Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Friday, 25 December 2009

Potong Peruntukan, Hilang Patriotik

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Dunia sukan negara juga dilihat semakin rancak menimbulkan isu-isu panas terutamanya selepas berakhirnya temasya dwitahunan, Sukan SEA di Laos baru-baru ini.

Saya secara peribadi tersentak dengan kenyataan seorang pemimpin sukan sepak takraw yang seperti kecewa peruntukan bagi sukan itu bakal dikurangkan dan minta orang ramai tidak hairan jika persiapan hanya akan dilakukan 5 hari sebelum pertandingan.

Pada pendapat anda, sebagai seorang pemimpin adakah ini satu kenyataan yang baik atau ia dilafazkan secara beremosi?

Ini adalah kerana sukan sepak takraw menerima kritikan kerana hanya mampu membawa pulang satu perak dan satu gangsa dan lebih memalukan apabila tewas di tangan Laos, negara yang dianggap kerdil di dalam sukan itu.

Pencapaian skuad sepak takraw negara sejak 2-3 tahun kebelakangan ini semakin merudum kerana kita bukan sahaja tidak mampu menandingi musuh ketat kita iaitu Thailand, malah sekarang sudah mampu diperkotak-katikkan oleh negara Asean lain seperti Myanmar, Laos dan Vietnam.

Pada pendapat saya, wajar Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), mendapat sedikit ‘pengajaran’ akibat pengurusan yang dilihat kurang efisen untuk menyuntik semangat pemain dan jurulatih agar dapat membutirkan pingat emas seperti yang diharapkan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Oleh itu, tindakan Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail untuk mengundur diri dilihat sebagai satu langkah bijak agar PSM boleh membentuk satu pasukan pengurusan yang baru untuk menaikkan semula maruah PSM serta pasukan sepak takraw negara ini.

Akan tetapi kenyataan ‘persiapan hanya akan dilakukan 5 hari sebelum pertandingan’ benar-benar tidak mencerminkan semangat patriotik pada negara malah itu boleh dianggap sebagai ugutan kepada rakyat Malaysia, peminat sepak takraw negara ini.

Kita sedar dunia yang serba canggih dan moden ini amat memerlukan wang untuk menjalankan apa-apa perancangan sekalipun, tetapi saya yakin dengan satu pengurusan yang baik, mereka mampu untuk merencanakan perancangan sesuai buat negara menghadapi Sukan Asia untuk menebus kembali kepercayaan rakyat pada PSM.

Bukan dengan melemparkan ugutan sinis seperti yang dibuat oleh beliau, kerana ini hanya akan menaikkan kemarahan rakyat kerana ini melibatkan permainan tradisional rakyat.

Sepak takraw merupakan sukan yang menjadi ikutan rakyat selepas bola sepak kerana ia mencerminkan imej negara kerana ini merupakan permainan tradisional yang berasal daripada rumpun nusantara ini, tapi jelas prestasi kita makin meleset.

Saya harap PSM dapat melakukan rombakan besar-besaran dan perkara pertama yang perlu mereka lakukan adalah untuk menanamkan semangat cinta kan negara dan letak tepi segala kepentingan diri sendiri demi mengharumkan nama negara, jika tidak mampu keluar dan buat aktiviti lain.

Jika anda sudah bulat hati untuk menyertai pasukan sukan, sentiasa majukan sukan yang anda sertai demi negara bukan demi ganjaran ataupun demi wang yang dijanjikan.

Mari sama-sama kita kenang pengorbanan atlit-atlit negara sebelum negara pencapaian pemodenan dan menjadi negara membangun seperti sekarang.

Mereka tidak dijanjikan apa-apa ganjaran ataupun tidak diberikan peruntukan lumayan tetapi dek semangat cintakan negara dan mahu mengharumkan nama negara, mereka mampu mengharungi onak dan duri demi membutirkan kejayaan buat negara yang tercinta ini.

Walaupun gaya hidup sekarang tidak lagi sama seperti dahulu, tetapi semangat cintakan negara sepatutnya sama malah patutnya lebih tinggi untuk membuktikan kepada rakyat yang Malaysia sentiasa cemerlang dalam apa jua bidang seperti laungan yang sentiasa bergema ‘Malaysia Boleh’.

Saya mendoakan pergolakkan dalam PSM akan dipermudahkan dan penyelesaian yang sewajarnya dapat dicapai agar sukan sepak takraw dapat dimajukan di masa akan dating seterusnya menaikkan semula maruah negara dalam sukan rakyat kita ini.

1 comment:

  1. salam...

    kalau orang politik ada dalam pengurusan sukan tu la jadi masalah. nak bersukan pun memandang duit ja. dengan keluarkan kenyataan sinis macam tu, kalau la kementerian sukan kata xnak hantar takraw bertanding dalam mana2 sukan baru nak menggelabah.

    tengok contoh bola sepak EPL, mana ada org politik masuk campur dalam hal pengurusan sukan. di Malaysia, bukan bola sepak je, sepak takraw pun sama.

    ReplyDelete