Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Tuesday, 9 June 2009

Pelajar SPM Wajib Lulus Bahasa Inggeris

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan.

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) di bawah pimpinan Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin ahkir-akhir ini tidak lekang dengan pelbagai isu dan cadangan baru yang diutarakan dengan niat memartabatkan lagi sistem pelajaran negara.

Belum habis dengan isu pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa inggeris (PPSMI) dibincangkan, Tan Sri Muhyiddin telah mengutarakan syor yang pelajar yang bakal mengambil peperiksaan Sijil Penilaian Menengah (SPM) dihadkan untuk mengambil maksimum 10 subjek sahaja.

Semalam, KPM sekali lagi mencuri tumpuan apabila Menterinya meminta pandangan umum berkenaan mewajibkan mata pelajaran bahasa inggeris dalam peperiksaan SPM sebagai mata pelajaran yang wajib lulus untuk menerima sijil SPM.

Bagi pendapat saya, setiap cadangan itu pasti ada pro dan kontra dan ini tidak ketinggalan bagi isu ini.

Kita perlu melihat secara menyeluruh, bukan sahaja masyarakat di bandar malah pelajar yang berasal di luar bandar perlu juga dititikberatkan untuk menjamin keadilan di setiap kelompok.

Saya yakin dan percaya, pelajar di bandar tidak mempunyai masalah dalam menguasai bahasa inggeris walaupun masih ada segelintir pelajar di bandar yang masih keciciran dalam subjek ini.

Inikan pula jika kita ingin wajibkan bahasa inggeris untuk lulus kepada pelajar luar bandar yang pada pendapat saya masih banyak kelemahan terutamanya dalam penguasaan bahasa Inggeris.

Bukan niat saya ingin membuka pekung orang ataupun menghina sesiapa tetapi ini adalah realiti dan pengalaman saya sendiri apabila turun ke sekolah-sekolah luar bandar bagi melihat sejauh mana kemampuan mereka.

Cara hidup dan pengaruh sekeliling yang jauh berbeza antara kawasan bandar dan luar bandar juga mungkin menjadi faktor perbezaan ketara dan penyebab jurang penguasaan bahasa inggeris antara dua kawasan ini.

Di bandar serba serbi lengkap dengan kemudahan sekolah yang canggih, kelas tusyen yang bagus dan ibu bapa yang berkemampuan untuk berhabis wang memberi pelajaran pada anak-anak mereka.

Di luar bandar sosio-ekonomi mereka tidak semaju di bandar dan mereka mungkin mengharapkan guru di sekolah sahaja bagi memperoleh ilmu dan yang lain terpulang pada diri mereka masing-masing.

Guru juga merupakan faktor yang penting dalam merealisasikan idea ini kerana guru adalah penyumbang kepada ilmu yang bakal digapai oleh anak-anak bangsa kita ini.

Guru perlu dibimbing dengan lebih baik dan diberi pengajaran yang lebih intensif terutamanya dalam bahasa Inggeris sebelum idea ini diwajibkan ke peperiksaan SPM.

Mengikut statistik SPM yang lalu, pelajar yang lulus mata pelajaran ini adalah di sekitar 70% dan ini bermakna jika idea ini dijalankan, lebih kurang 30% pelajar akan keciciran dan gagal menerima sijil mereka, suatu jumlah yang besar jika difikirkan kembali.

Kita menerima bahasa inggeris sebagai bahasa lingua franca, bahasa ilmu dan bahasa kedua dalam negara ini tetapi subjek ini tidak sepatutnya menjadi subjek ‘paksaan’ kepada pelajar.

Pengalaman saya sendiri memasuki tadika yang keseluruhan pembelajaran dalam bahasa inggeris dengan 'bergembira' banyak memberi kelebihan kepada saya tetapi bagaimana pula rakan-rakan yang tidak berkesempatan seperti saya.

Kerajaan terutamanya KPM seharusnya membuka mata dan memandang realiti pelajaran negara kita sekarang dan bukan hanya ingin memandang ke arah kemajuan semata-mata.

Kemajuan tidak dapat dicapai jika asas yang cuba dibina itu tidak kukuh dan tidak dikaji secara menyeluruh.

Oleh itu, saya berpenderian idea mewajibkan bahasa inggeris sebagai subjek wajib lulus adalah suatu idea yang baik tetapi masih belum sampai waktunya untuk diwajibkan.

KPM harus memberi penekanan dalam melahirkan guru-guru berkualiti dan membuat kajian yang teliti serta mendapatkan suara ramai terutamanya pelajar sendiri untuk mendapat respon berkenaan idea ini.

Saya menyeru Tan Sri Muhyiddin agar turun padang dan berjumpa pelajar-pelajar sendiri kerana sebagai seorang pemimpin, kita tidak harus bertindak sebagai perancang sahaja malah kita perlu mendekati rakyat di setiap peringkat umur, tak kira tua atau muda.

Saya yakin dan percaya, dengan adanya pimpinan yang baik dalam kementerian yang berkenaan pelajaran dan pengajian tinggi ini mampu mencorak masa depan negara bagi melahirkan pelajar yang berkualiti justeru membimbing muda-mudi harapan bangsa menjadi pemimpin yang berkualiti kelak.

Semoga negara kita akan terus memartabatkan pelajaran dalam negara bagi menjamin negara akan terus maju setapak ke hadapan bagi menjamin kestabilan dan kesejahteraan rakyat.

2 comments:

  1. tapi sekurang-kurangnya lulus yg dimaksudkan ialah 8E,rsnya xde masalah sgt.Nk lulus je,bukan terlalu berkualiti tinggi.At least(hah,aku guna BI dah),asalkn dpt dibuktikn bhw dgn kelulusan ni menandakan bahawa mereka tau & fhm skit tentang asas2 BI.Takkn la nk calon siswa siswi yg x tau langsung BI masuk IPT bukan?Lagi susah nk ikut p'bljrn BI yg mn diwajibkn di IPT skang ni.

    ReplyDelete
  2. pendapat saya wajib lulus Bi dalam SPM adalah sesuatu yang sangat wajar.kata orang dan kata
    saya sendiri "dimana ada kemahuan di situ ada jalan".benar!..........

    ReplyDelete