anak bangsa kita sahaja seperti yang kita sangkakan malah peranannya semakin meluas mengikut arus cabaran dunia moden zaman kini.

Pelajar zaman kini lebih banyak terdedah dengan dunia luar melalui internet dan media massa jelas mudah berkembang serta memiliki ‘kenakalan’ yang sedikit lebih berbanding pelajar zaman 90an dan 80an.

Masalah disiplin, keruntuhan moral dan akhlak serta keciciran dalam bidang akademik merupakan cabaran-cabaran getir yang perlu guru-guru zaman kini hadapi untuk memartabatkan semula institusi perguruan serta memulihkan kembali pelajar-pelajar kita agar dapat berada di landasan mereka yang sebenarnya.

Tekanan berterusan daripada ibu bapa juga tidak kurang hebat kerana pada waktu ini, ibu bapa sanggup berhabis wang dan berbuat apa sahaja demi membolehkan anak-anak mereka mendapat pangajian yang baik seterusnya menjadi pelajar yang cemerlang.

Bukan itu sahaja, dek kerana sayang dan manjakan anak-anak mereka, ibu bapa kini mendesak pihak sekolah agar memansuhkan hukuman-hukuman bagi memulihkan disiplin anak-anak mereka atas alasan ini merupakan penderaan terhadap anak mereka.

Jelas yang guru bukan sahaja tersepit untuk memberikan ilmu dan menjaga akhlak pelajar malah terpaksa mencari jalan alternetif bagi mencapai objektif ini dengan jalan yang mudah dan berkesan tanpa mengguris perasaan mana-mana pihak yang terlibat.

Semua cabaran ini jelas menunjukkan kepada kita yang sebenarnya tugas seorang guru cukup berat bagi seseorang dan tanpa azam dan semangat yang tinggi untuk menjadi pendidik maka sukar bagi seseorang guru untuk menempuh dugaan dan cabaran ini.

Oleh yang demikian, tarikh 16 Mei setiap tahun telah dipilih sebagai Hari Guru iaitu hari bagi kita sama-sama mengingati dan menghargai jasa guru-guru kita atas sumbangan dan bakti yang telah mereka curahkan selama ini.

Besesuaian dengan tema Hari Guru tahun ini iaitu ‘Guru Pembina Negara Bangsa’, peranan guru sudah dilebarkan bukan sahaja untuk memajukan negara dari segi sumbangan menyebarkan ilmu dikalangan masyarakat malah mengharmonikan kehidupan masyarakat berbilang bangsa dalam negara kita.

Logo Hari Guru 2009


Tahukah anda bahawa tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada tarikh yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita.

Dokumen tersebut yang dikenali sebagi Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak tarikh itu dan diabadikan untuk pengetahuan kita bersama terutamanya dalam subjek Sejarah di alam persekolahan.

Menurut laman web rasmi Hari Guru kebangsaan, beberapa objektif hari Guru adalah;
-Menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.

-Menarik perhatian ibubapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia.
-Memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibah di antara guru.
-Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat.
-Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar-seminar, persidangan-persidangan, dan sebagainya yang diadakan pada Hari Guru.
-Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu lebih berkesan.

Dengan ini, saya dengan penuh rasa takzim ingin mengucapkan selamat Hari Guru pada semua tenaga pendidik disegenap lapisan masyarakat tidak kira di bidang mana anda sekalipun.

Semoga anda akan terus berusaha untuk mencapai aspirasi negara dan rakyat dengan memperjuangkan pendidikan anak bangsa kita dan menyemai rasa cintakan negara serta perpaduan pada para pelajar.

Semoga Allah merahmati pekerjaan dan tanggungjawab anda bagi memacu anak bangsa kita ke arah membentuk negara yang maju dan berpendidikan.

Friday 15 May 2009

Pantun Patriotik

Assalamualaikum Dan Salam Perpaduan

Pergi ke kedai membeli ciku,
Di makan sambil membaca buku,
Bila ditanya tempat asalku,
Ku bangga menjawab Malaysia tanah airku.

Jangan diikut telunjuk Amerika,
Kelak negara tenat dan parah,
1957 ia merdeka,
Setelah 446 tahun kita dijajah.

Negaraku negara perkasa,
Dirahmati Allah Yang maha Esa,
Malaysia aman, makmur dan sentosa,
Walau hidup berbilang bangsa.

Naik sampan ke Pulau Pandan,
Tiada dayung diganti dahan,
Selagi nyawa dikandung badan,
Bumi ini akan tetap ku pertahan.

Negara kita hanya satu,
Baik buruk tetap negaraku,
Cekalkan hati untuk bersatu,
Demi kesejahteraan anak dan cucu.

Orang Melayu indah pekerti,
Adap dan sopan bertakhta dihati,
Taat dan setia tiada berbahagi,
Pada pemimpin bijak bestari.

Guru penyemai budaya ilmu,
Murid mengaji tanpa jemu,
Jika muafakat negara maju,
Jika bercakar negara buntu.

Mari sahabat mari saudara,
Ceriakan hati hilangkan lara,
Untuk capai satu suara,
Agar terjamin kedaulatan negara.

Thursday 14 May 2009

Kabinet Lulus Penubuhan Aseanapol

PUTRAJAYA: Kabinet meluluskan penubuhan sekretariat tetap polis Asean (Aseanapol) di negara ini dalam usaha memantapkan kerjasama keselamatan di kalangan negara anggota untuk menangani kegiatan jenayah tanpa sempadan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata penubuhan sekretariat tetap itu di Malaysia dianggap pengiktirafan Asean yang membanggakan sekali gus membolehkan kerjasama lebih erat di kalangan polis negara anggota serta agensi keselamatan lain seperti penjara, imigresen dan pendaftaran identiti.
"Sekretariat tetap ini akan membabitkan kerjasama pihak keselamatan dan pihak berkuasa keselamatan di peringkat Asean sejajar dengan globalisasi sekarang ini yang mana kerjasama dengan negara jiran begitu penting," katanya selepas mesyuarat pasca Kabinet di kementeriannya semalam.
Katanya, polis Asean akan berfungsi seperti polis antarabangsa (Interpol) tetapi lebih menumpukan kepada keselamatan sesama negara Asean.
Bidang tugas khusus Aseanapol akan diumumkan Ketua Polis Negara selepas mengadakan perbincangan dengan rakan sejawat di negara lain kelak, katanya.
Malaysia dicadang sebagai lokasi sekretariat tetap Asenapol pada Persidangan Ketua Polis Asean ke-28 di Brunei Mei tahun lalu.
Serentak itu, Hishammuddin berkata, bahagian antarabangsa di Kementerian Dalam Negeri akan diwujudkan bagi menyelaras kerjasama dengan pihak keselamatan negara Asean bukan saja membabitkan polis, tetapi juga agensi keselamatan lain seperti penjara, Imigresen dan pendaftaran identiti.
Menjawab soalan, beliau berkata, peningkatan kerjasama keselamatan antara negara Asean amat penting pada masa ini terutama ketika berdepan jenayah penyeludupan manusia dan dadah.
Bagaimanapun, katanya kerjasama dalam konteks itu tidak membabitkan perjanjian ekstradisi sebaliknya usaha bersama untuk menangkap suspek.

Wednesday 13 May 2009

Erti Kesabaran

Assalamualaikum Dan Salam Perpaduan

Beberapa situasi ‘panas’ kebelakangan ini tak kira pada diri ku dan pada negara ini sebenarnya membawa saya kepada satu perkataan yang sangat senang disebut tetapi adakah kita mampu melakukannya, iaitu sabar.

Sabar adalah suatu tuntutan dalam agama dan merupakan satu ibadah, malah segala ibadat itu didirikan di atas sabar, kerana dalam mengerjakan ibadat itu kita terpaksa menanggung kepayahan dan pengorbanan.

Allah Taala menganjurkan kita supaya bersabar. Firman-Nya (mafhumnya): "Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu (melakukan taat dan menghadapi musibat), teguhkanlah kesabaran kamu, tetapkanlah kewaspadaan serta siap sediaa dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beruntung (merebut syurga dan bebas dari neraka). (Al-Quran Surah Al- ‘Imran Ayat 200).

Saidina Ali Abu Talib k. a. w pernah bermadah, maksudnya: Jika engkau bersabar, takdir itu berlaku juga ke atas diri mu, tetapi engkau dikurniakan ganjaran pahala. Jika engkau tidak sabar pun, takdir tetap berlaku juga ke atas dirimu dan engkau berdosa.
Kehidupan kita seharian sememangnya menjanjikan pelbagai jenis cabaran terutamanya bagi kita remaja yang bergelar mahasiswa-mahasiswi ini.

Oleh sebab itu, kesabaran dan keimanan yang tinggi dalam diri kita merupakan satu-satunya tunjang bagi kita untuk menempuh sebarang cabaran di depan kita bagi membolehkan kita mencapai matlamat yakni kejayaan bukan sahaja di dunia malah di Akhirat kelak.

Apa yang jelas dilihat sekarang ini, manusia acapkali mengejar keuntungan dunia berbading nikmat Syurga yang Allah janjikan.

Apa yang mereka lakukan jelas tidak berlandaskan firman Allah seperti yang di atas kerana mereka cuba mendapatkan sesuatu tanpa bersabar dan inginkan perkara seperti nama, pangkat dan kuasa serta merta dengan membelakangkan segala hal lain demi kepentingan diri sendiri.

Saya mengambil contoh situasi kehidupan mahasiswa yang seringkali menjadi tekanan saban tahun iaitu semasa peperiksaan akhir semester kerana pada waktu ini, rata-rata pelajar sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai kecemerlangan akademik masing-masing.

