Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Saturday 27 June 2009

Bukti Kuasa Allah S.W.T

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Minggu Haluansiswa yang sepatutnya bermula pada keesokan harinya dijangka hambar kerana hampir keseluruhan aktiviti akan dijalankan dikolej kediaman sahaja tanpa melibatkan mana-mana kawasan untuk semua ‘freshie’ dari kolej-kolej lain berkumpul.

Ini telah disahkan sendiri oleh Pengetua Kolej Kediaman Pertama, Dr. Woo semasa memberi taklimat tergempar kepada semua Pembantu Mahasiswa (PM) ASTAR.

Tindakan ini sebagai langkah proaktif Universiti Malaya untuk menghalang pembawaan atau penularan virus berbahaya sekarang, Influenze A H1N1 ke sekitar kampus UM.

Rata-rata PM bukan sahaja di ASTAR malah di kolej-kolej lain tampak sunggul dan pasrah dengan arahan daripada pihak pengurusan UM sendiri sekaligus membawa sejarah Haluansiswa yang tersendiri.

Setelah saya sendiri merujuk senior-senior yang saya kenal, belum ada kes sebegini berlaku sehingga berlaku rombakan hampir 100% terhadap program haluansiswa ini.

Minggu yang sepatutnya sarat dengan pelbagai pertandingan debat, seni dan sukan menjadi kosong apabila semua aktiviti luar kolej dibatalkan dan diubah menjadi aktiviti di dalam kolej bersama PM masing-masing.

Ini adalah bukti pepatah ‘manusia hanya merancang tetapi Allah yang menentukan segala-galanya.’

Mungkin umat manusia dan umat Islam khususnya perlu menilai kembali mengapa bala begini diturunkan terhadap negara kita buat masa ini.

Sehingga kini, dilaporkan seramai lebih kurang 80 orang sudah positif H1N1 yang terdiri daripada kes import yakni kes yang mana pesakit pernah melancong atau belajar di tempat terdedah kepada wabak ini dan membawa virus itu ke negara kita malah ada juga kes yang menular dikalangan rakyat tempatan.

Selain itu, 7 sekolah di sekitar Lembah Klang telah ditutup untuk dikuarantinkan sementara kerana beberapa kes telah pun dikenalpasti merebak di sekolah-sekolah berkenaan.

Tindakan merombak keseluruhan program haluansiswa ini sejajar dengan langkah pencegahan dan untuk mengelak sebarang penularan wabak ini di dalam kampus yang juga menempatkan sebilangan pelajar luar negara di kolej kediaman ke 11.

Jika dilihat kepada persiapan yang telah dilalui oleh PM iaitu 3 fasa kem, latihan di kolej masing-masing, gerak kerja biro masing-masing, malah semangat dan pengorbanan yang telah dicurah dan diberikan oleh PM selama sebulan yang lalu dilihat seperti sia-sia dengan berita tergempar ini.

Tetapi sebagai seorang siswa yang intelek, kita perlu juga melihat daripada sudut negative dan bukan hanya membangkit isu positif sahaja.

Apa yang saya dapat jangkakan adalah PM dan freshie akan dapat meluangkan masa lebih banyak seterusnya dapat mengeratkan lagi silaturrahim antara senior dan junior.

Ini penting terutamanya bagi menjayakan projek-projek kolej serta mencari bakat-bakat baru tidak kira dalam seni, sukan, debat mahupun dari segi kepimpinan sekalipun kerana mereka adalah penyambung generasi mahasiswa kolej kediaman masing-masing sekarang ini.

Ini juga memberi satu cabaran yang kritikal terutamanya kepada PM untuk mengubahsuai jadual haluansiswa bersesuaian dengan keadaan semasa agar objektif dan natijah haluansiswa ini tercapai bagi freshie akan datang.

Ia juga mencabar emosi masing-masing dengan keadaan rata-rata PM yang sudah keletihan bagi menyiapkan diri untuk menjalani haluansiswa yang sudah dirancang, tiba-tiba berubah menyebabkan semua PM dalam keadaan kelam kabut.

Sesungguhnya saya sudah menjangka akan terdapat perubahan demi perubahan semakin kita menghampiri minggu tersebut tetapi hal ini nyata lari dari jangkaan saya kerana ia jelas menyimpang jauh dan berubah 100% daripada sedia ada.

Alhamdulillah dugaan Allah ini sebenarnya memberikan satu pengalaman baru kepada saya sebelum saya meninggalkan kolej dan kampus tercinta ini.

Hasrat untuk menjadi PM tercapai walaupun cara dan penyelarasannya mungkin berbeza tetapi niat di hati tetap perlu kita betulkan demi membantu adik-adik kita yang akan datang esok hari.

Nasihat saya pada semua orang, mari kita sama-sama berdoa kepada Allah supaya kampus kita ini terhindar daripada sebarang wabak berbahaya dan bala bencana lain supaya tiada kekecohan yang timbul selepas ini.

Insyaalah PM kolej kediaman Pertama akan mengadakan satu solat hajat malam ini bagi memohon agar dihindarkan bala bencana daripada berlaku di dalam kolej kami khususnya dan Universiti Malaya amnya.

