Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia
Bismillah ir-Rahman ir-Rahim
Sadakallah Hül Azim.
Maksudnya: 'Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. (Surah Al-Alaq, ayat 1-5).
Pejam celik pejam celik kita sebenarnya sudah berada di minggu terakhir sesi pembelajaran bagi semester 1 sesi 09/10 yang juga Insyaalah merupakan semester 1 terakhir bagi diriku ini.
Sedar tak sedar, kita akan melangkah ke minggu ulangkaji dan seterusnya menempuh minggu-minggu peperiksaan yang akan datang yakni bermula 2 November hingga 22 November 2009.
Situasi yang normal dapat dilihat apabila pada waktu minggu ulangkaji ini, ramai pelajar akan memenuhi ruang belajar tidak kira di perpustakaan, fakulti, kolej dan ada juga yang mengambil keputusan menjalani minggu tersebut di rumah masing-masing.
Akan tetapi suasana ini hanya dapat kita lihat amat menonjol di kala minggu ulangkaji menandakan minggu peperiksaan sudah hampir tiba.
Tahukah anda bahawa situasi seperti ini sebenarnya adalah normal bagi negara-negara maju di barat mahupun di sebelah timur sana tanpa mengira waktu peperiksaan ataupun sesi akademik masih berjalan.
Oleh itu, timbul di pemikiran saya dan saya yakin bukan saya seorang memikirkan hal ini malah ramai lagi rakan di luar sana yang turut terfikir, adakah kita ini belajar semata-mata untuk menduduki peperiksaan atau bagi menimba sebanyak ilmu yang mungkin?
Saya tidak menafikan yang diri saya sendiri turut mengalami ’sindrom’ ini malah sentiasa cuba mengubah hal ini bermula semester ini akan tetapi saya merasakan diri saya tidak lagi berada di landasan yang sebenarnya dalam proses menimba ilmu ini.
Terdapat banyak faktor mengapa budaya pembelajaran kita di hari ini cenderung ke arah menumpukan perhatian hanya di kala peperiksaan menjelang tiba dan antara paling kerap dibincangkan adalah sistem pelajaran negara.
Sistem yang dikatakan berlandaskan peperiksaan ataupun ’exam oriented’ dikatakan penyebab kenapa pelajar Malaysia lebih menumpukan dalam mendapat gred yang baik semasa peperiksaan berbading menimba ilmu secara ikhlas.
Tetapi pada pendapat saya, sebelum kita terfikir untuk mengubah sistem pelajaran kita, fikir sejenak adakah kita sebenarnya mampu mengubah diri kita yang sedia ada?
Kita sebagai rakyat Malaysia sepatutnya berbangga mempunyai acuan tersendiri sehingga mampu menjadi sebuah neara yang ternama di mata dunia.
Mengapa kita perlu bandingkan sistem kita dengan sistem negara lain walaupun hasilnya adalah sama cuma pebezaan itu jelas nampak pada sifat diri kita sendiri.
Peperiksaan ini hanya sekadar satu ujian bagi menguji berkenaan apa yang telah kita faham selama 14 minggu pembelajaran pada semester-semester yang tertentu dan ia bukan alasan kenapa mahasiswa sekarang lebih menumpukan pada peperiksaan sahaja.
Menimba ilmu adalah sesuatu yang sangat dituntut oleh agama Islam malah ayat Al-Quran pertama yang diturunkan kepada Rasullullah(seperti ayat di atas), sebenarnya mengajak umat Islam agar membaca supaya kita menjadi satu umat yang berilmu dan kuat dari segi itu.
Dalam konteks alam universiti, kita semestinya sudah matang berfikir dan bukan lagi seperti pelajar di sekolah menengah terutamanya dalam bidang menimba ilmu.
Pada saya, alam ini telah membuka banyak ruang untuk saya menimba ilmu bukan sahaja dalam bidang kejuruteraan malah dalam pelbagai bidang lain seperti berkomunikasi dan berorganisasi.
Apa yang dapat saya perkatakan di sini, ilmu tidak sepatutnya dilayan secara paksaan yakni mencarinya dikala kita perlu sahaja.
Apa yang sepatutnya mahasiswa lakukan adalah pembelajaran berterusan agar kita sentiasa menimba ilmu dengan ’sukarela’ dan bagi kita mudah memahami sebarang konsep mahupun formula yang diajarkan oleh pensyarah.
Keikhlasan dalam diri kita untuk menimba ilmu juga memainkan peranan yang penting dalam mendorong kita sama ada ingin mencari ilmu atau sekadar duduk berseronok dan hanya mencari ilmu di kala sesak dengan peperiksaan yang menanti tidak lama lagi.
Walau bagaimanapun, kita tidak harus mengabaikan nilai tambah yang sepatutnya ada dalam diri kita semata-mata mengajar ilmu yang hakiki.
Kita tidak semestinya menjadi seorang yang ulat buku untuk berjaya dalam kehidupan kita kerana saya yakin, lebih banyak pengajaran yang akan kita perolehi dengan menimba dan mencari ilmu melalui pengalaman berbanding buku ataupun nota.
Banyak ruang yang boleh kita terokai di alam universiti ini dan sesungguhnya orang yang tidak menimba pengalaman di alam universiti adalah orang yang rugi bila sudah bergraduasi kelak.
Orang tersebut mungkin menjadi bijak pandai bagi dirinya tetapi kemungkinan besar akan gagal dalam kehidupannya jika kekurangan nilai tambah bagi membolehkannya ’dipasarkan’ di alam pekerjaan kelak.
Koreksi diri kita dengan sentiasa kembali pada objektif utama mengapa kita masuk univerisiti kerana bagi saya tujuan untuk mendapat sugulung ijazah sahaja sudah lagi tidak relavan bagi mahasiswa zaman kini.
Apa yang penting adalah kita mengambil peluang untuk menimba sebanyak pengalaman yang mungkin tidak kira manis atau pahit kerana saya yakin ini mampu memberi kita manfaat kelak.
Oleh itu, para siswa dan siswa di institusi pengajian tinggi perlu peka dengan isu ini dan cuba mengubah diri kita agar kita tidak dilabel sebagai pelajar yang hanya kuat menghafal tetapi tidak mampu mengaplikasikan pelajaran kita.
Sesungguhnya amat rugi bagi seseorang yang berilmu tetapi tidak tahu cara mengamalkannya dek kurangnya pengalaman dan kurang pendedahan dalam kehidupan realiti masa kini.
Akhir sekali, saya ingin mengucapkan selamat menempuh minggu ulangkaji bagi seluruh siswa dan siswi negara terutama rakan-rakan bagi kampus UM dan selamat maju jaya dalam menempuh peperiksaan akhir semester ini.
UM is ONE!! Towards 1Malaysia.
No comments:
Post a Comment