Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Saturday, 27 June 2009

Bukti Kuasa Allah S.W.T

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Minggu Haluansiswa yang sepatutnya bermula pada keesokan harinya dijangka hambar kerana hampir keseluruhan aktiviti akan dijalankan dikolej kediaman sahaja tanpa melibatkan mana-mana kawasan untuk semua ‘freshie’ dari kolej-kolej lain berkumpul.

Ini telah disahkan sendiri oleh Pengetua Kolej Kediaman Pertama, Dr. Woo semasa memberi taklimat tergempar kepada semua Pembantu Mahasiswa (PM) ASTAR.

Tindakan ini sebagai langkah proaktif Universiti Malaya untuk menghalang pembawaan atau penularan virus berbahaya sekarang, Influenze A H1N1 ke sekitar kampus UM.

Rata-rata PM bukan sahaja di ASTAR malah di kolej-kolej lain tampak sunggul dan pasrah dengan arahan daripada pihak pengurusan UM sendiri sekaligus membawa sejarah Haluansiswa yang tersendiri.

Setelah saya sendiri merujuk senior-senior yang saya kenal, belum ada kes sebegini berlaku sehingga berlaku rombakan hampir 100% terhadap program haluansiswa ini.

Minggu yang sepatutnya sarat dengan pelbagai pertandingan debat, seni dan sukan menjadi kosong apabila semua aktiviti luar kolej dibatalkan dan diubah menjadi aktiviti di dalam kolej bersama PM masing-masing.

Ini adalah bukti pepatah ‘manusia hanya merancang tetapi Allah yang menentukan segala-galanya.’

Mungkin umat manusia dan umat Islam khususnya perlu menilai kembali mengapa bala begini diturunkan terhadap negara kita buat masa ini.

Sehingga kini, dilaporkan seramai lebih kurang 80 orang sudah positif H1N1 yang terdiri daripada kes import yakni kes yang mana pesakit pernah melancong atau belajar di tempat terdedah kepada wabak ini dan membawa virus itu ke negara kita malah ada juga kes yang menular dikalangan rakyat tempatan.

Selain itu, 7 sekolah di sekitar Lembah Klang telah ditutup untuk dikuarantinkan sementara kerana beberapa kes telah pun dikenalpasti merebak di sekolah-sekolah berkenaan.

Tindakan merombak keseluruhan program haluansiswa ini sejajar dengan langkah pencegahan dan untuk mengelak sebarang penularan wabak ini di dalam kampus yang juga menempatkan sebilangan pelajar luar negara di kolej kediaman ke 11.

Jika dilihat kepada persiapan yang telah dilalui oleh PM iaitu 3 fasa kem, latihan di kolej masing-masing, gerak kerja biro masing-masing, malah semangat dan pengorbanan yang telah dicurah dan diberikan oleh PM selama sebulan yang lalu dilihat seperti sia-sia dengan berita tergempar ini.

Tetapi sebagai seorang siswa yang intelek, kita perlu juga melihat daripada sudut negative dan bukan hanya membangkit isu positif sahaja.

Apa yang saya dapat jangkakan adalah PM dan freshie akan dapat meluangkan masa lebih banyak seterusnya dapat mengeratkan lagi silaturrahim antara senior dan junior.

Ini penting terutamanya bagi menjayakan projek-projek kolej serta mencari bakat-bakat baru tidak kira dalam seni, sukan, debat mahupun dari segi kepimpinan sekalipun kerana mereka adalah penyambung generasi mahasiswa kolej kediaman masing-masing sekarang ini.

Ini juga memberi satu cabaran yang kritikal terutamanya kepada PM untuk mengubahsuai jadual haluansiswa bersesuaian dengan keadaan semasa agar objektif dan natijah haluansiswa ini tercapai bagi freshie akan datang.

Ia juga mencabar emosi masing-masing dengan keadaan rata-rata PM yang sudah keletihan bagi menyiapkan diri untuk menjalani haluansiswa yang sudah dirancang, tiba-tiba berubah menyebabkan semua PM dalam keadaan kelam kabut.

Sesungguhnya saya sudah menjangka akan terdapat perubahan demi perubahan semakin kita menghampiri minggu tersebut tetapi hal ini nyata lari dari jangkaan saya kerana ia jelas menyimpang jauh dan berubah 100% daripada sedia ada.

Alhamdulillah dugaan Allah ini sebenarnya memberikan satu pengalaman baru kepada saya sebelum saya meninggalkan kolej dan kampus tercinta ini.

Hasrat untuk menjadi PM tercapai walaupun cara dan penyelarasannya mungkin berbeza tetapi niat di hati tetap perlu kita betulkan demi membantu adik-adik kita yang akan datang esok hari.

Nasihat saya pada semua orang, mari kita sama-sama berdoa kepada Allah supaya kampus kita ini terhindar daripada sebarang wabak berbahaya dan bala bencana lain supaya tiada kekecohan yang timbul selepas ini.

Insyaalah PM kolej kediaman Pertama akan mengadakan satu solat hajat malam ini bagi memohon agar dihindarkan bala bencana daripada berlaku di dalam kolej kami khususnya dan Universiti Malaya amnya.

Sesungguhnya hanya Allah yang Maha mengetahui segalanya dan perancangan Allah itu adalah perancangan yang paling sempurna dan terbaik bagi kita umat manusia di seluruh alam.

1 comment:

  1. Jangan lah belum duduk sudah pun melunjur....

    ReplyDelete