Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Monday, 13 September 2010

Nilai Kebersihan Diri

Asslamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Baru-baru ini kecoh di mana terdapat beberapa ahli politik yang bukan beragama Islam didapati memasuki ruang utama masjid serta surau dengan niat memberi sumbangan dan ceramah.

Tindakah ini mendapat kecaman daripada umat Islam seluruh negara walaupun sebaliknya ada yang mengatakan perbuatan ini sebenarnya adalah tidak salah.

Antara sebab yang menyebabkan kemarahan umat Islam akan perbuatan ini adalah pakaian mereka yang kurang sopan serta kebersihan orang bukan Islam itu diragui dan didakwa akan mencemari tempat ibadah umat Islam.

Mungkin ya mereka sebagai umat bukan Islam, mereka tidak tahu menahu berkenaan membersihkan diri dan mandi wajib, tetapi adakah kita sebagai umat Islam benar-benar ‘bersih’.

Artikel ini bukan untuk menyokong mana-mana pihak tetapi untuk membuka mata umat Islam terutamanya untuk lebih menitikberatkan soal kebersihan diri mereka.

Oleh itu, artikel di bawah ini saya petik daripada sebuah forum ‘jom layan’ untuk menjadi bahan rujukan buat para pembaca yang merasakan diri mereka memerlukan pembaharuan dan ilmu untuk bidang kebersihan ini khususnya bab mandi wajib.

“Mandi wajib merupakan perkataan yang mudah disebut, tetapi jangan terkejut jika dikatakan banyak umat Islam di tanahair kita yang tidak sah mandi wajibnya kerana tidak melakukannya dengan betul.

Untuk melakukan mandi wajib yang betul, seseorang itu tidak boleh melakukannya dengan hanya mandi secara berdiri atau duduk mencangkung sahaja. Sebaliknya, ia mesti dilakukan dalam kedua-dua keadaan bagi membolehkan seseorang itu meratakan air ke seluruh anggota badannya yang zahir.

Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Uztaz Haji Mat Jais Kamos, 49, menegaskan, bagaimanapun, berdasarkan pengalamannya sebagai bekas kadi di Pejabat Agama Islam Gombak Timur dan penceramah, didapati banyak umat Islam yang tidak mengetahui perkara ini.

"Akibatnya, mandi majibnya menjadi tidak sah kerana tidak memenuhi salah satu rukun mandi wajib iaitu meratakan air keseluruh anggota badan yang zahir. Apabila mandi wajib tidak sah, ibadat yang dilakukan oleh seseorang itu juga turut tidak sah. Itulah akibatnya jika tidak melakukan mandi wajib dengan betul," tegas beliau ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Keramat Kuala Lumpur.

Mandi wajib yang juga sebagai mandi junub atau janabah tidak boleh dipandang ringan oleh umat islam. Setiap orang yang mlakukannya mestilah mengetahui dan memenuhi rukun2nya. Jika tidak mandi wajib seseorang itu tidak akan sah.

Rukun mandi wajib ada 3 perkara. Pertama, niat. Kedua, menghilangkan najis di badan. Ketiga, meratakan air keseluruh anggota badan yang zahir.

Niat mandi wajib: "Sahaja aku mengangkat hasar besar kerana Allah Taala." Atau " Sahaja aku mandi wajib kerana Allah Taala."

Niat itu di dalam hati dan ia hendaklah disertakan ketika air sampai ke mana-mana bahagian anggota badan.

Bagi perempuan yang habis haid, niat mandi wajib ialah: " Sahaja aku mengangkat hadas haid kerana Allah Taala."
Manakala bagi perempuan yang habis nifas, niat mandi wajibnya ialah: " Sahaja aku mengangkat hadas nifas kerana Allah Taala".

Niat itu jika dilambatkan atau ketika seseorang itu memulakannya selepas dia telah membasuh salah 1 anggota badannya akan menjadikan mandi wajibnya tidak sah. Oleh itu dia mestilah memulakan kembali niatnya ketika dia mula menyampaikan air keseluruh anggota badannya. Sekiranya dia berniat sebelum air sampai ke badan, niat itu juga tidak sah. Oleh itu mandi wajibnya tidak sah.

Mengenai rukun mandi wajib yang ke 2, iaitu menghilangkan najis yang ada pada badan, menurut Ustaz Haji Mat Jais, menurut Imam Nawawi, jika kita ada najis di badan, najis itu boleh dibasuh serentak dengan mandi wajib. Ertinya membasuh najis dengan mandi itu boleh disekalikan.

Sementara rukun mandi wajib yang ke 3, iaitu meratakan air ke seluruh anggota badan yang zahir, meliputi kulit, rambut dan bulu yang ada di badan, sama ada bulu-bulu yang jarang atau lebat. Jika rambut seseorang itu ditocang atau disanggul, sekiranya tidak sampai air ke dalamnya, tocang atau sanggul itu wajiblah dibuka. Bulu2 dalam lubang hidung pula, tidak wajib dibasuh kerana dianggap batin. Tetapi sekiranya, bulu-bulu di dalam hidung itu bernajis, ia wajiblah dibasuh.