Sesungguhnya hanya Allah yang Maha mengetahui segalanya dan perancangan Allah itu adalah perancangan yang paling sempurna dan terbaik bagi kita umat manusia di seluruh alam.

Tuesday 23 June 2009

Minggu Yang Menggetirkan

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Alhamdulillah saya diberikan kesempatan untuk mencoretkan sedikit cebisan rasa hati ini setalah sekian lama menyepi di alam maya ini.

Minggu ini bakal menjadi satu minggu yang sangat getir terutamanya kepada rakan-rakan pembantu mahasiswa kolej-kolej kediaman mahupun sentral.

Antaranya adalah gerak kerja dan persiapan terakhir pembantu mahasiswa bagi menyiapkan diri masing-masing dan juga kolej kediaman mereka untuk menyambut adik-adik baru yang akan hadir pada 28 Jun 2009 iaitu Ahad ini.

Dikhabarkan setiap kolej akan mendapat purata sejumlah 290-300 penghuni baru akan tetapi profil yang lain seperti bilangan mengikut jantina dan fakulti masih tidak dapat dipastikan lagi kerana senarai nama penuh masih belum didapati lagi.

Minggu ini juga bakal menjadi minggu yang paling memenatkan bagi pembantu mahasiswa bukan sahaja dari segi fizikal malah juga daripada mental kerana setiap gerak kerja yang sudah dirancang harus disiapkan dalam minggu ini juga.

Akan tetapi saya yakin dan percaya rakan pembantu mahasiswa rata-rata sudah lali dan dapat menerima keadaan ini dengan hati terbuka selain dapat bekerjasama sebagai satu pasukan bagi meringankan beban masing-masing.

Perjuangan mulia ini sememangnya satu pengorbanan yang besar buat mereka untuk bersama-sama mencapai matlamat yang mereka sasarkan seterusnya menjayakan Minggu Haluansiswa dengan penuh gilang gemilang.

Input yang diperlolehi daripada kem induksi kolej kediaman masing-masing mahupun daripada Biro Tatanegara perlu diambil agar kita dapat mengaplikasikan segalanya bagi memudahkan kerja-kerja kita secara langsung mahupun tidak langsung.

Saya juga turut teruja menanti saat hadirnya minggu Haluansiswa tatkala ini mungkin minggu Haluansiswa yang terakhir untuk saya lalui bersama-sama pembantu mahasiswa yang lain.

Justeru itu, saya akan membimbing adik-adik serta rakan pembantu mahasiswa dengan ilmu dan pengalaman yang ada agar mereka dapat meneruskan legasi dan kesinambungan minggu Haluansiswa Universiti Malaya seperti tahun-tahun sebelumnya.

Dalam lawatan saya ke beberapa kolej kediaman, saya dapat perhatikan, para pembantu mahasiswa sudah tidak sabar dan sudah hampir bersedia bagi menerima kehadiran penghuni baru ini.

Walaupun kepenatan, saya dan beberapa rakan seperjuangan sempat berkongsi ilmu dan pengalaman bersama para pembantu mahasiswa kolej kediaman serta mendapatkan maklum balas berkenaan persiapan dan masalah-masalah yang mereka hadapi bagi agar kami dapat mengutarakan terus ke peringkat pentadbiran supaya ia boleh diselesaikan.

Menjadi pembantu mahasiswa bukan hanya sekadar pada minggu Haluansiswa, akan tetapi nama ‘pembantu mahasiswa’ itu akan terus abadi selamanya kerana mereka akan kekal sebagai pembimbing kepada adik-adik di kolej kediaman.

Ini kerana perjuangan kita tidak terhenti sekadar haluansiswa dan pemimpin seharusnya memandang jauh ke depan kerana perjuangan kita tidak akan berhenti malah ia akan menjadi semakin sukar di setiap peringkat.

Oleh itu, kita selaku pemimpin perlu menjadi pemikir dan menilai setiap masalah ini supaya kita boleh mencari jalan menyelesaikan dengan cara damai dan berilmiah tanpa perlu menanjurkan sebarang demonstrasi mahupun kekecohan.

Saya juga ingin menasihati pembantu mahasiswa yang juga bakal menjadi pemimpin tertinggi di kolej-kolej kediaman kelak supaya peka dengan segala isu terkini dalam mahupun luar kampus agar kita dapat menolak sebarang fitnah dan berita palsu jika ada kita dengari.

Pembantu mahasiswa perlu bertindak bijak dan menerangkan hal yang sebenarnya kepada adik-adik yang bakal masuk kelak supaya mereka tidak terus dibelenggu fitnah yang ditebar kumpulan tidak bertanggungjawab seterusnya mencipta perpecahan antara satu sama lain.

Pembantu mahasiswa juga mempunyai tanggungjawab yang berat untuk menyemai rasa cintakan kolej kediaman serta menitikberatkan konsep perpaduan dikalangan penghuni kolej kediaman bagi menuju aspirasi kerajaan ke arah 1Malaysia.

Oleh itu, tidak salah pengurusan UM menggunakan tema Minggu Haluansiswa kali ini iaitu ‘UM is ONE, Towards 1Malaysia’ bagi memupuk rasa kasih dan sayang antara satu sama lain serta mengukuhkan lagi perpaduan di kalangan mahasiswa UM.

