Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Sunday, 5 July 2009

Tinta Buat Adik Junior sesi 09/10

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Berlabuh jua tirai Minggu Haluansiswa (MHS) sesi 2009/2010 pada hari Sabtu yang lepas bersamaan 4 Julai 2009.

Saya merasakan diri saya amat bertuah kerana mendapat kesempatan menjadi pembantu mahasiswa (PM) bagi kolej kediaman Pertama untuk kali ketiga berturut-turut.

Ini kerana MHS kali ini dijalankan sungguh berbeza jika dibandingkan dengan MHS pada sesi yang lalu akibat terkena tempias isu wabak Influenza A (H1N1).

Walau bagaimanapun, isu ini tidak mematahkan langsung semangat kami PM kolej-kolej kediaman kerana apa yang penting bagi kami adalah untuk membimbing dan membentuk adik-adik junior kami mengikut acuan universiti.

Rata-rata kekecewaan yang kami rasakan bertukar menjadi semangat yang semakin membara serta membuatkan kami berfikir dan merancang lebih teliti dan lebih banyak aktiviti bersama agar ruang masa sepanjang minggu ini terisi sepenuhnya.

Dengan itu, maka hasilnya telahpun kami terjemahkan dalam setiap LDK serta pelbagai lagi aktiviti seperti kesenian, sukan dan explorace sepanjang minggu tersebut.

Ini juga saya anggapkan sebagai MHS yang paling mencabar walaupun ia merupakan MHS yang paling mendekatkan diri kami selaku PM bersama-sama ’freshie’ akibat masa yang banyak di kolej.

Secara jujur, bila menatap pertama kali senarai bakal penghuni kolej, saya merasakan kolej kita mungkin tidak semeriah dulu akibat perkara yang tertentu.

Akan tetapi, setelah seminggu saya bersama-sama adik-adik baru kita, saya dapat rasakan aura dan semangat mereka terhadap kolej sebenarnya tebal dan boleh menjadi lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.

Kemasukkan lebih daripada campuran 100 orang pelajar perubatan dan pergigian nampak tidak mendatangkan apa-apa kesan sekalipun dan saya berharap semangat adik-adik akan terus berkekalan hingga anda meninggalkan kolej tercinta ini.

Saya terharu dan gembira pada masa yang sama kerana penglibatan yang mungkin menjadi kali terakhir saya dalam MHS kali ini telah membuahkan hasil yang sangat baik dengan adik-adik yang sungguh baik dan bersemangat serta dibantu rakan PM yang sungguh berdedikasi.

PM telah memainkan peranan yang sangat penting dan berjaya menjayakan MHS dengan sangat baik walaupun tenaga PM telah dikurangkan menjadi 28 orang termasuk 3 PM khas, tetap bebanan kerja dua kali ganda itu dapat dirasakan.

Adik-adik yang saya sayangi, anda sudah bergelar mahasiswa dan anda sudah mampu berfikir lebih jauh dalam keadaan rasional dengan keadaan sekeliling dan isu-isu semasa dalam mahupun luar kampus.

Seperti yang pernah saya cakapkan dalam beberapa siri ucapan dan tazkirah sebelum ini, kita datang ke universiti dengan satu objektif iaitu mendalami pengajian dalam bidang kita tertentu sehingga mendapat segulung ijazah.

Selain itu, anda perlu mendapatkan peluang berlajar mengenai nilai tambah yang perlu ada dalam diri seseorang mahasiswa agar anda dapat menjadi seorang yang ’laris’ di pasaran pekerjaan kelak.

Buat mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke asrama, anda sekarang perlu hidup berdikari tanpa mengharapkan bantuan ibu dan bapa anda semata-mata.

Kehidupan di universiti adalah satu kehidupan yang mirip dan sebagai satu platform bagi mengajar kita erti dan cara kehidupan kita di alam pekerjaan kelak.

Saya meminta agar adik-adik turut sama menyertai pelbagai aktiviti serta projek yang akan dianjurkan oleh ASTAR ini sekaligus menjadi seorang penghuni yang aktif bukan sahaja di bidang pelajaran malah di bidang sahsiah diri juga.

Elakkan diri anda menjadi penghuni diam sahaja di kolej tanpa menghiraukan sebarang aktiviti ataupun menjadi seorang tidak mengambil tahu langsung apa yang sedang berjalan di kolej kita ini.

ASTAR sebelum ini sudah berjaya menempa nama bukan sahaja dalam bidang kesenian dan bidang sukan malah ASTAR juga telah melahirkan ramai pemimpin mahasiswa yang tidak kurang hebat dalam membela nasib penghuninya.

Oleh itu, saya mengharapkan daripada junior yang baru ini akan terus menyambung kesinambungan kejayaan demi kejayaan yang telah ditinggalkan oleh senior-senior anda sebelum ini.

Teruskan berusaha agar cita-cita anda menjadi seorang yang terpelajar dan berjaya tercapai dengan ASTAR tetap di hati anda masing-masing.

Kekalkan perpaduan sesama kita yang hidup aman harmoni sebumbung dan jadikan rakan-rakan kita sebagai satu keluarga besar tanpa mengira latar belakang, kaum mahupun umur.

Akhir kata buat adik-adik juniorku, teruskan perjuangan anda yang baru sahaja bermula ini dan berhati-hati agar anda tidak terlibat dengan aktiviti yang melampau semasa menjadi mahasiswa dan sentiasa ingat sebagai mahasiswa, anda harus menjadi aspirasi rakyat agar menjadi contoh dan ikutan mereka di luar sana.

ASTAR is FIRST!
UM is ONE!!!

No comments:

Post a Comment