Mengenai kuku pula, jika di dalam kuku ada kotoran yg boleh menghalang sampai air ke badan khususnya di bahagian bawah kuku, kotoran itu wajiblah dibuang. Membuang kotoran di dalam kuku itu pula boleh dilakukan ketika sedang mandi.

Tentang rambut yg diwarnakan pula selain inai, inilah yang merumitnya.

Sebenarnya jika rambut seseorang itu diwarnakan dengan pewarna selain inai, mandi wajib seseorang itu tidak sah. Oleh itu, seseorang yang mewarnakan rambutnya dengan pewarna selain inai, jika dia hendak mandi wajib, dia mestilah membuang pewarna pada rambutnya terlebih dahulu. Tetapi untuk membuang pewarna itu pula bagaimana?..

Inilah yang rumitnya. Sedangkan pewarna pada rambut itu sebenarnya tidak boleh dibuang begitu mudah.

Yang menyebabkan mandi wajib orang yang menggunakan pewarna pada rambutnya tidak sah kerana pewarna itu akan menyalut rambutnya yang menghalang air sampai ke rambut. Ini berbeza dengan inai. Inai sebenarnya akan meresap ke rambut, tetapi pewarna pula akan menyalut rambut menyebabkan air terhalang ke rambut.

Tetapi dalam hal ini, jangan pula ada yang salah faham. Sebenarnya pewarna itu jika dikeluarkan sijil halal oleh JAKIM dan sekiranya pewarna itu tidak bernajis, bukanlah bermaksud menjadi tidak sah. Dalam hal ini, sukalah saya menyatakan bahawa sembahyang dan mandi wajib itu berbeza. Jadi, mestilah dipandang dari sudut yg berbeza.

Dalam hal ini juga, sukalah saya menyatakan, huraian mengenai rukun mandi wajib seperti yang telah saya nyatakan ini adalah merupakan perbezaan sah atau tidak mandi wajib. Jadi, ia perlulah diberikan perhatian yang lebih oleh umat Islam.

Mengenai sebab-sebab seseorang itu wajib mandi wajib pula, Ustaz Haji Mat Jais menegaskan, sebab-sebabnya terdiri daripada 6 sebab. 3 sebab melibatkan lelaki dan perempuan iaitu kerana bersetubuh walaupun tidak keluar air mani, keluar air mani dan mati. Manakala 3 sebab lagi hanya melibatkan kaum perempuan sahaja, iaitu keluar darah haid, nifas dan melahirkan anak (wiladah) .

Mandi wajib boleh dilakukan di mana-mana dengan menggunakan air mutlak sama ada air telaga, air paip, sungai laut dan tasik.

Bagi pasangan suami isteri yang bersetubuh pula, mereka tidak semestinya mandi selepas bersetubuh, tetapi diwajibkan mandi ketika ingin beribadat. Selepas bersetubuh pula, jika ia dilakukan pada waktu malam, jika tidak mahu mandi wajib, seelok2nya ambillah wuduk sebelum tidur itu adalah sunat, manakala tidak berwuduk sebelum tidur adalah makruh.”

Jelas daripada artikel ini menunjukkan ramai daripada kalangan umat Islam sendiri yang leka dan lalai dalam bab kebersihan dan ini boleh menyebabkan amalan serta ibadah kita menjadi sia-sia sahaja.

Oleh itu, mari sama-sama kita mengambil iktibar dan mengubah diri kita untuk menjadi insan yang lebih bijak dengan mengamalkan gaya hidup yang bersih daripada sudut Islam daripada hanya tahu sembang kosong sahaja.

Mari kita sama-sama menjaga kesucian institusi keagamaan kita daripada dicemari bukan sahaja oleh mereka dari golongan bukan Islam malah juga daripada saudara Islam kita juga yang daif ilmu serta pengalaman.

Akhir kata, mari kita berkongsi-kongsi ilmu dan pengetahuan dengan orang lain semoga ilmu yang sedikit ini boleh membawa manfaat yang besar untuk kita dan sahabat-sahabat kita kelak.

Sunday, 5 September 2010

Salam Lebaran, Terima Kasih Ya Ramadhan

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Jika diizinkan Allah, 5 hari lagi umat Islam di seluruh dunia bakal menyambut hari lebaran atau hari kemenangan buat umat Islam yang selama sebulan menahan diri daripada melakukan perkara-perkara maksiat yang membatalkan puasa.

Alhamdulillah saya berpeluang untuk menjalani Ramadhan sekali lagi dan setulus hati mengharapkan Ramadhan kali ini membawa buah hasil yang bercambah-cambah di sisi Allah.

