Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Monday, 9 August 2010

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan.

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Tak lama lagi umat Islam akan menyambut bulan yang mulia bagi umat Islam, bulan Ramadhan al- Mubarrak.

Pada bulan ini, umat Islam akan berpuasa selama sebulan untuk melahirkan rasa syukur dan insaf terhadap saudara kita yang kurang bernasib baik.

Syukur pada Allah kerana sekali lagi kita diberikan peluang untuk menjalankan ibadah dalam 1 bulan yang penuh dengan ganjaran dan barakah seperti yang dijanjikan oleh Allah dalam Al-Quran.

Walau bagaimanapun, kita sentiasa akan menempuh ranjau dan cabaran dan pada bulan yang mulia ini nafsu dalam diri kita bakal menjadi penghalang untuk kita melengkapkan segala ibadah kita.

Sesungguhnya semua iblis dan syaitan akan dikurung dan dikunci di dalam neraka tempat asal mereka tetapi nafsu dalam diri kita ini tidak pula Allah kekang kerana ini adalah satu ujian untuk kita menaklukinya dan memenangi peperangan di bulan mulia ini.

Alhamdulillah pada Ramadhan tahun ini juga bakal menjadi satu pengalaman baru buat saya kerana sebelum ini saya menyambut Ramadhan sebagai pelajar, tetapi pada tahun ini Insyaalah saya akan menempuhnya sebagai seorang pekerja.

Usaha, doa dan tawakkal yang gigih akhirnya telah membuahkan hasil apabila saya telah diterima bekerja di sebuah kilang di Prai sebagai seorang jurutera mekanikal.

Cabaran yang baru ini akan saya pikul dan saya ambil peluang untuk menimba sebanyak mana pengalaman di alam pekerjaan kelak terutamanya bila suda bergelar pekerja.

Di sini saya ingin mengambil peluang untuk memohon ribuan ampun dan maaf buat rakan-rakan di universiti setelah bertahun-tahun kita bersama, akhirnya kita terpaksa berpisah untuk mencari haluan masing-masing.

Sama-sama kita ambil peluang untuk beribadah dan meneruskan usaha mencari Nur Ilahi pada bulan yang penuh barakah ini, moga Allah akan sentiasa membuka pintu-pintu syurga buat kita.

Akhir kata, anggaplah Ramadhan ini sebagai Ramadhan yang terakhir dan beribadat lah bersungguh-sungguh kerana kita tidak akan tahu adakah kita sempat untuk bertemu Ramadhan di tahun yang mendatang.

No comments:

Post a Comment