Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Tuesday, 20 April 2010

Adab penentu jatuh bangun negara

KUALA KANGSAR 19 April - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, adab bukan sahaja berperanan besar dalam membentuk sebuah masyarakat, malah melahirkan sebuah negara bangsa yang stabil lagi makmur.

Titah baginda, kuasa dan sumber yang diuruskan oleh individu yang tidak memahami idea induk atau adab luhur, akan menyebabkan berlakunya penyalahgunaan kuasa dan pembaziran sumber selain suasana kekeliruan intelek serta moral.

Tegas baginda, jika berlaku masalah salah urus sumber, ia akan mengakibatkan kemiskinan berpanjangan dan kemusnahan institusi-institusi penting.

"Justeru, adab adalah penentu terhadap jatuh bangunnya pemimpin, bangsa dan negara.

"Adab memperingati bahawa taraf kemuliaan seseorang itu bukan ditentukan oleh faktor-faktor kuasa, kekayaan mahupun keturunan tetapi ditentukan oleh kriteria-kriteria yang terkandung di dalam al-Quran dari segi pengetahuan, kecerdasan otak dan sifat murni," titah Raja Nazrin.

Raja Nazrin bertitah demikian pada istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-82 Sultan Perak di sini hari ini.

Baginda menarik perhatian, usaha raja-raja Melayu memperkenalkan sistem pemerintahan dengan berlandaskan adab dan tertib telah berjaya membina satu budaya yang halus dan ketamadunan tinggi.

"Istiadat yang berlangsung pada pagi ini adalah satu cerminan kehalusan budaya dan satu bayangan ketinggian tamadun yang telah lama terbina.

"Amatlah penting bagi seseorang insan memahami kedudukan masing-masing menurut urutan adab. Bahawa adab itu adalah ketertiban budi atau intellectual discipline," titah baginda.

Adab, titah baginda merangkumi elemen-elemen kemanusiaan, kebajikan, kasih sayang serta sifat menghormati ibu bapa, orang tua, kanak-kanak, jiran tetangga dan menghormati pemimpin.

Baginda menjelaskan malangnya elemen-elemen kurang beradab hingga mencetuskan berlakunya kelakuan tidak beradat semakin hari semakin jelas kelihatan.

"Ia bukan lagi dicerminkan melalui perangai dan tingkah laku anak-anak yang belum mencapai usia baligh, tetapi lebih memalukan ia turut dilakukan oleh insan-insan dewasa berjawatan besar - berjawatan penting, berkelulusan tinggi - berkelayakan profesional.

"Ia bukan berlaku di tepi-tepi jalan atau di pasar-pasar, tetapi turut berlaku di tempat-tempat yang sepatutnya mencerminkan setinggi tertib dan sehalus budi," tegas baginda.
Baginda turut melontarkan persoalan tentang rupa bentuk negara bangsa yang akan terbina nanti sekiranya elemen adab dan adat sudah tidak lagi dititikberatkan di kalangan warganya.

"Adakah lengkap ukuran sebuah negara maju - sebuah negara kaya, jika warganya mundur dengan adab dan miskin adat," titah baginda.

Justeru baginda berharap, penting bagi negara, masyarakat serta individu untuk memberikan perhatian utama pada elemen adab dan adat dalam program membangunkan modal insan supaya insan yang dibangunkan kelak seimbang dengan kemajuan dicapai negara.

Terdahulu, dalam titahnya, baginda bertekad mempertahankan kedaulatan Sultan Perak daripada sebarang usaha atau tindakan berunsur menghina serta meruntuhkan sistem berkerajaan sedia ada.

Pada masa sama, Raja Nazrin yang turut mewakili kerabat lain mengulangi ikrar taat setia dalam membantu Sultan Perak memenuhi amanah serta tanggungjawab sebagai raja pemerintah di negeri ini.

"Di samping setiap seorang bertekad dan sekaliannya berazam untuk seia sekata mempertahankan kedaulatan raja pemerintah dari sebarang usaha dan tindakan berunsur menghina apatah lagi bertujuan meruntuhkan sistem berkerajaan dan bernegara yang telah lama bertunjang dan berakar di bumi Melayu ini," titah baginda.

Titah Raja Nazrin, kedudukan raja-raja Melayu telah terpahat di tinta sejarah sebagai raja yang berdaulat dan kerajaan berpaksikan raja itu telah membina tamadun negara bangsa selain melaksanakan sistem pemerintahan yang membawa kemakmuran.

Kemakmuran itu, titah baginda, bukan sahaja dinikmati rakyat pribumi tetapi juga mereka yang memilih untuk berhijrah ke bumi ini dan tertakluk di bawah naungan serta adat resam sedia ada.

Oleh Siti Mariam Md. Zain

No comments:

Post a Comment