Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Tuesday, 23 June 2009

Minggu Yang Menggetirkan

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Alhamdulillah saya diberikan kesempatan untuk mencoretkan sedikit cebisan rasa hati ini setalah sekian lama menyepi di alam maya ini.

Minggu ini bakal menjadi satu minggu yang sangat getir terutamanya kepada rakan-rakan pembantu mahasiswa kolej-kolej kediaman mahupun sentral.

Antaranya adalah gerak kerja dan persiapan terakhir pembantu mahasiswa bagi menyiapkan diri masing-masing dan juga kolej kediaman mereka untuk menyambut adik-adik baru yang akan hadir pada 28 Jun 2009 iaitu Ahad ini.

Dikhabarkan setiap kolej akan mendapat purata sejumlah 290-300 penghuni baru akan tetapi profil yang lain seperti bilangan mengikut jantina dan fakulti masih tidak dapat dipastikan lagi kerana senarai nama penuh masih belum didapati lagi.

Minggu ini juga bakal menjadi minggu yang paling memenatkan bagi pembantu mahasiswa bukan sahaja dari segi fizikal malah juga daripada mental kerana setiap gerak kerja yang sudah dirancang harus disiapkan dalam minggu ini juga.

Akan tetapi saya yakin dan percaya rakan pembantu mahasiswa rata-rata sudah lali dan dapat menerima keadaan ini dengan hati terbuka selain dapat bekerjasama sebagai satu pasukan bagi meringankan beban masing-masing.

Perjuangan mulia ini sememangnya satu pengorbanan yang besar buat mereka untuk bersama-sama mencapai matlamat yang mereka sasarkan seterusnya menjayakan Minggu Haluansiswa dengan penuh gilang gemilang.

Input yang diperlolehi daripada kem induksi kolej kediaman masing-masing mahupun daripada Biro Tatanegara perlu diambil agar kita dapat mengaplikasikan segalanya bagi memudahkan kerja-kerja kita secara langsung mahupun tidak langsung.

Saya juga turut teruja menanti saat hadirnya minggu Haluansiswa tatkala ini mungkin minggu Haluansiswa yang terakhir untuk saya lalui bersama-sama pembantu mahasiswa yang lain.

Justeru itu, saya akan membimbing adik-adik serta rakan pembantu mahasiswa dengan ilmu dan pengalaman yang ada agar mereka dapat meneruskan legasi dan kesinambungan minggu Haluansiswa Universiti Malaya seperti tahun-tahun sebelumnya.

Dalam lawatan saya ke beberapa kolej kediaman, saya dapat perhatikan, para pembantu mahasiswa sudah tidak sabar dan sudah hampir bersedia bagi menerima kehadiran penghuni baru ini.

Walaupun kepenatan, saya dan beberapa rakan seperjuangan sempat berkongsi ilmu dan pengalaman bersama para pembantu mahasiswa kolej kediaman serta mendapatkan maklum balas berkenaan persiapan dan masalah-masalah yang mereka hadapi bagi agar kami dapat mengutarakan terus ke peringkat pentadbiran supaya ia boleh diselesaikan.

Menjadi pembantu mahasiswa bukan hanya sekadar pada minggu Haluansiswa, akan tetapi nama ‘pembantu mahasiswa’ itu akan terus abadi selamanya kerana mereka akan kekal sebagai pembimbing kepada adik-adik di kolej kediaman.

Ini kerana perjuangan kita tidak terhenti sekadar haluansiswa dan pemimpin seharusnya memandang jauh ke depan kerana perjuangan kita tidak akan berhenti malah ia akan menjadi semakin sukar di setiap peringkat.

Oleh itu, kita selaku pemimpin perlu menjadi pemikir dan menilai setiap masalah ini supaya kita boleh mencari jalan menyelesaikan dengan cara damai dan berilmiah tanpa perlu menanjurkan sebarang demonstrasi mahupun kekecohan.

Saya juga ingin menasihati pembantu mahasiswa yang juga bakal menjadi pemimpin tertinggi di kolej-kolej kediaman kelak supaya peka dengan segala isu terkini dalam mahupun luar kampus agar kita dapat menolak sebarang fitnah dan berita palsu jika ada kita dengari.