Syukur yang tak terhingga kepada Allah yang mengurniakan 1 bulan yang sangat banyak manfaat dan rezeki yang melimpah ruah pada bulan yang mulia ini.

Diharapkan seluruh umat Islam telah memanfaatkan bulan ini sepenuhnya dan mengharapkan ganjaran yang tak terhingga daripada Allah untuk bekalan kita di akhirat kelak.

Ramadhan kali ini juga istimewa buat saya kerana saya memulakan kerjaya saya buat kali pertama di bulan Ramadhan dan dapat membayar zakat Fitrah menggunakan duit sendiri buat pertama sekali dalam hidup saya.

Akan tetapi persiapan untuk menyambut hari lebaran hanya dijalankan secara sederhana sekadar mengecat bahagian luar rumah dan mengenakan sarung kusyen yang baru sahaja.

Seringkali bila terfikirkan kedatangan Syawal, hati ini sedih dan pilu kerana kedatangan bulan sambutan ini bermakna tamat sudah 1 bulan yang dipenuhi barakah dan ganjaran yang tidak mungkin kita dapati di bulan-bulan yang lain.

Sama ada kita dapat berjumpa dengan Ramadhan akan dating atau tidak, itu satu persoalan yang hanya Allah ada jawapannya tetapi yang pastinya ia mengajar kita untuk mengambil kesempatan yang ada sebaiknya.

Anggaplah Ramadhan ini sebagai Ramadhan yang terakhir untuk kita kejar dan kaut segala kelebihan yang dikurniakan di bulan ini seakan-akan kita sudah tidak mempunyai peluang di tahun depan.

Di hari-hari yang terakhir ini, saya menganjurkan agar rakan-rakan tidak terlalu terbawa-bawa dengan kegembiraan menyambut Syawal sehingga kita lupakan amalan dan juga ibadah kita kepada Allah.

Ambil inisitif sepenuhnya untuk mengejar kelebihan Ramadhan terutamanya di 10 malam terakhir ini di mana Allah telah menjanjikan Lailatul Qadar iaitu satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Muhasabah diri kita adakah sudah cukup amalan kita selama kita melalui Ramadhan kali ini atau tidak dan sentiasalah kita mempunyai rasa tidak puas beribadah pada Allah kerana dengan cara itu, kita mampu mendekatkan diri kita dengan Allah.

Jangan terlalu dipengaruhi keselesaan dan keseronokan duniawi kerana apa yang kekal itu cuma ukhrawi dan sama ada kita bahagia atau sengsara di sana ditentukan dengan apa yang kita lakukan di dunia ini sekarang.

Selain mengejar ganjaran dan kemaafan daripada Allah, kita juga perlu saling bermaaf-maafan sesama umat Islam sempena bulan baik dan hari baik yang bakal menjelang kelak.

Dengan itu, saya dengan rendah diri ingin memohon ribuan maaf daripada semua rakan dan taulan yang mengenali diri ini sama ada sahabat di ASTAR, UM, KMPP, Penang Free mahupun dari sekolah rendah Francis Light lagi.

Selain itu, saya juga ingin memohon ribuan ampun dan maaf kepada ahli keluarga dan sanak saudara saya atas kekhilafan diri dan kelemahan diri ini.

Tidak lupa juga ribuan ampun dan maaf dipohon daripada seluruh umat Islam yang mengenali diri ini jika ada kata ataupun tindakan saya yang telah mengecilkan hati atau mengguris perasaan anda.

Akhir kata, jadikan Ramadhan kali ini sebagai Ramadhan terbaik buat diri kita dan sambutlah Syawal yang bakal tiba dengan penuh kesederahaan dan bergembira bersama-sama sanak saudara masing-masing. SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI..MAAF ZAHIR DAN BATIN.

Tuesday, 31 August 2010

Memerdekakan Pemikiran Kita

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Hari ini tanggal 31 Ogos 2010, Malaysia sudah pun merdeka daripada cengkaman penjajah selama 53 tahun dan dalam tempoh masa tersebut banyak sudah kemajuan dan kemakmuran yang dikecapi rakyat negara ini.

Akan tetapi sayang sekali pemikiran rakyat Malaysia nyata masih tidak maju-maju dan ini menampakkan kita sbenarnya masih belum bersedia menjadi sebuah negara maju terutamanya dalam 1 kumpulan yang terdiri daripada pelbagai etnik dan budaya.

Tahun ini dilihat sebagai tahun yang lebih menyedihkan daripada tahun lepas kerana masalah utama yang dihadapai iaitu masalah perkauman masih bertambah dan jika ini tidak dikawal, bak kata Dato Seri Najib dalam perutusan Hari Kemerdekaan, apa yang kita kecapi selama ini akan hancur berkecai serta merta.

