Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Tuesday, 1 September 2009

Raja Perlis bimbang ancaman perosak perpaduan

KANGAR: Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bimbang dengan ancaman golongan yang mengamalkan dasar "pecah dan perintah" kerana ia boleh menggugat perpaduan rakyat.

Menurut baginda, walaupun golongan itu tidak ramai namun ia tetap berbahaya kepada negara yang kini sedang memberi tumpuan kepada gagasan 1Malaysia.

Ketika melancarkan sambutan hari kemerdekaan ke-52 peringkat negeri Perlis di sini malam tadi, baginda bertitah dasar pecah dan perintah pernah diperkenalkan oleh penjajah negara ini suatu ketika dahulu.

Turut berangkat ke majlis yang berlangsung di Dewan 2020 itu ialah Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Abdul Rashid, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah.

Hadir sama pada majlis yang turut disekalikan dengan majlis berbuka puasa dan solat tarawih itu ialah Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Baginda bertitah, sejak akhir-akhir ini dasar yang memberi kejayaan kepada penjajah bagi merosakkan keharmonian rakyat telah diberi nafas baru oleh golongan tertentu di negara ini demi menjayakan agenda politik sempit mereka.

”Mereka suka melagakan rakyat, memain isu sensitif, menimbulkan prejudis agama dan persoal kontrak sosial. Jauhi golongan terbabit kerana mereka tidak beri faedah kepada sesiapa," titah baginda.

Menurut baginda, golongan itu hanya memikirkan kepentingan mereka sendiri tanpa memikirkan kesan jangka panjang terhadap masa depan negara.

Menurut baginda, golongan itu hanya memikirkan kepentingan mereka sendiri tanpa memikirkan kesan jangka panjang terhadap masa depan negara.

Baginda turut mengimbas tragedi hitam 13 Mei 1969 yang mana perpecahan kaum telah menggugat keharmonian hidup rakyat berbilang kaum dan ia mengambil masa yang begitu panjang untuk dipulihkan.

"Ibarat luka yang dah sembuh dan tidak lagi sakit namun parut tetap kelihatan dan setiap kali lihat parut, ada rasa yang terguris," titah baginda.

Menurut baginda, peristiwa itu telah merugikan semua kaum akibat kehilangan nyawa, kerosakan dan kemusnahan harta benda manakala pelabur juga bimbang untuk memasuki negara ini.

Sambil berharap peristiwa itu tidak berulang lagi melalui angkara kumpulan yang mengamalkan dasar pecah dan perintah itu, baginda berharap rakyat berusaha menjayakan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan kerajaan.

"Setiap kaum perlu bersatu padu, hormat menghormati dan patuh kepada perlembagaan dan undang-undang negara," titah baginda.

Raja Perlis juga mahu rakyat turut berusaha mencapai cita-cita negara untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020.

"Masa ada sekitar 10 tahun lagi dan tempoh itu semakin dekat. Saya pun dah jadi Raja Perlis sembilan tahun lebih dan saya rasa masa berlalu begitu cepat. Masa sepuluh tahun lagi juga akan tiba dengan cepat," titah baginda.

Bagaimanapun, baginda melahirkan kebimbangan dengan pencapaian pembangunan di Perlis yang disifatkan baginda masih ketinggalan jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.

"Saya ambil contoh bandar Arau yang masih lembab pembangunannya dan pembaharuan yang wujud hanya ada deretan kedai yang sedang dibina," tambah baginda.

Baginda mahu setiap pegawai kerajaan bersikap profesional dalam membangunkan negeri ini dengan sanggup berkorban masa dan tenaga untuk menjayakannya. - Bernama

No comments:

Post a Comment