Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.
Ingin saya bawa para pembaca kembali ke tahun 2001 apabila Tun Mahathir ada membaca sebuah sajak pada Perhimpunan Agung UMNO pada tahun tersebut.
Ingin saya bawa para pembaca kembali ke tahun 2001 apabila Tun Mahathir ada membaca sebuah sajak pada Perhimpunan Agung UMNO pada tahun tersebut.
Melayu mudah lupa,
Melayu mudah lupa,
Melayu mudah lupa,
Dulu bangsanya dipijak,
Melayu mudah lupa,
Dulu bangsanya retak,
Melayu mudah lupa,
Dulu bangsanya teriak,
Melayu mudah lupa,
Dulu bangsanya haprak,
Melayu mudah lupa,
Dulu bangsanya kelas dua,
Melayu mudah lupa,
Dulu bangsanya hina,
Melayu mudah lupa,
Dulu bangsanya sengketa,
Melayu mudah lupa,
Dulu bangsanya derita,
Melayu mudah lupa,
Dulu bangsanya kerdil,
Melayu mudah lupa,
Dulu bangsanya terpencil,
Melayu mudah lupa,
Tiada daulat,
Tiada maruah,
Tiada bebas,
Melayu mudah lupa,
Melayu mudah lupa,
Melayu mudah lupa,
Sejarah bangsanya yang lena,
Tanah lahirnya yang merekah berdarah,
Ingatlah,
Ingatlah,
Ingatlah,
Wahai bangsaku,
Jangan mudah lupa lagi,
Kerana perjuanganmu belum selesai.
Walaupun sudah hampir 8 tahun sajak ini diterbitkan tetapi dukacita saya rasakan yang tiada perubahan sebenarnya berlaku terutamanya dikalangan remaja zaman kini.
Mungkin sudah terlambat bagi saya menterjemahkan sajak ini kerana sejak ia diterbitkan, sudah puluhan mungkin ratusan terjemahan oleh penulis tersohor tanahair telah diterbitkan.
Akan tetapi bila saya fikir semula mengapa Tun Mahathir berkata demikian hingga menyediakan sajak untuk mengekspresikan perasaan beliau pada masa itu, baru saya sedar ada benar kata-kata beliau ini.
Ketika sajak ini diterbitkan, saya masih di bangku sekolah, tidak mengerti apa-apa malah tidak mengambil peduli hal ini kerana dirasakan ia tidak membawa apa-apa erti bagi saya, kerana saya yakin saya bukan seperti yang digambarkan dalam sajak itu dan rakan seperjuangan saya di sekolah juga bukan seperti itu.
Tetapi saya salah, kerana walaupun saya yakin ia tidak berlaku pada diri saya, ia sebenarnya telah berakar umbi dalam segenap lapisan masyarakat lain yang sama bangsa denganku, dan saya lihat ini sendiri ketika saya di alam universiti.
Masa kini, masyarakat kita sanggup mengagungkan budaya barat dan budaya lain tetapi sedikit demi sedikit melupakan budaya serta adat orang Melayu yang unik ini.
Jika dipanggil muda mudi menari dan menyanyi rentak barat, saya yakin hampir semuanya dapat mengikuti dan menghafal lagu lagu popular yang ada tetapi jika kita panggil untuk memeriahkan pesta pantun, menari zapin mahupun menyanyikan lagu keroncong, belum tentu remaja zaman kini mampu melakukannya.
Mana pergi budaya kita??
Apa yang sudah jadi hingga kita hilang jati diri sebagai seorang berbangsa Melayu yang menganut agama Islam yakni agama yang memupuk sifat persaudaraan antara satu sama lain.
Sesungguhnya kita seharusnya menyayangi dan menghormati saudara-saudara kita tidak kira apa jua dan kita berhak menegur jika saudara kita ada melakukan kesalahan dan membawa mereka kembali ke jalan yang benar.
Tetapi sekarang barangkali kita terlupa untuk menegur rakan kita yang melakukan maksiat, malah ada yang bersifat hasad dengki sesama sendiri dan yang lebih menyedihkan ada yang sanggup menganiayai dan menindas sesama saudara sendiri.
Mana pergi nilai persaudaraan kita??
Dunia realiti sememangnya tidak seindah fantasi yang sering membuai kita bak bermimpi di siang hari.
Kita dibuai kehidupan yang selesa, aman dan damai hingga kita langsung tiada masa mengenali jiran kita sekalipun, bukan sekadar di kawasan perumahan malah di tingkat yang sama dalam satu asrama sekalipun belum tentu mreka mengenali satu sama lain.
Dek sibuk mengejar dunia, kita lupa ajaran agama kita yang menitikberatkan institusi kejiranan yang melambangkan simbol perpaduan di antara kita.
Malah yang lebih menyedihkan, ada dikalangan bangsa kita sendiri yang mengkhianati jiran kita seperti merompak, menyamun malah ada kes merogol anak dan isteri jiran mereka.
Mana hilang perpaduan kita??
Tidak kurang juga mereka yang seakan-akan malu mengaku dirinya Melayu kerana mereka menganggap Melayu itu perlu sentiasa terikat dengan adat resam dan menjadikkan dirinya sebagai orang yang kuno.
Apabila ibu bapa kita berbangga memberikan nama yang terbaik kepada kita semasa kita lahir, mengapa kita enggan menerima nama itu apabila kita kian dewasa malah lebih senang dikenali dengan nama seperti Joe, Eddy, Amy dan sebagainya.
Kita sepatutnya merasa bangga bila membawa nama bangsa kita sendiri tidak kira apa jua pengorbanan yang perlu kita lakukan tetapi ramai kini yang lupa perasaan bangga itu dek takut membuat pengorbanan kerana hal yang remeh temeh.
Malah apabila saudara kita menjalankan sebarang usaha dalam membentuk semula perpaduan dikalangan kita serta bagi menabur rasa cintakan akan bangsanya sendiri, kita ditertawa dan dihina malah ada yang menyatakan itu semua sudah ketinggalan zaman.
Mana jati diri dan identiti kita??
Sumbangan dan kesedaran kita amat penting buat anak-anak kita kelak kerana kita tidak mahu menjadi bangsa yang melupakan sejarahnya dan kita mahu menjadi sebuah rumpun yang kuat dan ini perlu bermula dengan diri kita sendiri kerana Allah SWT berfirman: maksudnya:"Sesungguhnya Allah tidak mengubah sesuatu kaum itu sehingga kaum itu mengubah apa yang ada pada diri mereka." (Ar-Ra'd:11)
Bingkas bangun anak bangsaku kerana ini bukan zaman menggoyangkan kaki dan menunggu bulan jatuh keriba kerana kita sudah memasuki era globalisasi yang memerlukan kita bersaing antara kita.
Bersaing secara jujur dan ikhlas, bukan dengan hasad dengki serta tingkatkan usaha kerja untuk maju dan bukan dengan cara rasuah dan sebagainya kerana sama sekali Islam menegah cara itu malah ia sebenarnya menunjukkan sifat buruk kita.
Muda mudi harapan bangsa, pemimpin yang akan datang tidak akan hadir di trek lumba haram, pemimpin bangsa yang ideal tidak datang dari lorong-lorong gelap dan pemimpin yang berwawasan tinggi sama sekali tidak akan hadir dikalangan penghidu gam mahupun penghisap ganja.
Zaman yang serba mencabar ini memerlukan kita menuntut seorang pemimpin yang bijaksana bukan sekadar akademiknya malah mempunyai jiwa yang besar dan idea serta wawasan yang tinggi agar negaranya tidak susah seperti dulu lagi.
Jangan kita lupa perjuangan nenek moyang kita memerdekakan tanahair tercinta ini daripada jajahan pelbagai musuh dahulu.
Jangan disebabkan kita sekarang hidup senang, berpangkat besar dan membawa kereta berjenama, kita lupa dulu nenek moyang kita hanyalah kuli, pencuci kasut orang Inggeris, petani dan nelayan sahaja.
Jangan kerana kita mudah mendapatkan pendidikan, biasiswa yang banyak disediakan serta pertolongan yang pelbagai disalurkan kepada kita menyebabkan kita lalai dalam pelajaran dan mensia-siakan peluang yang sangat berharga ini.
Jauhkan diri kita daripada menjadi kacang yang lupakan kulitnya setelah kita menerima segala kesenangan dan kemudahan yang disediakan dengan menikam belakang orang yang membantu kita selama ini hingga kita mengecapi kejayaan.
Sesungguhnya Melayu dan Islam tidak dapat dipisahkan lagi dan cantiknya Melayu itu adalah kerana Islam yang dibawa oleh mereka dan oleh itu, jangan kita sesekali mengabaikan agama yang merupakan tunjang bagi kita dunia dan akhirat.
Sedarlah anak bangsaku dan bangun daripada lamunan anda masing-masing, buang jauh-jauh sifat pelupamu, hilangkan rasa malas dalam dirimu dan sentiasa ingat perjuangan nenek moyang kita sebagai pemangkin semangat kita berjuang demi anak cucu kita pula.
Bak kata pahlawan Melayu terulung di zaman Kegemilangan Melayu Melaka, Hang Tuah iaitu ’Takkan Melayu Hilang Di Dunia’ dan berbekalkan kata azimat itu kita perlu terus berusaha menongkah arus untuk terus menjadi tulang belakang negara kita ini bukan sahaja bagi menjamin kemakmuran dan kemajuannya malah menjaga kemerdekaannya seperti apa yang nenek moyang kita janjikan sebelum ini.
'Takkan melayu hilang di dunia'............
ReplyDeleteOrg melayu sudah tahu melayu mudah lupa.. Sbb itu kita ada papatah yang di kaitkan tauladan sesuatu benda dengan kehidupan yang positif.. ....contohnya bagaikan aur dengan Tebing..ayuh kita perlu positif ....dari hati ke minda..dengan bersifat mahmudah dan tinggalkan mazmumah... Percayalah kebenaran pasti menang.....kerana Allah adalah benar, Nabi Muhammad utusan Allah adalah benar, malaikat itu benar,Al-Quran adalah kalam Allah,Hari akhirat adalah benar, dan Qada dab Qadar adalah ketentuan Allah.