Walaupun masih ramai yang kabur mengenai konsep 1Malaysia yang digagaskan oleh Dato Seri Najib, Perdana Menteri Malaysia ini tetapi saya senang melihat rata-rata mahasiswa dapat menerimanya dan mengambil konsep ini pada sudut yang positif bagi meneruskan agenda perpaduan dikalangan adik-adik baru kita nanti.

Selain itu, pembantu mahasiswa juga perlu menerapkan budaya yang berilmu kepada adik-adik baru kita kerana itu adalah perkara utama kenapa mereka menjejakkan kaki ke UM.

Pembantu mahasiswa bertanggungjawab memberi panduan dan penerangan secukupnya bagi mengelakkan mereka terjerumus ke kancah yang tidak sihat terutamanya terlibat dengan perkara-perkara ekstrim dan juga politik luar dengan mengajak mereka meceburkan diri dalam aktiviti dan projek kolej agar mereka dapat memperoleh nilai tambah yang secukupnya agar mereka dapat mengimbangi kecemerlangan akademik mereka.

Yang paling penting adalah pembantu mahasiswa perlu menjaga kebajikan adik-adik baru ini dengan baik dan memahami keperluan mereka sebagai mahasiswa UM.

Setiap mahasiswa mahu dirinya dibela dan kebajikan mereka terjaga bukan sahaja di kolej kediaman malah di seluruh kampus ini juga.

Oleh itu, aspek kebajikan bukan satu aspek yang remeh-temeh bahkan ia boleh menjadi isu yang mengegarkan seluruh kampus jika ia tidak ditangani dengan bijak dan berhemah.

Suka untuk saya ingatkan kepada pembantu mahasiswa untuk turut menitikberatkan aspek agama dalam minggu haluansiswa yang bakal ditempuh minggu depan.

Dikala masing-masing sibuk dengan persiapan debat, sukan mahupun kesenian, ilmu agama terutamanya aspek Islam perlu juga diterapkan kepada adik-adik baru ini bagi mengelakkan mereka mempunyai tanggapan buruk pada pembantu mahasiswa sendiri.

Pembantu mahasiswa yang bakal menjadi idola seharusnya mempunyai keperibadian yang baik dan seharusnya mempunyai ilmu agama secukupnya bagi berkongsi dengan adik-adik baru kita supaya kita dapat mengelakkan mereka ke lembah yang dimurkai Allah.

Patuhi waktu solat dan penuhkan pengisian surau secukupnya bagi menerapkan dan membiasakan diri adik-adik kita untuk sentiasa mendekati Allah agar rumah Allah tidak akan kosong sahaja selepas ini.

Pendek kata, pembantu mahasiswa perlu mempejuangkan empat aspek penting ini iaitu ilmu, agama, perpaduan dan kebajikan bagi meneruskan kesinambungan kepimpinan sedia ada di peringkat kolej mahupun di peringkat universiti.

Mudah-mudahan tugas dan amanah yang berat dipikul oleh pembantu mahasiswa ini akan dibalas dengan setimpalnya setelah mereka berjaya melakukannya secara ikhlas dan sempurna.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pembantu mahasiswa kolej-kolej kediaman dan juga sentral bagi menempung minggu yang menggetirkan ini seterusnya menghadapi Minggu Haluansiswa kelak.

Semoga segala perancangan dapat dijalankan dengan lancar dan setiap orang mendapat balasan serta pengalaman yang baik untuk meneruskan kehidupan kita di Universiti Malaya yang tercinta ini.

UM is ONE!!!

Tuesday 16 June 2009

Peristiwa hitam Tanah Melayu 16 Jun 1948

KESAN kemusnahan akibat perbuatan anggota PKM.

RAKYAT tempatan terutama generasi selepas merdeka sudah pasti tidak meletak sebarang keistimewaan kepada tarikh 16 Jun, walaupun mata pelajaran Sejarah Tingkatan 3 ada mencatat tarikh berkenaan dan peristiwa yang tercetus pada hari terbabit 61 tahun lalu.

Tanggal 16 Jun 1948 adalah hari bermulanya komunis Tanah Melayu mengganas tanpa ampun dan Kerajaan British ketika itu, menjalankan gerak gempur secara habis-habisan dengan mengisytiharkan darurat di bumi tercinta ini.

Pada pagi hari malang 61 tahun lalu itu, pengganas komunis menyerbu ke Estet Elpil, di Sungai Siput, Perak, dan tanpa teragak-agak menembak mati pengurusnya, Arthur E Walker, 50.

Pada masa sama, satu kumpulan lain menyerang ladang getah bersebelahan dengan membunuh pembantu pengurus, Ian Deare Christian, yang baru berusia 21 tahun, sebelum menembak mati pengurusnya, John Mun Allison.

Tiga tragedi pada pagi itu bukan saja mengejutkan penghuni ladang getah, bukan saja di Perak bahkan ke seluruh ladang di Tanah Melayu, yang hampir semuanya milik Inggeris dan ia dilihat sebagai kempen keganasan komunis yang memang sengaja disasarkan kepada bangsa British yang berada di tanah air ketika itu.