Pembantu mahasiswa perlu bertindak bijak dan menerangkan hal yang sebenarnya kepada adik-adik yang bakal masuk kelak supaya mereka tidak terus dibelenggu fitnah yang ditebar kumpulan tidak bertanggungjawab seterusnya mencipta perpecahan antara satu sama lain.

Pembantu mahasiswa juga mempunyai tanggungjawab yang berat untuk menyemai rasa cintakan kolej kediaman serta menitikberatkan konsep perpaduan dikalangan penghuni kolej kediaman bagi menuju aspirasi kerajaan ke arah 1Malaysia.

Oleh itu, tidak salah pengurusan UM menggunakan tema Minggu Haluansiswa kali ini iaitu ‘UM is ONE, Towards 1Malaysia’ bagi memupuk rasa kasih dan sayang antara satu sama lain serta mengukuhkan lagi perpaduan di kalangan mahasiswa UM.

Walaupun masih ramai yang kabur mengenai konsep 1Malaysia yang digagaskan oleh Dato Seri Najib, Perdana Menteri Malaysia ini tetapi saya senang melihat rata-rata mahasiswa dapat menerimanya dan mengambil konsep ini pada sudut yang positif bagi meneruskan agenda perpaduan dikalangan adik-adik baru kita nanti.

Selain itu, pembantu mahasiswa juga perlu menerapkan budaya yang berilmu kepada adik-adik baru kita kerana itu adalah perkara utama kenapa mereka menjejakkan kaki ke UM.

Pembantu mahasiswa bertanggungjawab memberi panduan dan penerangan secukupnya bagi mengelakkan mereka terjerumus ke kancah yang tidak sihat terutamanya terlibat dengan perkara-perkara ekstrim dan juga politik luar dengan mengajak mereka meceburkan diri dalam aktiviti dan projek kolej agar mereka dapat memperoleh nilai tambah yang secukupnya agar mereka dapat mengimbangi kecemerlangan akademik mereka.

Yang paling penting adalah pembantu mahasiswa perlu menjaga kebajikan adik-adik baru ini dengan baik dan memahami keperluan mereka sebagai mahasiswa UM.

Setiap mahasiswa mahu dirinya dibela dan kebajikan mereka terjaga bukan sahaja di kolej kediaman malah di seluruh kampus ini juga.

Oleh itu, aspek kebajikan bukan satu aspek yang remeh-temeh bahkan ia boleh menjadi isu yang mengegarkan seluruh kampus jika ia tidak ditangani dengan bijak dan berhemah.

Suka untuk saya ingatkan kepada pembantu mahasiswa untuk turut menitikberatkan aspek agama dalam minggu haluansiswa yang bakal ditempuh minggu depan.

Dikala masing-masing sibuk dengan persiapan debat, sukan mahupun kesenian, ilmu agama terutamanya aspek Islam perlu juga diterapkan kepada adik-adik baru ini bagi mengelakkan mereka mempunyai tanggapan buruk pada pembantu mahasiswa sendiri.

Pembantu mahasiswa yang bakal menjadi idola seharusnya mempunyai keperibadian yang baik dan seharusnya mempunyai ilmu agama secukupnya bagi berkongsi dengan adik-adik baru kita supaya kita dapat mengelakkan mereka ke lembah yang dimurkai Allah.

Patuhi waktu solat dan penuhkan pengisian surau secukupnya bagi menerapkan dan membiasakan diri adik-adik kita untuk sentiasa mendekati Allah agar rumah Allah tidak akan kosong sahaja selepas ini.

Pendek kata, pembantu mahasiswa perlu mempejuangkan empat aspek penting ini iaitu ilmu, agama, perpaduan dan kebajikan bagi meneruskan kesinambungan kepimpinan sedia ada di peringkat kolej mahupun di peringkat universiti.

Mudah-mudahan tugas dan amanah yang berat dipikul oleh pembantu mahasiswa ini akan dibalas dengan setimpalnya setelah mereka berjaya melakukannya secara ikhlas dan sempurna.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pembantu mahasiswa kolej-kolej kediaman dan juga sentral bagi menempung minggu yang menggetirkan ini seterusnya menghadapi Minggu Haluansiswa kelak.

Semoga segala perancangan dapat dijalankan dengan lancar dan setiap orang mendapat balasan serta pengalaman yang baik untuk meneruskan kehidupan kita di Universiti Malaya yang tercinta ini.

UM is ONE!!!

No comments:

Post a Comment