Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Thursday, 17 September 2009

Selamat Menyambut Hari Raya AidilFitri 1430H

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia

Setelah sebulan umat Islam menjalani ibadat puasa serta ibadat-ibadat lain di bulan Ramadhan yang mulia ini, kini tibanya masa bagi kita menyambut hari kejayaan yakni detik 1 Syawal, Hari Raya AidilFitri.

Hari yang merupakan salah satu hari keraian bagi umat Islam seperti yang di Hadiskan oleh Rasullullah S.A.W bakal menjelang tiba beberapa hari lagi dan semestinya hari yang paling dinanti-nantikan oleh setiap umat Islam tak kira muda mahupun yang sudah berusia.

Walau bagaimanapun, kita seharusnya merindui Ramadhan yang bakal meninggalkan kita dan sentiasa mengharapkan segala amalan di bulan yang mulia ini akan diterima oleh Allah dan kemenangan yang bakal disambut kelak merupakan kemenangan mutlak diri kita masing-masing.

Setelah sebulan kita menahan lapar dan dahaga serta mengelakkan diri daripada perkara maksiat yang boleh membatalkan puasa, usaha ini perlu diteruskan bukan setakat bulan Ramadhan malah sepatutnya dijalankan sepanjang tahun sehingga kita berjumpa semula dengan Ramadhan.

AidilFitri yang bakal disambut sepatutnya menjadi satu platform untuk kita menilai sejauh mana amalan kita di bulan Ramadhan dan ia sepatutnya menjadi 1 hari di mana kita meraikan kejayaan kita manakluk nafsu kita ini.

AidilFitri yang bakal bermula dengan laungan Takbir sepatutnya mengingatkan kita agar sentiasa mengingati kebesaran Allah di mana hanya Allah sahaja yang tahu sama ada amalan kita ini sebenarnya diterima mahupun ditolak.


Oleh itu, perbanyakkan doa kepada ilahi agar setiap amalan yang kita lakukan di bulan Ramadhan tidak menjadi sia-sia malah ia akan membawa kebaikan kepada kita serta memberi kita nafas baru dalam meneruskan sasi baki kehidupan kita.

Sempena hari yang mulia ini, saya menyarankan agar kita menyambutnya dengan penuh keinsafan dan kesederhanaan tanpa membabitkan pembaziran tidak kira dari segi hiasan diri, makanan mahupun persiapan yang lain kerana itu sesungguhnya merupakan amalan syaitan.

Saya juga ingin menasihati rakan-rakan supaya tidak melepaskan peluang berpuasa 6 hari di bulan Syawal ini kerana berkatnya sangat besar dan ianya merupakan satu amalan yang sangat dituntut dalam Islam.

Kepada yang sudah bersiap sedia untuk pulang ke kampung halaman, saya doakan anda semua pulang dengan selamat dan berhati-hati di jalan raya terutamanya bagi mereka yang akan memandu dan ingat pada mereka yang tersayang sedang menunggu kepulangan kita dengan selamat.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya AidilFitri buat ahli keluarga saya, rakan-rakan terutamanya warga ASTAR dan juga kepada seluruh umat Islam diseluruh negara, semoga Ramadhan yang lalu memberi 1001 erti pada kita dan jadikan Syawal ini sebagai bulan bagi meghargai pengorbanan kita.

Sama-sama kita doakan agar umur kita dipanjangkan untuk bertemu semula dengan Ramadhan pada tahun akan datang dengan niat untuk memperbanyakkan lagi ibadat seterusnya menginfakkan lebih banyak masa kepada Allah S.W.T untuk memohon keredhaan, ketaqwaan dan keampunan daripada Allah.

Saya juga ingin memohon maaf zahir dan batin kepada semua yang mengenali diri saya ini agar tautan ukhwah di antara kita akan terus berkekalan malah mengharapkan perpaduan antara kita akan sentiasa kukuh untuk menempuh sisa hidup di atas muka bumi Allah ini.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI..MAAF ZAHIR DAN BATIN.

Tulus Ikhlas,
Muhammad Hafizzuddin Bin Baharin

No comments:

Post a Comment