Mengimbau sejarah awal, ideologi komunis tiba di Tanah Melayu pada 1920-an terutama sekitar 1925. Imigran Cina membawa buku dan risalah mengenai ajaran komunis dan disebarkan di kalangan orang Cina di Tanah Melayu.
Hasil kegiatan mereka, guru dan pelajar sekolah Cina menubuhkan Liga Belia Komunis di Singapura pada 1926 dan ideologi komunis mula disebarkan, berpaksikan Parti Kuomintang (KMT) yang bekerjasama dengan Parti Komunis China (PKC), di China.

Perpecahan KMT-PKC pada 1927 menyebabkan PKC menghantar lima wakilnya ke Tanah Melayu dan berjaya menubuhkan Parti Komunis Nanyang di Singapura pada 1927, sebelum mewujudkan Parti Komunis Malaysia (PKM) pada 6 April 1930, yang beribu pejabat di Singapura.

PKM diarah untuk menyelia gerakan komunis di Thailand dan Indonesia, selain menjalankan kegiatannya di Tanah Melayu dan parti itu diletakkan di bawah Biro Komunis Antarabangsa Timur Jauh, yang berpusat di Shanghai.

Pada 6 Mac 1933, satu mesyuarat jawatankuasa pusat PKM diadakan di Singapura yang membuat ketetapan bahawa matlamat utama perjuangan PKM ialah menguasai Tanah Melayu dan menubuhkan Republik Komunis Malaya.
Sejak itu, PKM melancarkan gerakan aktif, mempengaruhi kesatuan sekerja, sekolah Cina dan pertubuhan Cina. Mereka berjaya menimbulkan kegelisahan di kalangan pekerja ketika zaman kemelesetan ekonomi 1930-an.

Antara strategi untuk melumpuhkan ekonomi dan politik Tanah Melayu ialah dengan mempengaruhi kesatuan sekerja melakukan mogok. Mogok terburuk berlaku di lombong bijih timah Batu Arang, Selangor pada 1937, di mana 6,000 pekerja merampas lombong terbabit.

Berikutan peristiwa itu, Kerajaan British mengisytiharkan Ordinan Buang Daerah (Banishment Ordinance) pada 1937 yang mengharamkan tindakan mogok. Hasilnya, ramai pemimpin dan anggota PKM ditangkap dan dikenakan hukuman sama ada dipenjara atau dihantar pulang ke China. Peristiwa ini sekali lagi melemahkan PKM.

Bagaimanapun, apabila Jepun menyerang China pada 1937, PKM memainkan peranan penting dalam membangkitkan perasaan anti-Jepun di kalangan orang Cina di Tanah Melayu.

PKM semakin mendapat ramai pengikut apabila Jepun menyerang Tanah Melayu, kerana ramai menganggap ia sebagai pelindung orang Cina daripada penindasan Jepun.

Sebelum Tanah Melayu dikuasai Jepun, anggota PKM yang dipenjarakan oleh British telah dibebaskan oleh British dengan harapan PKM yang anti-Jepun akan bekerjasama dengan British untuk menentang Jepun.

PKM menubuhkan pasukan tentera anti-Jepun yang dikenali sebagai Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA). Mereka mendapat latihan dan bantuan seperti makanan, senjata dan perubatan dari Pasukan Berikat. MPAJA juga mempunyai hubungan baik dengan Pasukan 136 yang ditubuhkan oleh British.

Apabila Jepun menyerah kalah, anggota PKM keluar dari hutan dan mengambil alih pentadbiran sebelum ketibaan pihak British dan pemerintahan selama dua minggu itu dikenali sebagai ‘Bintang Tiga’.

PKM meraikan kekalahan Jepun sebagai kemenangan mereka dan mendakwa merekalah bertanggungjawab mengalahkan Jepun di Tanah Melayu. Mereka merampas senjata tentera dan membalas dendam ke atas orang yang enggan bekerjasama, terutama yang menjadi ‘tali barut’ Jepun.

Akibat tindakan PKM, berlaku pergaduhan di antara kaum Melayu dengan Cina terutama di Perak dan Johor selepas pemerintahan Jepun. Apabila British kembali ke Tanah Melayu, mereka mengambilalih pentadbiran dari Bintang Tiga dan MPAJA dibubarkan.

Anggota MPAJA diminta menyerahkan senjata mereka kepada British. Bagaimanapun, ramai anggota MPAJA yang tidak menyerahkan senjata kerana tidak yakin dengan dasar British terhadap PKM.

PKM menuntut supaya mereka diberi hak dalam pentadbiran dan kerana mengenangkan jasa PKM bekerjasama dengan British menentang Jepun, PKM diterima sebagai parti yang sah.

Sejak itu, PKM mula menubuhkan cawangannya di seluruh Tanah Melayu dan semakin galak dalam misi untuk mencapai matlamat menguasai Tanah Melayu dan menubuhkan Republik Komunis Malaya.

PKM menjalankan gerakan secara aktif mempengaruhi parti politik, kesatuan sekerja, pertubuhan Cina dan sekolah Cina, dengan menubuhkan pelbagai kesatuan - tidak kurang 300 mogok umum dilancarkan kesatuan sekerja antara 1946-1947.

