Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Sunday, 21 February 2010

Kursi Kepemimpinan Wanita akan ditubuh

KUALA LUMPUR: Kursi Kepemimpinan Wanita akan ditubuhkan buat julung kalinya di sebuah universiti tempatan bagi memberi tumpuan kepada agenda mengembang dan mempertingkatkan kebolehan wanita memimpin melalui pendidikan, penyelidikan serta latihan.

Perdana Menteri yang Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kelulusan untuk penubuhan kursi itu yang dicadangkan Wanita Umno melalui Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada Majlis Konvensyen Pergerakan Wanita Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

"Hasrat Wanita (Umno) mewujudkan Kursi Kepemimpinan Wanita sebagai satu sumber kekuatan keintelektualan, minda dan pemikiran wanita, saya memberi sokongan sepenuhnya. Tubuhlah kursi ini dan carilah wanita yang hebat untuk mengisinya.

"Saya yakin memang ada wanita hebat yang boleh mengisi kerusi ini. Ongkosnya (pembiayaan) kita boleh bincang," katanya sambil disambut tepukan gemuruh ahli Wanita Umno yang menghadiri majlis konvensyen itu yang bertemakan Wanita Umno Nadi Transformasi dan Inovasi Negara.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman, dan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Terdahulu, Shahrizat dalam ucapannya, berkata, Kursi Kepemimpinan Wanita adalah kursi akademik yang akan ditubuhkan di sebuah universiti tempatan berdasarkan bidaan atau cadangan terbaik, selewat-lewat dalam tempoh setahun lagi.

Beliau berkata, penubuhan kursi itu adalah dalam bentuk 'endowment' di mana sejumlah dana akan diperuntukkan kepada institusi bertanggungjawab untuk melaksanakan program.

"Tujuan utama penubuhan kursi ini ialah untuk mengembang dan mempertingkat kebolehan wanita memimpin pada peringkat tempatan, negeri, kebangsaan, serantau serta antarabangsa. Penyandangnya akan dipilih daripada kalangan seorang tokoh dalam ilmu kepemimpinan yang bakal bertanggungjawab mengembangkan ilmu seni kepemimpinan wanita Malaysia.

"Ilmu seni ini akan merangkumi pemahaman urus tadbir, pengurusan strategik, pengurusan kewangan dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta pembinaan dan pengembangan jaringan. Program diatur penyandang kursi akan juga mencakupi ilmu sistem politik di Malaysia, sistem pilihan raya, kepekaan gender dan pembuatan dasar," katanya.

Shahrizat berkata, penyandang itu akan memberi kuliah pada peringkat prasiswazah dan siswazah, menganjurkan kursus pendek serta program latihan kepemimpinan, di samping mengetuai penyelidikan dalam aspek kepemimpinan wanita bukan saja di Malaysia, tetapi juga secara perbandingan.

Malah, katanya, program itu melayakkan penubuhan pusat penyelidikan dan latihan khusus untuk kepemimpinan wanita dalam masa terdekat.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis pula, beliau berkata, sekurang-kurang RM2 juta diperlukan untuk penubuhan Kursi Kepemimpinan Wanita, tetapi Wanita Umno akan berusaha mengumpul dana dengan menyasarkan perolehan kutipan RM3 juta.

"Saya akan menentukan semua 1.32 juta ahli Wanita Umno akan menyumbang walaupun RM1. Ini adalah saham untuk masa hadapan ahli Wanita Umno di seluruh negara sebagai petanda hasrat murni mereka untuk mengarusperdanakan kepemimpinan wanita Malaysia. Saya tidak khuatir mengenai pengumpulan dana kerana saya tahu ahli Wanita Umno sebagai ibu, pekerja dan lain-lain berkehendakkan yang terbaik," katanya.

Selepas berjaya ditubuhkan, Shahrizat berkata, perancangan seterusnya mewujudkan kursi itu pada peringkat global di universiti antarabangsa, termasuk mungkin di negara Barat, bagi menaikkan imej wanita Malaysia.

Oleh Rohaniza Idris dan Syuhada Choo Abdullah

No comments:

Post a Comment