Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Monday 8 June 2009

Kerajaan Perpaduan Perlu Wujud

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Sekalung tahniah saya ucapkan kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengekalkan kedudukan sebagai Presiden PAS pada Muktamar PAS kali ke 55 yang lalu.

Pada majlis tersebut juga, beliau telah membuat satu cadangan yang baik dengan mengemukakan idea mengenai pembentukan kerajaan perpaduan yang disifatkan mampu menyelesaikan masalah dalaman negara ini.

Walaupun idea ini mendapat sambutan baik oleh kebanyakan pemimpin kerajaan tetapi rata-rata masih menyatakan akan perlunya idea ini dikaji dan dibincangkan terlebih dahulu sebelum ianya diambil untuk diterapkan.

Pada pendapat saya, amat perlu idea ini diperhalusi dan kerajaan perlu mengambil kesempatan yang baik ini untuk bekerjasama dengan PAS supaya rakyat tidak lagi bingung dan pelik dengan fenomena politik yang melanda negara kita.

Idea ini harus bebas daripada agenda peribadi mahupun agenda politik mana-mana pihak tetapi ia perlu meletakkan kepentingan rakyat supaya kebajikan rakyat dan pembangunan negara dapat dijalankan dengan jayanya.

Saya yakin, rakyat juga tidak sabar-sabar menantikan gabungan BN-PAS untuk kesejahteraan negara demi mendaulatkan agama, bangsa dan negara.

Tetapi apa yang penting sekali adalah kestabilan politik negara ini perlu dikekalkan bagi meneruskan dan mengekalkan kestabilan negara ini supaya negara akan terus aman makmur.

Selain itu, pengembangan ekonomi negara juga terut bergantung pada kestabilan negara yang kita kecapi selama ini bagi menjamin pelaburan akan terus masuk ke negara kita.

Negara yang makmur sentiasa menarik perhatian pelabur yang sentiasa menganggap pelaburan mereka boleh mendapat untung sekiranya negara itu aman dan stabil.

Dengan visi 1Malaysia yang dibawa oleh Datuk Seri Najib Razak, beliau seharusnya mengambil serius akan pandangan pembentukkan kerajaan perpaduan ini dan harus mendapat kata putus yang sepakat.

Di pihak Datuk Seri Hadi Awang, beliau perlu menerangkan sejelas-jelasnya berkenaan konsep itu bukan sahaja kepada kerajaan malah kepada pakatan Rakyat sendiri agar tiada sebarang salah faham dan perpecahan yang berlaku kelak.

Perbincangan dua hala ini perlu bagi menyelesaikan kemelut politik yang selama ini membelenggu negara sehingga kesannya terpalit pada rakyat sendiri malah dapat kita lihat bagaimana orang sanggup melakukan apa sahaja yang boleh demi mencapai agenda masing-masing.

Saya menyeru agar politik lapuk dan kotor seperti politik wang dan fitnah memfitnah dihapuskan sama sekali kerana ini bukan sahaja menghantui parti lain malah PAS juga tidak lari daripada masalah yang berkenaan.

Saya insan yang kerdil ini hanya mampu berdoa agar senario politik negara akan kembali bersih dan menumpukan kepada kestabilan negara serta pembangunan rakyat agar sama-sama kita mengecapi keuntungan yang dituai daripada bumi kita yang bertuah ini.

No comments:

Post a Comment