Angkara kurang kesabaran dan tidak mahu berusaha, ada yang sanggup membawa nota untuk ditiru atau nama lainnya ‘toyol’ seperti yang sering digunakan mahasiswa zaman kini.

Ini bukan sahaja salah disisi undang-undang peperiksaan malah berdosa disisi Allah kerana tindakan ini bukan setakat menipu dalam peperiksaan, malah ia bersikap tidak adil dengan rakan-rakan lain dan yang paling teruk adalah ini sebenarnya adalah tindakan yang menipu diri sendiri.

Banyak lagi kes-kes yang serius terjadi akibat kurangnya sabar dalam diri manusia seperti skim cepat kaya yang menunjukkan tiada rasa sabar dan keinginan untuk berusaha lalu mengambil jalan mudah untuk menjadi kaya dan akhirnya ditipu serta mengalami kerugian yang tidak sepatutnya terjadi.

Darah muda remaja juga antara faktor dimana hilangnya kesabaran dalam diri anak muda zaman kini. Mereka bertindak melulu mengikut nafsu dan baran masing-masing tanpa memikirkan baik buruk sesuatu perkara terlebih dahulu kerana sifat sabar mereka sudah diselubung nafsu masing-masing.

Untuk mewujudkan kesabaran, kita hendaklah sentiasa menyedari, bahawa kadar dan waktu berlakunya kesusahan atau musibat itu adalah di bawah takdir Allah Taala yang maha berkuasa. Ketetapan kadar itu tidak bertambah atau berkurang dan waktunya tidak terdahulu atau terkemudian.Dengan ini, saya ingin menyeru rakan-rakan mahasiswa untuk sama-sama memelihara atau memupuk sifat kesabaran dalam diri kita.

Kita hendaklah sentiasa mengingati bahawa kesabaran itu bakal dibalas dengan ganjaran kebajikan dan pahala yang disimpan khas oleh Allah Taala kerana demikianlah, kesabaran itu merupakan ubat yang paling pahit tetapi paling mujarrab.Yakinlah, keberkatan daripada kesabaran itu membawa manfaat kepada kita sekali gus menolak mudarat daripada kita. Sebagai ubat, pahitnya hanya sesaat, tetapi manisnya berpanjangan.

Sesungguhnya dalam perjalanan kita menempuh perjuangan yang kian mencabar dan mangharung jalan yang penuh onak dan duri ini, kesabaran adalah sesuatu yang sangat penting untuk kita cekal dan tampil lebih berani menghadapi liku-liku sasi baki perjuangan kita ini. Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayat, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk. (Al-Quran Surah Al- Baqarah Ayat 159)

Monday 11 May 2009

UM Huni Tangga ke-38 The Times Higher Education (THE)-Quacquarelli Symonds (QS)

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi, UM telah berjaya melonjakkan namanya ke tahap yang sungguh mengkagumkan di peringkat dunia apabila menjadi salah sebuah daripada 50 universiti terbaik Asia dengan menduduki tangga ke-38 The Times Higher Education (THE)-Quacquarelli Symonds (QS).

Syabas dan tahniah diucapkan kepada seluruh warga UM dibawah pimpinan Prof. Datuk Ghauth Jasmon, Naib Canselor Universiti Malaya yang telah berusaha dalam meningkatkan dan memperbaiki mutu perkhidmatan dari segi akademik mahupun bukan akademik.

Ini merupakan kejayaan keseluruhan warga UM baik daripada kakitangan akademik, kakitangan bukan akademik dan mahasiswa keseluruhannya dan bukan atas pihak beberapa individu sahaja.

Penekanan NC terhadap pengeluaran kajian dan disertasi berkualiti tampak sudah membuahkan hasil yang sungguh manis bagi seluruh warga UM. Sekalung tahniah buat NC baru Universiti Malaya.

Bukan itu sahaja, antara universiti Malaysia lain yang berjaya menghuni 100 Universiti terbaik Asia adalah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di ranking ke-51, Universiti Sains Malaysia (USM) di kedudukan ke-69, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di kedudukan ke-82 dan Universiti Putra Malaysia (UPM) di kedudukan ke-90.

Menurut Bernama, Pengarah Urusan QS, Nunzio Quacquarelli berkata keputusan yang dikeluarkan oleh QS.com Asian University Rankings, adalah berdasarkan ukuran kecemerlangan serantau sesebuah universiti.


Ini juga menunjukkan Malaysia bukan negara yang tidak mempunyai kualiti dalam bidang pendidikan malah usaha kerajaan yang melaburkan berbilion ringgit dalam usaha meningkat lagi mutu dan kualiti setiap universiti dalam negara jelas sudah menampakkan hasilnya.

Mahasiswa perlu lebih membuka minda dan bukan sahaja bertugas sebagai pengkritik malah suara mahasiswa sekarang perlu lebih bijak dalam membuat pembaharuan bagi memantapkan lagi pembangunan mahasiswa itu sendiri.

Saya juga ingin menasihati mana-mana pihak agar tidak menangguk di air yang keruh kerana bagi saya, masih tiada perubahan pun yang dijalankan di dalam varsiti ini seperti yang dicanangkan oleh pihak tertentu malah ia tidak membawa sebarang harapan juga kepada mahasiswa yang dahagakannya.


Saya menyeru rakan-rakan agar kembali bersatu memartabatkan institusi mahasiswa kita bagi membantu melonjakkan lagi nama UM bukan setakat di rantau Asia malah menjadikan UM tersohor di mata dunia.

Akhir kata, kami mahasiswa UM akan sentiasa menyokong dan akan bersama-sama Prof. Datuk Ghauth Jasmon dalam meneruskan misi dan visi kecemerlangan Universiti Malaya bagi terus melonjakkan nama Universiti Malaya setaraf universiti terbaik dunia yang lain.

UM is ONE!!

Dasar HEP universiti, kolej digubal

Kementerian kumpul pandangan, luahan rasa mahasiswa terhadap kerajaan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi tidak menolak kemungkinan menggubal satu dasar khusus berkaitan Hal Ehwal Pelajar (HEP) selaras dengan cita rasa dan harapan mahasiswa untuk bersuara serta menyatakan pandangan terhadap kerajaan.

Timbalan Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata perkara itu hanya akan ditentukan selepas beliau mengumpul semua cadangan, pandangan serta luahan rasa pelajar menerusi program Misi "Menyelami Minda Pelajar" (3M).

Katanya, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) juga perlu memberi sepenuhnya ruang kepada mahasiswa bersuara dan menyatakan pandangan tanpa terikat dengan agenda institusi berkenaan.

"Saya tidak menolak kemungkinan membentuk satu dasar (HEP) yang bersifat lebih mesra pelajar.

"Kita perlu menghormati mahasiswa dan jangan melayan mereka seperti pelajar sekolah dan melabel pembangkang apabila mengkritik kerajaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Misi 3M bersama pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Kediaman Siswa UTM di Setapak Jaya di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Kampus Antarabangsa UTM, Datin Prof Ir Dr Siti Hamisah Tapsir dan Dekan Kolej Sains dan Teknologi UTM Kampus Antarabangsa, Prof Datuk Ir Dr Azahari Md Salleh.

Ditanya pemimpin parti pembangkang kini boleh memasuki kampus IPT bertemu pelajar sekali gus akan memberi kesan kepada pengaruh kerajaan untuk jangka panjang, Saifuddin berkata kampus adalah tempat mendidik pelajar berpolitik.

"Sebenarnya sebelum AUKU dipinda pada 1975, pergerakan pelajar di kampus yang mencorakkan politik di luar institusi itu menerusi debat pelajar berkaitan politik sehingga membentuk pelbagai pandangan di kalangan masyarakat," katanya.

Mengenai program 3M, Saifuddin yang bertanggungjawab mengenai HEP IPT berkata, ia bertujuan mendekati mahasiswa secara terus tanpa protokol.

Katanya, program itu sudah berjalan selama sebulan bagi peringkat pertama dan sehingga kini lebih 3,200 pelajar dari lapan IPTA, IPTS (empat), Politeknik (tiga) dan Kolej Komuniti (dua) sudah ditemui dan berdialog.

"Saya mahu dapatkan maklumat terus daripada mahasiswa seperti isu dan masalah yang mereka hadapi selain untuk mengetahui idea atau cadangan mereka yang ingin diketengahkan kepada kementerian (Pengajian Tinggi) dan kerajaan yang boleh diambil kira untuk dilaksanakan.

"Antara yang mereka suarakan kebimbangan berkaitan isu graduan menganggur, kebajikan mahasiswa, politik kampus, senario semasa politik negara dan isu pembiayaan pendidikan," katanya.

Sementara itu, ketika menjawab soalan pelajar pada sesi soal jawab program 3M, beliau mengingatkan pelajar Bumiputera tidak terlalu bergantung kepada kuota untuk memasuki IPTA pada masa akan datang.

Beliau berkata, mereka perlu bersaing dan membuktikan kemampuan untuk berjaya setanding dengan pelajar bukan Bumiputera.

"Kita jangan terus bergantung kepada kuota, sebaliknya meritokrasi akan menentukan sejauh mana kebolehan kita," katanya.

Oleh Azman Mahmood

Sunday 10 May 2009

Selamat Hari Ibu, Khas Untuk Mama

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Hari ibu yang sering disambut pada hujung minggu kedua bulan Mei setiap tahun kunjung tiba lagi pada tahun ini.

Walaupun ada beberapa pihak yang menyifatkan hari-hari seperti hari ibu, hari bapa dan sebagainya adalah disebabkan keruntuhan institusi kekeluargaan di negara-negara tertentu, ini tidak bermakna kita tidak boleh meluahkan rasa kasih dan penghargaan kita pada ibu kita pada hari ini.

Akan tetapi, ini bukan satu-satunya hari anda menunjukkan dan memberikan kasih sayang serta penghargaan pada ibu anda kerana setiap hari mempunyai keistimewaan sendiri apabila anda masih punya ibu dan bapa anda.

Oleh itu, saya dengan penuh kasih sayang ingin mengucapkan selamat hari ibu kepada Mahani Bt. Md. Noor, kerana membesarkan dan menyayangi saya selama 22 tahun ini.


Mamaku


Seorang ibu yang tabah tanpa seorang yang bergelar suami di sisi mampu mengharung onak dan duri untuk membesarkan dua anaknya yang tercinta ini.

Terima kasih mama, sesungguhnya saya akan mencuba sehabis baik untuk membalas jasa mama walaupun sebaik mana percubaan saya, belum mampu menyangi pengorbananmu, hanya Allah yang mampu membalas segala-galanya.

Ya Allah, Kau ampunkan dosa ibuku. Ya Allah, panjangkan umur dan murahkan rezekinya. Ya Allah, sesungguhnya hanya Engkau Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani..I LOVE U MAMA!

Friday 8 May 2009

Polis Nafi Cuai Punca Suspek Maut

SHAH ALAM: Ketua Polis Selangor semalam, menafikan kematian seorang suspek kes samun minggu lalu, akibat dibelasah orang ramai selepas dia ditahan polis, berpunca daripada kecuaian polis.

Datuk Khalid Abu Bakar, berkata mengikut peruntukan undang-undang, Seksyen 11(a) Kanun Acara Jenayah, polis boleh meminta bantuan dan kerjasama orang ramai untuk mengawal orang yang ditahan dengan sah, sementara polis mengambil tindakan lain.

Katanya, dalam kejadian pada tengah malam 1 Mei lalu, seorang pegawai dan empat anggota polis menerima maklumat mengenai kegiatan samun di pantai Tanjong Harapan, Pelabuhan Utara.

Anggota berkenaan yang ke situ berjaya menahan suspek dan kemudian menerima maklumat ada lagi kejadian samun di kawasan berhampiran.
"Mereka gari suspek di kereta polis dan meminta orang ramai menjaganya sementara mereka mengejar penjenayah lain.
"Mereka menahan tiga lagi suspek dan apabila kembali, mereka dapati suspek sudah dibelasah," katanya pada sidang media selepas Majlis Penerimaan Motosikal Berkuasa Tinggi di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini.

Thursday 7 May 2009

Tips elak jadi mangsa ragut

1. Jangan letak beg tangan dalam bakul terbuka di depan motosikal.


2. Simpan beg tangan dalam ruang atau tempat simpan berpenutup pada motosikal.


3. Bawa dompet yang boleh disimpan dalam kocek.


4. Bawa payung untuk melindungi diri bila berdepan penjenayah.


5. Berjalan bertentangan arus kenderaan supaya boleh nampak tindakan mencurigakan.

6. Berhati-hati setiap masa dan tunjukkan kelakuan seolah-olah sangat cermat.


7. Berwaspada mengeluarkan duit daripada mesin ATM atau ketika keluar masuk bank.


8. Ketika berjalan, rapatkan beg tangan ke badan dan pegang erat dengan kedua-dua tangan.


9. Jangan tinggalkan dompet atau beg tangan atas meja ketika makan di kedai.


10. Jangan tunjukkan pamerkan kandungan dompet, terutama wang tunai atau barang kemas.


Rujukan: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Nasional/20090507095608/Article/index_html

1Malaysia Visi Negara

Assalamualaikum Dan Salam Perpaduan

Setiap pemimpin pasti mempunyai gaya dan visi serta misi yang berbeza daripada yang lain untuk menterjemahkan kepimpinan dan kredibiliti mereka masing-masing tambahan pula dizaman-zaman yang mencabar kini, persaingan semakin hebat untuk membuktikan keupayaan masing-masing.

Perdana Menteri Malaysia ke-6, Dato’ Seri Najib Tun Razak dalam ucaptama beliau selaku Perdana Menteri telah menggariskan misi dan visi baru bagi negara kita yang saya rasakan suatu langkah yang baik iaitu dengan berlandaskan slogan 1Malaysia.

Malaysia adalah antara negara yang terdiri daripada pelbagai jenis etnik yg tinggal aman harmoni serta bekerjasama dalam meneruskan agenda kemajuan negara dan menyumbangkan kepada kemakmuran ekonomi negara.

Ini dapat dicapai berkat hasil usaha pemimpin terdahulu yang bijak menghimpunkan dan menggabungkan kesemua etnik ini dan menghindarkan sebarang rasa tidak senang dan prejudis antara satu sama lain.