Malah masalah sosial yang bercambah seakan-akan tiada penghujungnya dan penguatkuasaan nyata gagal dijalankan atas sebab ketandusan cara terbaik bagi merawat penyakit sosial ini.

Anak-anak yang terbuang semakin hari semakin meningkat dan ini sekaligus menimbulkan persoalan sama ada merdeka atau tidak pemikiran orang yang bertanggungjawab ini atau masih jumud seperti kafir Quraisy suatu ketika dahulu.

Saya analogikan Malaysia sebagai rumah yang papan yang mempunyai 4 kaki untuk menyokong dan memberi kekukuhan pada rumah tersebut yakni tiang-tiang tersebut mewakili kaum-kaum yang ada di Malaysia iaitu Melayu, Cina, India dan lain-lain kaum.

Di dalam rumah itu pula ada dua orang yang menghuni dan tinggal di dalam rumah itu dan ini mewakili amalan baik dan masalah yang kita alami sekarang dalam negara kita.

Untuk memiliki sebuah rumah yang kukuh, kita harus mempunyai batu asas yang kukuh dan ini sudah disediakan oleh pimpinan yang terdahulu yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lok, Tun Sambathan dan ramai lagi pemimpin veteran negara.

Selepas itu, kukuhnya rumah itu bergantung pula pada kekuatan tiang-tiang itu dan jikalau ada 1 tiang yang rapuh maka nasib rumah itu tidah ubah seperti telur dihujung tanduk bila berdepan masalah-masalah luar.

Sebagai contoh, jika rumah itu mengalami bencana alam seperti angin kencang atau banjir, ini sudah tentu akan memusnahkan dan menghanyutkan terus rumah itu daripada tapaknya lalu menghancurkan segala rekaan dan hiasan yang sudah kita lengkapi dalam rumah tersebut.

Jikalau rumah itu dilengkapi dengan tiang yang kukuh, tidak semestinya rumah itu akan berada dalam keadaan baik jika isi di dalamnya tidak menjaga rumah itu dengan baik.

Awalnya saya menganalogikan dua orang penghuni rumah itu sebagai amalan baik dan buruk yang dilakukan oleh rakyat terhadap negara kita ini.

Untuk membuat jahat amat senang sekali, maknanya untuk orang yang membawa amalan buruk untuk merosakkan rumah itu memang senang, semudah mengambil penukul dan mengetuk-ngetuk dinding serta perhiasan di dalam rumah itu hingga musnah.

Tetapi untuk membuat amalan baik pula bukan senang, contohnya untuk menghiasi rumah itu memerlukan wang untuk membeli pekakas rumah dan untuk mendapatkan wang tersebut memerlukan usaha dan ketekunan bagi memperolehi sumber kewangan itu.

Dengan ini, kita dapat melihat anasir-anasir yang ingin memusnahkan negara semakin mudah menyelusup masuk untuk menghancurkan kemakmuran dan keharmonian serta kemajuan negara ini dengan bantuan penghuni negara ini sendiri.

Penjajahan mental juga semakin meluas dalam negara ini dengan budaya-budaya asing yang tidak mencerminkan budaya kita semakin berleluasa di mana-mana sahaja contohnya penagihan dadah, seks rambang, rempit dan banyak lagi.

Kita perlu ingat, untuk memajukan dan meningkatkan ekonomi negara kita sebenarnya memakan masa yang sangat panjang dan usaha yang sangat besar supaya kekayaan ini dapat dikongsi dan dikecapi oleh segenap lapisan masyarakat.

Oleh sebab itu, semua penduduk negara ini perlu bersama-sama berganding bahu untuk memajukan lagi negara ini kerana suatu pekerjaan itu lebih mudah jika kita buat bersama-sama dengan semangat perpaduan.

Jika kita berpecah belah untuk memajukan ekonomi masing-masing sahaja tanpa menghiraukan kemajuan negara, maka sukar sebenarnya negara untuk terus berkembang untuk menjadi suatu tempat yang selesa buat anak cucu kita nanti.

Selain itu, rakyat Malaysia juga perlu merapatkan benteng pertahanan mental dan fizikal agar kita dapat menangkis penjajahan moden yang membawa anasir-anasir luar untuk menghasut serta meracuni pemikiran kita supaya kita berpecah belah dan melupakan sejarah negara ini.

Kita tidak perlu memainkan polemik perkauman mahupun penghinaan terhadap mana-mana agama semata-mata untuk mendapat sokongan mana-mana kaum mahupun kumpulan tertentu.

Sebaliknya kita perlu bersatu untuk menutup kelemahan kaum-kaum yang ada di negara ini agar kita menjadi kebal dan kental menahan hasutan serta tuduhan-tuduhan pihak luar terhadap negara kita ini.

