Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Friday, 20 November 2009

Selamat Bercuti: Rancang Cuti Dengan Bijak

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Alhamdulilah, marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran pada Ilahi kerana membenarkan kita menyelesaikan satu lagi ‘peperangan ilmu’ kita yakni peperiksaan yang baru berakhir.

Tahniah dan syabas kepada anda yang sudah menjawab dengan baik dan saya mendoakan kejayaan akan kungjung tiba buat anda semua tatkala menerima keputusan kelak.

Tidak kurang juga kepada mereka yang merasakan ada kekurangan dalam jawapan yang sudah diberikan, redha dan tawakkal sahaja pada Ilahi moga dipermudahkan kita agar lulus dengan cemerlang kelak.

Setelah hampir sebulan menjalani persediaan dan menjalani peperiksaan, saya yakin ramai yang seringkali memanjatkan doa pada Allah agar mendapat kemudahan untuk memahami, menghafal dan menjawab soalan peperiksaan.

Akan tetapi, saya ingin menasihatkan diri saya dan rakan-rakan agar tidak menjadi hipokrit pada Allah kerana apabila sudah habis peperiksaan, kita tinggal segala amalan selama ini dan kembali ke pada asal kita.

Jadikan peperiksaan ataupun apa-apa sahaja dugaan Allah sebagai 'batu loncatan' kepada kita untuk lebih dekat pada Allah dan setelah kita berjaya melalui saat-saat getir ini, maka kita seharusnya patut lebih mendekatiNya, bukan terus menjauhkan diri dan mencari Allah semula bila bala menjelang tiba.

Sesungguhnya kita mempunyai batas dalam melepaskan tekanan ataupun menyambut kejayaan kita masing-masing dan perlu diingatkan kepada semua agar memilih cara yang betul dan jangan menyimpang dari jalan Allah.

Cuti yang dijangka selama 4 minggu bagi rata-rata pelajar (kecuali pelajar Fakulti Pergigian dan Perubatan) perlu digunakan sepenuhnya bagi terus mencungkil ilmu dan mengasah bakat yang terpendam.

Luangkan masa secukupnya dengan keluarga tetapi saya menyarankan anda menggunakan masa cuti anda dengan perkara yang lebih berfaedah seperti menyertai aktiviti riadah, mengambil pekerjaan separuh masa ataupun menyumbang bakti dalam projek-projek kolej mahupun peringkat universiti.

Saya yakin pelajar universiti terbahagi kepada dua golongan iaitu pertama, mereka yang tidak sanggup korbankan masa cuti mereka dan kedua, ada yang mudah bosan di rumah jika tiada aktiviti yang hendak dilakukan.

Bagi pelajar yang berada golongan yang pertama, mereka lebih gemar menghabiskan masa di rumah di samping ibu bapa serta adik beradik yang lain dan sememangnya tidak akan mengorbankan masa untuk mereka demi apa-apa aktiviti lain.

Buat golongan ini, saya menasihatkan anda meluangkan masa dengan mendalami dan menelaah buku-buku ilmiah semasa di rumah agar masa yang anda ada tidak disia-siakan begitu sahaja sebaliknya, digunakan sebaiknya untuk meningkatkan ilmu pengetahuan anda.

Bagi pelajar yang berada dalam golongan kedua, mereka mungkin hanya boleh bertahan di rumah selama lebih kurang seminggu dan apabila masuk minggu kedua dan seterusnya mereka mula mencari jalan atau aktiviti yang boleh dilakukan untuk mengisi masa luang yang mereka ada.

Saya menasihatkan kepada golongan pelajar ini supaya memilih aktiviti yang berguna dan bermanfaat bagi kita sebagai mahasiswa universiti untuk memantapkan nilai insaniah kita disamping mengasah bakat dalam apa jua bidang yang kita minati.

Jauhi perkara yang tidak berguna atau sia-sia seperti merempit, menghisap dadah, melepak dan sebagainya kerana ini langsung tidak menunjukkan mentaliti kita selaku mahasiswa universiti.

Sebaliknya, kita digalakkan menyertai kerja-kerja amal dalam membanteras gejala-gejala sosial ini kerana mereka sudah tentu akan memandang tinggi kepada kita yang dikatakan antara mereka yang terpilih masuk ke universiti perdana ini.

Saya menyambut baik pindaan AUKU baru-baru ini dan percaya mahasiswa sudah mempunyai kebebasan dalam menyertai mana-mana kelab mahupun organisasi bukan kerajaan selagi mana ia bukan berkaitan dengan politik secara langsung.

Penyertaan kita ke dalam organisasi luar ini turut memberi seribu satu kelebihan untuk diri kita sendiri terutamanya bagi meningkatkan kemahiran sosial dan kemahiran berorganisasi dalam diri kita.

Kemahiran-kemahiran yang tidak diajar di mana-mana dewan kuliah mahupun kelas ini adalah antara keperluan yang mustahak bagi mahasiswa untuk bersaing kelak bagi memperoleh tempat pekerjaan.

Ini kerana majikan bukan sahaja menilai keupayaan kita berdasarkan transkrip peperiksaan sahaja, malah mereka juga menilai dari segi kemahiran insaniah dan juga pelbagai kemahiran lain yang relevan pada syarikat tersebut.

Oleh itu, saya menasihatkan kepada rakan-rakan agar merancang dengan baik perjalanan cuti kita ini kerana masa itu adalah emas dan sesaat yang kita bazirkan, tidak mungkin akan ditebus kembali walaupun anda mengadaikan segala harta yang anda ada.

Usah menyesal di kemudian hari akibat gagal merancang dengan baik masa yang kita ada selagi kita mampu dan selagi kita masih seorang mahasiswa di institut pengajian tinggi.

Sebelum mengakhiri tinta ini, suka saya untuk meningatkan kepada seluruh mahasiswa terutamanya mahasiswa UM bahawa pendaftaran bagi semester 2 sudah boleh dilakukan pada 23 Novermber 2009, maklumat lanjut boleh didapati di web umisis.

Akhir kata dari saya, selamat bercuti di kampung halaman masing-masing serta kirimkan salam saya kepada kedua ibu bapa anda yang sedang membaca ini.

Moga Allah memudahkan perjalanan pulang anda bagi membolehkan anda berjumpa dengan keluarga anda yang tercinta.

UM is ONE! Towards 1Malaysia.

1 comment:

  1. hello... hapi blogging... have a nice day! just visiting here....

    ReplyDelete