Pada 6 Mac 1947, satu mesyuarat jawatankuasa pusat PKM diadakan di Singapura bagi mengkaji semula dasar dan taktik PKM. Ketika itu, setiausaha agung PKM, Lai Tak menghilangkan diri bersama duit parti dan PKM jatuh ke tangan golongan radikal yang dipimpin Ong Boon Hua atau lebih dikenali rakyat Malaysia sebagai Chin Peng.

Pada 18 dan 19 Februari 1948, satu persidangan komunis diadakan di Calcutta, India dan dihadiri oleh perwakilan komunis dari Asia serta Australia. Persidangan Calcutta membuat ketetapan bahawa pemberontakan bersenjata mesti dijalankan bagi menjayakan matlamat perjuangan komunis.

Chin Peng yang ternyata terlalu ghairah untuk mewujudkan sebuah Republik Komunis Malaysia, tidak membuang masa mula mengubah taktiknya dengan memulakan kempen pemberontakan bersenjata.

PKM asalnya berhasrat memulakan revolusi bersenjata pada September 1948, tetapi disebabkan beberapa anggotanya tidak berdisiplin, tragedi 16 Jun 1948 telah berlaku.

Berikutan peristiwa ini, Kerajaan British mengisytiharkan darurat di seluruh Tanah Melayu pada 17 Jun 1948 dan Undang-undang darurat dikeluarkan pada 23 Julai 1948 - PKM diharamkan.

Akibat pengisytiharan darurat, anggota PKM melarikan diri ke dalam hutan untuk meneruskan perjuangan. Mereka menyerang tanpa mengira pasukan keselamatan atau orang awam; pejabat kerajaan serta balai polis menjadi sasarannya; sistem hubungan jalan raya dan jalan keretapi dimusnahkan.

Turut menjadi mangsa keganasan PKM ini ialah Pesuruhjaya Tinggi British, Henry Gurney, yang ditembak mati pada 6 Oktober 1951, ketika dia dalam perjalanan ke Bukit Fraser.

Ia menjalankan kutipan derma dan menggalakkan pemuda Cina di Tanah Melayu kembali ke China untuk menentang Jepun.

Hasilnya, PKM mula mendapat sokongan ramai terutama rakyat Cina di Tanah Melayu dan menjelang 1939, ia memiliki 37,000 ahli berdaftar.

Mengikut strategi ini, Chin Peng berharap dapat menguasai kawasan pedalaman di mana kawalan kerajaan amat lemah, sebelum menyerang dan menguasai bandar-bandar di sekitarnya, seterusnya menyerang serta menguasai seluruh Tanah Melayu.


Friday 12 June 2009

'SIS bercanggah Islam'

KUALA LUMPUR: Pas tetap menganggap Sisters In Islam (SIS) sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam kerana mendakwa banyak pandangan pertubuhan itu bercanggah dengan agama itu, selain menyalah guna nama Islam.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya pernah mengadakan perbincangan dengan kepemimpinan SIS untuk memperbetulkan pandangan mereka mengenai Islam.

"Pas pernah menghantar wakil, Dr Siti Mariah Mahmud (Ahli Parlimen Kota Raja) untuk menghadiri majlis dianjurkan SIS dan beliau turut menegur pandangan ahli SIS yang bercanggah dengan Islam," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Pas Pusat, di sini, semalam.

Muktamar Pas minggu lalu menerima usul untuk mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan menyiasat SIS dan mengharamkan pertubuhan itu jika terbukti bertentangan dengan syariat Islam.

Usul agama itu yang dikemukakan Pas Shah Alam dibuat selepas menyedari aliran dan pandangan SIS boleh mengelirukan rakyat dan mengancam akidah umat Islam.

Usul itu mengundang pelbagai persepsi daripada masyarakat termasuk Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang kelmarin menyertai kira-kira 322 NGO dan individu membantah gesaan Pas supaya SIS diharamkan.

Tuesday 9 June 2009

Pelajar SPM Wajib Lulus Bahasa Inggeris

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan.

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) di bawah pimpinan Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin ahkir-akhir ini tidak lekang dengan pelbagai isu dan cadangan baru yang diutarakan dengan niat memartabatkan lagi sistem pelajaran negara.

Belum habis dengan isu pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa inggeris (PPSMI) dibincangkan, Tan Sri Muhyiddin telah mengutarakan syor yang pelajar yang bakal mengambil peperiksaan Sijil Penilaian Menengah (SPM) dihadkan untuk mengambil maksimum 10 subjek sahaja.

Semalam, KPM sekali lagi mencuri tumpuan apabila Menterinya meminta pandangan umum berkenaan mewajibkan mata pelajaran bahasa inggeris dalam peperiksaan SPM sebagai mata pelajaran yang wajib lulus untuk menerima sijil SPM.

Bagi pendapat saya, setiap cadangan itu pasti ada pro dan kontra dan ini tidak ketinggalan bagi isu ini.