Justeru itu, kita sebagai rakyat Malaysia tidak kira berjawatan tinggi mahupun sekadar orang bawahan bertanggungjawab dalam memastikan agenda kemajuan Malaysia diteruskan bukan sahaja dari segi meterialistik tetapi juga dari segi spiritual.

Walaupun saya merasakan hari kemerdekaan kali ini sebenarnya adalah antarayang menyedihkan berlandaskan perkembangan semasa negara kita tetapi marilah kita menyambut hari kemerdekaan ini bagi mengenang jasa dan budi para pejuang dan pemimpin yang terdahulu berjuang untuk kita mengecapi kebahagian masa kini.

Akhir kata buat raykat Malaysia, mari sama-sama kita memedekakan pemikiran kita supaya Malaysia akan menjadi lebih utuh di mata dunia dan kerharmonian serta keamanan negara ini dapat kita kekalkan hingga bila-bila. Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Kali Ke 53…

Wednesday, 18 August 2010

1Malaysia Disalah Anggap

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Gagasan 1Malaysia yang dibawa sejak pengambilalihan tampuk kepimpinan kerajaan Malaysia oleh Dato Seri Najib, Perdana Menteri kita yang ke 6 telah menunjukkan penerimaan yang positif dikalangan penduduk bukan sahaja di bandar malah juga di desa.

Kita dapat melihat hamper di mana sahaja, rakyat Malaysia menyambut 1Malaysia dengan hati yang terbuka dan menjayakan kempen menjenamakan Malaysia menjadi 1Malaysia.

Tetapi malang sekali apabila boleh dikatakan ramai dikalangan rakyat yang masih kabur berkenaan apa itu Gagasan 1Malaysia sungguhpun ia sudah dilancarkan lebih kurang setahun dan pelbagai hebahan mengenainya sudah dibuat.

Mungkin ini adalah sikap tidak mengambil kisah rakyat Malaysia yang hanya tahu membudayakan proses ikut-ikut dimana orang laun 1Malaysia, mereka juga ingin nak laungkan 1Malaysia tanpa sebarang idea apa sebenarnya konsep 1Malaysia.

Secara asasnya, 1Malaysia membawa mesej perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum untuk bersama-sama kita berganding bahu untuk menjayakan dan memajukan lagi Negara yang tercinta ini.

Walau bagaimanapun, sesetengah orang yang berkepentingan nyata mengambil 1Malaysia ini sebagai sesuatu yang menguntungkan mereka sahaja tanpa memikirkan sentimen yang berkaitan perlembagaan dan kontrak sosial.

Di Pulau Pinang, Ketua Menteri Lim Guan Eng sudah terang lagi bersuluh sedang menjalankan proses menyahkan penduduk bumiputera dari tanah Pulau di sini secara beransur-ansur malah banyak sudah kedai serta perumahan yang telah mereka ambil alih tanpa persetujuan penduduk tersebut.

Baru-baru ini, Tony Pua yang juga ahli Parlimen Petaling Utara dengan lantang meminta agar diskaun Bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah di negeri Selangor dimansuhkan.

Yang terbaru, tuntutan daripada kongres ekonomi MCA meminta agar 30% ekuiti Melayu dalam sektor ekonomi dimansuh dilihat sudah mengkhianati perjuangan 1Malaysia memandangkan MCA juga merupakan salah satu parti tunjang kerajaan Barisan Nasional.

Semua kejadian ini jelas membuktikan pemahaman pemimpin itu sendiri terhadap gagasan 1Malaysia sendiri tidak memberangsangkan, inikan pula rakyat yang banyak hanya membudayakan 1Malaysia ikut-ikut.

Jika mereka tidak memahami konsep 1Malaysia, mungkin tidak ralat bagi saya untuk menerimanya tetapi pemimpin-pemimpin yang senior seperti Dato Chua Soi Lek dan seangkatan dengannya dilihat seperti tidak memahami sejarah.

Tidakkah mereka ingat, 60-70 tahun yang lalu, mereka semua merupakan orang yang datang ke negara ini kerana dibawa oleh British untuk menjayakan sektor industri pada ketika itu.

Akan tetapi, menjelang kemerdekaan bumiputera merelakan jus soli yakni mengiktiraf mereka sebagai warganegara di Malaysia dan berhak mendapat kebaikkan daripada negara ini dan mereka juga menyetujui agar bumiputera diberikan hak-hak keistimewaan berlandaskan perlembagaan.

Tidak mungkin saya yang lahir selepas 30 tahun Malaysia merdeka memahami sejarah ini, mereka pemimpin yang veteran ini tidak memahami sejarah pembentukan Negara yang kita pacu bersama selama ini.

Ini tidak lain tidak bukan, hanya satu provokasi untuk menguji toleransi bumiputera negara ini akan tetapi saya merasakan hal sebegini tidak sepatutnya diteruskan demi keharmonian negara ini.

