Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Friday 21 August 2009

Takut Pada H1N1 Atau Pada Allah

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan.

Wabak pandemik Influenza A (H1N1) di Malaysia telah menyebabkan 68 orang meninggal dunia sehingga semalam dan menjadikan Malaysia sebagai negara yang paling kritikal dilanda wabak ini jika dibandingkan dengan negara serantau Asean ini.

Oleh sebab itu, ke mana sahaja yang kita pergi sekarang ini, kita sentiasa melihat orang memakai topeng bagi mengelakkan diri masing-masing daripada terkena jangkitan tersebut.

Tidak kurang juga poster-poster serta iklan-iklan di merata-rata tempat bertujuan memberi kesedaran kepada rakyat berkenaan wabak ini dan cara menjalani gaya hidup yang sihat bagi mengelakkan diri kita terkena wabak ini.

Tapi adakah kita sebenarnya faham dan mendapat iktibar sebenar daripada turunnya wabak ini kepada kita, adakah ianya sengaja diturunkan atau hanya kebetulan ia melanda sahaja?

Wabak H1N1 mahupun wabak apa sekalipun hanya satu daripada tentera-tentera Allah yang datang turun bagi menguji kita sebagai umat manusia akan tahap keimanan kita sebenarnya kepada Allah S.W.T..

Rata-rata manusia tampak takut benar dengan dugaan Allah ini sedangkan mereka lupa daripada mana datangnya azab ini dan mengapa azab ini diturunkan kepada kita.

Allah S.W.T., Tuhan sekelian makhluk dan pencipta segala kejadian sepatutnya menjadi satu-satu tempat kita mengadu dan menjadi satu-satunya kita takutkan kerana dengan izinNya, kita boleh hidup walau dilanda penyakit ataupun kita boleh dimatikan walaupun hidup dalam keadaan aman harmoni.

Wabak yang berbahaya ini hanya satu daripada dugaan Allah yang sebenarnya untuk kita membuka mata menilai iman dalam diri kita dalam menghadapi sesuatu bencana, pokoknya kita sepatutnya kembali semula kepada Allah S.W.T..

Zaman ini, ramai bila dibincangkan soal H1N1, yang akan berakhir dengan kematian terus menimbulkan rasa resah dan gelisah dalam hati masing-masing.

Persoalan yang timbul adalah, adakah mereka takut mati kerana masih belum bersedia menemui Allah ataupun mereka belum puas mengejar harta di dunia ini?

Kita sibuk membeli topeng untuk meningkatkan jaminan kesihatan kita dengan apa harga sekalipun tetapi adakah kita pernah terfikir untuk menyumbangkan wang kita ke jalan Allah?

Sahabat kita di Palestin, di selatah Thai yang terus menerus dihina, dibunuh dan dianiayai memerlukan sumbangan dan bantuan daripada kita kerana semua umat Islam itu bersaudara dan kita wajib membantu saudara kita yang berada dalam kesusahan.

Selama ini, kita tak pernah terpikir berkenaan kebersihan contohnya membasuh tangan sebelum makan akan tetapi dengan kehadiran wabak ini, orang yang pakai sudu dan garfu pun membasuh tangan mereka sebelum dan selepas makan.

Tidakkah kita semua ingat akan sunnah Rasullullah di mana baginda mengajar umat Islam untuk membasuh tangan dahulu sebelum makan, dan suruhan ini bukan disebabkan apa-apa penyakit pun tetapi suatu perbuatan yang menyucikan dan Allah sangat suka orang yang bersuci.

Sebagai umat islam, kita perlu percaya dan mati itu pasti walaupun kita sememangnya berhak untuk bertawakkal agar umur kita dipanjangkan oleh Allah S.W.T..

Akan tetapi, kepastian yang bakal terjadi itu memerlukan kita mempunyai bekalan yang secukupnya dan bekalan itu bukan dicari selepas kita dah pencen ataupun di masa senang sahaja tetapi di setiap masa sekalipun.

Allah mensyariatkan solat 5 waktu kepada umat nabi Muhammad S.A.W dan menjelang bulan Ramadhan yang bakal tiba selepas Maghrib nanti kita difardukan berpuasa sebulan tetapi adakah kita pernah merasa berlumba-lumba untuk mengejar pahala seperti kita berlumba-lumba mencari topeng mana yang lebih berkualiti untuk mengelak H1N1?

Zaman kini, orang sanggup mendahulukan urusan duniawi masing-masing dan mengendahkan azan yang dilaungkan oleh bilal-bilal di surau mahupun di masjid yang berdekatan.

Malah ada yang dengan bangganya makan di warung warung tepi jalan sedangkan itu merupakan bulan Ramadhan, bulan yang dimuliakan dan bulan bagi kita mengejar sebanyak mungkin pahala agar kita bersedia menemui ‘Kekasih’ kita yang sebenarnya di akhirtat kelak.

Maut boleh menjumpai kita dimana-manapun tetapi kita tidak boleh mencari semula waktu-waktu yang telah kita sia-siakan tanpa sebarang ibadah kepada Allah.

Saya memohon para pembaca agar tidak mempunyai tanggapan yang salah kerana saya percaya kita boleh berusaha untuk mencari dan mendapatkan kehidupan yang lebih baik, umur yang panjang dan harta yang banyak tetapi kita semua kena sama-sama ingat yang semua itu hanyalah sia-sia jika tidak mendapat berkat Allah dan RasulNya.

Kejarlah harta dunia seakan-akan kita akan hidup seratus tahun lagi tetapi kejarlah pahala Allah seumpana kita akan mati keesokkan harinya.

Akhir bicara, saya menyeru rakan-rakan, para sahabatku agar kita perbetulkan konsep ataupun pemikiran kita terhadap mana-mana azab yang melanda diri kita mahupun masyarakat kita ini.

Jangan kita takut kepada apa yang sedang melanda kita sekarang ini tetapi takutlah kita kepada penciptanya yang Esa, Allah S.W.T yang Maha Berkuasa nescaya jika kita hidup, hidup kita diberkati Allah dan jika kita mati, kita doakan kita mati sebagai orang yang beriman kepadaNya.

3 comments:

  1. cukuplah Allah bagiku...sempurna-Nya tiada tara...biar hidup penuh berliku...Iman tak goyah,ahli syurga terpelihara...

    ReplyDelete
  2. tiada duganya hiba,tiada kesannya tangis,hati kosong jiwa merana,pada Allah cinta termanis...

    ReplyDelete