Kita perlu melihat secara menyeluruh, bukan sahaja masyarakat di bandar malah pelajar yang berasal di luar bandar perlu juga dititikberatkan untuk menjamin keadilan di setiap kelompok.

Saya yakin dan percaya, pelajar di bandar tidak mempunyai masalah dalam menguasai bahasa inggeris walaupun masih ada segelintir pelajar di bandar yang masih keciciran dalam subjek ini.

Inikan pula jika kita ingin wajibkan bahasa inggeris untuk lulus kepada pelajar luar bandar yang pada pendapat saya masih banyak kelemahan terutamanya dalam penguasaan bahasa Inggeris.

Bukan niat saya ingin membuka pekung orang ataupun menghina sesiapa tetapi ini adalah realiti dan pengalaman saya sendiri apabila turun ke sekolah-sekolah luar bandar bagi melihat sejauh mana kemampuan mereka.

Cara hidup dan pengaruh sekeliling yang jauh berbeza antara kawasan bandar dan luar bandar juga mungkin menjadi faktor perbezaan ketara dan penyebab jurang penguasaan bahasa inggeris antara dua kawasan ini.

Di bandar serba serbi lengkap dengan kemudahan sekolah yang canggih, kelas tusyen yang bagus dan ibu bapa yang berkemampuan untuk berhabis wang memberi pelajaran pada anak-anak mereka.

Di luar bandar sosio-ekonomi mereka tidak semaju di bandar dan mereka mungkin mengharapkan guru di sekolah sahaja bagi memperoleh ilmu dan yang lain terpulang pada diri mereka masing-masing.

Guru juga merupakan faktor yang penting dalam merealisasikan idea ini kerana guru adalah penyumbang kepada ilmu yang bakal digapai oleh anak-anak bangsa kita ini.

Guru perlu dibimbing dengan lebih baik dan diberi pengajaran yang lebih intensif terutamanya dalam bahasa Inggeris sebelum idea ini diwajibkan ke peperiksaan SPM.

Mengikut statistik SPM yang lalu, pelajar yang lulus mata pelajaran ini adalah di sekitar 70% dan ini bermakna jika idea ini dijalankan, lebih kurang 30% pelajar akan keciciran dan gagal menerima sijil mereka, suatu jumlah yang besar jika difikirkan kembali.

Kita menerima bahasa inggeris sebagai bahasa lingua franca, bahasa ilmu dan bahasa kedua dalam negara ini tetapi subjek ini tidak sepatutnya menjadi subjek ‘paksaan’ kepada pelajar.

Pengalaman saya sendiri memasuki tadika yang keseluruhan pembelajaran dalam bahasa inggeris dengan 'bergembira' banyak memberi kelebihan kepada saya tetapi bagaimana pula rakan-rakan yang tidak berkesempatan seperti saya.

Kerajaan terutamanya KPM seharusnya membuka mata dan memandang realiti pelajaran negara kita sekarang dan bukan hanya ingin memandang ke arah kemajuan semata-mata.

Kemajuan tidak dapat dicapai jika asas yang cuba dibina itu tidak kukuh dan tidak dikaji secara menyeluruh.

Oleh itu, saya berpenderian idea mewajibkan bahasa inggeris sebagai subjek wajib lulus adalah suatu idea yang baik tetapi masih belum sampai waktunya untuk diwajibkan.

KPM harus memberi penekanan dalam melahirkan guru-guru berkualiti dan membuat kajian yang teliti serta mendapatkan suara ramai terutamanya pelajar sendiri untuk mendapat respon berkenaan idea ini.

Saya menyeru Tan Sri Muhyiddin agar turun padang dan berjumpa pelajar-pelajar sendiri kerana sebagai seorang pemimpin, kita tidak harus bertindak sebagai perancang sahaja malah kita perlu mendekati rakyat di setiap peringkat umur, tak kira tua atau muda.

Saya yakin dan percaya, dengan adanya pimpinan yang baik dalam kementerian yang berkenaan pelajaran dan pengajian tinggi ini mampu mencorak masa depan negara bagi melahirkan pelajar yang berkualiti justeru membimbing muda-mudi harapan bangsa menjadi pemimpin yang berkualiti kelak.

Semoga negara kita akan terus memartabatkan pelajaran dalam negara bagi menjamin negara akan terus maju setapak ke hadapan bagi menjamin kestabilan dan kesejahteraan rakyat.

Monday 8 June 2009

Kerajaan Perpaduan Perlu Wujud

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Sekalung tahniah saya ucapkan kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengekalkan kedudukan sebagai Presiden PAS pada Muktamar PAS kali ke 55 yang lalu.

Pada majlis tersebut juga, beliau telah membuat satu cadangan yang baik dengan mengemukakan idea mengenai pembentukan kerajaan perpaduan yang disifatkan mampu menyelesaikan masalah dalaman negara ini.

Walaupun idea ini mendapat sambutan baik oleh kebanyakan pemimpin kerajaan tetapi rata-rata masih menyatakan akan perlunya idea ini dikaji dan dibincangkan terlebih dahulu sebelum ianya diambil untuk diterapkan.