Selain itu, tindakan ini tidak lain tidak bukan hanya sekadar mahu tunjuk ‘hero’ di kalangan bangsa mereka agar dapat meraih undi di kala pilihan raya kelak.

Parti komponen BN seharusnya bertoleransi dan bekerjasama dalam mengukuhkan perjuangan masing-masing dalam usaha mengukuhkan kedudukan mereka di kerusi parlimen.

Jika ini terus berlaku, tidak mustahil untuk melihat kerajaan BN runtuh buat pertama kali di pentas pilihan raya umum yang mungkin diadakan tidak lama daripada sekarang.

Malah ianya tidak mustahil jika BN kalah, beberapa parti komponen yang kuat menyokong BN bakal menyusur keluar dan mula menyokong parti-parti lain demi kepentingan bangsa, bukan rakyat Malaysia lagi.

Oleh itu, pesanan buat pemimpin buat yang mencipta mahupun yang menjayakan 1Malaysia, rakyat sudah mula jelik dengan perbuatan yang dilihat bersifat perkauman di kala anda melaungkan laungan 1Malaysia.

Sedarlah diri anda di atas sana akan hal-hal yang kecik ini sebelum anda ditelanjangkan daripada pangkat yang anda semua pegang sekarang ini.

Akhir kata, semoga Allah memelihara negara ini dan dikurniakan pemimpin-pemimpin yang celik akan keinginan rakyat tidak kira dalam sektor ekonomi mahupun sosial demi menjaga keamanan dan keharmonian negara yang selama ini kita kecapi.

Monday, 9 August 2010

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan.

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Tak lama lagi umat Islam akan menyambut bulan yang mulia bagi umat Islam, bulan Ramadhan al- Mubarrak.

Pada bulan ini, umat Islam akan berpuasa selama sebulan untuk melahirkan rasa syukur dan insaf terhadap saudara kita yang kurang bernasib baik.

Syukur pada Allah kerana sekali lagi kita diberikan peluang untuk menjalankan ibadah dalam 1 bulan yang penuh dengan ganjaran dan barakah seperti yang dijanjikan oleh Allah dalam Al-Quran.

Walau bagaimanapun, kita sentiasa akan menempuh ranjau dan cabaran dan pada bulan yang mulia ini nafsu dalam diri kita bakal menjadi penghalang untuk kita melengkapkan segala ibadah kita.

Sesungguhnya semua iblis dan syaitan akan dikurung dan dikunci di dalam neraka tempat asal mereka tetapi nafsu dalam diri kita ini tidak pula Allah kekang kerana ini adalah satu ujian untuk kita menaklukinya dan memenangi peperangan di bulan mulia ini.

Alhamdulillah pada Ramadhan tahun ini juga bakal menjadi satu pengalaman baru buat saya kerana sebelum ini saya menyambut Ramadhan sebagai pelajar, tetapi pada tahun ini Insyaalah saya akan menempuhnya sebagai seorang pekerja.

Usaha, doa dan tawakkal yang gigih akhirnya telah membuahkan hasil apabila saya telah diterima bekerja di sebuah kilang di Prai sebagai seorang jurutera mekanikal.

Cabaran yang baru ini akan saya pikul dan saya ambil peluang untuk menimba sebanyak mana pengalaman di alam pekerjaan kelak terutamanya bila suda bergelar pekerja.

Di sini saya ingin mengambil peluang untuk memohon ribuan ampun dan maaf buat rakan-rakan di universiti setelah bertahun-tahun kita bersama, akhirnya kita terpaksa berpisah untuk mencari haluan masing-masing.

Sama-sama kita ambil peluang untuk beribadah dan meneruskan usaha mencari Nur Ilahi pada bulan yang penuh barakah ini, moga Allah akan sentiasa membuka pintu-pintu syurga buat kita.

Akhir kata, anggaplah Ramadhan ini sebagai Ramadhan yang terakhir dan beribadat lah bersungguh-sungguh kerana kita tidak akan tahu adakah kita sempat untuk bertemu Ramadhan di tahun yang mendatang.

Saturday, 31 July 2010

Khairy Tandus Idea

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Kenyataan Khairy Jamaludin, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dimana beliau mahukan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dimansuhkan menunjukkan beliau seorang pemimpin yang tidak berpendirian tetap dan ketandusan idea.

Dengan alasan memberi peluang mahasiswa menceburi politik peringkat nasional untuk melatih pemimpin akan datang merupakan alasan yang lemah, sebaliknya bakal menghancurkan masa depan mahasiswa yang terlibat.

Umum tahu penglibatan dalam politik memerlukan dedikasi yang tinggi dan pemahaman yang benar-benar mendalam dalam aspek perjuangan parti tersebut nyata akan terus membebankan mahasiswa di universiti.

Akan tetapi, hal ini mungkin menjadi kenyataan jika kurikulum di universiti diubah untuk memberi sedikit ruang masa kepada mahasiswa membuat penglibatan yang seimbang bagi kedua-duanya.

