Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Tuesday 18 August 2009

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Pejam celik pejam celik, kita sebenarnya sudah setahun meninggalkan Ramadhan yang lalu untuk bertemua semula bulan yang penuh barakah, bulan Ramadhan al Mubarak.

Ini menandakan umur kita yang semakin bertambah dan sepatutnya menimbulkan resah pada kita, adakah kita mampu berjumpa dengan Ramadhan pada tahun hadapan?

Bulan yang penuh barakah ini datang hanya sekali dalam setahun maka rugilah pada mana-mana umat Islam yang tidak mengambil manfaat dan tidak mengerjakan ibadah di dalam bulan ini.

Antara kelebihan Ramadhan dinyatakan oleh Abu Hurairah: Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-

Selain itu, semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.

Antara lainnya adalah, Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.

Walaupun kita seringkali berlumba-lumba dalam mencari pahala dan keredhaan ilahi, amat penting bagi seseorang mengutamakan keikhlasan dan keimanan dalam menunaikan ibadat.

Di samping itu, puasa sebenarnya mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.

Ada juga antara mereka yang salah faham akan konsep puasa itu sebenarnya kerena kita berpuasa bukan sahaja untuk menahan lapar dan dahaga tetapi berpuasa seluruh anggota daripada melakukan sebarang maksiat dan kemungkaran.

Sebagai tanda kasihnya Allah kepada hambanya, Allah telah berfirman yang Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi dan Allah berjanji orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.

Sempena bulan yang mulia ini, maka wajar bagi kita menghormatinya dengan mengelakkan diri daripada kebiasaan yang boleh merugikan diri kita seperti berbelanja dengan boros,suka berhibur,membuang masa dan bersembang tentang perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah sebaliknya hendaklah kita menyambut Ramadhan dengan azam yang tinggi untuk memperbanyakkan ibadat bagi menyucikan jiwa.

Kita juga hendaklah berusaha menyediakan diri untuk menjaga benih-benih amal yang kita tanam di bulan Ramadhan kerana seseorang yang menanam benih jika tidak membaja,menyiram serta memelihara pasti tidak akan mengeluarkan hasil yang baik di masa hadapan.

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa berbuka satu hari di siang hari bulan Ramadhan tanpa alasan yang wajar (disegi syariah) atau sakit yang kuat, tidak akan dapat menampung atau mengganti hari tersebut walaupun akan berpuasa sehingga ke akhir hayatnya."

Oleh itu, saya menyeru rakan-rakan mahasiswa yang rata-rata sudah berakal dan mampu berpuasa agar tidak sama sekali sengaja meninggalkan fardhu ini tanpa sebarang alasa yang munasabah.

Sesungguhnye berat dosa untuk seseorang itu menanggungnya jika mereka dengan sengajanya meninggalkan fardhu puasa ini dan kerugian yang dialaminya sebenarnya lebih teruk daripada kehilangan segala kekayaan di dalam dunia.

Saya dengan ini ingin mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al Mubarrak kepada seluruh Muslimin dan Muslimat, semoga bulan yang mulia ini akan dihiasi dengan penuh pengisian dan amalan yang sudah kita rancangn untuk dilaksanakan kelak.

Insyaalah dengan berkat Allah kita mampu mengharungi segala dugaan dan cabaran yang bakal menimpa kita selama sebulan kelak dan menyambut Syawal dengan penuh kejayaan.

2 comments:

  1. Allah menjemputku...Allah menjemputmu...Allah menjemput kita...Marhaban Ya Ramadhan

    ReplyDelete