Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Sunday, 5 September 2010

Salam Lebaran, Terima Kasih Ya Ramadhan

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Jika diizinkan Allah, 5 hari lagi umat Islam di seluruh dunia bakal menyambut hari lebaran atau hari kemenangan buat umat Islam yang selama sebulan menahan diri daripada melakukan perkara-perkara maksiat yang membatalkan puasa.

Alhamdulillah saya berpeluang untuk menjalani Ramadhan sekali lagi dan setulus hati mengharapkan Ramadhan kali ini membawa buah hasil yang bercambah-cambah di sisi Allah.

Syukur yang tak terhingga kepada Allah yang mengurniakan 1 bulan yang sangat banyak manfaat dan rezeki yang melimpah ruah pada bulan yang mulia ini.

Diharapkan seluruh umat Islam telah memanfaatkan bulan ini sepenuhnya dan mengharapkan ganjaran yang tak terhingga daripada Allah untuk bekalan kita di akhirat kelak.

Ramadhan kali ini juga istimewa buat saya kerana saya memulakan kerjaya saya buat kali pertama di bulan Ramadhan dan dapat membayar zakat Fitrah menggunakan duit sendiri buat pertama sekali dalam hidup saya.

Akan tetapi persiapan untuk menyambut hari lebaran hanya dijalankan secara sederhana sekadar mengecat bahagian luar rumah dan mengenakan sarung kusyen yang baru sahaja.

Seringkali bila terfikirkan kedatangan Syawal, hati ini sedih dan pilu kerana kedatangan bulan sambutan ini bermakna tamat sudah 1 bulan yang dipenuhi barakah dan ganjaran yang tidak mungkin kita dapati di bulan-bulan yang lain.

Sama ada kita dapat berjumpa dengan Ramadhan akan dating atau tidak, itu satu persoalan yang hanya Allah ada jawapannya tetapi yang pastinya ia mengajar kita untuk mengambil kesempatan yang ada sebaiknya.

Anggaplah Ramadhan ini sebagai Ramadhan yang terakhir untuk kita kejar dan kaut segala kelebihan yang dikurniakan di bulan ini seakan-akan kita sudah tidak mempunyai peluang di tahun depan.

Di hari-hari yang terakhir ini, saya menganjurkan agar rakan-rakan tidak terlalu terbawa-bawa dengan kegembiraan menyambut Syawal sehingga kita lupakan amalan dan juga ibadah kita kepada Allah.

Ambil inisitif sepenuhnya untuk mengejar kelebihan Ramadhan terutamanya di 10 malam terakhir ini di mana Allah telah menjanjikan Lailatul Qadar iaitu satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Muhasabah diri kita adakah sudah cukup amalan kita selama kita melalui Ramadhan kali ini atau tidak dan sentiasalah kita mempunyai rasa tidak puas beribadah pada Allah kerana dengan cara itu, kita mampu mendekatkan diri kita dengan Allah.

Jangan terlalu dipengaruhi keselesaan dan keseronokan duniawi kerana apa yang kekal itu cuma ukhrawi dan sama ada kita bahagia atau sengsara di sana ditentukan dengan apa yang kita lakukan di dunia ini sekarang.

Selain mengejar ganjaran dan kemaafan daripada Allah, kita juga perlu saling bermaaf-maafan sesama umat Islam sempena bulan baik dan hari baik yang bakal menjelang kelak.

Dengan itu, saya dengan rendah diri ingin memohon ribuan maaf daripada semua rakan dan taulan yang mengenali diri ini sama ada sahabat di ASTAR, UM, KMPP, Penang Free mahupun dari sekolah rendah Francis Light lagi.

Selain itu, saya juga ingin memohon ribuan ampun dan maaf kepada ahli keluarga dan sanak saudara saya atas kekhilafan diri dan kelemahan diri ini.

Tidak lupa juga ribuan ampun dan maaf dipohon daripada seluruh umat Islam yang mengenali diri ini jika ada kata ataupun tindakan saya yang telah mengecilkan hati atau mengguris perasaan anda.

Akhir kata, jadikan Ramadhan kali ini sebagai Ramadhan terbaik buat diri kita dan sambutlah Syawal yang bakal tiba dengan penuh kesederahaan dan bergembira bersama-sama sanak saudara masing-masing. SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI..MAAF ZAHIR DAN BATIN.

No comments:

Post a Comment