Tetapi, nyata ini mengambil masa yang lama dan hanya meninggalkan mahasiswa terus menanti bagai pungguk rindukan bulan.

Mahasiswa yang berada di kampus sudah cukup terdedah dengan politik yang tidak jauh bezanya dengan politik di luar dengan adanya pilihan raya kampus ataupun pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar universiti masing-masing.
Selain itu, mahasiswa juga diberikan peluang yang secukupnya untuk menguji dan mengasah bakat kepimpinan mereka dalam pelbagai jenis aktiviti dan persatuan dalam universiti.

Mungkin cadangan tersebut akan diterima baik oleh segenap aktivis mahasiswa tetapi buat Khairy Jamaluddin, jangan mengharap lebih 70% daripada mereka akan menyokong UMNO.

Apa yang saya titik beratkan bukan pecahan mahasiswa yang akan menyokong kerajaan mahupun pembangkang tetapi apa yang lebih penting adalah tanggungjawab mahasiswa untuk menuntut ilmu bakal tercicir jika ini berlaku.

Sekarang, AUKU telah dilonggarkan untuk memberi pendedahan secukupnya buat mahasiswa di dunia luar dan politik nasional sesungguhnya tidak sepatutnya diterima dalam kampus.

Segelintir mahasiswa mungkin mengatakan artikel ini bersifat jumud dan juga tidak berfikiran terbuka tetapi saya tahu niat sebenar orang-orang sebegitu ingin menyertai politik.

Bukan sahaja untuk menimba pengalaman dan mengasah bakat kepimpinan tetapi membawa pengaruh politik ke kampus untuk bertanding kuasa dan mendapat saluran kewangan bagi menjayakan proses merekrut orang-orang baru dan juga menaja calon-calon mereka dalam pilihan raya kampus kelak.

Jika benar mahasiswa dibenarkan mempunyai hak politik, jangan terkejut jika peranan Timbalan Naib Canselor mahupun Naib Canselor bakal diperkotak-katikkan dan dipengaruhi oleh individu-individu tersebut.

Sepatutnya orang-orang seperti Khairy Jamaluddin perlu lebih memahami apa sebenarnya peranan mahasiswa di universiti dan jika benar mereka mahukan mahasiswa menceburi politik, langkah dan cara tertentu perlu diterapkan.

Bukan sekadar mengeluarkan kenyataan hapus AUKU setelah bertahun-tahun dia mempertahankan AUKU dan ini mungkin sebab mengapa pemimpin yang mempunyai kedudukan tinggi dalam parti tidak tersenarai dalam kabinet.

Buat Khairy Jamaluddin, berkhidmat buat masyarakat untuk meraih sokongan dan undi terutamanya daripada golongan pemuda dan bukan dengan cara membuat kontroversi kerana anda mungkin dipangdang jelik sahaja.

Buat mahasiswa, usah terlalu rakus untuk berpolitik di kala anda masih mempunyai tangungjawab utama untuk menghabiskan pengajian anda.

Ambil masa untuk mendalami politik itu sebagai nilai tambah buat diri untuk berada dalam arus perdana, bukan untuk mengambil alih peranan kita untuk belajar di universiti.

Sesungguhnya mahasiswa tidak boleh lari dalam mengejar dua perkara di universiti iaitu keputusan yang cemerlang dalam akademik dan nilai modal insan atau nilai tambah bagi melengkapkan keputusan peperiksaan kita.

Seimbangkan diri anda dalam kedua-duanya kerana jika anda terlalu menumpukan kepada satu perkara sahaja, mungkin anda keluar daripada universiti dengan sia-sia sahaja.

Thursday, 29 July 2010

Nasib Lorong Kulit

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Lama rasanya tidak dapat makan di astaka lorong Kulit sebab kerja yang tidak menentu dan kesempatan kerja pada syif malam membolehkan saya untuk pergi ke gerai Sri Bintang dan makan Mee Hokien.

Tatkala sedang makan, saya terlihat satu kain rentang yang menulis “Persatuan Penjaja-penjaja Kecil Lorong Kulit; Kami Membantah Keras Cadangan Ubah Kami Ke Tapak Baru”.

Suatu isu yang dilihat agak sunyi tetapi bakal memberi impak yang besar sekiranya apa yang dicadangkan itu menjadi kenyataan.

Saya teringat lebih kurang 10 tahun yang lalu, penjaja-penjaja ini terpaksa beralih tempat mencari pendapatan mereka gara-gara pembaikpulihan Stadium Bandaraya yang terletak bersebelahan dengan tempat jual beli ini.

Keadaan di sana menjadi kurang meriah dan ini merupakan sesuatu yang sangat menduka citakan apabila pengunjung bukan sahaja daripada dalam negeri mahupun luar negeri yang datang, malah ada pengunjung daripada luar Negara yang datang mencari Lorong Kulit.

