Satu langkah drastik diambil oleh kerajaan negeri Selangor apabila mengharamkan semua pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) serta kakitangan syarikat milik negeri tersebut menyertai kursus anjuran Biro tatanegara (BTN), sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Antara alasan yang diberikan adalah kursus yang dianjurkan oleh BTN menjurus kepada perkara yang boleh membecikan barisan pembangkang serta menimbulkan fenomena perkauman.
Akan tetapi, pada pendapat saya ini hanya satu tindakan pengecut yang dilakukan oleh sebuah kerajaan yang goyah kerana mereka sebenarnya tidak berani berhadapan dengan perkara yang sebenar malah ini menunjukkan mereka seolah-olah membenarkan apa sahaja modul BTN tersebut.
Sebagai mahasiswa tahun 4 yang banyak terlibat dengan aktiviti universiti, saya sudah lali dengan menyertai kursus anjuran BTN walaupun ianya hanya di peringkat asas.
Kursus yang dijalankan sekurang-kurangnya 3 hari ataupun paling lama 5 hari ini sebenarnya mendedahkan kepada peserta mengenai keadaan yang sebenarnya berlaku ataupun scenario politik serta sosio-budaya di Malaysia.
Barisan pembangkang seperti dihantui oleh baying-bayang mereka sendiri apabila BTN mengupas satu per satu isu yang berlaku dalam negara malah bukan sahaja barisan pembangkang malah barisan kerajaan turut mengalami cacat celanya.
BTN dijadikan sebab sokongan terhadap barisan pembangkang semakin merosot hanyalah sebagai alas an atas angin semata-mata dan menunjukkan pemimpin pembangkang sudah kekeringan idea dalam menambat hati pengundi mereka semula.
Sudah berkali-kali dingatkan kepada para pembangkang agar mereka sepatutnya memperbetulkan pimpinan mereka dari peringkat akar umbi bagi memperoleh sokongan rakyat, bukan dengan mempersalahkan pihak itu atau ini kerana kredibiliti mereka jelas terjejas dengan tindakan ini.
Walaupun saya sendiri tidak menyokong beberapa modul kursus BTN tetapi keseluruhannya, BTN bukan sahaja membawa kita ke arah doktrinisasi untuk menyokong mana-mana pihak malah apa yang penting adalah semangat nasionalisme yang diterapkan melalui ceramah, tazkirah mahupun latihan dalam kumpulan (LDK) yang diadakan.
BTN memberi kita ruang untuk meluahkan perasaan ataupun pendapat terhadap sebarang modul yang dibentangkan kerana seingat saya, beberapa rakan saya berbangsa Cina berani bangun mempersoalkan data-data yang diperjelaskan kerana ia nyata menimbulkan rasa ragu dan dilihat tidak relevan disaat dan ketika ini.
BTN bukan seperti mana-mana TAMRIN atau TAMPAN di mana mereka di ‘basuh’ habis-habisan agar merek taat dan patuh pada segala perintah ketuanya dan akhirnya sanggup menghalalkan apa sajacara demi merialisasikan niat ketua atau amir mereka.
Tidak dinafikan BTN perlu banyak membuat kajian-kajian terutamanya dalam menyampaikan fakta-fakta yang sensitive kerana pelajar mahupun kakitangan awam sekarang sudah mampu mencari info itu sendiri dan kredibiliti mereka jelas akan goyah jika langkah sepatutnya tidak diambil.
Fasilitator muda yang diketengahkan sepatutnya diberikan ilmu yang secukupnya sebelum mereka benar-benar layak dalam membimbing peserta BTN seterusnya menyampaikan nasihat serta maklumat ataupun pengalaman mereka secara tepat, jitu dan berkesan.
Saya teringat seminar yang diadakan oleh Parti Agama Islam SeMalaysia (PAS) baru-baru ini juga ada menyatakan yang parti itu sebenarnya harus menyelesaikan masalah dalaman mereka dengan lebih halus dan teliti, bukan sekadar menyalahkan UMNO untuk setiap masalah yang ditimpa mereka.
Mungkin resolusi ini juga patut diterapkan oleh pimpinan parti Keadilan Rakyat (PKR) jika mereka ingin meraih semula sokongan dikalangan pengundi terutamanya pengundi muda.
Walau bagaimanapun, kerajaan Selangor yang bersedia menggantikan kursus BTN dengan sebuah kursus lain untuk pelajar IPT dan kakitangan syarikat di bawah negeri ini yang dikatakan mampu memupuk perpaduan di kalangan rakyat negeri ini.
Mungkin ini sebagai satu langkah timbal balik dan mungkin juga percubaan pihak pembangkang untuk mempergiatkan lagi doktrin mereka yang sebenarnya lebih radikal daripada apa yang dinyatakan terhadap kursus BTN.
Walau apa jua keputusan kerajaan negeri ini, sebenarnya ia sudah memberikan satu takrifan negatif dan rakyat semestinya boleh menghidu kecacatan dalam perjuangan yang mereka jalankan selama ini.
Perjuangan ‘anak jantan’ sepatutnya tidak akan takut malah akan sentiasa mencari jalan untuk mengembalikan fikiran rakyat ke landasan yang benar.
Secara ringkasnya yang batil akan tetap batil walau secantik mana alasan yang digunakan untuk mengaburi mata rakyat dan percayalah yang hak akan sentiasa menyerlah.
Buat kerajaan negeri Selangor, selamat berjaya dalam menambat semula hati pengundi di negeri Selangor, kita tunggu pula khabar berita nasib kursus BTN di Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.
No comments:
Post a Comment