Akan tetapi, bibit perpecahan itu kian jelas walaupun sesetengah pihak masih melindungi dan menyatakan perkara yang baik walhal banyak lagi parut dan kudis yang ada tetapi disembunyikan atas alas an keselamatan dan kestabilan negara.

Saya yakin kepimpinan dibawah Dato’ Seri sudah nampak akan keretakan ini dan satu mekanisme atau satu cara pemulihan perlu didapatkan untuk mengatasi masalah ini secepat mungkin agar tiada lagi peristiwa 13 Mei akan berlaku di masa hadapan.

Terdahulu Tun Abdullah telah menggariskan beberapa nilai penting dalam mencapai misi dan visi negara ke arah memartabatkan Islam Hadhari sehingga ia menjadi salah satu bab dalam pengajian di universiti seperti TITAS ataupun Hubungan Etnik.

Dato’ Seri Najib juga tidak ketinggalan untuk meneruskan aspirasi pemimpin terdahulu dengan menggariskan beberapa nilai murni bagi kita untuk sama-sama mencapai misi 1Malaysia ini agar negara terus makmur dan aman dengan perpaduan yang kita warisi selama ini.

Antara nilai-nilai 1Malaysia adalah;
- Budaya kecemerlangan: satu usaha berterusan bagi menjanakan perkara-perkara yang akan mendorong orang ramai untuk menyedari betapa pentingnya Budaya Kecemerlangan.
- Ketabahan: Kita perlu bekerja keras, sepenuhnya berdedikasi, dan tabah menghadapi segala dugaan, maka apabila kita berhadapan dengan sebarang rintangan, semestinya kita akan berupaya mengharungi rintangan yang dihadapi dan berupaya meletakkan diri kita ke pangkal jalan kerana kita perlu menghargai dan memahami bahawa ada masa-masanya kesukaran perlu dihadapi.
- Rendah diri: Bersikap rendah diri pada dasarnya adalah satu aset kerana di dalam masyarakat kita, terutamanya masyarakat tradisional, mereka cenderung menghargai orang yang memperlihatkan sifat merendah diri.
- Penerimaan: Jika kita sanggup menerima sebarang perkara, kita akan mengambil perkara tersebut dengan kerelaan, maka kapasiti kita untuk melihat kepada semua perkara secara lebih positif adalah lebih baik berbanding toleransi semata-mata.
- Kesetiaan: Kesetiaan tidak sepatutnya keterlaluan sehingga menjadi kesetiaan membuta tuli. Seseorang itu hendaklah setia selagi pemimpin itu juga setia, dalam erti kata perlakuan pemimpin tersebut, komitednya pemimpin kepada tugasnya dan berdedikasi.
- Meritokrasi: Jika penghargaan diberikan berasaskan kerana mereka adalah terbaik, sama ada orang yang terbaik untuk tugasan tersebut atau syarikat terbaik untuk mendapatkan kontrak, maka semua pihak akan menyedari bahawa mereka perlu berada di tahap tersebut. Mereka perlu memberikan yang terbaik seterusnya membina masyarakat yang mengejar dan menjanjikan perkhidmatan atau mutu pengeluaran yang terbaik.
- Pendidikan: Pendidikan dan pengetahuan adalah prasyarat penting untuk mana-mana negara mencapai kejayaan dan disepanjang sejarah kita telah melihat hanya empayar yang berteraskan akal yang terus wujud, khususnya dalam konteks semasa.
- Intergriti: Kita perlu bercakap benar dan percaya kepada rakyat. Percaya bahawa rakyat adalah bijak, akan menghargai kejujuran, kebenaran dan bertemu dan berkomunikasilah dengan rakyat.

Idea pemimpin mungkin berubah-ubah dari semasa ke semasa tetapi saya percaya mereka hanya mahu lakukan yang terbaik bagi menggerakkan dan menjana negara ke arah kemakmuran dan kemajuan demi kesejahteraan rakyat.

Sebagai rakyat yang amat sayangkan negara ini, saya yakin negara ini hanya akan bertahan dan berkembang jika aspek perpaduan dan kontrak social negara terus dihormati.

Apa yang saya sedih di zaman kini bukan setakat perpecahan antara etnik-etnik tetapi perpecahan dalam suatu kaum itu sendiri yang kian hari kian meruncing tanpa satu penyelesaian yang konkrit dapat dicapai.

Sedarlah anak bangsaku, ini bukan masa kita berbalah sesama sendiri dan ini juga bukan masa untuk kita mengkhianati antara satu sama lain kerana pada waktu yang amat tegang kini, kita perlu terus kukuh bersatu kerana gelombang musuh semakin kuat untuk memecahbelahkan kita.

