Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Thursday, 29 April 2010

Reputasi PDRM Tercabar

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Baru-baru ini negara digemparkan apabila institusi keamanan negara, Polis Di Raja Malaysia (PDRM) telah dilemparkan pelbagai jenis tohmahan berikutan seorang pegawai polis yang menembak seorang remaja berumur 15 tahun bernama Aminulrasyid Amzah di Shah Alam, Selangor.

Perkara serius ini begitu cepat tersebar sehingga mendapat perhatian ahli Parlimen seterusnya akan membincangkan hal ini di Parlimen.

Walau bagaimanapun, isu ini tampak seperti suatu kesempatan yang diambil satu pihak untuk terus memburukkan nama PDRM seterusnya mendapat nama sebagai pejuang kebajikan rakyat.

Pada pendapat saya, hal ini perlu diteliti dengan baik tanpa ada sebarang desakan terutamanya daripada orang yang berkepentingan politik.

PDRM perlu menyelesaikan kes ini dengan telus agar rakyat dapat menerima dan mengetahui perkara sebenarnya berlaku tanpa ada sebarang ragu-ragu.

Mana-mana pihak juga disarankan untuk tidak memburukkan antara satu sama lain, saman menyaman serta tuduh menuduh kerana ini hanya akan membantutkan siasatan pihak berkuasa.

Kita semua mahukan keadilan buat adik kecil ini, sama ada benar dia ada terjebak dengan jenayah mahupun ianya adalah kesalahan pegawai itu sendiri yang melepaskan tembakan tanpa usul periksa.

Saya juga menyarankan agar PDRM melatih pegawai mereka terutamanya yang mempunyai lesen menembak untuk melepaskan tembakan pada organ badan yang tidak kritikal, cukup untuk mencederakan penjenayah itu.

Ini yang dilakukan oleh polis-polis ternama dunia kerana tujuan tembakan itu dilepaskan adalah untuk menundukkan penjenayah supaya kita dapat menangkapnya dan di bawa ke muka pengadilan.

Kecuali kes tertentu di mana penjenayah itu gagal dikawal, barulah pegawai tersebut boleh membuat pilihan untuk melepaskan tembakan itu terus pada organ kritikal penjenayah.

Tetapi logiknya seorang budak berumur 15 tahun sudah tentu bukan sukar untuk dikawal oleh pihak polis yang semestinya terlatih ini.

Jika iya pun budak itu ‘berbahaya’, banyak pilihan lain yang boleh dibuat selain menembak terus ke organ kritikal budak tersebut.

Jelas kes ini cenderung kepada kesalahan pegawai tersebut tetapi kita masih tidak dapat memutuskan apa-apa sehingga kes ini selesai disiasat.

Buat rakyat di luar sana, kes ini tidak mencerminkan keseluruhan anggota PDRM adalah kejam ataupun tidak berperikemanusiaan seperti yang diuar-uarkan di media alternatif.

Sebaliknya, ini adalah kesalahan individu tersebut dan dia sahaja yang bertanggungjawab atas kes ini.

Tidakkah kita bersyukur kerana adanya PDRM selama ini, negara terkawal dan aman jika dibandingkan dengan negara-negara jiran lain yang kucar-kacir serta polis negara tersebut gagal menjalankan tanggungjawab mereka sehingga menggunakan khidmat tentera.

Buat keluarga Allahyarham Aminulrasyid Amzah, takziah saya ucapkan dan harap anda bersabar dengan ujian daripada Allah S.W.T ini.

Insyaalah kehilangan anak bongsu ini adalah satu hikmah, dengan kuasa Allah Insyaalah akan ada rezeki lain untuk mengganti pemergian Allahyarham.

Buat pihak berkuasa, siasat perkara ini dengan telus bagi menjaga reputasi dan nama baik PDRM kerana ini satu-satunya institusi yang memegang nama Di Raja.

Akhir kata, moga keadilan akan tertegak dan yang bersalah akan mendapat pembalasan yang setimpal.

No comments:

Post a Comment