Syukur ke hadrat Ilahi, Universiti Malaya (UM) telah berjaya menganjurkan satu temasya debat yang paling berprestij dikalangan pendebat institut pengajian tinggi negara iaitu Pertandingan Debat Piala Di-Raja kali ke-13 dari 3-7 Disember 2009.
Sebagai salah seorang sukarelawan bagi penganjuran pertandingan ini, saya sedar banyak kelemahan yang timbul sepanjang penganjuran acara debat tahunan ini malah ada yang menguji bukan sahaja tahap fizikal kami malah mental kami juga turut ditekan pelbagai pihak.
Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua sukarelawan tidak kira di pihak bahasa mahupun sentral kerana telah berjaya mengharungi lautan masalah di hadapan kita untuk menyempurnakan amanah yang kita galas secara sukarela ini.
Tahniah juga kepada barisan institusi pengajian tinggi yang telah berjaya meraih kejuaraan pada tahun ini moga anda akan terus cemerlang di tahun hadapan dan menjadi contoh kepada universiti lain untuk terus berusaha menjadi yang terbaik seperti anda.
Buat pendebat pasukan UM sendiri, jangan putus asa walaupun pelbagai spekulasi dan kata-kata yang membingitkan telinga didengari, teruskan perjuangan anda di tahun hadapan, Insyaalah jika dibetulkan niat kita, kejuaraan pasti boleh jadi milik kita.
Tetapi apa yang menarik perhatian saya, arena debat sentiasa disertai mereka yang petah bercakap tetapi hanya boleh bercakap tanpa mempunyai karektor seorang pemimpin yang baik.
Mungkin saya tidak layak mengklasifikasikan sesiapa sama ada mereka layak atau tidak menjadi pemimpin tetapi saya ingin meluahkan kegusaran saya tatkala memerhatikan pendebat yang hadir untuk pertandingan ini.
Walaupun tidak semua tetapi pendebat yang hadir rata-rata bukan datang dengan ilmu di dada mengharapkan perkongsian dan percambahan idea dalam arena debat tetapi mereka hadir dengan ego dan mengharapkan kemenangan di setiap pertandingan.
Saya tidak menyangkal yang kemenangan adalah objektif utama setiap pasukan masuk bertanding tetapi mereka lupa, mereka cicirkan nilai-nilai murni yang perlu ditimba semata-mata mengejar kemenangan.
Seorang pemimpin sepatutnya mempunyai pelbagai idea untuk mengembangkan prestasi diri dan mencari jalan dalam menyelesaikan satu masalah dan mencapai satu matlamat utama, bukan hanya memikirkan satu matlamat tetapi abaikan cara-cara untuk menggapai matlamat itu.
Sayang seribu kali sayang, mereka yang dikurniakan kepintaran untuk menyusun kata-kata tetapi hanya pandai bila di dalam pertandingan sahaja kerana ia tidak diterapkan dalam kehidupan seharian mereka malah sungguh kontra dengan kepintaran mereka.
Susah payah sukarelawan dalam membantu mereka tidak langsung dihargai malah ada yang mengutuk dengan kata-kata pedas malah memerli dengan sesuka hati mereka tanpa mengambil berat hati dan perasaan seorang insan yang lain.
Tidak ralat bagi saya jika pendebat muda yang menunjukkan perangai kurang matang sebegini tetapi apa yang saya ralat adalah sikap beberapa individu bergelar hakim.
Sikap mereka yang mengalahkan ragam kanak-kanak tadika yang menginginkan layanan kelas pertama, tetapi adakah mereka sedar tahap ‘layanan’ mereka terhadap orang yang membekalkan layanan ‘murahan’ ini pada mereka.
Walaupun saya gembira menimba pelbagai pengalaman dan pengetahuan dari segi selok belok menguruskan satu pertandingan yang besar sebegini, tetapi saya sedih kerana arena debat yang sepatutnya melahirkan orang-orang yang mampu berdebat dengan yakin untuk memimpin dan meyakinkan rakyat rupanya masih belum berjaya.
Insan yang lahir dari perut arena debat sepatutnya mempunyai tahap intelektual yang tinggi dan nilai kemanusiaan yang setimpalnya masih tidak ditemui malah ada yang benar-benar terpesong dari apa yang sepatutnya dilahirkan.
Oleh itu, saya menyarankan Majlis Debat Universiti-univerisiti Malaysia (MADUM) untuk merombak pendekatan yang selama ini dibawa agar pendebat mahupun hakim yang dilahirkan mampu berjasa kepada negara suatu hari kelak.
Sekali lagi saya menekankan isu yang saya timbulkan ini mungkin tidak merangkumi kesemua peserta ataupun hakim, bak kata pepatah sapa makan cili, dia yang rasa pedas.
Akhir kata, buat pendebat di luar sana, gunakan kebijaksanaan anda untk berbakti kepada masyarakat dan bukan mengharapkan masyarakat menyanjung anda semata-mata kerana kita lahir di bumi bukan untuk menerima pujian semata-mata kerana kita perlu ruang di kritik bagi menambakbaik kelemahan diri kita sedia ada.
I agree, Abang Hafiz! Ada hakim yg memang berperangai seperti budak-budak. :)
ReplyDeletethey should solve their internal problems before starting showing off fingers to others
ReplyDelete