Lorong Kulit atau dikenali sebagai ‘Rok Wok’ oleh penduduk tempatan adalah satu -tempat perniagaan buat penjaja kecil yang rata-rata menjual barangan terpakai, buah-buahan, buku-buku, pakaian dan pelbagai barang lagi.

Yang istimewa berkenaan tempat ini adalah semuanya dijual dengan harga yang rendah jika dibandingkan dengan tempat-tempat yang lain dan ia mampu menarik pelancong untuk datang ke tempat itu.



Akan tetapi, suasana meriah di tempat itu bakal menjadi kenangan sejarah jika perkara ini benar-benar berlaku dan Lorong Kulit diambil alih untuk dimajukan semula.

Apakah nasib yang akan menimpa kira-kira 50-80 peniaga di kawasan tersebut yang rata-ratanya daripada golongan pertengahan yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.

Bila saya fikir-fikirkan semula, kita sebenarnya rugi apabila menerima seorang Ketua Menteri(KM) yang bukan berasal daripada Pulau Pinang kerana dia tidak akan faham dan jauh sekali menjaga nilai sentimental Pulau Pinang ini.

Jika dahulunya dia berusaha untuk menjaga tapak warisan dunia di Georgetown daripada dibangunkan hanya kerana takut untuk dikenakan tindakan oleh pihak UNESCO dan hanya untuk menunjuk-nunjuk dia memahami tapak warisan Pulau Pinang.
Akan tetapi, satu persatu kawasan yang tumpuan orang ramai menjadi mangsa bermula daripada tempat penjaja di Batu Feringgi, kafe unik Do Re Mi yang berada di atas pokok dan sekarang, Lorong Kulit bakal membuka kisah yang baru.

Tetapi bila dipikirkan buat kali kedua, ini mungkin satu pengajaran buat penduduk Pulau Pinang yang mengundi hanya mengikut perasaan dan tertipu oleh janji-janji palsu mereka pada pilihan raya yang lepas.

Satu demi satu kawasan perumahan dirampas dan lebih banyak kawasan perniagaan terutamanya kawasan perniagaan orang Melayu di’cuci’ sebersih-bersihnya oleh pemimpin yang berasal daripada Melaka ini.

Timbalan-timbalan KM nampaknya hanya sekadar pak turut dan tukang angguk dikala KM memerintah dengan sendirinya.

Nyata saya tidak setuju jika dikatakan mereka ini adalah puak yang menjaga kebajikan masyarakat tetapi hanya puak yang menjaga kaum kerabat mereka masing-masing sahaja.

Walau bagaimanapun, kita sebagai umat Islam harus sentiasa memperbanyakkan doa agar pemimpin kita terutamanya yang beragama Islam diberikan hidayah dan pedoman untuk menjadi lebih kuat dan menjaga hak penduduk terutamanya kaum Melayu Pulau Pinang.


Akan tetapi ini bukan bermakna kita harus duduk diam apabila kita ditindas malah menjadi satu seruan buat kita bersatu padu tidak kira apa ideologi kita untuk mencabar dan menjaga kebajikan orang-orang kita sendiri.

Lorong Kulit dilihat suatu tempat yang ideal untuk memupuk perpaduan kaum di Pulau Pinang di mana peniaganya dilihat sama banyak di antara Melayu dan Cina dan pengunjungnya juga hadir daripada pelbagai latar belakang.

Adakah ini dilihat sebagai suatu yang mencabar misi dan visi DAP yang berleluasa memerintah negeri ini, adakah mereka ingin melaksanakan dasar pecah dan perintah seperti penjajah seperti dulu.

Sepatutnya tempat sebegini yang perlu dijaga dan dimajukan kerana rakyat daripada pelbagai kaum dan budaya dapat berjumpa dan bersatu tetapi lain pula perancangan pemimpin negeri ini yang mencadangkan tapak ini dipindahkan.

Apakah jaminannya mereka akan mendapat keuntungan yang sama seperti sedia ada, apa pula jaminan pengunjung akan terus hadir daripada pelbagai kaum untuk memupuk semangat perpaduan, semangat 1Malaysia.

Sudah tiba masanya untuk membawa Pulau Pinang kembali kepada jalan asal, kepada pemerintah yang benar-benar memperjuangkan nasib rakyat tidak kira apa kaum sekalipun.

Detik pilihan raya dilihat satu masa yang tepat untuk memberi pengajaran kepada mereka yang memperkotak-katikkan kita sebagai orang yang bertanggungjawab memberikan mereka kuasa untuk memerintah.


Ayuh kepada sesiapa yang sudah berkelayakan, daftarlah sebagai pengundi dan mari kita tunjukkan sebenarnya apa yang kita mahukan dan usir anasir-anasir luar yang jahat ini daripada bumi Pulau Pinang.