Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.
Ketika saya membaca akhbar tadi, terbaca artikel berkenaan bangsaku sendiri menentang Perlembagaan negara khususnya Perkara 153 iaitu berkenaan hak dan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera di negara ini.
Nyata orang yang menentang ini gagal dalam memahami Perlembagaan negara dan tidak langsung menghayati dan mengambil iktibar daripada sejarah pembangunan negara kita sejak zaman Melayu Melaka.
Sebagai generasi pertengahan, golongan ini sepatutnya mendokong dan mempertahankan Perkara 153 ini kerana ia merupakan hak yang sepatutnya kita ada, bukan suka-suka ditulis dalam Perlembagaan negara.
Sedangkan deklarasi PBBjuga menyatakan sesebuah negara yang mempunyai kaum pribumi, kaum itu berhak diberi keistimewaan dan kelebihan berbanding daripada kaum lain walaupun mereka telah dikurniakan warganegara.
Saya dapat simpulkan orang yang menentang Perkara 153 ini sebagai tamak dan tidak memandang masa hadapan kerana apa yang mereka fikir adalah diri sendiri dan semata-mata mengejar keuntungan.
Mereka ini telah dikaburi dengan wang hasil daripada pembelaan Perkara 153 malah disogok pula oleh pihak luar yang tidak senang dengan keharmonian negara supaya mengeluarkan kenyataan panas sebegitu.
Perkara yang sensetif sebegini bukan untuk dipermainkan dan bukan untuk dijadikan provokasi pada mana-mana pihak tetapi ia adalah untuk difahami oleh segenap masyarakat berdasarkan sejarah penubuhan Malaysia ini sendiri.
Orang-orang yang berani dan lantang bersuara agar Perkara 153 dihapuskan nyata mereka yang tidak celik masa depan di mana anak cucu mereka pula yang akan bertatih dan berkerjaya di negara kita ini.
Kami golongan muda juga ingin menuntut hak kami sebagai peribumi di Malaysia seperti mana golongan pertengahan sekarang ini dapat tetapi sayang hak kami cuba dinafikan pula oleh golongan lupa daratan ini.
Golongan ini sepatutnya dilucutkan terus warganegara mereka kerana mereka sebenarnya tidak layak digelar sebagai warganegara Malaysia lagi seperti ujar Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena).
Ini kerana Perlembagaan iaitu suatu undang-undang tertinggi negara sepatutnya tidak dipertikaikan malah jika perlu, kita ada ruang untuk rundingan dan penerangan khusus jika ada beberapa perkara yang tidak jelas.
Tindakan meminta agar menghapuskan sesetengah perkara dalam Perlembangaan dikira melampau dan tindakan ini nyata tidak menghormati orang lain dan mampu mengguris hati rakyat yang lain.
Saya mencadangkan orang sebegini dilucutkan kewarganeraan mereka lalu diberikan sebuah pulau dan dihantar mereka beramai-ramai ke pulau tersebut, buatlah perlembagaan sendiri dan majukanlah pulau itu sendiri, tiada yang akan terasa dengan tindakan mereka di pulau berkenaan.
Mereka bagaikan duri dalam daging selagi mana mereka ini hadir dalam masyarakat, menabur fitnah dan menimbulkan provokasi di sana sini lalu mampu menimbulkan ketegangan sesama masyarakat kita.
Pemimpin negara sekarang perlu peka dengan keadaan sekeliling dan bukan sekadar angguk dan geleng sahaja, memberikan jawapan tidak telus kepada rakyat serta membiarkan keadaan bertambah parah.
Jika benar perkara sebegini berlaku di dalam masyarakat kita, pemimpin negara harus tampil dengan cadangan dan penyelesaian agar orang-orang sebegini terus diberikan penerangan dan pengajaran yang setimpal.
Bukan kerana hendak undi, mereka sanggup gadaikan maruah bangsa dan kerana kemaruk nak memerintah negara mereka sanggup jual bangsa sendiri demi kehendak dan cita-cita peribadi itu.
Pada pendapat saya, saya juga mahukan persaingan sihat antara kita dan bangsa-bangsa lain tidak kira dalam apa jua aspek seperti peluang pekerjaan, bantuan pendidikan dan juga peluang perniagaan.
Tetapi buat masa ini kita perlu jelas yang kedudukan kita masih tidak stabil dan kita masih belum bersedia untuk bersaing secara terbuka tanpa hak yang sepatutnya milik kita dipertahankan.
Sebagai rakyat Malaysia dan rakyat pribumi negara ini, saya tidak malu menyatakan hal ini kerana apa yang kita pertahankan bukan semata-mata Perlembagaan negara tetapi ianya lebih daripada itu, ianya ada maruah dan hak kita sebagai kaum peribumi di negara ini.
Inilah negara kita, ayah kita, datuk kita, moyang kita dan ia diturunkan kepada kita oleh generasi-generasi terdahulu yang giat bangun mempertahankan hak kita tatkala ia cuba diceroboh oleh penjajah suatu ketika dulu.
Ketika itu, mereka tidak bejuang untuk mempertahankan perlembagaan kerana ia tidak wujud sekalipun tetapi mereka berjuang untuk anak cucu mereka terus menjadi tuan di tanah ini, bukan anjing pada Belanda, Portugis, Ingeris mahupun Jepun.
Hasil penat lelah dan pengorbanan mereka, sekarang kita ingin melenyapkan hak itu sesuka hati, semudah ABC tanpa mengambil kira semua faktor sejarah dan sosio-budaya?
Nyata mereka ini manusia yang jumud, tidak tahu mengenang jasa dan budi nenek moyang sendiri semata-mata kerana wang dan harta yang banyak serta pemikiran yang dianggap sebagai logik.
Saya adalah seorang yang suka bergaul dengan semua kaum dan tidak suka mengamalkan sikap perkauman tetapi bila isu ini timbul, saya rasa terpanggil untuk saya meluahkan isi hati saya yang sudah lama terbuku ini.
Tinggalkan isu-isu sensetif ini dan berikan fokus kita dalam menjayakan misi negara ke arah pembangunan dan kemajuan kerana ia tidak akan berhasil jika kita asyik berbalah satu sama lain.
Mari kita bersama-sama bersatu padu seperti slogan yang dicanangkan oleh YAB Perdana Menteri kita iaitu 1Malaysia dan jadikan aspirasi 1Malaysia ini sebagai batu loncatan untuk kita lebih memahami sesuatu kaum dan agama masing-masing untuk kita lebih sensetif dengan apa-apa jua isu yang berkenaan dengan kaum masing-masing.
Akhir kata, saya suka memetik slogan daripada rancangan Melodi iaitu ’kurangkan kontroversi, tingkatkan prestasi’ agar kita sama-sama dapat membawa Malaysia ke arah pembangunan yang lebih gemilang supaya impian Malaysia menjadi sebagai negara maju pada tahun 2020 akan menjadi kenyataan.
Sokong Plan Transformasi Negara
Tuesday, 16 March 2010
Pertahankan Perkara 153
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment