Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Thursday, 4 November 2010

Bencana Alam Milik Allah

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Hampir sebulan blog ini dibiarkan bersawang gara-gara kekangan masa untuk mengemaskini artikel-artikel yang terbaru.

Kebelakangan ini sibuk di tempat kerja apabila ‘major shutdown’ telah berjalan selama hampir 3 minggu menyebabkan saya hampir 3 minggu menumpukan masa di tempat kerja sahaja.

Alhamdulillah, Allah terus memberi kesihatan yang baik buat diriku sehingga hari ini dan mengharapkan kesihatanku akan terus dipelihara oleh Ilahi.

Terbaru, Utara tanah air sedang dilanda banjir yang dikatakan antara yang terburuk dalam tempoh 100 tahun.

Dengan 3 kematian telah dicatatkan serta hampir keseluruhan Bandar Kangar dikatakan sudah ditenggelami air, masih belum ada tanda-tanda banjir ini akan surut melainkan di Rantau panjang yang menunjukkan perkembangan yang baik.

Inilah salah satu bencana alam yang Allah turunkan kepada kita untuk membuka mata kita dan memberi kita kesedaran tentang apa yang sedang berlaku di persekitaran kita.

Allah Maha Kaya dan Maha Agung, mampu menciptakan dan tidak mustahil untuk meghapuskan apa sahaja yang Allah inginkan.

Akan tetapi kita juga perlu tahu yang Allah itu Maha Bijaksana, apa sahaja yang Allah turunkan kepada kita sentiasa mempunyai isi atau hikmah yang tersirat yang perlu kita singkap dan kita perhalusi.

Ini kerana kita perlu mengambil iktibar atas kesalahan kita selama ini dan berusaha memperbaiki diri kita kerana jika kita terus lalai walaupun sudah ‘ditegur’, maka tidak mustahil tiada lagi amaran yang akan diberi, mungkin kemusnahan itu datang tanpa disangka-sangka.

Antara banyak-banyak golongan, sudah pasti pelajar tingkatan 5 di kawasan yang terjejas yang paling banyak menanggung impak bencana ini kerana tarikh peperiksaan SPM sudah menjelang tiba.

SPM yang dijangka pada 23 November 2010 mungkin akan menambahkan beban mereka yang sudah kehilangan buku-buku serta nota-nota akibat dihanyutkan arus deras air bah.

Diharapkan golongan ini akan tabah mengharungi ujian Allah ini dan setiap kesabaran ini pasti akan dibalas dengan ganjarang-ganjaran Allah baik yang boleh kita lihat atau rasai mahupun secara ghaib yakni pahal untuk akhirat kelak.

Jika dibandingkan negara-negara lain, rakyat Malaysia sudah dikira sangat beruntung kerana bantuan serta bekalan makanan semuanya cukup untuk menampung jumlah mangsa yang terjejas.

Tempat tinggal dan makanan semuanya sudah disediakan kerajaan tempatan dan pusat untuk memberikan keselesaan dan kemudahan buat mangsa-mangsa banjir.

Sudah menjadi kewajipan pihak kerajaan untuk menyediakan kemudahan untuk menjaga kebajikan rakyat tetapi apa yang saya kesalkan adalah sikap meminta-minta mangsa banjir di sesetengah tempat amat mendukacitakan.

Kita faham situasi mereka yang mengalami kesusahan tetapi mereka juga perlu faham yang pihak berkuasa perlu melayan beratus-ratus keluarga dan jika perancangan teliti dibuat sekalipun, sudah pasti ada kepincangannya.

Inilah masa kita diuji bukan sahaja secara fizikal tetapi mental juga diuji secara tidak langsung membuatkan kita hilang pertimbangan diri.

Oleh itu, saya mendoakan agar setiap seorang mangsa bencana kali ini dikurniakan kesabaran yang tinggi bagi melalui bencana banjir ini dan diberikan kekuatan untuk membina semula hidup mereka selepas surut bencana ini.

Akhir kata, berimanlah kepada Allah kerana setiap kejadian itu hanya berlaku dengan keizinanNya dan setiap yang Allah izin itu datang dengan hikmah buat umat manusia.

No comments:

Post a Comment