Satu Muharram Detik Permulaan
Perkiraan Tahun Islam Hijrah
Perpindahan Nabi dan Umat Islam
Dari Kota Makkah ke Kota MadinahAtas Keyakinan dan Iman Yang Teguh
Kaum Muhajirin dan Ansar Bersatu
Rela Berkorban Harta dan Nyawa
Demi Menegakkan Islam Tercinta
Hijrah Itu Pengorbanan
Hijrah Itu Perjuangan
Hijrah Itu Persaudaraan
Hijrah Membentuk PerpaduanHijrah Itu Pengorbanan
Hijrah Itu Perjuangan
Hijrah Itu Persaudaraan
Hijrah Membentuk Perpaduan
Oleh Itu Mari Semua
Kita Sambut Maal Hijrah
Tingkatkan Semangat Tegakkan Syiar Islam
Untuk Sepanjang ZamanUntuk Sepanjang Zaman....
Saya yakin dan percaya ramai antara kita yang kenal benar dengan lirik lagu di atas yang seringkali berkumandang terutamanya apabila menyambut Sambutan Maal Hijrah.
Tahun ini, Sambutan Maal Hijrah 1431H akan disambut pada 17 Disember 2009 dengan membawa tema "Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah".
Saya kira pemilihan tema ini adalah tepat terutamanya jika kita mengambil kira beberapa masalah utama yang melanda umat Islam di serata dunia.
Kita sebagai umat Islam perlu mengambil iktibar dengan sejarah penghijrahan Rasullullah bersama kaum Muhajirin dari Mekah ke Madinah demi menegakkan dan memperluaskan ajaran Islam tanpa halangan dari kaum musyrikin.
Antara aspek yang paling penting bagi kita mengambil iktibar adalah peristiwa Rasullullah mempersaudarakan kaum Muhajirin dengan kaum Ansar yakni penduduk tetap Madinah, suatu tindakan yang dianggap untuk memperkuatkan ukhwah antara dua kaum Islam besar di Madinah ketika itu.
Dewasa kini, kita dapat lihat bagaimana perpecahan umat Islam begitu berleluasa di mana wujud pelbagai puak seperti Syiah, Sunni dan di Palestin dengan adanya Fatah dan Hamas malah tak kurang di Malaysia ada pula Islam PAS dan Islam UMNO.
Kejadian perpecahan sebegini sesungguhnya merugikan umat Islam seantero dunia kerana kita merupakan penganut agama terbesar di dunia ini tetapi kita bagaikan 'budak hingusan' yang sedang dibuli ‘adik-adik’ kecil kita.
Semua ini hanya disebabkan kita lemah akibat tidak adanya perpaduan sesama kita malah kita saling tikam menikam sesama saudara kita, itu yang amat menyedihkan pada saat dan ketika ini.
Tidak kurang dari itu, fitnah serta propaganda palsu untuk menumbangkan kerajaan Islam oleh saudara seagamanya sendiri semakin menjadi-jadi bahkan ada yang sanggup memihak pada musuh terang-terangan demi mengejar kuasa dan kekayaan dunia ini.
Apabila sambutan Maal Hijrah diadakan, kita dapat melihat ribuan umat Islam negara ini akan keluar berarak sambil berselawat dan salam kepada Rasullullah S.A.W..
Persoalannya adakah mereka membuat ini atas dasar sayangkan perjuangan Nabi kita ataupun sekadar mencari populariti mengadakan perhimpunan terbesar semata-mata yang menjadi tradisi setiap tahun?
Jika benar sambutan ini menjunjung perjuangan Nabi S.A.W., kita tidak mungkin berpecah sebegini teruk sampaikan ada yang sanggup bunuh membunuh sesama sendiri dan yang paling keji, ada yang sanggup memihak pada pihak kafir atas kepentingan diri mahupun fahaman politik mereka masing-masing.
Umat Islam seluruh dunia terutamanya di dalam Malaysia perlu sedar bertapa pentingnya untuk kita memantapkan ukhwah antara kita sesama insan, kerana jatuh bangun umat Islam sebenarnya amat bergantung kepada perpaduan antara kita sesama umat.
Dengan ini, kita mampu memperkasakan umat sesama kita apabila kita mencapai kesedaran dan berjaya memantapkan ukhwah sesama umat Islam.
Di mana-mana kita pergi sekalipun, kita tidak akan dapat terlepas daripada seruan bersatu padu kerana itu adalah seruan daripada Allah S.W.T seperti firmanNya;
"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (Agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya." Surah Ali Imran, ayat 103.
Sempena menyambut hari yang mulia ini, mari sama-sama kita mengambil iktibar peristiwa bersejarah kerana setiap perkara yang terjadi terutamanya pada Rasullullah S.A.W. pasti membawa pengajaran dan sunnah baginda patut menjadi ikutan kita pengikut baginda.
Selain itu, suka saya berkongsi beberapa amalan sunat yang boleh kita jalankan sempena menyambut tahun baru Islam ini, antaranya adalah;
1. Berpuasa. Maksud Hadis: Barang siapa berpuasa satu hari dalam bulan Muharam pahalanya seumpama berpuasa 30 tahun.Maksud Hadis: Barang siapa yang berpuasa tiga hari dalam bulan Muharam, iaitu hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, Allah tulis padanya pahala seperti mana beribadat selama 2 tahun.
2. Banyakkan amal ibadat seperti solat sunat, zikir dan sebagainya.
3. Berdoa akhir tahun pada hari terakhir bulan Zulhijah selepas Asar sebanyak 3X
4. Berdoa awal tahun pada 1 Muharram selepas Maghrib 3X
Akhir kata, sebagai seorang insane yang bergelar umat Islam yang berpegang teguh dengan ajaran Allah, kita patut sedar yang nasib kita takkan diubah jika kita sendiri tidak bertindak seperti friman Allah;
“….Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mereka sendiri mengubah nasib mereka….” Surah Ar-Ra’du, ayat 11.
Oleh itu, tanamkan azam pada tahun baru ini untuk kita sama-sama berganding bahu mendokong tema maal hijrah tahun ini supaya kita mengukuhkan perpaduan sesama kita untuk memperkuatkan kaum kita untuk menghadapi cabaran demi cabaran yang bakal datang di kemudian hari.
Akhir kata, semoga Allah akan memberkati perpaduan yang kita jalinkan di atas nama Allah untuk menegakkan syiar Islam bukan sahaja di negara kita malah di seluruh dunia bagi membuktikan umat Islam bukan negara yang ganas mahupun eksterimis tetapi adalah agama yang syumul dan mengujurkan kepada perpaduan dan kasih sayang.
Selamat Menyambut Maal Hijrah tahun 1431 hijrah.
No comments:
Post a Comment