Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Saturday 29 August 2009

Tahniah dan Selamat Maju Jaya SPKUM Sesi 09/10


Assalamalaikum dan Salam Perpaduan

Semalam telah berlangsung satu majlis Watikah Pelantikan bagi Jawatankuasa Induk Kolej (JIK dan Jawatankuasa Tindakan Kolej JTK) sesi 2009/2010 bertempat di Dewan Kuliah Utama, Akademi Pengajian Islam dan disempurnakan oleh ayahanda Timbalan Naib Canselor HEPA, Prof. Madya Datuk Dr. Azaraie Bin Hj. Idris.

Walaupun ayahanda masih dalam keadaan tangan yang berbalut akibat baru mengalami kemalangan kereta kemarin tetapi gigih dan bersemangat untuk hadir menyempurnakan watikah pelantikan pada petang semalam.

Dalam ucapan ayahanda disebutkan beberapa perkara penting dan beliau menyentuh berkenaan kepentingan pimpinan di kolej terutama presiden-presiden kolej kediaman yang bakal membawa misi penting sebagai pengantara antara pentadbiran dan juga penghuni kolej.

Melalui pengalaman saya sendiri, tugas dan amanah yang sangat berat ini merupakan cabaran dan pengalaman terbaik bagi saya sepanjang menghuni di dalam UM ini dan saya mengharapkan presiden baru akan merasa apa yang saya rasakan sebelum ini.

Dan yang paling penting adalah kesepakatan dan keutuhan perpaduan di antara presiden-presiden kolej itu sendiri dalam Saketeriat Presiden Kolej kediaman Universiti Malaya (SPKUM) mampu meneraju pimpinan universiti sendiri.

Kami barisan SPKUM 08/09 telah menyediakan platfom terbaik bagi anda untuk meneruskan kesinambungan dan menajamkan lagi perjuangan kita bagi mendokong aspirasi mahasiswa, universiti dan juga negara.

Oleh itu, saya amat tertarik dengan ceramah yang telah diberikan oleh Presiden Akademi Pidato Nusantara, Yg Bhg. Dato’ Dr. Syed Ahmad Syed Samsuddin Al Saggof yang berbicara berkenaan pimpinan mahasiswa selaku tonggak pimpinan nasional.

Dalam ceramah yang bersemangat dan diselang-selikan dengan lawak jenaka spontan beliau telah menggariskan satu formula yang sebenarnya sangat baik dan seharusnya berada dalam diri setiap pemimpin terutamanya barisan SPKUM iaitu formula yang beliau kenalkan sebagai S-Y-E-D.

Dalam ceramah beliau mungkin menerangkan formula tersebut dalam konteks yang berlainan tetapi di sini saya suka mengaplikasikan formula ini agar ia sesuai diterapkan kepada semua barisan pimpinan SPKUM.

Formula yang dimulakan dengan huruf ’S’ yang membawa erti sabar dan tabah. Ini amat penting terutamanya kepada presiden kolej kerana kerenah yang akan dihadapi di kolej kediaman bukan suatu yang amat senang ditangani tetapi amat menguji minda dan kesabaran kita dalam mencari jalan penyelesaiannya.

Selain itu, cabaran yang juga hadir apabila pihak luar yang bakal datang dan cuba menceroboh institusi kolej kediaman kita dan cara kita tanganinya perlu berhemah serta kesabaran akan sekali lagi teruji walaupun kita mempunyai ramai penyokong tetapi keputusan sebagai seorang presiden tetap penting dalam mempertahankan hak anda selaku pemimpin di kolej tersebut.

Kedua merupakan huruf ’Y’ adalah keyakinan dalam diri anda masing-masing. Anda selaku pemimpin di kolej kediaman seharusnya mempunyai tahap keyakinan yang tinggi dan mempunyai keupayaan untuk membuat keputusan yang bijak dalam masa yang singkat.

Cabaran dan dugaan bakal menjelma dengan lebih tegar dan anda seharusnya yakin yang anda berada di landasan yang benar agar perjuangan yang anda semua bawa akhirnya dapat menuju ke arah kejayaan serta membawa kebaikan kepada semua orang terutamanya penghuni kolej kediaman anda.

Ketiga adalah huruf ’E’ yang membawa maksud ehsan. Sifat ehsan perlu ada dalam diri masing-masing agar anda dipercayai sebagai seorang pemimpin yang baik dan mampu menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah dan telus.

Berbuat baiklah anda dengan semua orang tidak kira musuh ataupun kawan kita kerana ini merupakan prinsip kita yang sentiasa menggalakkan perpaduan dan menentang perpecahan di dalam universiti ini dan dengan sifat baik kita Insyaalah boleh menjadi contoh dan ikutan rakan-rakan terutamanya penghuni kolej yang kita terajui.

Akhir sekali huruf ’D’ jika mengikut definasi Dato’ Dr. Syed Ahmad Syed Samsuddin Al Saggof duit ataupun dengan kata lainnya adalah usaha dan tawakkal kita kerana mengambil contoh hidup yang mencabar sekarang ini, duit tidak akan datang mudah tanpa sebarang usaha yang gigih daripada kita sendiri.

Ini perlu diadaptasikan oleh semua presiden kolej kediaman kerana anda perlu sentiasa berusaha menjadikan kolej anda sebagai sebuah tempat yang sesuai untuk dihuni dan mempunyai pelbagai rencah di dalamnya agar ia kekal harmoni dan riang.

Presiden kolej sepatutnya berusaha mencari masalah-masalah terutamanya berkaitan dengan kebajikan pelajar agar anda boleh berkhidmat kepada penghuni yang telah memberi kepercayaan kepada anda dengan memilih anda sebagai pemimpin mereka.

Corak kepimpinan setiap tahun akan sentiasa berubah apabila tampuk pemimpin tertinggi bertukar orang dan oleh itu saya menyeru kepada seluruh mahasiswa agar kita tidak membandingkan pemimpin dulu dan sekarang kerana sememangnya lain orang sudah tentu ada lain caranya.

Tetapi peringatan kepada sahabat presiden baru di kolej kediaman masing-masing, walaupun pimpinan saling bertukar orang tetapi perjuangan yang kita juangkan selama ini tidak akan berubah, tidak akan pudar terutamanya dalam usaha pembelaan kebajikan mahasiswa universiti secara umumnya dan di kolej kediaman masing-masing secara khasnya.

Oleh itu, saya menyeru bukan sahaja kepada presiden kolej kediaman tetapi kepada seluruh pimpinan JIK dan JTK kolej kediaman masing-masing agar memberi perkhidmatan yang setimpal dengan kepercayaan yang telah diberikan kepada anda oleh rakan anda sendiri.

Anda merupakan ikon pemimpin muda harapan bangsa perlu sentiasa mencari ruang untuk memenuhi setiap aspirasi mahasiswa tidak kira dari sekecil-kecil perkara hingga ke besar mana isu sekalipun, anda mempunyai kekuatan untuk duduk berbincang bagi menyelesaikan apa jua masalah mendatang.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada seluruh pimpinan JIK dan JTK kolej kediaman di Universiti Malaya terutamanya kepada SPKUM sesi 09/10, agar anda sentiasa memacu kempimpinan universiti bagi mencerminkan bahawasanya, anda sememangnya layak bergelar pemimpin di varsiti perdana ini.

Barisan SPKUM sesi 09/10 bersama TNC HEPA


UM is ONE! Towards 1Malaysia!

2 comments:

  1. terima kasih diatas nasihat yg tlah dberikan.sy pegang pd SYED.

    p/s:-nk pic hahaa...

    ReplyDelete