Bagi kesemua rakyat Malaysia, ayuh kita bangun dari lamunan mimpi dan buang jauh angan-angan Mat Jenin masing-masing kerana negara kita sudah tidak sama seperti dahulu lagi di mana kita boleh bersenang lenang sahaja.

Negara kita yang semakin diasak oleh musuh-musuh asing yang tak sabar-sabar untuk menodai tanah tumpah darah kita ini tidak akan mampu bertahan lama sekiranya kita meruntuhkan satu-satunya asset pertahanan kita yang terbaik sehingga diiktiraf oleh ramai pemimpin-pemimpin dunia iaitu perpaduan dan keharmonian yang kita capai.

Mari sama-sama kita bergerak maju kehadapan bersama-sama kerana dalam keadaan apa jua sekalipun, kita masih bergantung antara satu dengan lain dan itulah tonggak kemajuan negara.

Pesanan kepada pemimpin negara, teruskan perjuangan anda dalam mendalami dan menjiwai aspirasi rakyat kerana kerajaan sekarang perlu berubah daripada kerajaan yang tahu segala-galanya kepada kerajaan yang bijak mengambil langkah dan mengutamakan rakyat kerana rakyat merupakan golongan yang akan mengadili kerajaan berdasarkan keperitan mahupun kesenangan yang mereka kecapi berkat usaha pemimpin negara.

Monday 4 May 2009

Mesyuarat bincang isu agama anak tidak lama lagi

KUALA LUMPUR: Satu mesyuarat bagi mencari penyelesaian berhemah berhubung status agama anak apabila salah seorang ibu atau bapa memeluk agama Islam akan diadakan tidak lama lagi membabitkan beberapa kementerian dan jabatan agama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom, berkata mesyuarat tertutup itu juga berkemungkinan disertai oleh beberapa pertubuhan agama tetapi ia belum dimuktamadkan lagi.
Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Nazri Aziz yang bertanggungjawab mengenai perundangan dan Tan Sri Koh Tsu Koon yang bertanggungjawab mengenai isu perhubungan kaum bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai mesyuarat itu.

Antara kementerian yang akan terbabit dalam mesyuarat itu termasuk Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, katanya selepas merasmikan seminar ‘Kepimpinan Integrasi: Isu dan Cabaran dalam Perkhidmatan Awam’ di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai pelbagai pendebatan mengenai keputusan Kabinet pada 22 April lalu di mana anak-anak di bawah umur kekal menganut agama asal ibu bapa masing-masing semasa berkahwin, walaupun ibu atau bapa mereka kemudiannya memeluk agama lain. Jamil Khir berkata, sehingga mesyuarat itu diadakan beliau tidak akan memberi sebarang ulasan berkaitan isu tersebut.

"Sehingga menunggu mesyuarat tersebut diadakan, akan ada kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan berkaitan yang akan mengambil tanggungjawab masing-masing untuk selesaikan isu itu," katanya. - Bernama

Penghargaan Untuk Kolej Kediaman Pertama

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Ilahi atas limpah kurniaNya dapat saya menulis sedikit sebanyak penghargaan untuk segenap lapisan warga ASTAR sepanjang sesi 08/09 di bawah pimpinan kami sebagai JIK/JTK ASTAR.

Pada sesi ini, saya bersyukur kerana mendapat sokongan yang baik daripada pelbagai pihak terutamanya di pihak pentadbiran kolej dan juga sokongan rakan-rakan penghuni kolej kediaman Pertama dalam menghadapi pelbagai isu dan masalah.

Penghargaan kepada Dr. Woo Chaw Seng, Pengetua ASTAR, barisan penyelia dan pembantu penyelia yang banyak memberikan sokongan dan tunjuk ajar kepada kami untuk menjadi pelajar yang lebih dinamik bukan sahaja dalam bidang kepimpinan dan berorganisasi malah juga menyuntik semangat untuk menjadi pelajar yang baik dari bidang akademik juga.

Tidak dilupakan kepada Pn. Kasmah selaku Pengurus Asrama serta pembantu beliau dalam pejabat mahupun di bahagian dapur, ucapan ribuan terima kasih yang tidak terhingga ingin saya ucapkan kerana telah banyak membantu dan melayan kerenah mahasiswa/i kolej kediaman Pertama selain sentiasa melayan kami dengan mesra seperti anak-anak anda sendiri .

Kepada sahabat pimpinan JIK/JTK, Pengerusi-pengerusi JKP, Pengarah-pengarah projek/kelab anjuran kolej kediaman Pertama dan seterusnya rakan-rakana penghuni ASTAR, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas kerjasama yang baik anda berikan pada JTK ASTAR terutamanya kepada saya untuk melancarkan dan melicinkan segala perjalanan projek ataupun sebarang majlis yang diadakan di dalam kolej ini.

Saya sangat terharu mendapat pelbagai jenis sokongan tak kira sekecil mana sekalipun kerana ianya sangat berharga bagi saya untuk meneruskan perjuangan saya demi memartabatkan kebajikan mahasiswa terutamanya penghuni kolej kediaman Pertama.