Pada pendapat saya, amat perlu idea ini diperhalusi dan kerajaan perlu mengambil kesempatan yang baik ini untuk bekerjasama dengan PAS supaya rakyat tidak lagi bingung dan pelik dengan fenomena politik yang melanda negara kita.

Idea ini harus bebas daripada agenda peribadi mahupun agenda politik mana-mana pihak tetapi ia perlu meletakkan kepentingan rakyat supaya kebajikan rakyat dan pembangunan negara dapat dijalankan dengan jayanya.

Saya yakin, rakyat juga tidak sabar-sabar menantikan gabungan BN-PAS untuk kesejahteraan negara demi mendaulatkan agama, bangsa dan negara.

Tetapi apa yang penting sekali adalah kestabilan politik negara ini perlu dikekalkan bagi meneruskan dan mengekalkan kestabilan negara ini supaya negara akan terus aman makmur.

Selain itu, pengembangan ekonomi negara juga terut bergantung pada kestabilan negara yang kita kecapi selama ini bagi menjamin pelaburan akan terus masuk ke negara kita.

Negara yang makmur sentiasa menarik perhatian pelabur yang sentiasa menganggap pelaburan mereka boleh mendapat untung sekiranya negara itu aman dan stabil.

Dengan visi 1Malaysia yang dibawa oleh Datuk Seri Najib Razak, beliau seharusnya mengambil serius akan pandangan pembentukkan kerajaan perpaduan ini dan harus mendapat kata putus yang sepakat.

Di pihak Datuk Seri Hadi Awang, beliau perlu menerangkan sejelas-jelasnya berkenaan konsep itu bukan sahaja kepada kerajaan malah kepada pakatan Rakyat sendiri agar tiada sebarang salah faham dan perpecahan yang berlaku kelak.

Perbincangan dua hala ini perlu bagi menyelesaikan kemelut politik yang selama ini membelenggu negara sehingga kesannya terpalit pada rakyat sendiri malah dapat kita lihat bagaimana orang sanggup melakukan apa sahaja yang boleh demi mencapai agenda masing-masing.

Saya menyeru agar politik lapuk dan kotor seperti politik wang dan fitnah memfitnah dihapuskan sama sekali kerana ini bukan sahaja menghantui parti lain malah PAS juga tidak lari daripada masalah yang berkenaan.

Saya insan yang kerdil ini hanya mampu berdoa agar senario politik negara akan kembali bersih dan menumpukan kepada kestabilan negara serta pembangunan rakyat agar sama-sama kita mengecapi keuntungan yang dituai daripada bumi kita yang bertuah ini.

Friday 5 June 2009

Antara Islam dan Dunia Barat

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Semalam Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama telah memberikan ucapan bersemangat di kaherah berkenaan permulaan baru dalam hubungan di antara Amerika Syarikat dan dunia Islam.

Rata-rata orang kebiasaan termasuk diri saya sendiri yang menonton dan melihat beliau berucap pasti akan kagum dan gembira dengan kata-katanya bagi merealisasikan sebuah negara yang aman tanpa peperangan sekaligus memastikan Islam tidak dicemar lagi.

Akan tetapi, bila membuat kajian yang lebih mendalam, beliau bukan Presiden Amerika yang pertama yang mengucapkan sedemikian di pentas dunia Islam.

Ramai tokoh agama dan pejuang Islam masih tidak mempercayai kata-kata Obama kerana kebencian dunia Islam terutamanya di Asia Barat terhadap Amerika amat menebal tidak kira apa slogan mahupun perubahan yang ingin dibawakan oleh mereka.

Malah dalam Al-Quran telah menyarankan pada kita agar jangan kita percayakan mentah-mentah kata orang-orang Yahudi (kafir) kerana mereka tidak akan sesekali menjanjikan kesejahteraan ke atas Islam malah tidak akan berhenti-henti mencari jalan melenyapkan Islam di muka Bumi ini.

Apa yang menyedihkan, orang-orang kafir ini sekarang telah mempunyai sayap serta proksi mereka sendiri di kalangan orang-orang Islam sendiri yang sanggup menjadi orientalis dan menentang Islam semata-mata mengejarkan nama serta kekayaan duniawi.

Tidak salah bagi kita mempunyai dan menaruh harapan yang satu hari dunia ini akan kembali sejahtera dan Islam akan dapat menjalinkan hubungan baik dengan pihak-pihak lain.

Akan tetapi, kita mungkin akan salah dan terjerumus dalam perangakap samar jika kita mempercayai yang Amerika ataupun proksi-proksinya akan membawa kesejahteraan berikut dan kita hanya menjadi tunggul bagai bulan jatuh ke riba.

Kita umat Islam sendiri perlu berusaha menjelaskan kepada dunia luar apa itu Islam dan mengapa kita tidak sepatutnya dianggap pengganas seperti yang dilaungkan masyarakat dunia sekarang ini.

Di mana maruah umat Islam jika kita biarkan si kafir itu berdiri atas pentas Islam dan mengucapkan kata-kata manis untuk menyedapkan telinga yang mendengar tetapi tindakannya kabur serta tidak menjurus ke arah penyelesaian.

Sayang seribu kali sayang, kita masih mencari-cari tokoh pemimpin dunia Islam untuk bangun dan bercakap mengenai Islam dan menerangkan apa situasi yang sebenarnya berkaitan isu sesama berkenaan Islam.

