Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.
Akhir-akhir ini, kehidupanku menjadi semakin sibuk dengan persiapan menghadapi peperiksaan, menyiapkan laporan tesis dan pelbagai lagi perkara.
Insyaalah salah satu tanggungjawabku sebagai Pengerusi Kelab Kebudayaan Melayu (KKM) sesi ini akan berakhir selepas mesyuarat post-moterm yang dijadualkan pada malam ini.
Alhamdulillah, jika diizinkanNya KKM akan terus diusahakan setiap tahun untuk memberikan lebih impak terutamanya pada mahasiswa berbangsa Melayu di Kolej Kediaman Pertama.
Pada awal penubuhan ini, KKM tampak agak kekok dikalangan mahasiswa Melayu tetapi saya yakin pada tahun-tahun akan datang, KKM akan terus mendapat sokongan dan menjadi salah satu tonggak aspirasi buat mahasiswa berbangsa Melayu.
Akan tetapi apa yang ingin saya coretkan sebenarnya adalah berkenaan kempen Kami Prihatin anjuran akhbar Utusan Malaysia bagi membendung gejala buang anak yang semakin berleluasa ini.
Tiada siapa pun tahu asal bangsa keturunan anak yang terbuang itu tetapi nyata tuduhan-tuduhan liar banyak menundingkan jari ke arah kita.
Oleh itu, saya merasakan perlunya ada satu medium ataupun satu cara bagi membendung gejala ini daripada terus dilaporkan di akhbar dan dinyahkan terus kejadian-kejadian yang tidak diingini ini.
Saya merasakan kempen ini sebenarnya mampu menimbulkan kesedaran terhadap masyarakat terutamanya si pesalah agar tidak membuang bayi yang dikandung selama 9 bulan itu sesuka hati kerana masih banyak ruang atau cara yang boleh di ambil.
Saya akui, dalam masyarakat kita terutamanya sebagai orang Melayu yang menganut agama Islam, mengandungkan anak luar nikah sememangnya sesuatu yang salah dan berdosa malah dikeji oleh masyarakat.
Jika ingin membuat kempen mengeji pesalah-pesalah ini, sebenarnya tidak akan membantu mereka tetapi dengan Kempen Kami Prihatin ini mampu membuka hati mereka berfikir yang mereka sebenarnya ada alternatif lain.
Usah ditambah dosa yang dikendong, anak tidak bersalah itu sebenarnya mempunyai hak untuk hidup dan membuang mereka yang tidak bersalah bukan cara penyelesaian menutup aib masing-masing.
Jangan kita kembali ke zaman jahiliah di mana anak-anak terutamanya perempuan ketika itu dibunuh kerana dianggap akan membawa sial kepada keluarga kelak.
Sedangkan binatang juga sayangkan anak-anaknya, inikan manusia yang dikurniakan akal fikiran dan hati nurani yang penuh dengan kasih sayang.
Kempen seperti ini perlu diperluaskan ke seluruh peringkat umur tidak kira di sekolah rendah mahupun di pusat pengajian tinggi kerana mereka sebenarnya perlu tahu yang dunia kita sebenarnya sudah maju ke depan bukan semakin setapak ke belakang.
Banyak rumah-rumah amal yang dibina khas untuk menjaga kebajikan kanak-kanak kurang bernasib baik ini agar mereka tidak menjadi bahan makanan semut, anjing dan sebagainya.
Masyarakat perlu sedar, gejala sosial yang semakin menghantui terutamanya golongan remaja perlu ditangani segera kerana remaja adalah asset negara.
Kita tidak mahu asset negara seperti ini terus dibuai mimpi indah dan membuat kesalah itu berulang-ulang kali kerana ini bakal menggugat prestasi dan kemampuan negara untuk berkembang kelak.
Oleh itu, kempen ini sebenarnya amat meluas bagi mereka yang benar-benar memahami ertinya kerana ia bukan sekadar ingin menyelamatkan nyawa seorang anak kecil malah ia juga bagi menjaga masa depan negara kelak.
Saya menyeru rakan-rakan yang mempunyai blog agar sama-sama kita meletakkan logo Kami Prihatin (seperti di atas) untuk menunjukkan sokongan kita terhadap kempen ini.
Sesuatu kempen tidak akan berjaya tanpa sokongan dan pelaksanaan yang teliti. Oleh itu, mari kita sama-sama menyokong setiap pelaksanaan yang baik oleh pihak penganjur agar Malaysia terus menjadi gemilang tanpa jenayah sosial ini lagi.
No comments:
Post a Comment