Saya juga meminta maaf sekiranya saya ada tersalah kata, terlanjur bicara dan terkasar bahasa kepada sesiapa yang mengenali diri saya kerana diri ini tetap manusia yang kerdil dan hina ciptaan Allah.

Saya juga ingin memohon jutaan maaf jikalau prestasi saya tidak seperti yang diharapkan dan tidak dapat memuaskan hati semua pihak. Walau bagaimanapun saya sebenarnya telah berusaha sehabis boleh untuk memperjuangkan kebajikan anda bukan hanya di peringkat kolej malah turut mengjangkau ke peringkat atasan demi menjaga hak dan keperluan anda semua.

Selama setahun saya telah berusaha dengan peluang yang diberikan oleh pihak pentadbiran untuk menyertai Mesyuarat Pentadbiran pada setiap bulan, saya berjaya memohon dan menggesa beberapa perkara demi kepentingan penghuni dan dipersetujui oleh pihak pentadbiran. Antaranya adalah;


1. Mohon diwujudkan penghalang jalan di 2 pintu terbuka kolej bagi mengelakkan sebarang orang luar masuk.


2. Mohon lampu jalan dalam kawasan kolej diperbaiki elak keadaan merbahaya terutamanya di keadaan gelap pada waktu malam.


3. Mohon dengan menghantar petisyen kepada pihak pentadbiran agar bayaran tempat letak kereta dikurangkan daripada RM70 ke RM25.


4. Menggesa agar pelajar blok C pada semester 1 tidak dipindahkan keluar.


5. Menggesa agar pembaikpulihan blok A, B dan E disiapkan pada masa yang ditetapkan


6. Menyuarakan berkenaan system PA yang tidak dengar di sesetengah tempat. Ini sudah diselesaikan dengan penukaran arah ’speaker’ dan hampir seluruh kolej dapat mendengar setiap pengumuman.


7. Menyediakan kipas di Sudut Maklumat dan akhirnya berjaya mendapat dua buah kipas.


8. Menghubungi pihak SYABAS berkenaan isu catuan air dan mohon agar membekalkan air ke tangki statik yang disediakan secara berterusan


9. Mohon agar waktu perniagaan kedai fotostat dipanjangkan bagi memudahkan penghuni.


10. Memohon agar kedai makan di belakang Blok D akan buka secara tetap. Akan tetapi, pengusaha terpaksa menghentikan perkhidmatannya akibat menanggung rugi.


11. Membantu dalam pemilihan dan pembaikpulihan gelanggang serbaguna dan gelanggang bola jaring.


12. Menyediakan tong sampah bertutup di blok C bagi elakkan bau busuk di setiap aras.


13. Menyelesaikan masalah elektrik di Laman Santai, dan Blok B dengan bantuan JKP KEMAS.


14. Berbincang dan menyuarakan ketidakpuasan hati penghuni terhadap menu makanan harian kepada Pn. Kasmah melalui JKP KEMAS. Menu kemudian ditukar dan pengulangan menu telah dikurangkan.


15. Memohon agar bumbung Laman D/E diperbaiki tetapi ini terpaksa ditangguhkan untuk memberi ruang kepada proses penggantian bumbung Blok D.


16. Menyatakan keperluan selak di pintu bilik penghuni bagi meningkatkan keselamatan penghuni. Dengan ini, pentadbiran berjanji akan memasang selak di setiap bilik dalam waktu yang terdekat.

Walau bagaimanapun, masih banyak yang saya sendiri kecewa kerana gagal untuk dijalankan kerana antara perencat atau faktor utama adalah daripada segi kewangan dan ruang masa.

Oleh itu, saya memohon agar kepimpinan JTK akan datang untuk meneruskan agenda kebajikan yang dibawa pada sesi ini bagi memantapkan dan meneguhkan institusi kepimpinan JTK selain dapat mengajar anda cara diplomasi dan berunding dengan baik bagi menjayakan sesuatu perkara.

Akhir kalam, saya sekali lagi ingin mengucapkan jutaan penghargaan kepada semua pihak yang tidak putus-putus memberi sokongan kepada kami dan kepada yang memberi kritikan, kami menghargainya dan kami akan berusaha memperbaikinya agar kesalahan yang sama tidak diulangi pada sesi hadapan.

Saya juga ingin menyusun sepuluh jari mewakili rakan-rakan kepimpinan ASTAR yang lain memohon jutaan ampun dan maaf sekiranya kami tidak menjalankan tugas dan amanah dengan baik, sesungguhnya apa yang baik itu daripada Allah dan yang tidak baik itu hakikatnya datang daripada Allah jua tetapi atas kelemahan diri kami sendiri.Sekian, Assalamualaikum W.B.T.

ASTAR is FIRST!

UM is ONE!!!