Tindakan Obama yang dianggap sebagai wira ini merupakan agenda Amerika semata-mata terutamanya melalui media massa mereka bagi meracun pemikiran dunia untuk menunjukkan keikhlasan dan kehebatan mereka.

Saya menyeru rakan-rakan sekalian agar tidak mempercayai bulat-bulat berita luar terutamanya daripada Amerika agar kita tidak akan tersalah faham dan meragui akan dunia Islam itu sendiri.

Sentiasa kaji dan selidik asas ucapan pemimpin barat serta Yahudi ini agar kita tidak termakan janji manis dan tidak pula dibuai lamunan mimpi yang indah.

Walaupun kita bukan askar yang berjuang di medan perang, tetapi kita tetap mempunyai banyak cara untuk berjihad ke jalan Allah dan saya menyeru rakan-rakan agar menggunakan sepenuhnya ruang yang ada untuk sama-sama kita ingat-mengingati satu sama lain.

Jika kita mempunyai sebarang kemusyikalan dan keraguan, kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah kerana itu sahaja panduan lengkap bagi Islam meneruskan survival dan mencari kekuatan untuk bangun semula menawan dunia seperti di zaman dahulu.

Sama-sama kita berdoa agar saat dan ketika itu pasti menjelang tiba dan moga-moga Allah panjangkan umur kita agar dapat kita sama-sama melihat Nur Islam itu kembali bersinar disegenap dunia.

Thursday 4 June 2009

Pemegang biasiswa JPA disaran beri kerjasama

KUALA LUMPUR: Pemegang biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang enggan bekerja dengan kerajaan selepas tamat pengajian akan disaman serta diarah membayar kos pengajian yang ditanggung kerajaan.

Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Ismail Adam, berkata pihaknya yang kini menguatkuasakan peraturan itu secara lebih tegas akan mengemukakan senarai nama mereka kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut kerana melanggar perjanjian.

Selain itu, pelajar perlu membayar semula kos sebenar yuran pengajian yang ditanggung kerajaan sehingga RM1 juta mengikut bidang pengajian.

“Syarat mewajibkan semua pemegang biasiswa tajaan JPA berkhidmat dengan kerajaan sebaik tamat pengajian sudah lama dilaksanakan dan bukan sesuatu yang baru. Pelajar tahu perkara ini, kalau mereka langgar kontrak, kena bayar denda... kalau mereka tidak mahu bayar, kita akan cari penjamin.

“Peraturan ini adalah ketat dan sekarang ada lebih 200 pelajar yang sudah langgar kontrak dan mereka dikenakan tindakan tegas,” katanya semalam.
Beliau mengulas laporan akhbar kelmarin bahawa semua pemegang biasiswa JPA mesti bekerja dengan kerajaan mulai tahun ini.
Ketua Setiausaha Negera, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, tahun ini saja JPA menggunakan dana awam sebanyak RM750 juta untuk menaja 2,000 pelajar cemerlang melanjutkan pelajaran di luar negara.

Mengulas lanjut, Ismail berkata tidak timbul soal pelajar tidak mahu berkhidmat dengan kerajaan kerana mereka bersetuju dengan syarat selain khidmat mereka amat diperlukan.

“JPA taja pengajian bagi bidang kritikal, jadi jawatan seperti doktor memang banyak kosong dan mereka perlu kerja sekurang-kurangnya 10 tahun dengan kerajaan.
“Masa ekonomi gawat (1997) dulu kerajaan bagi pelepasan dengan membenarkan mereka bekerja dengan swasta tetapi sekarang kita kekurangan tenaga kerja dalam bidang kritikal,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Sektor Awam (Cuepacs), Omar Osman, berkata keputusan itu dapat membantu menyelesaikan masalah kekurangan kakitangan mahir dalam sektor awam.

“Kita harap kerajaan bertegas dengan keputusan ini supaya tiada pelajar yang mendapat biasiswa JPA melepaskan diri berkhidmat dalam sektor awam, sekali gus dapat memenuhi kekurangan tenaga mahir terutama bidang perubatan.

Bekas Ketua Pengarah JPA dan Penasihat Persatuan Pesara Kerajaan, Tan Sri Abdullah Ayob, mahu kerajaan menguatkuasakan syarat wajib itu bagi menghadapi masalah kekurangan tenaga pakar di negara ini.

“Dulu ada juga syarat macam ini, tapi tidak begitu ketat. Sekarang perlu dikuatkuasakan bagi memastikan pelajar berkhidmat dengan kerajaan tanpa sebarang alasan,” katanya.

Oleh Faiza Zainudin & Khairunnisa Kamarudin
*Nasihat: Dalam dunia ini tiada benda pon yang percuma. Apabila sudah ada yang berbudi, bila tiba masa kita taburkanlah jasa kita semula. Jangan jadi kacang lupakan kulit kerana takut-takut ilmu yang kita dapat menggunakan duit tajaan itu menjadi tidak berkat akibat perbuatan diri kita yang melanggar syarat perjanjian itu. Ingat bahawa lembu dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya..