Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Monday, 26 April 2010

Menang Tapi Tak Seimbang

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Perihal tajuk artikel ini pada waktu dan ketika ini mesti membuat orang terfikir-fikir ia pasti berkenaan kemenangan Barisan Nasional (BN) semalam di pilihan raya kecil (prk) Hulu Selangor.

Tetapi sebenarnya apa yang ingin saya coretkan adalah berkenaan perihal umum di dalam masyarakat kita di Malaysia merujuk kepada beberapa topik panas yang tersiar di dada akhbar baru-baru ini.

Pertamanya, dari aspek politik tahniah dan syabas buat ahli Parlimen Hulu Selangor yang baru, P Kamalanathan atas kemenangan beliau di dalam prk semalam.

Akan tetapi, ini bukan satu isyarat buat BN untuk berseronok kerana masih banyak cabaran yang perlu digalas dan apa yang saya saya lihat sebagai tidak seimbang adalah pecahan undi yang mereka perolehi.

Keputusan semalam jelas menggambarkan tidak semua kaum majoriti di Malaysia ini yang menyokong kerajaan BN dan satu tindakan drastik perlu di ambil pimpinan parti kaum terbabit untuk meraih semula kepercayaan kaum masing-masing.

Kedua dari aspek kekeluargaan adalah berkenaan beberapa kes percubaan membunuh diri oleh kanak-kanak seperti yang dilaporkan oleh beberapa berita utama negara.

Terbaru kes di Bachok melibatkan seorang murid tahun lima cuba membunuh diri akibat tidak tahan tekanan diejek rakan-rakan dan kes yang sama juga dicatatkan di Perlis beberapa hari yang lalu.

Mujur dua nyawa kanak-kanak ini berjaya diselamatkan oleh pihak yang masih prihatin.

Kanak-kanak memamg nakal dan perkara seperti buli, mengejek dan masalah sosial yang lain seringkali berlaku di sekolah-sekolah.

Persoalannya adalah, di mana fungsi ibu bapa sehingga anak-anak ini seperti tiada tempat bergantung dan akhirnya mengambil keputusan menamatkan nyawa sendiri bagi mengelakkan masalah ini dari berulang?

Suatu kemenangan buat ibu bapa yang berjaya melahirkan dan membesarkan anak-anak mereka tetapi nyata tidak seimbang bila datang kepada pembahagian kasih sayang dan juga tanggungjawab untuk mencari nafkah.

Ibu bapa sebenarnya perlu memainkan peranan yang lebih besar bukan sekadar punca rezeki tetapi juga tempat luahan anak-anak dan pemberi dorongan dan semangat buat anak-anak mereka untuk menempuh dugaan hidup untuk terus berjaya.

Selain itu, isu pembuangan anak yang berleluasa juga boleh dikaitkan dengan keruntuhan institusi kekeluargaan ini dan tidak dinafikan juga isu moral remaja zaman sekarang.

Ibu bapa perlu memainkan lebih banyak peranan dalam mempengaruhi anak-anak mereka ke arah kebaikan, memberikan pengajaran moral dan agama yang secukupnya serta mencurahkan sepenuh kasih sayang agar anak-anak mereka senang berbincang apa jua masalah yang dihadapi.

Ketiga dari aspek sukan khususnya buat skuad badminton negara yang bakal menempuh kejohanan Piala Thomas dan Piala Uber pada 9-16 Mei 2010

Melihat barisan pemain sudah jelas memberi kegusaran terutamanya peminat-peminat badminton tanah air di mana kita hanya mampu mengharapkan kepada Datuk Lee Chong Wei selaku pemain no. 1 dunia.

Akan tetapi harus diingat kejohanan ini adalah kejohanan berpasukan dan bukan persendirian, bermakna mengharapkan seorang pemain sahaja tidak cukup jika 2 perseorangan dan 2 beregu yang lain tidak semantap yang diperlukan.

Malaysia boleh dikatakan ‘menang’ dalam penyediaan kemudahan-kemudahan sukan jika dibandingkan dengan negara-negara lain tetapi nyata keputusan sukan antarabangsa masih tidak seimbang dengan apa yang telah negara kita laburkan.

Yang terahir buat masa ini adalah dari aspek kehidupan sebagai mahasiswa sendiri di mana kita seringkali lalai dan leka dalam melaksanakan tanggungjawab kita sepenuhnya bukan sahaja pada diri sendiri malah juga kepada masyarakat.

Mereka yang telah berjaya memasuki universiti tidak kira awam mahupun swasta saya kategorikan sebagai sudah menang dalam usaha mencari ilmu kerana harus diingat masih ramai rakan sebaya kita yang tidak bernasib baik seperti kita di luar sana.

Waktu peperiksaan dilihat sebagai waktu di mana mahasiswa berjuang sepenuhnya untuk mendapat keputusan cemerlang dan akhirnya menjadi insan yang berguna di suatu masa kelak.

Hasrat murni ini sememangnya tidak salah, tetapi apa yang saya tidak seimbang adalah ilmu ini hanya diaplikasikan semata-mata untuk peperiksaan sahaja dan bukan untuk kemajuan diri dan masyarakat sepenuhnya.

Mahasiswa perlu lebih terbuka di mana hidup kita di universiti ini untuk menimba ilmu bagi membantu menaikkan taraf hidup bukan saja diri sendiri malah taraf hidup rakyat dalam erti kata lain membawa kemajuan kepada negara.

Dengan ini, kita akan lebih terbuka dalam pencarian ilmu bukan sahaja dalam bidang pengkhususan masing-masing tetapi juga dalam bidang-bidang yang lain untuk menambahkan pengalaman dan kemahiran.

Oleh itu, persepsi yang salah iaitu belajar untuk peperiksaan ini harus dibetulkan selagi masih sempat untuk kita menimba lebih banyak ilmu di universiti ini sebelum kita melangkah setapak lebih jauh untuk hidup sebagai seorang penjawat awam mahupun swatsa kelak.

Nyata kemenangan mutlak itu sebenarnya amat jauh untuk seseorang tidak kira dia itu pemimpin no. 1 dunia mahupun kita sebagai pelajar di universiti.

Akan tetapi, selaku insan biasa yang kerdil di sisi Allah apa yang mampu kita buat adalah teruskan berusaha dalam mencari erti kata kemenangan yang sebenar tanpa meminggirkan sebarang aspek agar kemenangan yang kita perolehi itu benar-benar seimbang dan setimpal dengan usaha yang kita laburkan.

Akhir kata, renungkan kata-kata ini. Dalam pendakian ke puncak bukit, apa yang penting bukan selaju mana kita boleh mendaki bukit itu atau apa ganjaran yang menanti kita setelah berjaya mendaki bukit itu, tetapi yang penting adalah cara dan niat kita mendaki bukit itu.

No comments:

Post a Comment